Posted in Koleksi Tip, Kongsi Masalah

Lagi Tip Berhadapan Kerenah Sahabat

Nota Ummu Abbas:

Saya tidak berkesempatan lagi untuk mengedit ejaan dan tatabahasa bagi soalan yang dikemukakan di bawah. Jadi saya paparkan dalam keadaan asal. Sukalah saya ingatkan kepada para pengunjung untuk melatih diri menulis dengan baik. Ia lebih mudah difahami dan lebih seronok dibaca. Ejaan ringkas untuk sms itu, tidak mengapalah sebab ruangnya terhad.

Dalam blog ini, ruang terbuka luas dan tidak dihadkan untuk anda menulis dan mengejanya dengan penuh. Ia juga membantu adik-adik yang sedang belajar untuk menjawab subjek Bahasa Malaysia dengan baik dalam peperiksaan nanti. Insya Allah.
Soalan-soalan sebelum ini, saya edit jugalah setakat terdaya.

Menghubungkan silaturrahim memurahkan rezeki
Menghubungkan silaturrahim memurahkan rezeki

Lagi Soalan Berkenaan Kerenah Sahabat

Salam..
saya ada seorg sahabat..kenal smenjak ting.1…skrg sudah ting.5…kami boleh lah dikata kan rapat..dan mnjadi tanggapan kpd sahabat2 lain bhw kami adlh ‘kawan baik’,,atau ‘belangkas’…walaupon org kate bgitu,rahsia sy takde sy share dgn dia,,sy hnya dgr rahsia2 dia..sbb dia yg nk share..msuk thun ini saya sudah 3tahun duduk sebelahnya didlm kels..sy sudh mngetahui sifat dan perangai nya..seboleh2, sy mnjaga hati nya..ttpi dia kerap mnyakiti hati sy,,mngungkit kesalahan sy,mngatakan sy ini buknlah shbt yg baik,,hatinya itu ego..sy takde pun nk ungkit ape2 yg dia buat..prnh die tak tegor sy sebulan..sy tnya tpi dia caakp saja2 dan ntah..sehingga banyak kali pernah sy mnangis dan trtekan dgn sikapnya..sy suka brkwn dgnnya..ttpi itulah..sy kesal dgn sikapnya..dia sudah tahu tapi buat2 tak tahu..sy cuba utk perthnkn..sbb thn ini sy akn mnduduki pperiksaan spm..itu yg lbih pntg …

Pandangan Ummu Abbas

Assalamu’alaykum warahmatullah,

Pertama-tamanya, sukalah saya menarik perhatian pembaca bahawa Islam mengatur secara lengkap etika bersahabat. Justeru luangkan masa untuk memahami konsep bersahabat menurut Islam.

Antara buku yang boleh dirujuk ialah Bimbingan Mukmin, jilid 1 dan 2. Terdapat satu bab berjudul Adab Pergaulan, Persaudaraan dan Persahabatan. Tajuk kecil di bawah bab ini antaranya ialah Keutamaan pergaulan dan persaudaraan, Menentukan cinta kerana Allah, Tanda kebencian kerana Allah, Sifat yang harus diperhatikan dalam memilih sahabat dan lain-lain.

Beruntunglah bagi mereka yang bersekolah di sekolah YIK (Yayasan Islam Kelantan) kerana adab pergaulan dalam Islam diajar secara agak mendalam. Mungkin juga sekolah-sekolah agama rakyat dan sekolah Islam yang lain mempunyai silibus yang sama. Lebih beruntung bila mereka beramal dengan apa yang mereka tahu.

Setelah memahaminya, latihlah diri untuk beramal dengannya. Ikhlaskan hati, pasti hati senang untuk menghayatinya. Insya Allah.

Berhubung persoalan di atas, bagi meringkaskan jawapan dan mudah membacanya, saya susun jawapan berdasarkan langkah-langkah yang perlu diambil.

1. Pada peringkat pertama berhadapan dengan sikap yang kurang menyenangkan ialah sabar.

Yakinilah adikku, jika kita bersabar, Allah akan hapuskan dosa-dosa kita yang lalu. Tiadalah sesuatu yang menyakiti orang beriman kemudian mereka bersabar kecuali Allah akan hapuskan dosa-dosanya yang lalu.

Allah mengasihi adik, justeru didatangkan ujian melalui sahabat adik itu untuk memberi pahala kepada adik. Juga mematangkan adik dalam mengenal watak insan di sekeliling.

2. Minta penjelasan lanjut mengenai perkara yang dia tidak berpuas hati.

Contoh; Apakah perbuatan kita yang menyakiti hatinya. Mungkin kita melakukannya tanpa disedari. Kalau benar-benar ada, maka mohon maaf darinya.

3. Adalah berdosa meninggalkan tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari. Walaupun kita tidak memulakannya, adalah baik kalau kita mulakan dahulu memberi salam. Setelah kita berusaha 3 kali, maka lebih baik buat tidak tahu sahaja akan sikapnya tersebut. Insya Allah, lama-kelamaan dia akan sedar bahawa dia kurang dipedulikan akibat sikapnya itu.

Robot pun sudah pandai bersalam!
Robot pun sudah pandai bersalam!

Rasulullah SAW mengingatkan kita,

لا يحل لمسلم أن يهجر أخاه فوق ثلاث يلتقيان فيصد هذا ويصد هذا وخيرهما الذي يبدأ بالسلام

Maksudnya:
Tidak halal bagi seorang muslim meninggalkan saudaranya yang muslim lebih dari 3 hari. Mereka bertemu tetapi saling memalingkan muka dari yang lain. Sebaik-baik antara keduanya ialah yang mula-mula memberi salam.

Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari.

4. Kalau mampu nasihatkan dia, nasihatkan dulu secara baik dan tanpa diketahui orang lain. Berterus terang tentang sikapnya yang tidak menyenangkan secara spesifik.

Contoh: Apabila dia menuduh adik seorang sahabat yang tidak baik. Terus bertanya padanya apakah maksudnya sahabat tidak baik itu. Apakah sikap adik yang tidak disenanginya. Apakah sifat adik yang bertentangan dengan adab Islam? Jika dia tidak dapat menyebutnya dengan fakta yang jelas, maka giliran adik menasihatinya bahawa perbuatan menuduh tanpa bukti itu adalah haram dan berdosa.

5. Setelah berusaha menyedarkan dia, usah difikirkan sangat tentang sikapnya yang negatif. Kelak akan memberi kesan negatif pada diri kita sendiri. Nauzubillah. Selagi dia tidak melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah kita maka maafkan sahaja kesilapan dia walau dia tidak memohon maaf.

Allah menjanjikan kasih sayangNya bagi mereka yang memaafkan. Allah berkata dalam surah Ali Imran, ayat 134,

الَّذِيْنَ يُنْفِقُوْنَ فِىْ السَّرَّآءِ وَالضَّرَّآءِ وَالْكٰظِمِيْنَ الْغَيْظَ وَالْعَافِيْنَ عَنِ النَّاسِ‌ؕ وَاللّٰهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِيْنَ‌ۚ‏
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

6. Bersifat tetap dalam memelihara amanah rahsia yang pernah dicurahkan walaupun sikapnya menyakitkan hati.

7. Doakan dia setiap kali selepas solat agar Allah bukakan pintu hatinya untuk melihat kebenaran dan memilih hanya yang benar di sisi Allah.

8. Dalam tempoh dia masih dengan sikap angkuhnya, pedulikan sikap dia yang menyakitkan, cari sahabat baru dan fokus pada exam. Ingat dan yakinlah bahawa Allah akan kurniakan sahabat yang jauh lebih baik.

Pengalaman akak masa di sekolah menengah dulu, bila ada kawan-kawan menyakiti hati, akak ambil ia sebagai satu cabaran untuk beri tumpuan pada pelajaran. Perbuatannya akak adukan pada Allah dan fokus pada belajar.

Allah itu Maha Mendengar adikku. Adu pada Allah bukan bererti kita minta Allah timpa bala pada mereka. Sebaliknya minta ALlah berikan sifat sabar pada kita dan beri petunjuk pada kawan-kawan kita itu.

Akhirnya, bila akak dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan…terdiamlah mereka dan mereka hormatkan diri kita. Lepas itu jadi kawan baik pula.

Ada kawan-kawan lain yang memahami memberi sokongan pada akak.

Paling penting untuk difikirkan lagi ialah apakah Allah juga ada ‘sakit hati’ dengan kita? Bila kita pasti bahawa kita tidak melakukan perkara yang dimurkaiNya, maka cukuplah reda Allah untuk kita meskipun manusia membenci kita. Bukankah begitu?

Namun sekiranya kita masih melakukan perkara yang haram seperti mengumpat, membuka aurat, bergaul dengan lelaki bukan mahram tanpa urusan syarak, menyakiti hati ibu, maka wajarlah kita kembalikan diri kita kepada Allah. Allah mahu kita sedar melalui perbuatan kawan kita itu bahawa kita sedang ‘menyakitiNya’. Jika kita rasa kawan kita patut minta maaf dari kita, maka kita lebih wajib lagi memohon ampun kepada Allah dengan sebenar-benarnya.

Pandangan akak di sini berdasarkan apa yang akak faham sahaja dari persoalan adik. Ada perkara atau cara boleh berubah berdasarkan keadaan dan sebab-musabbab.

Akak doakan adik sentiasa berada dalam hidayahNya, mendapat kawan yang baik dan diredai di sisi Allah serta berjaya dalam exam. Akak juga doakan kawan adik itu mendapat taufik dan hidayah dariNya. Moga dia menjadi sahabat yang lebih baik di masa-masa akan datang. Amin…ya Rabbal alaamin.

Apa yang baik, ilmu itu dari Allah. Apa yang kurang, itulah kelemahan akak sebagai makhluk. Harap maaf jika ada sesuatu yang diperkatakan kurang menyenangkan.

Ummu Abbas
21 Safar 1430/ 17 Februari 2009
9.46pm

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

4 thoughts on “Lagi Tip Berhadapan Kerenah Sahabat

  1. Assalamualaikum Kak Nor.

    Maaf deh, terkeluar tajuk ni sebab terpaksa menggunakan saluran ini untuk bertanya sebab tiada kotak mesej dan ehem, telefon Chik kehabisan kredit.

    Kak Nor ada tak buku GOD ARISES terbitan Goodword edaran Saba? Penulisnya Maulana Wahiddudin Khan. Buku ni sangat-sangat diperlukan.

    Terima kasih Kak Nor.

  2. Buku tu ada. Silalah datang ambil.

    Banyak kali juga Kak Nor try masukkan kotak mesej dalam blog ni tapi tak jadi-jadi juga. Kak Nor tengok blog orang lain yg guna wordpress pun tak de juga kotak mesej. Memang tak boleh kot.

    Kalau Chik pandai masukkan, bolehlah tolong Kak Nor.

  3. as’kum.. saya ada kawan, tpi bila dia dah ada kawan lain dia abaikan saya dan dia tak nak tegur saya.. dia sms kawan saya dan dia ungkit balik kesilapan lama saya kat kawan saya. alhamdullilah kawan saya tak ambil kisah sangat. dulu dia pernah minta tolong dari saya.. dia buat baik kat saya, saya pun kesian la kat dia dan saya pun tolong la.. tpi bila dah lame2 dia buat balik perangai dia yg dulu… apa ptut saya buat. perlukah saya berkawan dengan dia…??

    Wa’alaikum salam wbh,

    Ignore je kawan yang macam tu. Meskipun kelihatan seperti tidak ikhlas berkawan dengan kita namun hendaklah kita ikhlaskan hati berkawan dengan dia. Jika dia memerlukan sebarang pertolongan, bantulah dengan ikhlas hati. Apa yang diungkitkan mengenai kelemahan diri kita itu, serah sahaja urusan tersebut kepada Allah. Terus bersabar dan harapkan Allah berikan petunjuk kepada kawan tersebut.

    Ok… ramai lagi orang yang ikhlas dalam berkawan di luar sana. Berusahalah mencari sahabat yang ikhlas kerana persahabatan yang ikhlas akan kekal sampai akhir hayat, insya Allah.

  4. Assalamualaikum…ain mempunyai seorang kawan…niat dia nak tegur kesalahan..namun,cara dia telah menyakiti hati saya… dgn memberitahu kpda rkn2 yg lain menegenai kesalahan saya..seolah-olah mengaibkan..bagaimana untk saya pula berterus-terang dgn dia yg saya tidak suka cara dia…dan boleh berkongsi sedikit balasan kepada seorang sahabat yg menyakiti hati sahabatnya…. 🙂

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s