Al-Fatihah Buat Moyangku, Wan Lijah

Allah memberitahu kita dalam surah Ali Imran ayat 185, “ Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.“

Allah ingatkan lagi diri kita dalam surah al-Anbiya’ ayat 35, “Setiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

Tanggal 14 Ramadan 1429H bersamaan 14 September 2008, kira-kira jam 2.30 tengahari, moyang saya meninggal akibat terjatuh di tangga hadapan rumahnya. Beliau jatuh kira-kira jam 9.30 pagi dan terus tidak sedarkan diri. Kepalanya pecah dan mengalami banyak pendarahan. Beliau di bawa ke Unit Kecemasan, Hospital Kota Bharu dan meninggal di situ juga. Abah saya membawa pulang mayat ke rumah kira-kira jam 6 petang.

Saya tiba untuk melawat jenazah seusai orang berterawih di masjid kira-kira jam 10.00 malam. Jenazah baru selesai dimandikan. Saya menatap wajahnya yang seperti tidur sahaja. Bibirnya seolah-olah menguntum senyum. Masih ada darah cair yang meleleh keluar dari hujung bibirnya. Masya Allah! Saya teringat berkenaan orang-orang yang mati syahid dikatakan darah mereka masih hidup walau selepas meninggal dunia. Saya belum sempat membuat rujukan buat masa ini untuk topik tanda-tanda mati syahid. Faktor-faktor syahid, kita mungkin biasa dengar antaranya ada kategori syahid dunia dan syahid akhirat.

Saya sedang sibuk mengemas kerana berpindah ke rumah baru. Buku-buku rujukan 99% sudah masuk kotak. Saya juga ingin merujuk tentang kelebihan orang yang meninggal dalam bulan Ramadan. Justeru Ramadan membelenggu para iblis dari menganggu anak-anak Adam beribadah. Kalau begitu, iblis tiadalah untuk memujuk rayu ruh di ambang sakaratul maut ye! Betul ke? Juga dikatakan, pintu-pintu syurga terbuka luas di bulan yang mulia ini.

Alhamdulillah, mudah sahaja moyang saya bertemu Tuhan. Saya memanggil dia dengan sebutan ‘Mok Joh’ (Mak Jah bagi orang luar Kelantan). Mok Joh merupakan moyang tiri saya tapi hubungan kami mesra. Lebih-lebih lagi Mok Joh tukang urut saya semasa saya bersalin anak sulung dan anak kedua. Semasa bersalin anak ketiga dan seterusnya, ingatan Mok Joh kurang baik walaupun beliau masih mampu mengurut. Jadi, ibu saya tidak menggalakkan saya mengurut dengan beliau lagi. Bimbang urat lain yang sakit, urat lain pula yang dipicitnya. Meskipun jauh di sudut hati, saya masih mahu bermanja dengan Mok Joh.

Beliau juga setiap hari keluar berjalan kaki ke sana ke mari di kampung itu. Dia ada 2 orang anak dengan moyang saya, Wan Ali tapi kedua-duanya meninggal semasa kecil. Hmm… dua orang anaknya sudah menanti di syurga, insya Allah. Hanya seorang anak angkat perempuan yang tinggal bersama beliau.

Saya mengucup dahi dan pipi jenazah sebelum bangkit untuk pulang. Itulah penghormatan terakhir yang sempat saya berikan. Sebelum ini, saya sempat tolong mandikan jenazah dua orang nenek saya. Ibu kandung kepada ibu saya namanya Maryam dan ibu tiri kepada bapa saya merangkap guru Quran saya namanya Wan Habsah. Moga-moga ruh kalian ditempatkan bersama ruh para nabi dan orang-orang soleh yang lain. Amin.

Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2008
16 Ramadan 1429H/16 September 2008
5.00am

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: