Doa Berlindung Daripada Teman Yang Licik

DOA DIJAUHKAN DARIPADA TIPU DAYA TEMAN RAPAT

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ خَلِيلٍ مَاكِرٍ عَيْنَاهُ تَرَيَانِي وَقَلْبُهُ يَرْعَانِي إِنْ رَأَى حَسَنَةً دَفَنَهَا وَإِنْ رَأَى سَيِّئَةً أَذَاعَهَا

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari teman yang licik, yang yang pandangannya tertuju padaku dan⁣ hatinya merencanakan sesuatu yang buruk padaku.⁣ Jika dia melihat kebaikanku dia menguburkannya dan⁣ jika dia melihat keburukanku, dia menyebarkannya.

Hadis Mursal, Al-Jami’ al-Soghir: 11529

Hadis ini mengajar kita supaya memohon perlindungan daripada kawan rapat yang bersikap bermuka-muka atau tidak ikhlas.  Pada zahirnya mereka menunjukkan  kasih sayang dan bersikap ramah dengan kita, sedangkan hakikatnya mereka sentiasa merancang untuk membuat tipu daya terhadap kita.  Mata mereka senantiasa mencari kekurangan kita dan hati mereka pula sentiasa mengawasi dengan niat yang tidak baik.  Apabila dia melihat dan mengetahui kebaikan yang telah kita lakukan, dia berusaha menguburkannya iaitu menutupi daripada diketahui orang ramai.  Sebaliknya jika dia mengetahui keburukan atau perkara aib tentang kita, dia akan  menyebarkannya  kepada orang ramai.

Teman sebegini biasanya mereka yang rapat dengan kita dan sentiasa bersama kita.  Justeru itu, merekalah yang paling banyak mengetahui kebaikan dan keburukan kita.

Berhati-hatilah dengan teman sebegini.  Tambahan di zaman orang mudah merakam audio atau video dan cepat pula disebarkan di dunia maya.  Lebih-lebih lagi apabila kita berada dalam saf haraki untuk berdakwah dan meninggikan agama Allah SWT di dunia ini.  Ia mudah diambil kesempatan oleh musuh mempergunakan teman rapat kita dengan tujuan membunuh karakter pendakwah dan pejuang Islam.

Rasulullah SAW mengajar kita doa ini sejak lebih 1400 tahun yang lampau sebagai benteng dalam persahabatan kerana telah mengetahui wujudnya salah satu karakter teman yang amat berbahaya ini dalam kehidupan manusia. 

Moga ia menjadi salah satu doa kita di malam al-Qadr.


Jazakumullahu khoyra al-Jaza’ kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Haji Mohd Amar bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dato’ Nik Amar yang berkongsi doa ini dalam pengisian online pada 20 Ramadan 1445/31 Mac 2024

Catatan oleh,

Ummu Abbas

5.30pm | 23 RAMADAN 1445H/3 April 2024

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect