Disunting semula dengan membuang pengalaman penulis bersalin anak pertama.

Tarikh suntingan:  11 Jun 2013.

Harap Maklum.

**********************************


Seorang ibu mengalami pendarahan semasa hampir due date bersalin.  Ibu itu solat seperti biasa kerana ia dikira darah fasad (rosak) atau istihadah.  Darah itu cair dan berwarna merah terang.  Ia bukan keluar berterusan.  Bagi sesiapa yang mengalami perkara yang sama ketika hamil, hendaklah solat walaupun sudah ada tanda-tanda akan bersalin. 

Bagaimana pula dengan wanita yang mengalami pendarahan di tengah-tengah kehamilan?  Apakah hukum darah tersebut? Jom lihat serba sedikit huraian mengenai hal ehwal wanita bersalin.

Jenis Pendarahan Semasa Hamil

Darah yang keluar semasa hamil dikira sebagai istihadah.  Darah bercampur lendir ketika proses hendak bersalin juga dikira istihadah atau darah fasad (rosak).

Nifas ialah darah yang keluar dari rahim selepas melahirkan anak.  Bagi mazhab Syafie,   dikira darah nifas jika bersalin anak yang hidup, mati atau keguguran sama ada bersalin cara biasa atau pembedahan.

 

Nifas dari Sudut Saintifik

Ibu-ibu sudah tentu pernah mengalami rasa sakit seperti hendak bersalin sedangkan bayi sudah pun keluar.  Apakah sebenarnya yang berlaku di dalam rahim kita?

Pada peringkat akhir proses kelahiran bayi, otot-otot rahim mengecut untuk menolak keluar keseluruhan badan bayi.  Akhirnya kelahiran sempurna berlaku.  Pengecutan seterusnya berlaku menyebabkan tertanggalnya uri dari dinding rahim.  Sejurus berlakunya kelahiran bayi, pengecutan otot-otot rahim menyebabkan kontraksi berlaku pada otot-otot salur darah arteri lalu menekan salur-salur darah di uri yang akhirnya menyebabkan uri terpisah dari dinding rahim (desidua).   Aliran darah pula berlaku hasil dari hakisan pada bekas tempat lekatan uri di dinding rahim (desidua) yang dikenali sebagai nifas.  Ciri darah dan tempoh pendarahan adalah bergantung kepada saiz uri tersebut.

Dari sudut saintifik, nifas berbeza dengan darah haid yang berasal dari lapisan endometrium.  Secara jelas, darah nifas terhasil dari darah yang mengalir keluar disebabkan oleh bercerainya uri dari rahim selepas melahirkan anak.  Ia selaras dengan pandangan fuqaha’ mengenai definisi nifas.

diagram81

Hukum Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban

Pendarahan Semasa Hamil (tiada tanda hendak bersalin)

Perdarahan yang berlaku semasa hamil tanpa sebarang tanda untuk bersalin dalam Mazhab Syafii dihukumkan sebagai haid jika mematuhi kriteria tempoh haid.  Jika bersalahan dengan kriteria tersebut maka darah itu dihukumkan sebagai istihadah.

Sebahagian ulama pula menetapkan darah yang keluar ketika hamil bukanlah haid dan dihukumkan sebagai istihadah kerana haid tidak berlaku ketika hamil.  Pendapat ini bertepatan dengan kajian saintifik iaitu proses haid tidak akan berlaku kerana telah berlakunya persenyawaan dan kehamilan.  Pendarahan yang berlaku ketika hamil biasanya disebabkan oleh kemungkinan wanita itu menghadapi masalah keguguran pada peringkat awal kandungan.   Selain itu, wanita hamil mungkin mengalami masalah uri seperti uri pecah atau uri berada di bawah pada pertengahan dan akhir mengandung.

Darah Bercampur Lendir

Biasa juga para ibu mengalami darah bercampur lendir keluar dari rahim sebelum melahirkan.  Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin.  Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung tembuni bayi dari dinding rahim bahagian bawah.

Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim. Darah inilah yang dikatakan sebagai darah fasad (rosak) dari aspek fikah.  Oleh kerana ia bukan lagi darah nifas, maka wanita yang mengalaminya wajib menunaikan solat seperti biasa.  Dengan perkataan lain, kewajipan solat belum terangkat dari wanita tersebut.

Air Ketuban

Keluarnya air ketuban juga merupakan tanda awal proses kelahiran bayi.  Air ini keluar dari sarung tembuni bayi yang pecah ketika proses kontraksi rahim.  Pada asalnya, air ketuban bertindak sebagai kusyen yang melindungi bayi.  Subhanallah.  Maha suci Allah yang memelihara janin dalam kandungan.

فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ

Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim).

Surah al-Mursalat 77:21

Demikian hebat kurniaan Allah.  Masihkah kita sanggup mendustakan nikmatNya dan membalasnya dengan maksiat?

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kamu dustakan?

Ayat 13 Surah al-Rahman.

Apabila ia mengalir keluar, air ketuban membantu melicinkan proses kelahiran.  Allahuakbar!  Maha agung Engkau ya Allah yang tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Hukum air ketuban adalah najis.  Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwuduk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering.

Cara Menunaikan Solat Dalam Keadaan Darah dan Air Ketuban Masih Keluar

Cara bersuci ialah bersihkan terlebih dahulu darah atau air ketuban dari faraj. Kemudian pakai tuala wanita, mengambil wuduk dan terus solat.   Jika darah keluar dengan banyak diiringi rasa sakit berterusan, diharuskan solat jamak.

 

Nota:  Sebahagian isi mengenai Darah Semasa Hamil, Nifas dan Air Ketuban adalah dari buku Fikah Perubatan yang disediakan oleh Dr Rosediani Muhamad, Pakar Perubatan Keluarga, USMKK.

Ummu Abbas

9.20pm

21 Zul Qi’dah 1430H

11 respons kepada “Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban”

  1. Kak Nisha Avatar

    Assalamualaikum semua,
    Terima kasih ummuabbas dengan penerangan/penjelasan yang baik. Terkenang kembali masa bersalin. Seingat akak selepas akak melahirkan anak iaitu yang pertama dan ke 4, orang mengatakan wajah akak bersih berseri. Bukan ingin memberitahu akak ni cantik tapi agaknya itulah tanda dosa terhapus. Kerana itulah antara rasa yang paling sakit(rasanya tak hidup dah lepas tu). Itulah harapan akak, terhapusnya dosa atau berkurangannya dosa. Mudah-mudahan. ameen.

    wassalam.

  2. sahabat fillah Avatar
    sahabat fillah

    salam kak nur,

    Terima kasih banyak atas penjelasan hukum solat di atas. Saya mmg tidak tahu mengenainya sehingga umi saya mengingatkan ttg kewajipan solat yg saya terlepas 2 kali (subuh dan zuhur) – sewaktu beliau sampai hospital untuk jaga saya ketika itu. Saya sangka ketulan darah yg keluar pada tgh malam sebelum saya bersalin itu termasuk darah nifas. Rupanya itu darah fasad, dan darah nifas hanya keluar selepas bayi keluar.

    mmg betul apa yg kak nur tulis, waktu sakit kali pertama tu, mmg takut sungguh. Takut, gerun dan sakit semua bercampur. saya teringat ada nurse yg sedang jaga saya ketika itu, katanya kena tahan dan sabar. Beginilah keadaan ibu kita sewaktu melahirkan kita dulu. Saya mmg pegang tangan suami tak lepas2, sampai sedar2 suami kata dia nak pergi sembahyang jumaat..lagi kecut perut kena tinggal! Alhamdulillah saya selamat bersalin sebelum waktu asar, ptg jumaat.

    Kali kedua bersalin, alhamdulillah sakit cuma sekejap, sempat solat subuh dan kemudian kontraksi berulang2 setiap 5 minit baru pergi hospital dan dapat merasa bersalin di luar negara. Juga pada hari jumaat, waktu pagi. InshaAllah yang ketiga akan tiba masa tak lama lagi, minta-minta mudah dan selamat. Terima kasih atas posting doa sewaktu hamil yg pernah kak nur post sebelum ini.

  3. ummuabbas Avatar

    Wa’alaykum salam wbh,

    Kak Nisha,

    Saya juga biasa melihat wajah-wajah ibu yang baru bersalin berseri-seri. Saya faham kenapa ia berlaku. Meskipun ibu-ibu dari kalangan orang biasa sahaja. Yang penting, mereka sabar dan reda. Pasti janji Allah menghapuskan dosa-dosa ditepati. Siapakah yang lebih baik menepati janji selain Allah?

    Apa yang penting lagi ialah berusaha taat pada segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya selepas itu. Moga kita dapat istiqamah berada dalam pengampunanNya.

    Sahabat fillah,

    Terima kasih juga kerana bertanya sebelum ini. Ia mendorong Kak Nur menulis sambungannya. Diharap ia dapat memanfaatkan ramai wanita di luar sana.

    Tahniah awwalan! Yang ketiga ini pun bakal lahir di UK juga ke?

    Akhir kalam, La syukran ‘ala wajib. 🙂

  4. Farah Hazwani binti Ramlan Avatar
    Farah Hazwani binti Ramlan

    Terima kasih di atas catatan pengalaman di atas. Saya sangat gembira baca artikel ini kerana saya ingin tahu sebab saya pun akan melahirka anak tahun depan.

    Saya berharap ramai lagi yang akan menceritakan seperti ini.

    Terima kasih sekali lagi.

    Sama-sama Farah. Tahniah kerana bakal menimang cahaya mata :). ALhamdulillah, memang itu tujuan saya bercerita.


  5. al-atiff Avatar

    salam kak nur. 🙂

    terima kasih ats 1 lg info yg sgt2 manfaat.

    cuma saya ingin bertanya, bagaimana dgn kes keguguran? adakah darah yang keluar sebelum proses keguguran itu selesai sepenuhnya dikira fasad juga? maksudnya kita semamngnya telah tahu kandungan tersebut tidak menjadi dan akan gugur (setelah disahkan doktor) dan kita menunggu menjalani proses gugur secara manual, yakni darah keluar untuk tempoh 3 4 hari dulu, kemudian baru ‘kandungan’ yang tak menjadi itu gugur sepenuhnya.

    apa yg saya lakukan, sy tetap solat seperti biasa sehinggalah gugur itu complete, baru saya anggap darah selepas itu nifas. mohon penjelasan akak ye..

    saya jg mohon letakkan info ini di blog saya utk dipanjangkan kpd rakan2..
    apa yang saya amati, terdapat kekeliruan oleh rata2 kaum wanita/ibu mengenai hukum darah /situasi2 yg kak nur ceritakn . mungkin kerana diri jahil ddan tidak menggali ilmu, ataupun timbul kekeliruan kerana pelbagai pendapat dan bukan dari sumber yang sahih. wallahuaklam..

    Atiff, mengenai masalah keguguran itu, apa yang Atiff lakukan itu sudah bertepatan dengan syarak.

    Mengenai khilaf pendapat terhadap hukum darah sebelum melahirkan, kajian saintifik membenarkan pendapat majoriti fuqaha’. Apabila sesuatu pendapat itu disokong hujjah yang lebih kuat, maka seharusnya kita beramal dengan pendapat yang kuat. Apatah lagi ia melibatkan ibadah solat sama ada ditunaikan atau ditinggalkan. Wallahua’lam.

  6. al-atiff Avatar

    salam kak nur..

    ‘Jika darah keluar dengan banyak diiringi rasa sakit berterusan, diharuskan solat jamak.’

    apakah maksud pernyataan akak ni? saya kurang jelas.. adakah sekiranya situasi sakit diatas ni terjadi, harus solat jamak atau sebenarnya kak nur typing error ‘solat jamak’ tu sebenarnya ‘ qada’ solat’ ?

    harap dapat beri pejelasan ye 🙂

    Wa’alaikum salam Atiff,

    Terima kasih kerana bertanya.

    Maksudnya ialah boleh solat jamak sama ada Zohor dengan Asar atau Isyak dengan Maghrib.

    Sebagai contoh; Wanita hamil yang sudah merasa sakit hendak bersalin disusuli keluar darah yang banyak selepas waktu Subuh. Jika sakit itu berterusan sehingga tiba waktu Zohor, maka diharuskan solat jamak taqdim (Zohor dan Asar). Solat hanya boleh dikumpulkan tetapi tidak boleh diqasarkan.

    Begitu juga, jika sakit itu berterusan pula hingga ke waktu Maghrib, maka diharuskan solat jamak Maghrib dan Isyak.

    Hal ini dibolehkan sebagai rukhsah kepada pesakit berdasarkan satu hadis Nabi s.a.w yang pernah solat jamak selain dari waktu bermusafir.

    Wallahua’lam.

  7. ilya Avatar
    ilya

    salam..
    kak, saya inginkan penjelasan terperinci ttg ‘Cara Menunaikan Solat Dalam Keadaan Darah dan Air Ketuban Masih Keluar’

    akak tulis:
    ‘Cara bersuci ialah bersihkan terlebih dahulu darah atau air ketuban dari faraj. Kemudian pakai tuala wanita, mengambil wuduk dan terus solat. Jika darah keluar dengan banyak diiringi rasa sakit berterusan, diharuskan solat jamak.’

    saya nk tanya kerana saya kurang faham, adakah perlu mandi wajib atau sekadar bersihkan faraj dn salin pad yg baru, kemudian terus solat?
    terima kasih.

    Assalamu’alaikum wbh.

    Cara bersuci memadai dengan membasuh sahaja dan salin pad, kemudian terus solat. Akak tidak sebut ‘mandi’ di atas. Hukum darah ini seperti istihadah. Ia bukan seperti haid yang menyebabkan wanita berhadas besar.

  8. zaleeya Avatar
    zaleeya

    salam kak..saya nak bertanya..bagaimana pula sekiranya berlaku keguguran umur kandungan 4minggu, adakah darah yang keluar itu darah haid atau fasad @ istihadah? adakah wajib solat dan melakukan amalan seperti wanita suci biasa?

  9. shafidashafida Avatar

    assalamualaikum, saya mencari tajuk penting ini setelahmelakukan kesalahan meninggalkan solat di saat ketuban pecah. dan minta izin kongsikan di blog saya untuk tatapan rakan2 ibu .-shafida

  10. ummuabbas Avatar

    Wa’alaikum salam Shafida [sedap nama :)]

    Boleh. Sila-sila berkongsi…

  11. wan aini Avatar
    wan aini

    saya pernah keluar lendir tapi bukan air ketuban

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect