Hiburan Untuk Mereka yang Kehilangan Pasangan

(Putus Tunang/Diceraikan/Kematian)

Perasaan adalah satu anugerah Allah yang sangat bernilai dan halus sekali pada setiap manusia. Ia juga disebut emosi. Berasa cenderung kepada jantina berlawanan jenis juga satu anugerah demi kelangsungan generasi manusia.

Pelbagai cara insan yang dilamun cinta cuba  memenuhi  tuntutan fitrah ini. Ada yang berkawan dahulu, bercinta bertahun-tahun baru bertunang, bertunang dengan si A, bernikah dengan si B, ada yang hanya berstatus ‘secret admirer’, berkahwin namun tidak kekal lama, apatah lagi di kalangan gen Z sekarang yang kadar perceraian kian meningkat dan ada yang diuji dengan pasangan pergi dahulu ke alam abadi.

Bertunang tetapi putus, berkahwin pula diceraikan atau pasangan meninggal dunia

Ramai antara kita mempunyai pengalaman bertunang kemudian diputuskan tali pertunangan itu tanpa rasional yang munasabah. Ramai juga yang sudah berkahwin diceraikan pula tanpa sebab yang lojik. Kes sebegini termasuk kes penganiayaan sesama manusia. Ia tidak menjadi aniaya jika sesuatu keputusan disandarkan kepada hujjah atau alasan syarak.  Justeru di dalam Enakmen Keluarga Islam terdapat peruntukan yang membenarkan tuntutan pampasan dibuat oleh mana-mana pasangan yang diputuskan pertunangan tanpa sebab sah. 

Penganiayaan berganda berlaku apabila pihak yang mahu memutuskan hubungan mengambil mudah dengan cara menghantar pesanan ringkas melalui telefon bimbit atau telefon sahaja.  Semasa mahu meminang atau bernikah, dilakukan dengan tertib, apabila tidak mahu, ibarat habis madu sepah dibuang. Tiada lagi budi bicara yang elok untuk menemui semula orang tua pasangan terutama jika pihak perempuan yang ditinggalkan.  Orang yang berakal, tinggi adab dan sihat mentalnya, jika mengambil sesuatu perkara secara baik, pasti akan memulangkan dengan cara yang baik juga.

Ada yang berseorangan apabila pasangan terlebih dahulu menyahut seruan Ilahi baik lelaki mahu pun wanita.  Berasa sedih tatkala insan tercinta meninggalkan kita merupakan anugerah, bukan musibah yang menyesakkan dada selagi ia dihadapi secara matang, reda pada ketentuan Allah serta bersangka baik pada apa sahaja pilihan-Nya untuk kita, kerana kita percaya bahawa perancangan Allah SWT adalah selama-lamanya adalah terbaik.  Tinggal lagi, kita memberi masa untuk diri sendiri dalam fasa pemulihan dengan cara move on – Tidak lagi menoleh ke belakang.  Rasulullah juga berasa sedih yang mendalam selepas suri hati Baginda SAW, Khadijah a.s meninggal dunia.  Bahkan terakam dalam sirah satu tahun yang dinamakan Tahun Kesedihan (عام الحزن) kerana Rasulullah SAW berdepan ujian kematian insan-insan yang rapat serta menjadi tulang belakang perjuangannya. Namun semua rasa sedih itu tidak sekali-kali merencatkan daya juangnya untuk meninggikan Islam.

Kisah Ummu Salamah

Seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Abu Salamah meninggal dunia setelah pulang dari perang Uhud. Ia meninggal akibat luka parah yang dialaminya. Abu Salamah meninggalkan seorang isteri, Ummu Salamah. Ummu Salamah berasa sangat sedih. Fikiran terganggu. Ummu Salamah, seorang yang intelek tidak mahu membiarkan dirinya dirundung pilu berterusan.

Ummu Salamah sedar Muhammad bin Abdullah, insan yang paling dekat dengan Allah itu masih ada. Balu dan ibu kepada anak-anak yang kematian ayah itu dinasihatkan oleh Nabi s.a.w berkenaan masalahnya. Nabi Muhammad s.a.w telah mengajar satu doa yang berbunyi seperti berikut,

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي في مُصِيبَتِي، وأَخْلِفْ لي خَيْرًا مِنْها

“Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nyalah kami akan kembali. Ya Allah, berilah pahala atas musibah yang menimpaku dan berilah aku ganti yang lebih baik darinya.”                                     

Hadis Sahih Muslim: 918

Pada waktu itu, Ummu Salamah tertanya-tanya juga siapa lagi yang lebih baik dari suaminya. Namun Ummu Salamah terus mengamalkan doa tersebut serta yakin bahawa Allah akan memperkenankan doanya.

Beberapa sahabat Rasulullah s.a.w segera melamar Ummu Salamah. Hal ini mereka lakukan sebagai tanda hormat terhadap suaminya yang telah berkorban demi Islam. Juga untuk melindungi diri Ummu Salamah. Mereka itu termasuklah Abu Bakar as-Siddiq dan Umar bin al-Khattab, tetapi Ummu Salamah menolaknya.

Kebimbangan Ummu Salamah berhubung pengganti suaminya akhirnya terjawab tatkala dilamar oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Inilah rupanya hasil doa dan kesabarannya. Kehilangan Abu Salamah telah diganti oleh Allah dengan sebaik-baik manusia yakni Rasulullah s.a.w.

Lamaran Rasulullah s.a.w itu tidak segera diterimanya. Ummu Salamah mengungkapkan kata-kata, “Sesungguhnya saya seorang wanita yang telah berusia. Saya juga memiliki anak-anak yatim dan saya seorang yang sangat cemburu. Sedangkan anda wahai Rasulullah, memiliki ramai isteri.”

Rasulullah s.a.w lalu berkata, “Adapun tentang sifat cemburu itu, maka Allah akan menghilangkannya. Adapun usia yang telah tua, sesungguhnya saya lebih tua darimu. Manakala anak-anak yatimmu, maka itu menjadi tanggungan Allah dan Rasul-Nya.”

Hilanglah rasa ralat di hati Ummu Salamah. Lalu diterima lamaran sebaik-baik manusia itu dengan rasa gembira. Status Ummu Salamah meningkat menjadi salah seorang Ummahatul Mukminin, yang telah memberikan contoh tauladan dalam menempuh mehnah hidup.

Kisah indah ini direkodkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya.

Iktibar dari Kisah Ummu Salamah

Beberapa perkara berikut adalah tip untuk mendapat ganjaran lebih baik dari Allah;

  1. Sabar tatkala diputuskan pertunangan, diceraikan atau kematian pasangan.
  2. Doakan agar mereka yang menganiaya kita mendapat hidayah.
  3. Jangan berdendam.
  4. Mohon Allah jadikan kesedihan hati sebagai kaffarah dosa-dosa yang lalu serta beristighfarlah.
  5. Elakkan mengadu sesama manusia kecuali untuk mendapatkan pandangan agama dalam masalah yang dihadapi.
  6. Serahkan urusan mereka yang menganiaya kepada Allah. Jangan sekali-kali cuba membalas perbuatan mereka kerana bimbang kita ter’over’ membalasnya. Cukuplah Allah sebagai hakim yang maha adil untuk mengadili kes mereka.
  7. Amalkan doa Ummu Salamah seperti tertulis di atas.
  8. Bersangka baik kepada Allah bahawa Allah takdirkan yang terbaik untuk kita dengan menjauhkan sesuatu yang akan lebih menyusahkan diri kita di masa-masa akan datang. Dalam masa yang sama, sebenarnya Allah mahu beri sesuatu yang lebih baik untuk kita. Dalam tempoh diuji, Allah mahu menilai tahap sabar, pasrah kita padaNya dan akhlak kita sesama manusia. Bila kita dapat melepasi pra-syarat tersebut, insya- Allah, Allah akan gantikan pasangan yang lebih baik dari yang telah hilang.
  9. Jangan berputus asa dari rahmat Allah.

Doa Ummu Salamah itulah hiburan bagi mereka yang ditimpa musibah ini. Hiburan terindah ialah tatkala melihat di alam realiti, apabila tiba saatnya Allah menunaikan doa tersebut. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Yakinilah…

NOTA: Bagi mereka yang melanggar batasan syariat Allah dalam mencari pasangan yakni ber’couple’ – disarankan bertaubat terlebih dahulu serta memperbaiki diri dengan meninggalkan larangan Allah. Insya-Allah, mereka akan dapati Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang kepada setiap hamba-Nya.

Kita bimbang, mereka tidak akan mampu mendapatkan kekasih yang lebih baik dari kekasih yang telah pergi selagi mereka hidup dalam maksiat. Jauhi maksiat, amalkan ketaatan. Nescaya hidup diberkati Ilahi.

Selamat Menyambut Ramadan 1447

Ummu Abbas
Edisi Pertama [Pernah disiarkan pada 18 Ramadan 1430H | 8 SEPTEMBER 2009]

Edisi Kedua [10 Sya’aban 1447H | 30 Januari 2026]

#Armalah Sakinah

#DasarKeluargaMawaddahKelantan

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect