Buku Ketiga: Pengalaman menulis dalam masa 3 hari

Alhamdulillah, semua pujian hanya untukNya. Dia yang melorongkan peluang dan Dia jugalah yang melapangkan dada memenuhi peluang yang terbentang di depan mata. Apabila Allah tetapkan sesuatu itu rezeki kita, maka tiada siapa pun yang mampu menghalangnya atau memesongkannya ke arah lain… dan sebaliknya.

Pujian bagiMu Tuhan yang menzahirkan kekuatanMu saban masa padaku, selagi aku mahu berfikir dan menetapkan hati untuk menghadapMu hingga ke akhir hayatku. Juga menetapkan hati untuk tidak lagi memandang dunia dan segala isinya yang bagaikan fatamorgana.

Alhamdulillah, tanggal 14 Zulhijjah 1429H/ 12 Disember 2008, baru saya selesai menulis buku kedua. Ia melangkau ‘deadline’ yang saya dan Kak Cik sama-sama setujui. Namun oleh kerana kami merancang menerbitkan sendiri dengan biaya dari Tahfiz Darul Furqan, maka kami bebas menentukan bila ia akan berada di pasaran. Kami berusaha menjaga kualiti isi dan sumber rujukan yang muktabar, justeru kami rasa tidak perlu terburu-buru. Kami terpaksa membahagi masa yang sedia padat dengan buku ini. Insya Allah, apabila ia akan dipasarkan nanti, saya akan bagi intro buku tersebut di blog khusus untuk buku.

*****************

Sabtu 15 Zulhijjah, saya demam. Mungkin kesan saya menumpukan perhatian pada buku kedua. Saya mengejar masa untuk daftar PhD sebenarnya. Alhamdulillah, suami sudi membantu menyiapkan proposal.

Malamnya, datang sms dari Kak Cik meminta saya menulis satu ‘Kutaib’ – itu istilah bahasa Arab yang bermaksud buku mini atau ‘booklet’.
Melihat tajuknya saya spontan setuju apatah lagi hanya 50 mukasurat yang dikehendaki. Saya kemudian bertanya,

‘ Deadline nya bila?’

‘ 3 hari.’

Entah kenapa, dada terasa lapang untuk mencuba. Menyiapkan buku kecil setebal 50 halaman dalam masa 3 hari? Mampukah saya?

Saya mula membuat penyelidikan malam itu juga. Saya buat carian di internet isu-isu berkaitan tajuk. Keesokannya, saya mula menulis. Saya harapkan bantuan Allah semata. Memang ya… terasa benar pertolongan Allah itu sangat dekat. Saya berusaha untuk khusyuk dalam solat setakat terdaya dan memelihara hati dari lalai. Pun begitu, banyak juga terlalai. Segera istighfar dan kembali pada zikrullah. Saya mahu rasa kehadiranNya dalam kerja-kerja saya. Dialah pendamping terbaik saya. Hanya Dia satu-satuNya ‘Bank Ilham’ buat saya.

Rujukan yang diperlukan mudah dicari. Cuma ada satu buku Yusuf al-Qaradawi berjudul Pengantar Pengetahuan Islam agak lewat saya menemuinya. Ia sangat penting buat saya. Saya memuhasabah diri. Apakah dosa-dosa saya hingga ia agak terhijab sedikit. Sedangkan sebelumnya, mudah saja saya menemui fakta-fakta yang diperlukan. Bila saya buka indeks lafaz al-Quran (dalam bahasa Arab bertajuk al-Mu’jam al-Mufahris li Alfaaz al-Quran), selepas menemui huruf kepala perkataan, mata cepat menangkap ayat yang dikehendaki sedangkan berderet ayat-ayat lain yang menggunakan perkataan yang sama.
Alhamdulillah.

Sambil menulis, saya beristighfar memohon ampun di atas dosa yang disedari dan tidak disedari. Saya mahu juga buku itu. Puas juga saya mencarinya. Sambil mencari saya minta Allah bantu saya menemukannya. Akhirnya, setelah siap memasukkan isi ke dalam kutaib, baru saya temui buku tersebut.

Sebelum ini, jarang saya menerima tetamu. Namun dalam tempoh tiga hari yang gawat itu, Allah takdirkan ibubapa datang melawat. Dari kedua-dua belah pihak pula.

Petang Sabtu, Mak (ibu mertua) dan kakak ipar sekelamin datang. Sempat makan malam bersama. Keesokannya, Ma (ibu kandung) datang dengan dua orang adik perempuan. Pun sempat makan malam bersama. Alhamdulillah, Allah jua yang melapangkan hati buat saya. Saya berusaha memberi layanan terbaik sedangkan laptop sentiasa terpasang dan internet sentiasa online sebab saya buat rujukan hadis darinya.

Bapa saudara pula sedang membuat kerja-kerja menurap simen di laman yang lecah. Hari ketiga (deadline), bapa saudara datang untuk mengambil barang-barang pertukangan dan upah, ralitnya dia berbual dengan saya sedangkan saya sudah maklumkan saya mahu siapkan kerja. Mood saya agak terganggu namun masih berusaha melayaninya dengan baik. Walau begitu saya masih rasa terkurang dalam memenuhi haknya. Saya mahu mempraktikkan mengenai apa yang saya tulis yakni mengenai Islam ke tahap maksimum yang saya mampu.

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا
” Maka bertaqwalah kepada Allah setakat yang kamu mampu. Dengarlah dan patuhlah.” Al-Taghabun 64: 16

Saya juga perlu luangkan masa melayan keperluan 5 orang anak yang berusia dari 1 tahun 4 bulan hingga 9 tahun. Juga kerja-kerja rumah yang lain. Suami, seorang microbiologist, banyak masa berada di pejabat.

Alhamdulillah, hari ketiga buku siap ditulis namun belum siap diedit. Semalam Kak Cik sudah bagi tempoh lanjutan. Masa adik datang, sempat juga saya minta tolong dia semak gaya penulisan. Seorang lagi sahabat baik, Chik di keluargakusayang.blogspot.com pula sudi memantau dan memberi komen ‘on the spot’. Ia banyak membantu saya memperbaiki gaya penulisan. Terima kasih Chik.

Hari keempat, saya hantar manuskrip pada Kak Cik. Hari kelima, Kak Cik belum berkesempatan menyemaknya, jadi saya ambil peluang menambah dalil dan mengedit lagi isinya. Alhamdulillah, akhirnya saya berpuas hati dengan manuskrip 85 mukasurat itu pada 20 Zulhijjah 1429H/ 19 Disember 2008. Saya berpuas hati berdasarkan ia sebagai sebuah kutaib sahaja. Kalau ikutkan memang ada lagi mahu ditambah… tapi tidak mengapa, ia baru permulaan. Boleh baiki lagi bila mahu jadikan sebuah buku nanti.

Moga-moga ianya diberkati Allah.

Catatan pada 21 Zulhijjah 1429H
10.47AM

Komentar ditutup.

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: