Posted in Islamika, Siasah

Badan Undang-undang Antarabangsa Iktiraf Keunggulan Sistem Perundangan Islam

Berikut adalah artikel lama saya yang pernah disiarkan akhbar Harakah pada tahun 2003. Saya edit sedikit untuk disesuaikan dengan suasana hari ini.
Cuma pihak Harakah pada masa itu telah tersilap menulis nama samaran bagi artikel tersebut. Pihak editor telah memohon maaf kepada saya di atas kesilapan teknikal itu.

Selamat membaca!

Badan Undang-undang Antarabangsa Iktiraf Keunggulan Sistem Perundangan Islam

Keghairahan majoriti kerajaan di dunia hari ini mempertuhankan sistem dan ideologi manusia sudah sampai ke kemuncaknya. Kemuncak celaru halatuju hidup yang menyedarkan setiap insan berjiwa bahawa tiada jalan penyelesaian terbaik kecuali kembali kepada Islam.

Allah Yang Maha Mengetahui telah menyediakan prinsip-prinsip asas untuk menyelesaikan sesuatu perkara serta menggubal undang-undang yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia lelaki dan wanita tanpa perlu mereka mencipta undang-undang sendiri. Akibat membelakangi sistem perundangan yang disediakan Pencipta manusia, boleh dikatakan apa yang kita buat seolah-olah tikus membaiki labu. Politik kotor, pentadbiran korup, ekonomi merudum, pencabulan institusi kehakiman oleh tangan yang rakus, pendidikan yang melahirkan manusia robot dan lain-lain.

Kes-kes jenayah semakin meningkat dan menggila melibatkan kes rasuah, curi, bunuh, rogol, rompak, zina dan jenayah yang terbesar di sisi Islam iaitu murtad yang kian dilupakan oleh sebahagian manusia yang buta mata hatinya. Rompak pun ada pelbagai spesis. Bukan sahaja harta yang mahu dirompak, bahkan kuasa@amanah rakyat pun mahu dirampok. Penyakit yang menular dalam masyarakat bagaikan virus yang tiada vaksin untuk menahannya. Ia merebak, membiak sehingga menakutkan rakyat yang tidak berdosa. Terlalu banyak kes-kes jenayah yang tidak pernah berlaku 30 tahun yang lalu dapat disaksikan hari ini. Jenayah yang dilakukan oleh kanak-kanak dan remaja di peringkat menengah begitu membimbangkan para ibubapa yang waras. Kanak-kanak berusia 12 tahun sudah pandai merogol atau melakukan seks bebas.

Cukuplah penulis menyebut perkara tersebut secara ringkas dan umum kerana masyarakat boleh mengetahuinya sendiri melalui paparan media elektronik dan bercetak setiap hari. Dalam situasi sedemikian, sebahagian rakyat masih lagi leka dan memberi sokongan kepada parti atau individu yang hanya meletakkan Islam sebagai label, bukannya Islam yang dilaksanakan sepenuhnya.

Islam sebagai manhaj kehidupan yang sempurna telah menggariskan dasar umum di dalam syariatnya iaitu “Lijalb al-Masalih wa Dar’ al-Mafasid” – untuk merealisasi manfaat dan menolak kerosakan. Teori Islam seringkali mengembalikan masalah kepada asalnya dan mengaitkan antara yang parsial dengan yang universal. Prinsip yang bersifat universal biasanya memberi panduan umum di samping melahirkan prinsip yang bersifat parsial untuk masalah yang lebih spesifik. Prinsip-prinsip asas itu tidak mengikat masalah-masalah khusus bahkan ia bersifat anjal bagi memudahkan ummah mencari penyelesaian kepada sebarang masalah. Ia juga tidak menentukan hukum kepada sesuatu perkara tetapi memberi jalan keluar kepada permasalahan yang timbul.

Sifat toleransi yang wujud dalam syariat Islam adalah toleransi yang berprinsip serta mempunyai maruahnya yang tersendiri. Justeru, bagi para pemimpin di sebuah negara umat Islam yang kebanyakannya terdiri dari kalangan intelektual tidak perlu bimbang dan mencari jalan memutar-belitkan keunggulan sistem Perundangan Islam. Atau mengatur langkah ke arah menghalang perlaksanaan Islam sebagai cara hidup negara, masyarakat dan individu oleh mereka yang benar-benar faham serta ikhlas melakukannya.

Sejarah telah membuktikan, al-Quran dan syariat yang terkandung di dalamnya telah berjaya melahirkan sebaik-baik ummah. Satu ummah yang pernah memimpin 1/3 dunia dengan aman, adil, inovatif dan progresif. Dunia yang dihuni oleh pelbagai bangsa, kaum, warna kulit, bahasa dan budaya. Kemajuan yang dikecapi bukan sahaja dalam bentuk material pelbagai bidang, bahkan ianya selari dengan pembentukan moral insan yang membangunkan material itu sendiri. Kesannya, masyarakat dapat menikmati semaksimum mungkin segala teknologi dan pembaharuan material yang dibangunkan pada masa tersebut tanpa merasa diri terancam oleh anasir korup di kalangan pemerintah. Juga merasa aman dari sebarang jenayah. Keyakinan masyarakat terhadap Islam sebagai benteng atau ‘penjaga’ mereka telah memberi pulangan yang baik kepada daulah dan individu.

Dalam menghadapi cemuhan dan fitnah yang dilontarkan oleh para orientalis dan sekutunya terhadap keunggulan Islam hari ini, hakikatnya Badan Undang-undang Antarabangsa pernah mengakui kesempurnaan sistem hidup dan perundangan Islam sejak lama dahulu walaupun mereka berbeza akidah dengan umat Islam. Antara perakuan mereka seperti berikut;-

1. Seorang pakar undang-undang iaitu ‘ Santaliana’ menegaskan; “Dalam fiqh Islam terdapat apa yang mencukupi untuk orang-orang Islam dan perundangan sivil mereka. Walaupun kita tidak nyatakan hakikatnya ia mencukupi untuk manusia keseluruhannya”.

2. Seorang pakar undang-undang menyebut kepada orang-orang Islam; ”Perundangan Islam kamu amat luas sehingga saya merasa hairan apabila memikirkan kamu (sebagai penganut Islam) tidak memetik daripadanya peraturan serta hukum yang sesuai dengan masa dan negara kamu”.

3. Salim Baz seorang pakar undang-undang berbangsa Lubnan yang menganut Kristian berkata;” Saya percaya sepenuhnya bahawa di dalam fiqh Islam terdapat segala keperluan manusia dari segi kontrak, jual-beli, kehakiman dan komitmen”.

4. Seorang pakar undang-undang berbangsa Jerman bernama Kohler pula berkata;” Bangsa Jerman darjatnya mengatasi bangsa-bangsa lain kerana mewujudkan teori kezaliman dan membuat peruntukan undang-undang sivil Jerman. Ia diwujudkan pada tahun 1787M. Akan tetapi, setelah muncul karya Dr. Mahmud Fathi yang menghuraikan prinsip tersebut secara terperinci melalui tokoh-tokoh perundangan Islam yang mana beliau menjelaskan bahawa ahli-ahli fiqh Islam telah menyentuh perkara tersebut dengan panjang lebar sejak kurun kelapan Masihi, maka adalah wajar bagi ilmu undang-undang Jerman menyerahkan perlaksanaan prinsip tersebut kepada orang-orang yang lebih awal mengenali prinsip tersebut sepuluh abad sebelum ia diketahui oleh bangsa Jerman. Mereka ialah para pendukung Perundangan Islam.”

5. Seorang Profesor Undang-undang di Universiti Harvard bernama Ho Kinch dalam bukunya: ‘Semangat Politik Antarabangsa’ (1932M) secara terang-terangan menyebut;

Cara bagi negara-negara Islam untuk maju bukan dengan mengambil cara Barat yang mendakwa agama tidak berhak berkata apa-apa dalam kehidupan seharian individu, juga mengenai undang-undang dan sistem langit, tetapi ia wajib bagi seorang yang mendapati di dalam agama sebagai sumber untuk perkembangan dan kemajuan. Kadangkala ada pihak yang bertanya: Apakah peraturan Islam dapat melahirkan hukum-hukum baru dan mengeluarkan hukum-hukum berasingan yang selaras dengan kehidupan moden? Sebagai jawapannya; Dalam peraturannya terdapat segala persediaan dalaman untuk berkembang. Malah dari segi kesediaannya untuk berkembang lebih baik dari peraturan-peraturan yang serupa dengannya. Kesukaran bukan kerana tiada cara untuk berkembang dan meningkat dalam Perundangan Islam, tetapi sebenarnya kerana tiada kecenderungan untuk menggunakannya (melaksanakannya). Saya rasa saya berada dalam kebenaran apabila saya menyatakan bahawa Perundangan Islam mengandungi seluruh prinsip-prinsip yang diperlukan untuk berkembang”.

6. Profesor Shira, Dekan Fakulti Undang-undang Viana telah mengisytiharkan dalam persidangan pakar-undang-undang pada tahun 1927M;

Manusia merasa bangga kerana mempunyai hubungan dengan insan seperti Muhammad. Meskipun baginda seorang yang buta huruf tetapi telah mampu, sejak berbelas abad dahulu, membawa satu perundangan yang kita bangsa Eropah akan merasa bertuah jika kita dapat sampai kepada kemuncaknya selepas dua ribu tahun”.

7. Begitu juga dengan Profesor Lamber yang telah mengisytiharkan dalam Persidangan Undang-undang Perbandingan Antarabangsa yang diadakan di kota ‘Hague’ pada bulan Ogos 1923M, mengenai penghargaannya kepada perundangan Islam dari sudut ilmu fiqh.

8. Sementara itu, Persidangan Antarabangsa yang diadakan di ‘Hague’ pada bulan Ogos 1937M telah mengisytiharkan perkara berikut;

a. Mengiktiraf Perundangan Islam sebagai salah satu punca perundangan umum. Ertinya Perundangan Islam telah dijadikan sumber kepada mahkamah-mahkamah dunia dan unadang-undang antarabangsa bukan kerana kegagalan Islam, tetapi sebaliknya kerana kesesuaiannya dan kekuatan dirinya yang menonjolkan kedudukannya.

b. Perundangan Islam adalah tegak secara bersendirian, bebas dari perundangan lain dan tidak mengambil yang lain.

9. Persidangan Peguam-peguam yang berlangsung di Lahai pada tahun 1948M membuat resolusi mengesyorkan supaya dibuat kajian terhadap Perundangan Islam secara kajian perbandingan.

10. Persatuan Undang-undang Am Antarabangsa telah memutuskan bahawa Muhammad bin al-Hassan al-Syibani, sahabat imam Abu Hanifah sebagai Pelopor Undang-undang Am Antarabangsa.

11. Dalam Minggu Perundangan Islam yang telah berlangsung di Paris, Pengerusi Persatuan Guaman Perancis menyebut;

Saya tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan antara apa yang digambarkan kepada kita tentang kebekuan Perundangan Islam, dan juga kebekuan fiqh Islam dan ketidak- sesuaian kedua-duanya sebagai asas kepada perundangan yang maju dengan apa yang saya dengar yang membuktikan tanpa ragu-ragu keberkesanan Perundangan Islam secara mendalam, tulin dan teliti serta kepelbagaian pecahannya serta kesesuaiannya untuk menghadapi segala kejadian”.

Persidangan tersebut telah membuat resolusi berikut:

a. Prinsip-prinsip Fiqh Islam mempunyai nilai mengkagumkan dan darinya Fiqh Islam dapat memenuhi segala keperluan kehidupan.

b. Perbezaan aliran atau mazhab fiqh mengandungi Perbendaharaan Perundangan yang mengkagumkan dan darinya Fiqh islam dapat memenuhi segala keperluan kehidupan.

Inilah akuan-akuan secara rasional dan realistik yang pernah dilontarkan oleh ahli akademik dari seluruh dunia. Ia berlaku sebelum Malaysia merdeka. Namun selepas 50 tahun Malaysia merayakan kemerdekaannya, para pemerintahnya yang menganut Islam itu sendiri masih ragu, bahkan sebahagian mereka mempersendakan Islam secara terbuka di media massa. Rasionalkah mereka? Atau sebenarnya mereka menghidap penyakit yang menyebabkan mereka tidak berselera memakan hidangan yang lazat?

Sebagai contoh Undang-undang Jenayah Hudud dan Qisas seringkali menimbulkan keraguan kepada mereka yang tidak mendalami ajaran Islam. Mereka menganggap hukuman Islam itu zalim, ortodok dan sebagainya. Di sinilah pentingnya peranan tauhid mendasari setiap fikiran dan tindakan manusia. Sekiranya manusia benar-benar beriman dengan Allah S.W.T sebagai Tuhan yang bersifat Maha Adil lagi Bijaksana, sudah tentu tidak timbul persoalan yang meragui kemampuanNya mengatur hukum bagi manusia kerana Allah itu bersifat dengan segala sifat kesempurnaan serta sunyi daripada sifat zalim, lemah, kurang serta mengikut hawa nafsu. Berbeza dengan peraturan yang disusun oleh manusia yang banyak mengikut hawa nafsu dan bersifat tidak sempurna. Kita dapat saksikan sendiri peraturan manusia sentiasa berubah-ubah tanpa ada dasar yang tetap untuk memimpinnya. Mengkritik ajaran dan dasar-dasar Islam samalah dengan mengkritik kerja-kerja Allah S.W.T yang menurunkan Islam sebagai cara hidup manusia sehingga ia boleh membatalkan iman seseorang itu.

Adakah kita masih mahu mencontohi segolongan manusia yang mahu mentadbir dunia dengan akal mereka semata-mata sebagaimana yang berlaku di seluruh pelusuk dunia hari ini, namun akhirnya hasil yang diperolehi tidak seimbang bahkan seolah-olah kembali ke alam jahiliah. Semakin tinggi pencapaian teknologi moden yang diperolehi, jati diri insan semakin menjunam menuju kehancuran peribadi serta keruntuhan moral. Kesempurnaan hidup juga semakin jauh meninggalkan mereka. Masalah-masalah sosial semakin kronik sehingga mengundang bala Allah S.W.T ke atas ummah sama ada disedari atau tidak. Justeru itu, mereka seharusnya meyakini bahawa perundangan mantap dan unggul yang tidak dapat dijejaskan oleh perkembangan masa telah berjaya membawa ketenangan, kebahagiaan dan keadilan kepada manusia di setiap zaman dan tempat. Bukan setakat itu sahaja, bahkan menjadi tanggungjawab para pemerintah melaksanakan sistem perundangan yang lengkap dan sempurna demi pembangunan yang seimbang dan sihat.

Akhir-akhir ini, umat Islam di Malaysia diancam pula dengan perkosaan ganas terhadap segala bentuk perundangan yang ada. Ibarat haruan makan anak. Pemerintah yang bikin. Kemudian, mereka jugalah yang merogol anak sendiri. Usah kata Undang-undang Islam mahu dilaksanakan, undang-undang lojik akal mereka sendiri pun dipijak-pijak. Justeru setiap individu seharusnya memainkan peranan bagi memastikan negara kita dapat hidup dengan sihat serta panjang usianya dalam erti kemerdekaan yang sebenar. Merdeka bukan sahaja daripada pemerintahan orang asing, bahkan merdeka dari cara hidup dan sistem perundangan taghut. Apa yang perlu dilakukan ialah menukar kerajaan yang sudah jelas tembelangnya kepada kerajaan yang lebih telus dan ikhlas memimpin rakyatnya dengan undi rahsia anda!

Ummu Abbas,
8 September 2003.
Edit: 26 Februari 2009

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

One thought on “Badan Undang-undang Antarabangsa Iktiraf Keunggulan Sistem Perundangan Islam

  1. assalam…saya nk kna bt assingment pasal perbezaan sistem kehakiman di malaysia dengan sistem kehakiman di jerman…tolong sya crikan maklumat..sya dh pening nk cri…

    Wsalam warahmatullah.

    Mohon maaf. Semoga Allah permudahkan urusan Ilham.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s