
Jumaat 26 Muharram 1430 bersamaan 23 Januari 2009, suami saya sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Rusila. 2 orang anak berusia 10 dan 9 tahun menyusul Abi mereka. 3 lagi bersama saya di dalam kereta yang diparking seberang jalan bertentangan dengan masjid.
Sambil melayan anak-anak, saya membuka cermin kereta dan memasang telinga menadah ilmu dari ulama rabbani. Khutbah Tuan Guru Haji Abdul Hadi (TGHH) hari itu menyentuh isu Palestin. Tangan saya laju menyalin kalamullah yang dipetik. Beberapa orang muslimah yang berada di kedai kopi dan gerai menjual keropok lekor ikut sama memasang telinga.
Terlintas di hati saya, alangkah baiknya kalau TGHH memberi ruang muslimah bersolat Jumaat di masjidnya. Sebelum ini sudah ada saranan agar masjid-masjid di Malaysia membuka peluang untuk para muslimah menunaikan solat Jumaat. Terutama untuk musafir seperti saya pada waktu itu. Pada permulaannya, bukalah ruang yang kecil dahulu. Kemudian boleh ditambah berdasarkan keperluan dan jumlah pengunjung.
Hassan al-Basri berkata, “Dahulu para wanita melakukan solat Jumaat bersama Rasulullah S.A.W”.
Semasa di Jordan dulu, saya pernah mengikuti solat Jumaat bersama penduduk Arab yang lain. Masjid di sana mesra muslimah. Ada ruang untuk muslimah bersolat Jumaat. Mereka boleh sama-sama mendengar khutbah. Semasa di Sydney pada tahun 2007, saya sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Lakemba, tempat Imam Syeikh Tajuddin al-Hilali yang kontroversi dengan ucapannya, ‘Perempuan yang mendedahkan aurat seperti daging yang terdedah’. Ruang tingkat atas masjid yang khusus untuk wanita penuh dengan jemaah. Segelintir wanita membawa anak-anak kecil.
[http://en.wikipedia.org/wiki/Lakemba_Mosque ]
[http://www.theaustralian.news.com.au/story/0,20867,20653653-601,00.html]
Malunya Saya…
Ada peristiwa yang memalukan saya. Anak-anak saya yang berusia 2 dan 4 tahun ketika itu merengek-rengek kerana jemu. Saya memujuk mereka agar diam. Makcik-makcik Arab turut membantu dengan menghulurkan coklat kepada anak-anak saya. Rupa-rupanya, mereka memang bersedia dengan coklat dan gula-gula untuk memujuk anak-anak kecil yang turut bersama ibu mereka.
Seusai solat Jumaat, saya turun ke bawah dan bertembung dengan 2 orang makcik Arab yang duduk berhampiran saya dalam masjid. Mereka menegur saya kerana bercakap semasa khutbah. “Haram alayki…” kata mereka. Saya terpinga-pinga juga. Saya hanya memujuk anak saya supaya diam. Mereka menegaskan perbuatan itupun tidak boleh. Memadai tunjuk isyarat tangan ke mulut supaya anak-anak diam, ajar mereka lagi. Saya hanya mengangguk dan senyum kepada mereka. Oleh kerana semenjak tahun 1998 berada di Malaysia, saya tidak pernah bersolat Jumaat, saya lupa adab-adab semasa imam membaca khutbah yakni wajib diam dan tidak boleh bercakap.
Nabi Muhammad S.A.W berpesan,
Apabila kamu mengatakan kepada kawanmu; ‘Diam’, pada masa imam sedang berbicara, maka bererti dia telah bermain-main.
Memang benar, ilmu yang tidak diamalkan dan tidak diajar pula kepada orang lain akan luput begitu saja.
Saya akui di Malaysia, para wanita boleh mendengar khutbah secara langsung melalui televisyen atau radio walau tidak ke masjid. Atau sebahagian mereka yang tinggal di sekitar masjid dapat mendengar dari rumah. Itupun jika masjid membuka pembesar suara di luar. Sesetengah masjid, khutbahnya hanya dapat didengar di ruang dalam masjid sahaja. Namun saya sudah jelaskan tadi, buat permulaannya memadai dapat disediakan ruang untuk mereka yang bermusafir. Jika penduduk tempatan memberi sambutan menggalakkan, maka ruang tersebut boleh ditambah dari semasa ke semasa.
Solat Wanita Lebih Utama Di Rumah
Walaupun terdapat perbezaan fuqaha’ dalam memberi izin wanita menunaikan solat Jumaat. Namun tiada pendapat yang mengatakan haram wanita keluar untuk solat Jumaat. Mereka hanya berselisih dalam soal keutamaan sahaja. Keutamaan itu pula bergantung kepada keadaan wanita dan persekitaran masyarakatnya sendiri. Nabi memberitahu bahawa solat wanita itu lebih utama di rumahnya. Hadis yang direkodkan Imam Muslim menyebut,
“Janganlah kamu melarang wanita-wanita kamu untuk solat di masjid, walaupun solat mereka di rumah mereka adalah lebih baik untuk mereka”.
Melihat kepada situasi sekarang, jika kita boleh bersikap terbuka menerima wanita menjadi wakil rakyat, maka asas kepada peranan wanita dalam masyarakat iaitu mengenai solat mereka di masjid lebih-lebih lagi patut diberi peluang dan ruang.
Mutakhir ini juga kita saksikan kebanyakan lelaki yang menjadi pemimpin utama dalam sesebuah rumahtangga kurang mampu memberi ilmu dan didikan agama secara langsung kepada anak isteri di rumah. Para suami, abang-abang atau adik-adik lelaki tidak berbagi ilmu yang di dengar kepada ahli keluarga yang perempuan. Mereka malas bercakap tentang ilmu di hadapan ahli keluarga perempuan mereka. Sebahagian ustaz-ustaz dan imam juga begitu. Mereka mengajar di madrasah, masjid dan sekolah tetapi menjadi alim yang bisu di hadapan ‘rakyat’ kecil dalam rumah mereka sendiri. Mengajak anak isteri turut mendengar kuliahnya juga tidak dilakukan. Menurut pemerhatian saya, hanya sebahagian kecil para suami yang mampu menitik beratkan ilmu pada ahli keluarga mereka.
Justeru, solat Jumaat yang hanya seminggu sekali lebih perlu diberi peluang kepada para isteri dan anak-anak perempuan menunaikannya. Mereka boleh mendengar khutbah sebagai makanan akal dan ruh mereka. Mereka juga boleh berkenalan sesama mereka. Apabila mereka saling mengenali, mereka dapat pula berkerjasama menunaikan kebaikan dan dakwah untuk masyarakat setempat.
Bagi negeri yang hari Jumaat merupakan hari bekerja, wanita yang bekerja boleh keluar ke masjid untuk sama-sama solat Jumaat dan mendengar khutbah. Saya mahu lihat Masjid Negara menjadi perintis dalam hal ini. Sesetengah jabatan menjemput ustazah untuk memberi tazkirah kepada staf wanita sementara yang lelaki menunaikan solat Jumaat. Ia alternatif yang sangat bagus. Namun mendengar khutbah Jumaat adalah lebih baik. Fungsi khutbah Jumaat juga ialah menyatukan fikrah ummat setiap minggu bagi menangani fitnah zaman.

5 Pra Syarat Wanita Mahu Solat Jumaat
Bagi wanita yang ingin menunaikan solat Jumaat, syarat-syaratnya sama seperti mahu solat jemaah di masjid;
1. Mendapat izin suami atau wali.
2. Menutup aurat dengan sempurna.
3. Tidak berhias-hias seperti ber’make-up’ atau mengenakan pakaian/ telekung solat yang menyerlah sehingga menimbulkan fitnah di mata lelaki yang melihatnya.
4. Tidak mengenakan wangian seperti kaum lelaki. Bagi lelaki, berwangian itu sunat ketika mahu solat Jumaat. Sedangkan bagi wanita ianya haram. Pesan Nabi SAW kepada kaum wanita,“Apabila salah seorang daripada kamu mahu datang ke masjid, maka janganlah menyentuh wangi-wangian.”
5. Tidak bercampur dengan lelaki ajnabi ketika di jalanan dan di dalam masjid.
Oleh kerana Masjid Pulau Melaka (Masjid Tuan Guru Nik Abdul Aziz) tidak digazetkan sebagai masjid untuk solat Jumaat, saya amat gembira jika saranan ini diberikan respon positif dan Masjid Rusila yang menjadi perintisnya. Kemudian diikuti masjid-masjid yang biasa menjadi tempat persinggahan para musafir seperti Masjid di Raub, Sungai Koyan dan lain-lain.
Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2009
28 Muharram 1430H/ 25 Januari 2009
1.09pm
Assalamualaikum Kak Nor.
Chik pun setuju dengan cadangan ni. Dulu di tahun 1989 pernah ke KL untuk satu pertandingan bahas dan berehat di Masjid Negara di hari Jumaat. Apabila masuk waktu solat Jumaat, kami yang Muslimat ni terpaksa keluar dari ruangan Muslimat kerana Muslimin nak guna begitu juga cameraman RTM yang akan membuat rakaman.
Alangkah bagusnya kalau dapat sama-sama bersolat Jumaat dan mendengar khutbahnya. Nampaknya kalau tiada peluang atau anjakan dalam memberi ruang kepada Muslimat ni, bak kata tak berpeluanglah kita nak bersolat Jumaat di negara ini.
p/s: Tarikh di atas gambar tu betul ke 23/12/2009 ke 23/01/2009? hehehe
Ala Chik… Kak Nor set tarikh dah betul dalam kamera tu…ntah agaknya kurang jelas atau tersalah set. Masa Kak Nor transfer gambar ke laptop baru perasan tarikh yang salah tu. Try ubah tapi tak pandai la. Boleh ubah ke dalam komputer? 23 Jan 2009- tarikh yg betul.
Tq atas respon.
Ummu Abbas
Assalamualaikum…
segala puji bagiAllah tuhan sekalian alam…
selawat dan salam buat junjungan mulia nabi muhammad s.a.w.
puan,
saya adalah salah seorang dari bekas pelajar Maahad Darul Quran Rusila sejak tahun 1999-2004,
setahu saya dan yg memang sy ketahui setiap jumaat di masjid rusila memang telah memperuntukkan sedikit ruang utk menunaikan solat jumaat khususnya bagi org yg bermusafir…
untuk makluman puan ruang yg sy maksudkan ialah ruang yg tidak ber’carpet’ di sebelah kiri masjid…
sy mohon maaf sekiranya fakta yang sy sertakan tidak kuat serta meyakinkan puan…
hanya itu sahaja sedikit penjelasan yg mampu sy hulurkan…
yang baik datang dari Allah, yang buruk dan lemah datang dari diri yg amat dhoif ini..
wassalam…
-Aljauhary
-perlembahan nil
-jazirah al-ward
salam aleik, saya bukan nak bagi ulasan tentang ruang solat untuk muslimah waktu jumaat, tapi sekodar nak menyatakan taajub …. sebab nilah kali pertama dapat lihat masjid rusila dari luar, dari dalam pun sekodar nampak minbar nya saja … impian saya nak melawat @ ziarah kelantan dan terengganu, bilalah agaknya dapat pergi sane …. yarittttttt ya kelantan wa terengganu, wasalam
aljauhari,
Jazakumullah atas makluman. Saya perhati juga orang-orang yang keluar dari masjid tetapi tidak nampak pula ada jemaah muslimah. Mungkin hari tersebut tiada muslimah yang musafir kecuali saya. Beberapa muslimah yang saya lihat di tepi jalan pun tidak memasuki masjid. Mereka hanya mendengar khutbah dari luar. Justeru saya beranggapan tiada ruang untuk muslimah semasa solat Jumaat ditunaikan.
Saya tahu ruang yang tidak berkarpet itu kerana pernah solat di situ sebelum ini namun saya tidak pasti adakah ianya tidak dipenuhi oleh jemaah muslimin semasa solat Jumaat. Pengalaman saya semasa singgah di masjid-masjid lain waktu solat Jumaat, ruang yang biasa dikhaskan untuk muslimat akan dipenuhi oleh jemaah muslimin semasa solat Jumaat. Semoga dengan info yang diberikan akan memberi manfaat kepada mana-mana muslimah di luar sana.
Life of AKU,
Semoga hasrat saudara/i dimakbulkan Allah. Amin.
Ummu Abbas
Chik,
Kak Nor dah kerat buang tarikh yang salah pada gambar. Kamera tu suami Kak Nor baru hadiahkan. Masih terkial-kial nak biasakan diri dengan menu yang ada dalam kamera. Jenis SANYO warna pink. Comel tau… Harganya RM499 je. Tak mahal macam jenama lain yang sampai RM600-RM700 mengikut standardnya.
salam,sy dah blaja kat masjid rusila selama 7 tahun,sebenarnya setiap kali solat jumaat,pihak jawatankuasa masjid telah pun menyediakan ruang solat jumaat untuk muslimat,mungkin saudari tak pegi surve kat sekitar masjid tu,sedangkan selamat 7 tahun saya di sana,memang ada muslimat solat jumaat bersama kami.
Syukran atas infonya. Harap hal ini diberi perhatian oleh masjid-masjid yang lain juga.
Buat pembaca semua… tajuk khusus yg saya sebut dalam artikel ini adalah untuk menarik perhatian kepada masalah umum yg berlaku di Malaysia. Justeru penjelasan fakta yg khusus amat dialu-alukan namun ia tidak menjejaskan maksud artikel yg lebih umum. Segala respon positif dan diniatkan lillah taala moga diganjari pahala oleh Allah. Amin.
Assalamualaikum Kak Nor.
Untungnya dapat hadiah dari doc. Tahniah! Tahniah! Boleh disetkan tarikhnya. Dah tgk dlm manual tak? Kalau tak jumpa jg, nanti Chik boleh cuba tgk kamera Kak Nor tu. Mesti canggih ni. Kamera skrg dah macam-macam fungsi harga pun murah.