Nota: Catatan di bawah merupakan perancangan saya untuk menjadikannya sebuah buku, moga diizinkan Allah. Saya paparkan di sini catatan-catatan yang sudah lama dibuat namun belum siap di blog ini sementara saya sedang sibuk sekarang. Moga mendapat manfaat. Amin.
Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang Lagi Maha Mengasihani

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
Al-Hajj (22):46
Ayat ini menjadi pemangkin dalam setiap langkah saya berkelana di mana jua bumi Allah ini. Sama ada dalam negeri maupun di luar negara.
Catatan pada jam 3.30pm, 9 Sept 07
Tanggal 10 Mei 2007, berangkatlah saya sekeluarga ke Bumi Kangaroo. Sebenarnya di saat akhir sebelum tiba tarikh tersebut, saya semakin ‘malas’ ikut suami ke sana. Kos perjalanan, tempat tinggal, sara hidup di sana yang membebankan menimbun simpati pada suami. Anak-anak kami juga mencecah ke lima orang pada masa itu. Kandungan saya masuk minggu ke 25. Alahan pula masih mengiringi kehamilan. Anak-anak berusia 8,7,4 dan 2 tahun pula sudah cukup memenatkan saya untuk mengurusi mereka walau berada di rumah. Inikan pula mahu bermusafir nun jauh ke selatan dalam keadaan hamil pula. Perjalanan udara memakan masa 8 jam ke Sydney merisaukan suami bagaimana mahu ‘handle’ 3 hero dan 1 perempuan yang sedang lasak dalam ‘flight’ nanti.
Pengalaman musafir sebelum ini ke negara non-muslim tidak banyak. Hanya pernah ke Bangkok selama 1 minggu. Cukup sekadar pusing-pusing bandar Bangkok sahaja. Namun kali ini, suami akan bermastautin selama 12 minggu. Satu tempoh melebihi had kalau sekadar mahu lihat dan kenal negara orang. Lagi pula, saya tidak pernah berenggang dengan suami selama itu. Paling lama 3 minggu. Dalam keadaan kandungan semakin sarat. Saya pula tiada pembantu di rumah. Sukar juga mahu meneruskan kehidupan sendirian di rumah. Dilema saya dibuatnya.
Mendengar nama Australia saja kurang menarik minat saya untuk menjelajahinya. Manakan tidak, pengalaman menjelajah Bumi Anbiya’ (negara muslim) sebelum ini, membuatkan saya membanding-bandingkan antara negara tersebut. Bumi Anbiya’ banyak kesan sejarah Islam yang boleh diterokai dan diambil iktibar peninggalan para nabi dan kaum mereka. Habitat Beruang Koala ini menjanjikan apa buat saya? Sementelah Islamofobia sedang melanda hebat benua Amerika, Eropah dan negara-negara yang sewaktu dengannya rentetan tragedi 11 September 1998 di USA. Kuasa-kuasa besar tersebut sedang mengadakan kawalan ketat di pintu masuk ke negara mereka. Kawalan ketat terhadap setiap insan bergelar muslim yang dituduh sebagai ‘terrorist’. Melalui nama ‘Islamic’ saja boleh membuatkan seseorang itu di tahan dan disuruh pulang begitu sahaja ke negara asal mereka. Walhal mereka mungkin telah melalui perjalanan 24 jam untuk sampai ke destinasi. Nama anak-anak pula ada yang bermula dengan Ahmad dan Abdullah.
Saya yang sentiasa berjilbab penuh turut menimbulkan rasa bimbang di hati suami. Bimbang ditahan imigresen. Sempat juga saya ingatkan suami bahawa semua hati manusia dipegang Allah SWT. Mudah saja Allah lembutkan hati mereka supaya memudahkan urusan dengan kita walau mereka sejahat mana sekalipun. Mengambil contoh As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin di Palestin. Beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sejahat-jahat kaum di dunia hari ini yakni Yahudi (zionist). Merengkok dalam penjaralah beliau dalam keadaan cacat. Namun akhirnya beliau menemui syahid di luar penjara yakni setelah dibebaskan dari penjara. [ Itu belum lagi melihat iktibar sedahsyat manusia mengaku tuhan yakni Firaun. Setelah habis dibunuh kanak-kanak lelaki, berdepan dengan Musa a.s, beliau tewas pada kehendak Allah SWT yang mahukan Musa a.s membesar di depan batang hidungnya sendiri. Siapa yang melembutkan hati mereka kalau bukan Allah SWT? Kehendak dan kuasa siapakah yang mendahului dan terlaksana?]
Perkara lain yang turut membantut minat saya ke negara-negara kuffar ialah cara hidup mereka: Pergaulan bebas dan pakaian mereka yang tidak bertamaddun serta cara mereka menilai Islam dan ummatnya. Kalau pun ada cita-cita menjejakkan kaki ke bumi non-muslim hanya 2 negara yang saya minat yakni Sepanyol dan China. Itu pun diasaskan sejarah Islam yang pernah bertapak di sana. Minat saya mendalami kesan sejarah Islam. Kalau atas tujuan dakwah dan islah, di tanah air sendiri kekurangan tenaga. Aula bagi saya mencurah bakti di negeri sendiri.
Penghujung Mei, Jun, Julai pula menjanjikan musim dingin di Australia. Saya yang pernah tinggal 5 tahun di negara 4 musim yakni Jordan semakin ‘malas’ untuk pergi. Ada orang suka musim sejuk tetapi saya tidak. Kalau musim bunga dan musim luruh, boleh tahan. Dilema sungguh. Saya buntu mahu ikut suami atau tidak. Walau tiket pergi balik siap dibeli. Namun masih boleh dibatalkan. Pemergian kami sekeluarga juga memaksa semua simpanan wang turut pergi bersama kami. Saya yang tidak bekerja risau juga kalau terjadi apa-apa pada suami, bagaimana harus saya teruskan hidup. Maksud saya bekalan sementara yakni jangka pendek. Sempat juga saya merujuk beberapa sahabat mohon pandangan. Satu pandangan sahabat sangat bermakna buat saya. Dia mengingatkan saya jika tujuan kita adalah iman dan taqwa, maka bertawakkallah kepada Allah. Setelah itu saya beristikharah. Hadis yang dilaporkan oleh Anas bin Malik sentiasa menjadi panduan hidup, kata Rasulullah SAW,
” ما خاب من استخار ، ولا ندم من استشار ”
Maksudnya; Tidak akan binasa sesiapa yang beristikharah dan tidak akan menyesal sesiapa yang berbincang (bermesyuarat) “
Alhamdulillah, hati tenang untuk meneruskan musafir. Kalamullah dari ayat 159, surah Ali Imran meneguhkan lagi pendirian saya,
“ Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka berserahlah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”
Pengalaman demi pengalaman berhadapan situasi gawat sebelum ini membuatkan saya ‘kalih’ dengan keadaan ini. “ Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan menunjukkan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah). Sesiapa berserah diri sepenuhnya kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” Kalamullah dari ayat 2 dan 3 surah al-Talaq itu menyirami hati yang dambakan redaNya. Iya… bukan sekali dua Allah menepati janjiNya melalui kalam tersebut… bahkan beberapa kali ia terbukti di halaman kehidupan saya. Justeru keyakinan sudah tersedia dalam diri saya untuk menuruti kehendakNya.
…bersambung…
Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2008
12.41am.
3 Ramadan 1428H