Pilih Bekas Suami Atau Ibu Bapa?

Assalamu’alaykum wbh,

Pembaca budiman,

Di bawah ini ialah persoalan yang dikemukakan oleh salah seorang saudara kita seakidah. Saya berusaha memberi pandangan setakat ilmu dan pengalaman yang ada. Sekiranya para pembaca mempunyai pandangan sendiri dan mungkin lebih baik, saya mempelawa saudara/saudari untuk turut membantu. Allah jua sebaik-baik pemberi balasan.

Pernikahan merupakan jalinan cinta dan tanggungjawab.  Gambar hiasan
Pernikahan merupakan jalinan cinta dan tanggungjawab. Gambar hiasan

Soalan dari Muslimah;

Assalamualaikum Kak Nur,

Saya ingin meminta pendapat dan pandangan kak Nur tentang masalah yang saya hadapi kerana saya sudah tidak tahu apakah cara saya untuk menyelesaikan masalah ini.

Saya mendirikan rumahtangga pada bulan Februari 2007 atas dasar suka sama suka. Semasa tempoh pertunangan kami sering bergaduh sampai ada satu ketika tunang saya pun hairan kenapa kami sering selisih faham pasal perkara-perkara kecil. Kadang kala dia memberitahu saya yang apabila berjumpa atau bercakap dengan saya dia akan rasa nak marah aje dengan saya. Walaupun sering bergaduh akhirnya kami dapat juga berkahwin.

Selepas bernikah, kami tidak dapat bersama kerana saya tidak bernafsu langsung dengannya dan menyebabkan saya mengalami kesakitan dan suami tidak dapat meneruskan niat untuk bersama dengan saya. Pada masa yang sama, setiap kali ingin bersama, saya ternampak bayangan lelaki yang saya tidak kelihatan wajahnya. Setelah 2 minggu mencuba, akhirnya suami saya mengamuk dan marah kerana tidak dapat bersama dengan saya, dan enggan memberi nafkah kepada saya. Di awal perkahwinan, kami tinggal berasingan, suami di KL dan saya tinggal bersama keluarga di Perak. Suami tidak pulang, tetapi saya yang pergi ke KL untuk berjumpa dengannya. Setiap kali mencuba utk bersama, saya akan menjerit kesakitan, dan suami tidak dapat meneruskan niatnya sampai pernah suami memukul saya kerana tidak dapat melepaskan tuntutan batinnya. Perkara ini berlanjutan sehingga 4-5 bulan. Saya pergi berubat ke merata-rata tempat, yang kebanyakkan mereka mengatakan yang nafsu saya dikunci untuk suami dan suami juga telah dibomohkan orang. Suami semakin dingin dengan saya dan tidak mahu pulang ke rumah mertua, menyebabkan keluarga saya marah serta mula membencinya. Akhirnya pada bulan Julai 07, kami dapat bersama tetapi suami seakan2 tidak puas dan masih bersikap dingin dengan saya. Saya semakin tertekan dan kami selalu bergaduh. Saya minta diceraikan tetapi suami enggan.

Terjadi satu peristiwa di mana, saya telah pergi ke rumah jiran utk majlis pertunangan tanpa izinnya. Suami marah dan saya enggan menjawab panggilannya lalu dia menelefon ayah saya dan telah terjadi pergaduhan di mana dia telah memarahi bapa saya.

Sejak kejadian itu, bapa dan keluarga saya semakin membencinya. Sehingga pada suatu hari, saya membaca mesej daripada seorang perempuan pada handphone suami. Suami tidak mengaku mempunyai apa2 hubungan dgn perempuan tersebut. Saya tidak puas hati lalu menelefon perempuan tersebut. Perempuan tersebut mengaku hubungan mereka rapat, dan saya telah pergi ke rumah ibu mertua saya (pada masa itu suami ada di sana) selepas habis kerja (Waktu malam, dalam pukul 11.00 malam) minta suami ceraikan saya. Dia tidak mahu ceraikan saya dan menafikan ada hubungan istimewa dengan perempuan tersebut dan bertindak balik ke KL pada malam itu juga. Setelah itu bapa saya masuk ke rumah ibu mertua saya dan meluahkan segala perasaannya termasuk mengeluarkan kata-kata kesat yang telah melukakan hati ibu mertua saya. Malah saya akui ada kata-katanya yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang lelaki matang sepertinya.

Keesokan harinya, bapa membawa saya berjumpa peguam untuk memfailkan cerai. Saya hanya menurut sahaja. Selepas kejadian itu, permohonan pertukaran saya diluluskan ke KL. Setelah menfailkan permohonan perceraian, suami menghubungi saya untuk bertemu dan berbincang. Suami bersumpah di depan saya dengan memegang Al Quran, yang dia tidak ada apa2 hubungan dgn perempuan tersebut. Saya ragu2 untuk mempercayainya. Saya meminta suami menelefon bapa dan seterusnya meminta berjumpa dan memohon maaf. Tetapi suami tidak jadi menghubungi bapa kerana keluarga terutama kakak2nya tidak mengizinkan. Alasan mereka bapa saya telah menghina keluarga mereka pada malam itu. Mereka juga tidak mahu suami menghubungi saya dan tidak dapat menerima saya lagi dan keluarga. Keluarga saya juga melarang kami bertemu dan tidak mahu menerima suami saya lagi.
Kami bertemu secara sembunyi2 kerana tentangan keluarga.

Kami masih saling menyayangi satu sama lain. Saya menggugurkan permohonan cerai tersebut dan meminta suami supaya tinggal bersama walaupun keluarga kami menghalang. Suami enggan kerana bapa saya telah menghina keluarganya tambahan pula kakaknya sering memantau pergerakannya dan sering menghantar sms mengingatkan dia agar jangan teruskan hubungan dengan saya. Keluarga saya semakin mendesak untuk saya menfailkan balik permohonan cerai kerana suami masih tidak mahu menjalankan tanggungjawabnya di samping perasaan benci yang semakin menebal. Saya semakin tertekan dan memberi kata dua pada suami, samada dia failkan perceraian atau saya yang akan failkan semula perceraian. Setelah berbincang, kami telah bersetuju untuk bercerai,

Saya ingat setelah bercerai segala-galanya akan berakhir, tetapi saya tidak dapat melupakan suami saya. Bahkan saya merinduinya. Suami juga mengakui masih sayangkan saya dan tidak dapat melupakan saya. Suami mengajak rujuk semula, saya enggan kerana tahu yang keluarga saya dan keluarganya tidak akan dapat menerima kami lagi. Tetapi setelah berpisah, jiwa saya rasa begitu tersiksa, saya tidak dapat melupakannya. Saya ada melakukan solat istikharah, dan saya rasakan saya mahu menerimanya kembali. Dua hari sebelum habis idah, kami telah rujuk semula tanpa restu dan pengetahuan kedua2 belah pihak. Sejak rujuk semula, dua bulan yg lalu, kami berjumpa secara sembunyi2, dan saya perhatikan yg suami sudah mula berubah. Beberapa hari menjelang hari raya aidilfitri yg lalu, suami ada menyatakan hasrat untuk berjumpa keluarga saya dan meminta maaf dan berharap keluarga saya dapat menerima dia kembali. Kami berhasrat untuk membina perkahwinan kami yang telah hancur. Saya menyatakan hasrat tersebut kepada ibu saya. Pada mulanya ibu tidak setuju kerana takut dia mensia-siakan saya lagi tapi akan cuba berbincang dengan bapa. Bila ibu sebut aje nama suami, bapa saya menjadi terlalu marah sampai tidak mahu lagi nama tersebut disebut dalam keluarga kami dan jika saya kembali kepada suami saya, saya akan dibuang keluarga. Saya rasa begitu kecewa. Adakah saya tidak wajar memaafkannya dan memberi peluang untuk dia membuktikan yang dia suami bertanggungjawab?

Pada saat ini, saya rasa betul2 tertekan. Tidak tau apa yang perlu saya lakukan. Sejak kecil, saya tidak pernah melawan cakap ibubapa saya dan sekarang, saya terpaksa membuat pilihan yang saya tidak mampu lakukan. Saya tidak nampak jalan keluar dari masalah ini. Selepas kami rujuk kembali, saya sering solat hajat dan istikharah untuk dapat petunjuk. Setiap kali selepas solat perasaan saya tetap tidak mahu berpisah dengan suami. Tetapi apabila melihat kepada realiti yang berada di hadapan saya, perkahwinan kami tidak mungkin direstui.

Saya benar2 keliru, adakah istikharah saya itu tidak benar, maksud saya adakah dipengaruhi oleh perasaan saya atau adakah saya patut teruskan dengan perkahwinan ini? Atau adakah lebih baik kami berpisah? Tapi bagaimana dengan penerimaan keluarga saya? Saya tidak sanggup kehilangan kedua2nya. Buat pengetahuan Kak Nur, ibu mertua saya masih sayangkan saya cuma dia tidak dapat menerima tindakan bapa saya yang menghinanya. Saya harap Kak Nur dapat membantu saya kerana saya sudah tidak mampu nak tanggung masalah ini lagi. Saya berterima kasih pada Kak Nur kerana sudi membaca masalah ini dan minta maaf kerana email ini terlalu panjang dan mengambil masa Kak Nur untuk membacanya.

Wassalam

Jawapan;

Wa’alaykum salam wbh,

Muslimah yang dikasihi Allah,

Pertamanya Kak Nur mohon maaf kerana hari ini baru buka blog dan terlihat persoalan yang dikemukakan di sini. Insya Allah, Kak Nur akan memberi pandangan berdasarkan sedikit ilmu yang ada dan juga pengalaman kawan-kawan yang hampir serupa dengan masalah Muslimah.

أبغض الحلال إلى الله تعالى الطلاق

” Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah Talak.” Maksud hadis yang direkodkan oleh Abu Dawud. Islam juga membataskan talak sehingga tiga kali. Dua kali talak yang pertama boleh dirujuk semula kerana Allah mahu memberi peluang suami isteri bermuhasabah, memperbaiki kelemahan diri seterusnya menghadapi masa depan dengan lebih optimis.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Namun setiap insan juga mampu memperbaiki diri dengan menambah ilmu di dada serta senantiasa mengharapkan pertolongan dari Allah. Allah juga menganjurkan kita supaya saling memaafkan antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi orang yang pernah melakukan kesilapan pada kita memohon maaf dan menzahirkan penyesalannya. Lagikan Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Surah Ali Imran, ayat 133 dan 134 menyebut,

” Dan bersegeralah kamu menuju keampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang keluasannya meliputi seluruh langit dan bumi. Ia disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

” Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya semasa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Allah mengasihi orang-orang yang beramal perkara-perkara yang baik.”

Berdasarkan prinsip perkahwinan dan konsep persaudaraan yang dinyatakan di atas, Kak Nur setuju Muslimah meneruskan ikatan perkahwinan sedia ada.
Lebih-lebih lagi Muslimah sendiri nyatakan bahawa Muslimah sudah solat hajat dan solat istikharah memohon petunjuk dari Allah.

Anas bin Malik melaporkan, kata Rasulullah SAW,
” ما خاب من استخار ، ولا ندم من استشار ”

Maksudnya; Tidak akan binasa sesiapa yang beristikharah dan tidak akan menyesal sesiapa yang berbincang (bermesyuarat) “

Muslimah sudah pun memenuhi anjuran pertama hadis di atas. Adapun anjuran kedua, persoalan yang dikemukakan kepada Kak Nur ini termasuk dalam kategori berbincang. Cuma dengan keluarga Muslimah, Kak Nur lihat ia perlukan sedikit masa untuk meredakan rasa kecewa dan marah terhadap perkara yang sudah pun berlaku. Lagi pun, perkahwinan itu direstui dari awal sehinggalah timbul masalah seperti yang dinyatakan.

Sebenarnya, setiap orang yang pernah menyinggung hati orang lain perlu bersikap merendah diri kepada Allah dengan memohon maaf sesama insan yang pernah disakiti. Tidak hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar. Kak Nur sendiri biasa memohon maaf dari anak-anak walau usia mereka 9, 8, 5 dan 3 tahun apabila terlebih marah dan sebagainya, yang mana Kak Nur sedar ia adalah kesalahan Kak Nur sendiri. Tidak tenang hidup dengan dosa terhadap manusia, lebih-lebih lagi kepada Allah.

Setiap orang yang wujud di sekeliling kita adalah amanah dari Allah. Mereka ada hak ke atas kita dan kita juga ada hak ke atas mereka. Sebaik-baik manusia ialah yang memainkan peranan masing-masing ke tahap terbaik dan memaafkan kelemahan orang lain dalam memenuhi hak-haknya.

Ada lagi yang Kak Nur ingin sentuh di sini namun masa kurang mengizinkan. Kak Nur utamakan permasalahan yang paling akhir dihadapi oleh Muslimah. Berkenaan dengan penyakit yang pernah timbul, Kak Nur syorkan sentiasa berubat dan mencari penawar sehingga ia benar-benar pulih seperti sedia kala. Ramai juga sahabat-sahabat Kak Nur yang pernah menghadapi masalah yang sama. Alhamdulillah, setakat ini mereka berjaya mengatasinya dan masih bahagia hingga sekarang dengan perkahwinan masing-masing.

Kak Nur harap Muslimah berpuas hati dengan respon yang tidak seberapa ini. Jika masih ada kekeliruan, boleh anjurkan lagi persoalan.

Oh ya…sebelum terlupa, bersumpah (al-Yamin) dalam Islam hanya dengan lafaz Wallahi, Wabillahi dan Watallahi. Tidak sah sumpah dengan al-Quran kerana ia tiada dalam prinsip kehakiman Islam. Apa pun, yang penting lazimi bercakap benar dan jauhi dari sikap suka bersumpah. Bimbang sumpah memakan diri.

Wallahu’alam.

al-Faqiirah ila Rabbiha,
Ummu Abbas

5 Disember 2008

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: