10 Akhir Ramadan Di Jordan

Tajuk ini sudah terlewat dari tarikhnya. Namun saya fikir ia akan memberi manfaat buat ummat menyambut Ramadan akan datang. Saya pun tidak tahu adakah saya berkesempatan menghirup udara Ramadan 1430 Hijrah nanti. Kemungkinan saya dijemput tunangan (baca: mati) saya sebelum sempat saya mencoret tajuk ini. Justeru biarlah saya melakarkan secebis pengalaman baik menyambut Ramadan bersama warga Bumi Anbiya’, Jordan.

Dalam entri saya sebelum ini, saya singgung sedikit berkenaan keadaan saya yang dalam proses berpindah rumah. Bagi suri seperti saya yang punya anak-anak yang masih kecil, sebulan rupanya terlalu singkat untuk selesaikan urusan mengemas rumah seorang diri. Dalam menguruskan kerja harian (Insya Allah gajinya hanya Allah yang layak membayarnya), pelbagai judul artikel dan juga buku menerjah di kepala. Belum lagi dicampur dengan soalan-soalan melalui SMS dari anak-anak gadis saya di USMKK. Teringin benar melayan persoalan mereka dengan penuh ilmiah dan isi yang tersusun rapi namun masa saya sering dicemburui. Aduh! Panjang pula mukaddimah saya.

Hmm… menyaksikan gaya warga muslim Malaysia meraikan 10 akhir Ramadan, saya terkenangkan warga Jordan khususnya para mahasiswa Universiti of Jordan, Amman, Jordan. Orang kita masih istiqamah dengan pelbagai persiapan menyambut raya dari baju barunya, langsir dan perabot barunya, duit baru untuk di’tauzi’ (dibahagi) kepada kanak-kanak hinggalah kuih-muihnya. Gaya ini tidak berubah walau negara dilanda bencana ekonomi gawat. Mungkin yang berubahnya hanyalah bajet yang dikurangkan.

Rumah-rumah kita juga bertambah ceria untuk menyambut Aidilfitri. Berbeza di Amman, Jordan, pada 10 akhir Ramadan, muslim di sana berkampung di masjid-masjid. Mereka membawa bekal sekali untuk bersahur dan sebagainya. Masjid-masjid di sana meriah dan ceria hebat menjelang 10 akhir Ramadan.
Mereka lelaki dan perempuan, tua dan muda pakat-pakat beriktikaf sepanjang malam sambil bertahajjud, membaca al-Quran dan berzikir. Mereka benar-benar maksudkannya yakni merebut malam Al-Qadr (Lailatul Qadr). Kelaziman binaan masjid di sana pula menyediakan ruang solat wanita di tingkat atas dan untuk lelaki di aras bawah. Maka mereka dapat privasi masing-masing tanpa berlaku ikhtilat yang diharamkan oleh Islam.

Saya pernah menyertai mereka di Jami’ Jami’ah (Masjid Universiti of Jordan). Seronok dan meriah sekali. Ruang masjid penuh dengan mereka yang mahu menghidupkan 10 akhir Ramadan dan mencari Lailatul Qadr.

Alhamdulillah di Malaysia, sedikit sebanyak terdapat perubahan di masjid-masjid terutama di Kelantan yang menganjurkan solat tahajjud pada 10 akhir Ramadan. Masjid di belakang rumah baru saya sekarang tidak ketinggalan dari menurut arus positif ini. Jam 4 pagi, saya dapat mendengar suara imam membaca ayat-ayat al-Quran di keheningan Ramadan yang qudus.

Moga sinar rumah Allah (masjid-masjid) di Bumi Malaysia bertambah gemilang dan cemerlang kemilaunya. Sinar yang menjanjikan cahaya Islam yang bakal memenuhi hati setiap penghuninya yang sedang bertranformasi pemegang tampuk khalifah. Allahuakbar! Walillahilhamd.

Ummu Abbas© Islam Itu Indah 2008
12.45am.
16 Syawal 1429H/ 16 Oktober 2008

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: