Minggu lepas.
Pagi itu mood Aziz agak kurang baik. Nasi goreng kegemaran sekeluarga tidak dapat menarik seleranya. Biasanya dia suka tetapi pagi itu ada sesuatu yang lain lebih menarik. Dia sudah cek dalam peti sejuk sebelum kami mula sarapan.
Seusai menghidang, kami mengadap rezeki dari Allah bersama-sama. Aziz dengan muka ‘moyok’ mengasingkan diri. Dia duduk sahaja di atas sofa di bawah tangga, wajahnya menghala ke arah kami di ruang makan bersebelahan ruang tangga.
Sambil menyuap nasi dan melayan anak-anak, saya mencuri pandang melihat Aziz. Saya memang tidak selesa jika ada anak-anak yang tidak berselera untuk makan. Abbas yang duduk di antara saya dengan Aziz bertanya;
“Kenapa Ummi tengok Abbas?”
“Walaupun wajah Ummi mengadap Abbas tapi anak mata [Pupil] Ummi melihat Aziz.”
“Abbas nampak Ummi tengok Abbas.”
“Kita melihat menggunakan anak mata yang kecil dalam mata hitam. Anak mata Ummi fokus pada Aziz.” Jelas saya lagi.

“Anak mata kita ni akan mengecil di waktu siang dan membesar di waktu malam bergantung pada kadar cahaya yang ada.” Saya menambah keterangan mengenai mata.
Abbas dan Azzam tekun mendengar syarahan saya sambil makan.
“Hebatkan kejadian mata kita?”
Abbas dan Azzam mengangguk sambil tersenyum.
“Siapa sebenarnya yang hebat?” Pancing saya lagi.
“Mata kita hebat.” Beritahu Azzam yang berusia 8 tahun.
“Tuhan.” Abbas yang berumur 9 tahun menjawab perlahan seperlahan suapannya untuk kali ini.
Alhamdulillah, Ya Allah…Engkaulah yang mencerdaskan minda anak-anakku. Moga kecerdasan itu dimanfaatkan untuk mengenali dan terus mengenaliMu secara lebih mendalam.
‘Iya…betul, Allah yang menjadikan mata itulah Yang Maha Hebat.” Saya mengesahkan jawapan Abbas.
Aziz sudah bangun dari kerusi. Aziz berdiri sambil menyandarkan bahu kanannya ke dinding. Wajahnya mencuka. Abi mereka yang suka bergurau menegur , “Kenapa Aziz? Moyok je ni?”
“Ummi, Aziz nak sosej.” Beritahu Aziz yang berusia 5 tahun.
“Ok. Nanti Ummi buatkan.”
Al-Faqiirah Ila Rabbiha,
Ummu Abbas
11 Zulhijjah 1429H
12.20am