Yang Lebih Bahaya Daripada Virus Corona

Rasa gembira bila melihat pihak kerajaan mengambil berat tentang kesihatan rakyat tatkala dunia  digemparkan dengan ancaman virus berbahaya digelar virus Korona.  Maka ditularkan pelbagai tip dan panduan bagi mengelakkan terkena jangkitan.  Tidak terkecuali penjagaan dalam bentuk doa-doa dibekalkan oleh para asatizah.  Sistem kuarantin dilaksanakan di peringkat nasional dan antarabangsa.  Orang ramai turut cakna dan mengambil langkah berhati-hati. 

Alhamdulillah, jelas tampak pelbagai pihak bersatu padu dalam menangani kes yang memberi risiko kepada nyawa manusia ini.  Tidak kedengaran Sisters in Islam menghalang usaha kuarantin ini.  Tidak berbunyi pula kumpulan LGBT membantah atau mana-mana peguam mahu menyaman kerajaan kerananya.

Virus Terbahaya Di Dunia

Jika pelbagai pihak baik di peringkat nasional mahu pun antarabangsa boleh bersatu padu dalam usaha mengekang virus Corona, maka alangkah baiknya jika mereka berbuat perkara yang sama dalam mengekang virus yang paling berbahaya dalam sejarah umat manusia, iaitu virus kepada aqidah sehingga para nabi dan rasul diutuskan untuk mengembalikan manusia kepada tujuan asal mereka dicipta.  Pastinya usaha ini mendapat reda Yang Maha Mencipta dan dilimpahkan rahmat dariNya. 

 اِنَّهُ ُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun.” 

Al-Maidah: 72

Dalam banyak hadis, Nabi SAW menegaskan hanya kalimah tauhid ‘La ilaha Illallah, Muhammad Rasulullah’ yang menjadi tiket seseorang untuk mendiami syurga Allah SWT serta mampu menyelamatkan manusia daripada azab neraka yang kekal abadi di akhirat kelak.  Akar aqidah umat Islam ini sedang diancam dengan begitu hebat oleh pelbagai virus yang bertebaran bukan sahaja secara ‘atas darat’, bahkan menerobos ke ‘atas talian’ melalui lebuh raya siber yang tidak bersempadan.  Antara nama virus aqidah tersebut ialah virus Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme dan Agnostisisme.  

Sebahagian virus aqidah ada yang sudah pandemik sejak ribuan tahun yang lampau.

Dalam Islam, Allah SWT memberi panduan bahawa manusia berkewajiban menjaga serta memelihara bukan sahaja kesihatan fizikal, tetapi juga kesihatan mental dan spiritual.  Islam menyediakan sistem kuarantin bagi manfaat kesihatan manusia sejak lebih 1400 tahun yang lalu.  Lebih awal daripada itu ialah Islam memberi panduan memelihara kesihatan aqidah sejak kali pertama Nabi Muhammad SAW menerima wahyu. 

Virus Yang Menghilangkan Nikmat Syurga Abadi

Andai virus Corona mampu menghilangkan nyawa manusia, maka virus kepada mental iaitu saraf pemikiran manusia adalah jauh lebih berbahaya kerana mampu menghilangkan nikmat syurga dalam kehidupan selepas mati.  Justeru itu perlu dihalang segala usaha dakyah untuk memurtadkan orang Islam kerana mereka ini sedang menghalang manusia dari mendekatkan diri kepada Allah SWT – Pencipta semua mahkluk.

Sewajarnya manusia lebih berasa gerun kepada virus pemikiran dan aqidah yang mampu mematikan fitrah bertuhan dan serta fitrah Islam yang terdapat pada setiap insan sejak mereka dilahirkan.  Nabi SAW bersabda ,

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya lah yang menjadikan dia seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi.

Hadith Bukhari

Dalam hal sebegini, kerajaan melalui Menteri Agama dan Kementerian Pendidikan berkewajiban memandaikan rakyat melalui agensi-agensi berkaitan dan silibus pelajaran agama yang mantap.  Juga mengekang agen pembawa virus yang bersembunyi di sebalik nama-nama kumpulan yang ditempel nama Islam seperti Sisters in Islam atau ditempel dengan usaha memperjuangkan hak asasi manusia (yang realitinya bukan hak seperti kumpulan LGBT) dan pelbagai lagi. 

Sistem kuarantin kepada virus aqidah ini perlu menjadi agenda utama pihak kerajaan, perlu dilaksana secara bersepadu serta mendapat kerjasama dari semua pihak berwajib secara konsisten.  Umat Islam khususnya perlu cakna hak diri dan keluarga supaya terhindar dari virus aqidah yang bertebaran sepanjang masa di semua tempat. 

Ya Allah, peliharalah aqidah dan iman kami serta tetapkanlah hati-hati kami atas kebenaran.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

“Ya Allah, Sesungguhnya aku berlindung kepada Mu dari berbuat kesyirikan ketika aku mengetahuinya dan aku memohon ampunan Mu ketika aku tidak mengetahuinya”. 

Hadith direkod oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad

Aamin ya Rabb.

Ummu Abbas

5 Jamadil Akhir 1441H/ 30 Jan 2020

#Tarikh tulisan ini disiapkan dan sudah diedar melalui Whatsapp.

Publish di sayangIslam.com pada 13 Nov 2020

#dengandakwahummahberubah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: