Semalam.
Aziz baru selesai mandi. Seusai dia memakai baju, saya menegur,
“Ziz, doa pakai baju pun ada”. Saya mengatakan demikian kerana dia sudah ingat sendiri untuk berdoa ketika makan.
Aziz tersenyum-senyum. “Aziz lupa la Umi”.
“Bukan Aziz lupa… Aziz belum tahu dan ingat lagi bacaan doa tu”. Saya menjelaskan.
Sebenarnya salah saya yang tidak mengingatkan dari awal. Walau sudah selesai pakai baju, saya ajar juga doa itu padanya. Dia sendiri suka belajar membaca doa. Alhamdulillah.
“Allahumma inni…”. Saya memulakan.
“Allahumma inni…”. Aziz mengikut.
“ As aluka…”
“ As aluka…”
“Khoyrihi…”
“Khoyrihi…”
“Wa khoyruma huwalah”.
“Wa khoyruma huwalah”.
“Wa a’uuzubika…”.
“Wa a’uuzubika…”.
“Min syarrihi…”.
“Min syarrihi…”.
“Wa syarrimaa huwalah”.
“Wa syarrimaa huwalah”.
Selesai membaca doa, Aziz berkata,
“Umi, semua ada doa kan Mi…(ringkasan Umi) Nak makan, nak tidur… nak main game je tak payah baca doa kan?”
Saya ketawa mendengar ayat terakhir. Suami turut tersenyum.
“Haa.. tahu pun. Itu maknanya tak berapa eloklah main game kan?” Saya bertanya kembali.
Aziz masih tersenyum-senyum.
“Tanya Mu’allimah kat sekolah Aziz. Ada tak doa main game?” Abinya menyarankan.

“Betul tu… nanti Aziz tanya cikgu… ada tak doa main game.” Ulang saya pula.
Aziz yang akan genap usianya 6 tahun Julai nanti bersekolah di PASTI berhampiran rumah.
Ada sesiapa yang mahu berikan pandangan tentang hal di atas?
Menurut syariat Islam, sesuatu perkerjaan akan menjadi ibadah apabila ia memberikan manfaat kepada pengamalnya. Manfaatnya mestilah memberi kesan positif kepada fizikal, minda dan spiritual. Jika ia mempunyai manfaat tersebut, maka bacaan paling minimum untuk melakukan sesuatu ialah ucapan Basmalah.
Apakah manfaat ‘game’ kepada kanak-kanak? Anak-anak saya memiliki PS2. Selain itu, mereka juga bermain ‘game’ dalam internet.
Setakat ini, saya meninjau jenis permainan anak-anak. Mana yang tidak baik, saya menegah mereka dari memilih jenis ‘game’ tersebut.
Ummu Abbas
25 Safar 1430H/ 21 Februari 2009
12.42pm






Tinggalkan komen