Ini cerpen saya yang pernah disiarkan akhbar Mingguan Wasilah menjelang PRU12 11 bulan yang lalu. Sempena 2 pilihanraya kecil yang akan berlangsung, saya paparkan semula di blog ini. Moga dapat dipanjangkan ke ruang maya yang sesuai. Fahami terlebih dahulu mesej yang tersirat… dan anda akan tahu pada siapa anda harus tujukan cerpen ini.
ANDAINYA SUAMIKU SEORANG YB!

Sejak usiaku menjengah remaja, aku bertanya pada diri, apa yang aku mahukan dalam hidup ini. Kekayaan? Disenangi ramai? Punya peminat tersendiri? Glamour? Wajah yang cantik?
Setakat yang aku tahu, semua manusia suka pada keindahan, kecantikan, kemewahan, pengaruh yang luas dan kuat, kedudukan atau pangkat yang tinggi, disayangi ramai dan pelbagai lagi yang muluk-muluk. Baik di kalangan lelaki, wanita, dewasa dan kanak-kanak. Aku teringat satu ayat Quran yang bermaksud,
‘Diperhiaskan kepada manusia itu kesukaan kepada keinginan-keinginan nafsu seperti perempuan-perempuan, anak-anak dan harta benda yang banyak terdiri dari emas, perak, kuda yang bagus, haiwan ternakan, dan tanam-tanaman. Itulah nikmat hidup di dunia. ‘
Hmm, aku salah seorang dari manusia itu. So tak salahlah kalau aku pun sukakan semua tu. Macamana cara aku akan mendapatnya? Zaman sekarang ni, bak kata orang ‘ada duit semua jadi’. Boleh buat istana besar 20 bilik. Lengkap dengan kolam mandi, spa, taman bali, landskap ‘omputeh’ dan lain-lain. Duit juga boleh mancungkan hidung di Bangkok, sedut lemak di salun-salun, slimkan badan di pusat-pusat kecantikan, putihkan kulit dengan tempe…ish… biar betul!.
Aku pakai tudung pun masih boleh berfesyen. Sejak ada penganjuran IFF oleh Dato’ Shah Reda meluaskan lagi pemilihan ‘gaya Islam antarabangsa’. Hmm, aku tentunya tidak akan kekeringan idea lagi memilih fesyen sesuai dengan majlis. Tambahan pula kalau suami aku menang pilihanraya tidak lama lagi. Boleh lobi labu-labi biar cepat naik pangkat. Kalau bukan exco… MB terus. Senang cerita. Masa tu dah tentu ramai tokeh-tokeh yang nak masuk rapat dengan suami aku menawarkan komisyen itu dan ini. Aku dok dengar sekarang ni tak main komisyen ratusan atau ribuan. Lekeh sangat bunyinya. Paling sedap sejuta! Jutaanlah…! Wah, makin kecur liur aku dibuatnya. Ish… ini tak boleh jadi ni. Aku mesti giat berkempen untuk suami nanti. Pada keluarga dan kawan-kawan. Jiran-jiran.
Aku dah berangan-angan nak bina istana maha agung mengalahkan istana Dato’ Zaki Di. Aku juga mahu meng’anak dara’kan semula wajah dan bodi aku di pusat kecantikan berprestij. Tak kan aku nak langgan di tempat yang hanya caj RM600- RM700 je. Buat ke aku koma, tak ke naya… cantik macam Maya Karin pun dah tak guna kalau dah jadi mayat hidup. Aku juga mahu shopping kat Perancis, London, Jepun, Dubai dan merata tempat lagi. Bukan setakat 20-30 buah kereta nak mengangkutnya. Bahkan berpuluh buah lori.
Mak Tak Sokong
Suatu hari, mak aku datang ziarah aku. Dia selalu juga jenguk aku. Sebab aku jarang jenguk dia. Rumah mak kat kampung sebelah aje. Mana aku ada masa nak jenguk dia lagi. Bahang pilihanraya dah makin panas.
‘Minah, mak tengok kau sekarang ni tidur tak lena, makan tak basah…eh tersasul pulak. Makan tak kenyang. Mandi tak basah… kau mabuk cinta lagi ke?’ Mak menyapa aku yang tersenyum-senyum sambil menyapu sampah di dapur.
‘Eh..mak ni. Abang Khair tu sorang aje jantung hati saya. Tak lama lagi kan Abang Khair akan bertanding.’ Sahut saya.
‘Iya lah… tu. Tak salah telahan mak ni Minah. Kau tu mabuk cinta dunia. Mak datang ni pun kerana tak tahan dah dengar orang sekeliling cakap pasal kau.’
‘Cakap pasal saya?.. Pasal apa mak?’
‘Kau dah mula berkempen sana-sini. Kata suami kau baik. Beramanah. Alim. Setakat mak tahu, menantu mak tu alim-alim kucing je…’
‘Eh..takkan puji suami sendiri salah kot? Itu bukan kempen namanya mak. Borak-borak biasa orang pompuan. Calon-calon yang akan bertanding belum diluluskan. Borang pencalonan pun tak isi lagi. Macamana mak boleh kata saya berkempen.’
‘Alah..macam mak tak tau taktik kau… Mak ni bukan apa Minah. Mak tak nampak sangat suami kau tu layak jadi calon. Amanah dan tanggungjawab wakil rakyat ni berat Minah.’
‘Ayah dulu kan wakil rakyat jugak. Dulu, mak pun berkempen untuk ayah juga. Ke hulu ke hilir. Sampai saya pun jarang dapat tengok mak…’
‘Dulu lain Minah. Mak tak faham sangat soal amanah wakil rakyat yang akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Sejak ayah kau meninggal, baru mak ada masa sikit menambah ilmu.’
Aminah diam sahaja sambil menyimpan penyapu di stor belakang dapur.
‘ Selagi nama abang Khair naik untuk dicalonkan, saya akan terus berkempen untuk dia mak. Itu tanggungjawab saya sebagai isteri. Lagi pun, akhir-akhir ni pucuk pimpinan mahu sangat orang yang berimej seperti abang Khair tu. Alim kucing pun…alim kucing lah. Kalau alim betul-betul, tak sesuailah pulak dok dalam parti Barisan Naik-naik ni.’
‘Moga Allah berikan hidayah kepada mu nak.’ Doa Datin Fatimah dalam hati.
Lambaian Kedua
Seminggu kemudian.
Aku baru sampai ke rumah. Letih. Penat. Baru tadi aku bahagi-bahagikan gula dan kain batik untuk orang-orang kampung. Semuanya dalam 100 buah rumah. Abang Khair ada mesyuarat. Anak bongsu, Syafiq 9 tahun sudah tidur.
Kalau siang tadi, semangatku begitu membara berjuang menyogok orang-orang kampung. Sekarang semangat itu masih ada sehingga badan yang letih tidak dapat melelapkan mata. Aku ambil remote control lalu membuka peti televisyen.
Kerusi Cleopatra kesayanganku bersedia menerima henyakan badan yang mahu berehat seketika. Sebaik sahaja TV dibuka…satu paparan ayat al-Quran dan terjemahannya tertera di kaca TV,
“Diperhiaskan kepada manusia itu kesukaan kepada keinginan-keinginan nafsu seperti perempuan-perempuan, anak-anak dan harta benda yang banyak terdiri dari emas, perak, kuda yang bagus, haiwan ternakan, dan tanam-tanaman. Itulah nikmat hidup di dunia. Dan di sisi Allah sebaik-baik tempat kembali”.
Ayat 14 Surah Ali ‘Imran
“Katakanlah: Adakah kamu suka, ku khabarkan kepadamu barang yang lebih baik dari pada semua itu? Bagi orang yang bertaqwa di sisi Tuhan ada syurga yang mengalir air sungai di bawahnya, sedang mereka kekal di dalamnya bersama pasangan-pasangan yang suci serta mendapat keredaan Allah. Allah Maha Melihat segala hambaNya”.
Ayat 15 Surah Ali ‘Imran
Aku agak tersentak bila melihat terjemahan ayat ke 15. Sebelum ini aku sentiasa berpegang kepada ayat ke 14. Sementelah aku jarang benar berkawan dengan al-Quran. Sudahlah jarang membacanya. Tidak faham pula. Aku tiada masa menelaah tafsirannya.
Paparan ayat itu terus disambung diiringi bacaan merdu Imam Sudaisi yang semakin menyentuh hati.
“Mereka itulah yang mengatakan: Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah beriman, sebab itu ampunilah dosa kami dan peliharakanlah kami dari siksa neraka”.
Ayat 16 Surah Ali ‘Imran
‘Mereka itu ialah orang-orang yang sabar, orang-orang yang benar,orang-orang yang patuh (pada perintah Allah), memberikan sedekah dan memohon keampunan di waktu sahur (akhir malam).’
Ayat 17 Surah Ali ‘Imran
Seusai al-Quran dibaca, jam berdenting 12 kali. Hmm… dah pukul 12 malam. Patutlah al-Quran dibaca sebagai pelabuh tirai malam.
Sedikit ketenangan menyapa hati tatkala mendengar bacaan wahyu Allah. Aku berfikir-fikir.
Hanya sekelumit ayat yang kudengar…sudah mampu mendamaikan hati. Belum pun sempat aku pegang duit berjuta. Belum pun aku diami istana impian. Jiwa yang serabut dan badan yang penat hanya boleh ditenangkan dengan al-Quran? Apakah betul apa yang ku lakukan selama ini. Kalau aku kaya, apakah kekayaan itu dapat membeli ketenangan untuk dilimpahkan ke lubuk hatiku?
Kalau aku punya pengaruh, ramai peminat dan diburu ramai, apakah semua itu dapat menitip bahagia di sudut kalbuku?
Aku terlelap di sofa Cleopatra yang setia menemani.
Lambaian Ketiga
Penamaan calon baru berlalu semalam. Abang Khair semakin sibuk ke sana ke mari. Aku tidak dapat mundur lagi dari terus berkempen. Langkah parti pembangkang meletakkan seorang jurutera muda mencabar suamiku membuatku tersenyum. Aku bertambah yakin, suami mempunyai peluang cerah untuk menang.
‘ Datin Mina, try tengok kempen sms ni; Kalau imam 5 minit, kita mahu yang terbaik dari semua sudut, inikan pula imam 5 tahun. Pilihlah yang jujur, amanah, berkata benar dan profesional.’ Aku membaca sms yang di’forward’kan kepadaku.
Tut. Tut. Tut. Tut. Tut.
‘Siapa yang mulakan kempen ni. Abang Khair kan imam di surau taman perumahan ini ’. Aku membalas.
‘ Tengoklah sambungan dia; Mohd Khair hanya imam solat zohor dan asar. Try suruh dia jadi imam maghrib dan isyak. Dengarkan bacaan tajwidnya yang kelam kabut. Khairul Azam pula walaupun jurutera. Namun layak baca khutbah jumaat. Bacaan Qurannya fasih. Manakan tidak, dia lepasan SAR aliran sains di negeri Tadahan Wahyu. Saya kenal sangat senior saya tu. ’ Siapa punya kerja ni. Aku merungut.
‘Cari siapa yang mulakan kempen.’ Aku mengarah lagi.
‘Anak Datin yang sedang belajar di USA!’ sms berbalas.
‘Syafie…!’ Aku terperanjat. Baru dua bulan lepas dia menghantar gambarnya bersama kekasih melalui email. Dia mahu perkenalkan calon menantu ku berdarah Cina Melayu. Belajar satu fakulti katanya.
‘Tak mungkin dia…!’
Truuut tut. Truuut tut. Sms berbunyi lagi. Tertera di skrin. ‘Syafie’. Aku cepat-cepat membukanya.
‘Salam buat bondaku tercinta.
Barangsiapa menghendaki hidup di dunia dan perhiasannya. Kami sempurnakan pekerjaannya di dunia, sedang mereka tidak dirugikan. Tetapi tiada bagi mereka bahagian akhirat melainkan neraka. Dan hapuslah apa-apa yang mereka perbuat di dunia serta binasalah apa-apa yang mereka kerjakan.’
Ayat 15 dan 16 Surah Hud.
Pie baru putuskan hubungan dengan Lin. Dia sudah murtad. Harap maklum.’
Mataku berpinar-pinar. Aku memegang kepalaku. 3 hari kebelakangan ini aku terlalu sibuk. Kurang makan dan kurang tidur. Tubuhku melayang rebah di bilik gerakan parti Barisan Naik-naik.
Menang Sebelum Menang
Aku melihat bulan mengambang penuh. Indahnya cahaya bulan yang tidak menyakiti setiap mata yang memandang. Dalam keasyikan menghayati purnama, aku dikejutkan suara riuh rendah.
Aku berpaling ke belakang. Dalam sebuah dewan, Abang Khair dijulang tanda kemenangan. Aku kaget. Sejurus abang Khair diturunkan, datang seorang gadis andalusia yang sangat kukenali. Dia salah seorang anggota puteri parti. Walaupun statusnya andalusia namun dia adalah primadona kawasan rebutan jutawan. Dia menggamit tangan abang Khair lalu mereka bergandingan keluar menuju sebuah kereta mewah. Aku melaung-laung memanggil abang Khair. Namun abang Khair tidak mendengarnya kerana sudah ditelan perut kereta.
Aku sedar semula setelah koma 48 jam. Berpeluh-peluh dahiku teringatkan mimpi yang baru kulalui. Hmm… sesuatu yang aku tidak pernah fikirkan ialah kalau abang Khair menang, berpengaruh dan kaya pula …ia membuka peluang lebih luas untuk menambah 3 cawangan yang masih kosong. Sekarang aku masih bahagia bersamanya dan 4 cahayamata tanda cinta kami.
Ada yang lebih penting lagi dari semua itu yakni aku nekad memenangkan fitrah bersuluhkan wahyu ke atas nafsuku. Aku kepingin nikmat yang kekal.
Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian
Biarlah aku sakit di dunia kerana menahan nafsu yang tidak pernah jemu memburu dunia. Kesenangan yang kekal itu mahu kukongsi bersama suami tercinta. Tahanlah memakan harta yang haram kerana pintu halal terbuka lebih luas. Tahanlah daripada mendapat pangkat di dunia dengan cara menipu asalkan mendapat kedudukan yang baik di syurga kelak. Tahanlah daripada meraih keredaan manusia dengan menjadi pak turut kepada pemimpin korup, asalkan Allah meredai kami.
Helaian pertama yang tersuak tatkala aku cuba membelek tafsir ar-Rahman menarik mataku ke ayat 40 dan 41 surah al-Naa’ziaat,
‘ Sesiapa yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.’
Kemenangan Yang Besar
Alhamdulillah, 8 hari berbaki sebelum hari pembuangan undi, ku penuhi dengan solat taubat dan solat hajat di setiap 1/3 malam. Ku mohon hidayah. Ku mohon kekuatan dari Allah. Tiada kekuatan kecuali hanya bersandar kepadaNya. Aku biarkan sahaja jentera parti bertungkus lumus berkempen tanpa menyertainya. Alasanku kukuh. Aku sudah koma 2 hari dan doktor menasihatkan supaya aku berehat sahaja di rumah.
Sehari sebelum pembuangan undi, masyarakat kampungku gempar. Mohd Khair menarik diri dari bertanding. Bertalu-talu telefon berdering. Sms pula tidak putus-putus masuk ke handphone.
Aku tersenyum sahaja. Tenang dan bahagia kerana berjaya menawan nafsu. Juga menawan keinginan abang Khair kepada kuasa dan harta. Alhamdulillah.
Aku membuka email setelah Syafie sms memberitahu ada foto terbaru. Foto Syafie tersenyum dan kali pertama aku lihat wajah anak sulungku memancarkan sinar tawaduk seorang hamba! Macam air muka Tok Guru pula fikirku. Di bawah foto, Syafie mencatat,
‘ Undur selangkah dari nikmat duniawi untuk melompat lebih jauh ke nikmat akhirat. Doakan Pie menjadi anak yang soleh dan mendapat isteri solehah. Amin ’
Ummu Abbas
2.30pm
12 Safar 1429H/ 19 Feb 2008
Assalamualaikum,
kak, saya mohon link blog akak ke blog saya ye.. syukran
Assalamualaikum Kak Nur,
Sedap cerpennya…& faham kepada siapa boleh ditujukan. Melihat kpd dunia politik negara kita ari ni…ngeri rasanya. Bimbang bila memikirkan masa depan anak2 kita nanti bila pemimpin2 tergolong drp golongan mrk yg tidak amanah, jujur & mcm2 lagi. Macamana agaknya ye? Oh tanahairku yang tercinta….amankah kita di masa akan dtg?
Assalamualaikum Kak Nor.
Cerpen ni patut dapat hadiah ni…, Chik ada copy sikit dan masuk dlm blog KeluargakuSayang dengan link ke sini. Insya-Allah akan lebih ramai yang dapat membaca cerpen Kak Nor ni.
Mohon dihalalkan.
Ya Allah jadikanlah aku dari golongan hambaMu yang sedikit. Kerana sedikit sahaja dari hambaMu yang bersyukur, yang ikhlas,
Mohon copy ayat suci yg kak postkn.. buat igatan diri.. Tq.
salam ustazah, sy nk amik (copy) cerpen ni nk ltk kt fb sy, utk tatapan kwn2, muge bermanfaat..syukran..