Jumaat lepas tanggal 21 Mac 2008 bersamaan 13 Rabiul Awwal, bertempat di Dewan Johor, penulis dijemput membentangkan tajuk Fikah Wanita. Pihak penganjur iaitu Jawatankuasa Induk Hari Terbuka 2008, Akademi Pengajian Islam Nilam Puri telah mengkhususkan kepada beberapa tajuk berikut;
1. Haid & Istihadah.
2. Mazi, Mani & Wadi.
3. Tabarruj.
4. Merubah Sifat Asal Kejadian.
Ustazah Anisah, pensyarah di APIUM Lembah Pantai sebagai panel 1 telah membentangkan tajuk 1 dan 2. Manakala penulis membentangkan tajuk 3 dan 4.
Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran kepada Allah melihat biah solehah (suasana yang baik) adik-adik pendengar. Ceramah waktu itu khusus untuk pelajar perempuan sahaja yang mereka namakan Daurah Muslimah. Justeru tiada suasana pergaulan bebas lelaki perempuan yang teramat biasa kelihatan di mana-mana sahaja sekarang ini. Hanya beberapa pelajar lelaki yang mundar-mandir di dalam dewan berurusan dengan jawatankuasa pelajar perempuan sebelum ceramah dimulakan. Setelah urusan selesai, mereka keluar. Tinggallah kami para perempuan sahaja di dalam dewan.
Melihatkan tajuk di atas, ia sangat relevan dengan situasi yang diwujudkan. Orang perempuan secara fitrahnya terkenal dengan sifat malu. Apatah lagi mahu bertanya hal-hal sulit berkenaan diri masing-masing di hadapan lelaki ajnabi (lelaki asing yakni bukan mahram).
Pengalaman penulis mengajar di masjid USMKK sejak tahun 2001 berkenaan Fikah Wanita juga amat menyenangi suasana ini. Kuliah Fikah Wanita itu hanya untuk pelajar perempuan. Sudahlah mereka terpaksa menurut sahaja sistem pembelajaran yang mencampurkan pelajar lelaki dan perempuan baik di dalam kelas-kelas maupun di dalam kumpulan diskusi, di sini mereka mendapat sedikit ketenangan belajar Fikah Wanita sesama mereka sahaja.
Mereka juga aktif bertanya tanpa segan silu. Lebih-lebih lagi yang mengajar pun perempuan juga.
Penulis masih ingat semasa belajar di MMP (Maahad Muhammadi Perempuan), semasa di tingkatan Dua, antara subjek awal yang kami belajar ialah fikah ibadat. Fikah Ibadat ialah berkenaan cara bersuci, solat, puasa dan sebagainya terdiri dari ilmu fardu Ain.
Seorang ustaz yang terkenal di kalangan pelajar sebagai ustaz yang ‘galak’ telah mengajar subjek tersebut. Desas-desus mengatakan ustaz tersebut memang mahu mengajar fikah tingkatan Dua dek sifat ‘galak’nya tadi menjadi kenyataan. Apa lagi, kami merasa kurang senang untuk belajar dengannya. Sudahnya tiada pelajar yang suka bertanya permasalahan mereka di dalam kelas. Bila sampai ‘part-part’ seperti perkara yang membatalkan wuduk antaranya tentang hubungan intim suami isteri, lagi naik ‘miang’ si ustaz ini.
Pelajaran fikah ini sangat terbuka dalam membincangkan apa permasalahan sekalipun. Contohnya bagi pelajar yang baru baligh seperti kami, istilah ‘hubungan intim antara suami isteri’ perlu dijelaskan secara terus terang. Kami terpaksa mendengar sambil menahan perasaan malu.
Sebenarnya kalau pun ustaz yang mengajar tetapi mengajar dengan etika yang betul, tiada masalah. Namun dalam konteks sekarang yang mana ramai perempuan berilmu tinggi terutama dalam bab Fikah Wanita, maka menjadi keutamaan perempuan mengajar sesama mereka.
P- Adik-adikku, kekalkan sifat malumu. Malu yang bertempat. Insya Allah, Allah senantiasa menyintaimu.
Salam Sayang.
Ummu Abbas © Kerana Cinta’s Weblog 2008
17 Rabiul Awwal 1429H/ 25 Mac 2008
10.16am
kak nur, saya ada persoalan. saya dah mempunyai 2 orang anak. jadi kami ingin merancang kehamilan seterusnya. apakah syariat agama kita dalam merancang kehamilan?
buat pengetahuan, sekarang saya sudah merancang dengan mengambil suntikan setiap 3 bulan sekali. Kesannya haid saya tidak teratur disebabkan hormon dalam badan. Kadang-kala haid hingga lebih dari 14 hari. bagaimana hukumnya sebab saya tidak dapat bersolat disebabkan haid terlalu panjang.
Assalamu’alaykum Ratna,
Persoalan Ratna ini seharusnya dijawab secara ilmiah namun keadaan Kak Nur belum mengizinkan untuk Kak Nur buat rujukan. Namun oleh kerana persoalan kedua Ratna memerlukan jawapan segera, Kak Nur jawab dulu secara ringkas berdasarkan pengetahuan yang ada;
1. Islam mengharuskan merancang kehamilan yakni menjarakkan anak bertujuan memberi didikan terbaik kepada setiap anak. Juga bagi menjaga maslahah kesihatan ibu.
Jika kita merujuk kepada tempoh menyusu dalam Islam yakni 2 tahun atau 2 tahun setengah bagi setiap bayi, maka dapat difahami jarak yang paling sesuai antara dua kelahiran ialah berdasarkan tempoh tersebut.
Menurut pemerhatian Kak Nur berdasarkan pengalaman sendiri dan juga rakan-rakan, ada hikmahnya tempoh 2 tahun atau 2 tahun setengah jarak usia antara dua anak. Antaranya ialah emosi anak-anak lebih stabil kerana mendapat perhatian yang secukupnya bagi awal usia mereka. Jika lebih dari tempoh itu, emosi anak-anak akan menjadi terlebih manja dan agak mementingkan diri sendiri. Jika kurang daripada itu, emosi anak-anak cenderung merasa hina diri dan kurang diberi perhatian.
Ratna boleh rujuk kajian psikologi kanak-kanak jika mampu berbuat demikian.
Selain kesan emosi, bayi yang menyusu dalam tempoh yang ditentukan syariat juga lebih sihat tubuh badannya.
Ratna boleh rujuk dari sumber-sumber lain mengenai hal ini terutama tentang kebaikan bayi menyusu dari ibunya hasil kajian perubatan.
Apa yang perlu dielakkan ialah merancang kehamilan kerana takut miskin. Ia disebut di dalam al-Quran. Setiap rezeki manusia sudah ditetapkan oleh Allah. Jadi kita tidak perlu risau akan hal ini.
2. Berkenaan haid yang datang tidak teratur, tempoh maksimum haid ialah 15 hari. Jadi Ratna perlu mandi janabah dan bersolat selepas 15 hari. Darah yang keluar selepas 15 hari dikira istihadah. Kemudian kira 15 hari untuk tempoh maksimum suci. Jika selepas tempoh itu masih keluar darah, maka ia dikira haid semula. Begitulah seterusnya.
Cara melakukan solat dalam keadaan keluar darah ialah, bersihkan dahulu darah yang keluar selepas masuk waktu solat. Pakai tuala wanita yang bersih, ambil wuduk dan terus solat. Darah yang keluar dalam tempoh menyucikan diri untuk menunaikan solat itu dimaafkan. Ia juga tidak membatalkan solat tersebut. Untuk kes seperti ini, satu wuduk untuk satu solat fardu sahaja.
Selesai solat fardu, Ratna boleh melakukan perkara sunat seperti solat sunat, memegang mashaf al-Quran, membaca Quran dan lain-lain tanpa perlu mengulang wuduk. Kecuali terdapat perkara yang membatalkan wuduk yang biasa seperti membuang air kecil, qada hajat, kentut dan lain-lain, maka Ratna perlu mengulang wuduk untuk melakukan perkara sunat tersebut.
Wallahua’lam.