Tulisan ini mengadaptasi tulisan lama pada tahun 2011 yang berjudul, “Tunisia dan Mesir: Rakyat Ibarat Spring”. Pada masa itu, Barisan Nasional (BN) memerintah untuk tahun ke 54 selepas merdeka. Usianya melebihi separuh abad. BN jatuh kira-kira 8 tahun selepasnya. Namun sekarang, di bawah pemerintah baru Pakatan ( yang saya rasa tiada) Harapan (PH) hampir setahun jagung, isi kandungan artikel bertambah relevan, in syaa Allah.
****************
Berada dalam sebuah negara demokrasi tanpa demokrasi tulen sentiasa mengasak fikiran untuk membebaskan diri dari kepungan pemerintah yang zalim. Pemimpin yang adil tidak akan takut dan bimbang untuk melaksanakan demokrasi tulen.
Sering juga berbual dengan suami lama dahulu, “Para pemerintah harus sedar wujudnya fitrah manusia yang akan melawan perkara yang menekan mereka. Ia hanya menunggu masa yang sesuai untuk diledakkan segala perkara yang membelenggu mereka.”
Saya merasakannya dan anda – yang masih tersisa imannya kepada Allah dan rasulNya – juga merasakannya setiap kali disuakan dengan isu yang mencabar aqidah, merobekkan maruah, rompakan-rompakan harta kita @ harta rakyat untuk segelintir nafsu yang berkuasa, sistem kehakiman yang dicabul berterusan, jenayah yang meningkat dan kebajikan yang diabaikan.

Benar, sejak dahulu sudah ada isu ‘menjolok sarang tebuan’ berkenaan maruah Islam dan umat Islam, namun sekarang ‘sarang tebuan hampir jatuh dijolok bertalu-talu dengan pelbagai gaya’. Isu menghina Nabi SAW dengan karikatur biadap dan sangat tidak layak untuk maruah Baginda SAW yang mulia seolah-olah umpan yang sengaja dipasang untuk memancing emosi umat Islam tanpa mengira bangsa. Sekiranya benar berhasrat demikian, penjolok sarang tebuan akan berdepan dengan jutaan ‘tebuan’ itu satu hari nanti, in syaa Allah. Dalam 2 pilihanraya kecil Cameron Highland dan Semenyih, sengatan ‘tebuan’ itu sudah mula dirasai.
Selepas bermati-matian mengguna kaedah populis bagi mengelabui mata rakyat – yang jahil – pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU 14), peningkatan taraf hidup yang diharapkan nampaknya tidak kunjung tiba.
Dalam suasana hidup bertambah payah, pihak penguasa menambah tekanan lagi kepada rakyatnya dengan pelbagai isu. Contohnya isu kerajaan yang semakin bertolak ansur dengan hawa nafsu segelintir rakyat sedangkan perkara tersebut merupakan ancaman moral yang amat dahsyat seperti meraikan golongan LGBT, kerugian syarikat-syarikat kerajaan dalam skala besar, harga barangan yang tetap meningkat walau GST sudah ditukar kepada SST, ramai rakyat yang hilang pekerjaan, provokasi kaum oleh pemimpin tertentu yang bersifat rasis, undang-undang yang tidak tegas dan tidak sepadan jenis kesalahan serta pelbagai masalah lagi.
Bertambah banyak doa rakyat yang dianiaya, bertambah cepatlah tersungkur sebuah kerajaan. Semoga diperkenankan Allah.
Setiap manusia dilahirkan merdeka. Setiap manusia berakal dan baligh serta cukup pancainderanya bebas memerhati, menuntut ilmu dan memilih. Justeru jika fitrah merdeka itu dikepung, ditekan, di’ikat mata’, ditulikan dan dibisukan, maka akan sampai masanya ‘spring’ yang ditekan melantun semula objek yang menekan mereka.
Kekuatan lantunan itu bergantung sekuat mana momentum yang dibekalkan. Bertambah zalim sesebuah kerajaan, bertambah kuat penolakan akan dibuat. Andai cara lembut tidak menjadi, mungkin cara kekerasan dianggap solusi. Na’uzubillahi min zaalik.

Jika pemerintahan yang adil tidak diusahakan – sekurang-kurangnya dalam kerangka menghormati perlembagaan sedia ada yang menjaga kepentingan ‘Tuan Rumah’ dan Islam sebagai agama persekutuan, tiada pilihan lain bagi rakyat marhaen kecuali turun ke jalan raya. Himpunan meraikan kejayaan ICERD tidak dirafitikasikan pada 8 December 2018 (HIMPUNAN 812) merupakan signal pertama rakyat ‘Tuan Rumah’ buat kerajaan yang masih berhingus.
Jika pemerintah Malaysia sekarang mahu elakkan perkara sebegini terjadi, sebaiknya segera mengambil berat hal ehwal rakyat dengan menunaikan segala manifesto, menghormati hak ‘Tuan Rumah’ dan jangan jadi seperti anjing dengan bayang-bayang. Malaysia ada ‘Tuan Rumah’nya, sebagaimana semua negara lain di dunia ini ada ‘Tuan Rumah’nya. Ambil pengajaran daripada Palestin apabila sebahagian tanah airnya dirampas Israel: ‘Tuan Rumah’ tidak pernah berdiam diri berusaha mengambil semula apa yang menjadi hak mereka. Kesannya bukan sekadar menimpa harta benda, keharmonian hidup, malah melibatkan nyawa yang tidak berdosa. Pilih antara dua: Hidup harmoni dengan segala hak yang sesuai sebagai ‘tetamu’ yang diraikan atau terus menjolok ‘Tuan Rumah’ yang dalam lemah lembutnya ada taufan ‘amuk’.

Sejarah telah memberi pengajaran sejak ribuan tahun yang lampau. Tiada pemerintah yang zalim akan kekal hidup selesa di tampuk kuasa. Imma pemerintah kafir mahu pun dari kalangan umat Islam sendiri. Juga tanpa mengira dari parti mana sekali pun. Sesiapa yang zalim, wajib dijatuhkan.
Bapa Ahzaab moden yang memusuhi Islam dan umatnya yakni Israel tidak akan berdiam diri. Mereka akan terus berusaha mencatur bidak-bidak agar kemenangan Islam dapat ditangguhkan untuk beberapa waktu lagi. Siapa pernah percaya dengan sistem demokrasi ciptaan Zionis? Apabila sistem itu memakan diri mereka semula, mereka sudah menyediakan segala tipu helah lain untuk memperdayakan Islam dan umatnya.
Hati saya bersama rakyat Malaysia terutama saudara seaqidah yang Allah swt sucikan hati, fikiran dan tindakan dari sifat khianat – yang mahukan pemerintah yang adil, bersih dan menjaga kepentingan Islam dan umatnya secara tegas. Saudara seaqidah ini hanya mahu hakimiyah Allah dikembalikan semula ke persada kuasa kerana terbukti sudah hanya cara hidup Islam yang dapat memberi bahagia di dunia hingga ke syurga abadi.
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
Surah Ali ‘Imran (3) : 85
Islamlah kamu, nescaya kamu selamat.
Jangan menunggu sehingga hijab akhirat terbuka di saat sakaratul maut, baru mahu bersyahadah kerana saat itu, pintu taubat sudah ditutup rapat.
وَلاَ تَرْكَنُوۤاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُمْ مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. Hud 11:113

Ummu Abbas
2.40 am
2 Rejab 1440H/ 9 Mac 2019
Teratak 1669, Negeri Tadahan Wahyu.
Tinggalkan Jawapan