Mahu Belajar Tajwid Dalam Keadaan Sibuk

Assalamu’alaikum Kak Nur, 

Saya mahu bertanya kepada Kak Nur,

Saya sudah berumur 22 tahun tapi saya masih bermasalah untuk mengaji al-Quran dengan betul.  Kalau setakat mengeja tiada masalah tapi saya bermasalah dari segi tajwid dan makhraj. 

Kadang-kadang bila nak baca al-Quran pun serba salah.  Hendak baca banyak salah tapi kalau tidak baca, rasa rindu sangat mahu baca.  Jadi saya baca juga. Walaupun saya tahu saya membaca al-Quran dengan cara tidak betul. Tambahan sekarang dengan jadual harian saya sangat padat dengan ‘exam’ dan ‘study’. 

Diharapkan Kak Nur boleh memberikan pandangan bagaimana caranya untuk saya membaiki bacaan saya. 

Salam. 

Kindaichi86

  JAWAPAN;  

Wa’alaykumussalam warahmatullah, 

Adik yang dikasihi Allah, 

Syukur kepada Allah yang melimpahkan rasa cinta pada al-Quran di sanubari adik.  Lalu adik memanfaatkan kecintaan itu dengan membacanya walaupun adik sedar kekurangan diri.  Allah menyatakan ganjaran yang bakal diberikan kepada para pembaca al-Quran di dalam surah Faatir, ayat 29 dan 30,   

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta menderma dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.  Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka.  Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).  

Sebelum Kak Nur mengutarakan pandangan terhadap masalah pokok iaitu cara membaiki bacaan al-Quran, terlebih dahulu Kak Nur ingin mengambil peluang menjelaskan berkenaan hukum membaca al-Quran dengan makhraj dan tajwid yang betul.  Ia bertujuan dikongsi pengetahuan mengenainya oleh para pembaca yang lain.  

Ilmu tajwid ialah ilmu berkenaan cara melafazkan kalimah (perkataan) al-Quran dengan betul.  Objektif belajar ilmu tajwid ialah memelihara diri dari tersalah menuturkan Kalam Allah yakni al-Quran.  Ia juga merupakan ilmu yang paling mulia berkaitan dengan al-Quran.                                                                                           

 Ilmu tajwid terbahagi kepada 2 bahagian iaitu secara teori dan amali.   

Ilmu tajwid secara teori ialah pengetahuan mengenai kaedah dan cara memperelokkan sebutan huruf sebagaimana yang telah disusun oleh pakar tajwid: seperti tempat keluar (makhraj) setiap huruf, sifat-sifatnya, hukum memanjang bacaan (hukum mad), tempat berhenti dan tempat memulakan bacaan  dan lain-lain.  Ilmu tajwid secara amali pula ialah menuturkan huruf al-Quran dan membacanya dengan betul menurut teori yang ada.  

Hukum mengetahui ilmu tajwid secara teori ialah fardu kifayah.  Maksudnya memadai ada sebahagian ummah pakar mengenainya.  Maka gugurlah tanggungjawab tersebut pada sebahagian ummah lagi.  Namun jika tiada seorang pun yang mengetahuinya, semua umat Islam menanggung dosa. 

Manakala hukum mengamalkan cara bacaan yang betul adalah wajib (fardu ain) ke atas setiap mukallaf (muslim yang sudah baligh dan berakal) yang membacanya.  Allah memberi petunjuk akan hal ini melalui ayat 4 surah al-Muzammil, ‘ Bacalah al-Quran secara tartil.  Maksud tartil  ialah membacanya dengan menunaikan hak-hak huruf al-Quran secara jelas menurut ilmu tajwid. 

Petunjuk lain yang mewajibkan bacaan yang betul ialah Allah telah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantara Jibril.  Rasulullah telah mengajar para sahabat sebagaimana malaikat Jibril mengajar beliau.  Para sahabat memindahkan pula kepada generasi selepasnya sehinggalah ia sampai kepada kita hari ini.   

Para ulama juga sepakat  (ijma’ ) menyatakan wajib membacanya dengan tajwid yang betul sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

  Kembali kepada persoalan adik, sebenarnya adik sedar bahawa adik tidak akan mampu membaca al-Quran secara tartil kecuali berusaha untuk belajar ilmu tajwid terlebih dahulu.  Masalah adik sekarang bagaimana mahu memperuntukkan masa mempelajarinya sedangkan jadual harian sudah padat.  Berdasarkan pengalaman Kak Nur sebagai mahasiswi yang bukan sahaja belajar di bilik kuliah sahaja, bahkan aktif dalam persatuan, sebenarnya ‘masa’ untuk adik belajar itu masih ada.  Apa yang penting, bagaimana kita menguruskannya dengan adil.   

Adik perlu tahu keutamaan sesuatu perkara dalam melakukan sesuatu tindakan menurut waktu-waktunya yang sesuai.  Sebagai contoh, keutamaan melakukan solat fardu dalam waktunya berbanding urusan lain.  Keutamaan mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum solat kerana wuduk syarat sah solat walaupun hukum asalnya adalah sunat.  Meskipun waktu solat hampir luput.  Contoh adik terbangun dari tidur pukul 7 pagi.  Waktu subuh habis pukul 7.05 pagi.  Adik tidak boleh bergegas bangun mencapai telekung dan terus solat tanpa berwuduk semata-mata mahu mengejar waktu. 

Kak Nur cadangkan agar adik cari dahulu rakan-rakan yang tahu dan mengamalkan bacaan al-Quran bertajwid.  Kemudian adik minta daripada mereka untuk mengajar adik secara individu pada selang waktu yang mana kedua-dua belah pihak mempunyai kelapangan.  Antara waktu-waktu yang sesuai ialah selepas subuh dan selepas maghrib.  Hadkan masa sejam atau setengah jam atau selama masa yang ada antara maghrib dan isyak.  Kalau boleh setiap hari agar adik dapat mencapai tahap pembacaan yang diterima di sisi syarak.  Selaraskan dengan jadual harian sedia ada.  Jika hari belajar, adik tidak sempat belajar selepas subuh, maka boleh pilih selepas maghrib atau bangun waktu tahajjud atau sejam sebelum subuh.  

 Kak Nur percaya, terdapat rakan-rakan yang mampu mengajar adik secara personal.  Lebih-lebih lagi ramai juga dari generasi adik yang berlatar belakang sekolah agama.  Atau mungkin juga terdapat rakan yang baik bacaannya hasil didikan orang tua di rumah.  Adik juga boleh memanfaatkan masa berbual yang kurang penting untuk belajar tajwid secara tidak formal.  Bacalah walau satu ayat yang pendek dan minta rakan betulkan makhraj dan tajwid.   

Mohonlah kepada Allah agar melapangkan hati dan jalan untuk adik berusaha.  Kemudian berusahalah tanpa rasa jemu.  Insya Allah, adik akan berjaya memperbaiki bacaan sesuai dengan tuntutan syarak. Wallahua’lam.  

Ummu Abbas©Kerana Cinta’s Weblog 2008

10.27am

18 Muharram 1429H/27 Januari 2008 

2 thoughts on “Mahu Belajar Tajwid Dalam Keadaan Sibuk

Add yours

  1. Apa yang dikatakan oleh kak nur memang betul. Sebenarnya kitalah yang perlu menguruskan masa dengan betul. Bahagikan masa mengikut kepentingan suatu perkara itu.

    Ingin saya kongsikan kepada yang bertanya, berdasarkan pengalaman saya mengajar,sebenarnya kalau kita bersungguh-sungguh dan memberi sepenuh perhatian, kita sebenarnya tidak memerlukan masa yang lama untuk belajar al-Quran. Ada sesetengah anak murid saya yang saya ajar hanya dalam masa 15 ke 20 minit sahaja.

    Kalau anda merasakan belum mahir membaca al-Quran, jangan terus dengan membaca al-Quran, saya syorkan mulakan dengan iqra’.Cari guru yang betul-betul layak. Kemudian, istiqamah dan mesti rajin mengulang semula apa yang telah kita belajar walaupun hanya sedikit.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: