Posted in Famili, Islamika, Rasulullah Sayang Kamu...

Poligami: Romantiknya Rasulullah

Malam kian larut. Seorang isteri menunggu-nunggu suaminya pulang. Mereka ini pasangan baru berkahwin. Suaminya aktivis dalam masyarakat. Siang berkerja, malam berceramah.

Tidak larat lagi menongkat mata, si isteri masuk ke bilik dan merebahkan badannya ke katil. Dia baring mengiring. Kemudian dia terlelap.

Si isteri tersedar tatkala mendengar derap kaki melangkah masuk ke bilik. Dia terus berpura-pura tidur. Buat seketika, si isteri membiarkan suaminya bersalin pakaian terlebih dahulu.

Perlahan-lahan si suami merebahkan badan di samping isteri. Sedikit pun dia tidak mengusik isterinya yang sedang tidur.

Si isteri yang sebenarnya sudah tersedar itu menunggu-nunggu lagi.

“Peluklah sayang, abang.” Bisik hatinya.

Puas menunggu, tiada apa-apa reaksi dari suaminya. Malam terus berlalu. Si isteri sedikit kecewa.

Esoknya, isteri bertanya, “Kenapa abang tak peluk sayang semalam.”

“Abang sangka sayang sudah tidur. Abang tidak mahu menganggu sayang sebenarnya. Mungkin sayang letih. Lagi pun sayang sedang alami alahan hamil, bukan?”

**************

Secebis kisah di atas merupakan perkara biasa berlaku di kalangan suami isteri. Sebenarnya baik isteri mahupun suami sukakan belaian dari pasangannya.

Bagi isteri, sentuhan, belaian dan ciuman mesra suami yang didambakan tidak semestinya melibatkan hubungan intim. Ia sudah cukup memenuhi keperluan emosinya yang mahukan perhatian dari suaminya. Hubungan intim pula hanyalah seperti fitrah makan dan minum. Bila lapar dan dahaga, baru kita akan makan dan minum.

Manakala sentuhan-sentuhan ringan, pelukan mesra dan ciuman seboleh-bolehnya dilakukan setiap hari. Banyak sedikit bergantung pada keadaan. Iya lah..siang-siang, masing-masing sibuk dengan tanggungjawab mencari nafkah dan mengurus keluarga.

**************

Apa yang dinukilkan di atas merupakan salah satu sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang jarang diberi perhatian oleh para suami hari ini. Kebanyakan suami, bila dia mahu ‘sesuatu’ dari isterinya barulah dia mahu menyentuh isterinya. Justeru, tidaklah pelik jika isteri merasakan dia bagai ‘alat memuaskan nafsu’ sahaja. Fitrahnya mahu bermanja tidak terpenuhi.

Aisyah r.a menceritakan,
“Rasulullah suka mencium sebahagian isteri-isterinya sedangkan dia berpuasa. Kemudian isteri-isterinya akan ketawa.”

Lihatlah, isteri-isteri Rasulullah yang bertaraf Ummahatul Mukminin itu pun suka dicumbu mesra. Mereka ketawa bila Rasulullah melakukannya kerana merasa gembira.

Rasulullah s.a.w juga pernah mandi bersama isterinya sedangkan dia berpuasa.

Dalam satu kisah lain, Aisyah r.a bercerita, “ Nabi s.a.w suka mencium dan bersenda gurau atau bersentuhan kulit dengan isterinya, padahal waktu itu dia sedang berpuasa.”

Zainab anak perempuan Ummu Salamah mendapat cerita dari ibunya, “Pada satu ketika, aku bersama Rasulullah s.a.w dalam satu selimut kain tenun. Tiba-tiba aku didatangi haid lalu aku keluar perlahan-lahan. Setelah itu aku mengambil kain untuk dipakai menahan haid.

Kemudian Rasulullah berkata, ‘Ada apa dengan kamu? Adakah kamu haid?’

Aku menjawab, ‘Ya.’ Kemudian aku masuk lagi ke dalam selimut bersama Rasulullah.”

Semua hadis di atas direkodkan oleh Imam Bukhari.

Kita dapat lihat betapa Rasulullah merupakan seorang suami yang sungguh romantik. Keadaan berpuasa dan isterinya yang sedang haid tidak menghalang dia bermesra dengan isteri-isterinya. Keadaan ini memang digemari kaum wanita. Mereka tetap suka pada sentuhan mesra pada bila-bila masa.

Rasulullah berpoligami setelah usianya 50-an ke atas. Kebanyakan isterinya pula merupakan wanita berumur lanjut, janda dan balu. Apa yang dapat kita fahami dari hadis-hadis ini ialah romantiknya Rasulullah berkekalan pada usia senja. Isteri-isterinya kecuali Aisyah juga sudah senja usia mereka waktu itu.

Kita dapat lihat pasangan Mat Salleh masih berpimpinan tangan berjalan sedangkan wajah mereka kedut seribu. Berpimpin tangan itu adalah bentuk sentuhan dan belaian yang sesuai bila berjalan di tempat awam.

Kalau kita bagaimana pula? Isteri yang semakin senja itu adakah masih dibelai mesra seperti muda-muda dahulu? Atau kita fikir hanya yang muda layak menerima sentuhan kasih seorang suami?

Meow...! Eh...sayang pun tahu sunnah Nabi ye...meow...romantiknye... sukalah kalau selalu camni.
Meow...! Eh...sayang pun tahu sunnah Nabi ye...meow...romantiknye... sukalah kalau selalu camni.

********

Buat para suami yang berhasrat menambah cawangan, cubalah tanya diri sendiri, adakah sunnah ini sudah dilakukan dengan seorang isteri? Jika belum, mulailah secara amali dengan isteri sedia ada terlebih dahulu. Jika isteri yang ada pun merasa sepi walau suami di sisi, bagaimana pula suami yang begini akan mampu memenuhi emosi isteri kedua, ketiga dan keempat nanti?

Sebagai wanita yang telah bersuami, saya faham pada keluhan sebahagian isteri yang berpendapat suaminya belum mampu untuk berpoligami. Namun ramai suami yang tidak faham apa sebenarnya yang isteri impikan berpendapat isterinya saja-saja tidak reda dengan ketentuan Allah yang mengharuskan poligami. Tuduhan seperti itu menambah luka di hati isteri yang sedia sepi dan rindu. Rindu pada yang ada di hadapan mata namun terasa jauh. Terasa jauh dek jauhnya pengertian suami tentang keperluan emosi isterinya

Beberapa sahabat saya yang bersuamikan individu yang memahami kebutuhan wanita mampu hidup bahagia dengan madunya. Dengan kata lain, suami begini bukan hebat menyebut sunnah pada kuantiti isteri tetapi hebat pada amalan menurut sunnah Nabi dari segenap segi. Hati yang bertaut cinta pada Allah. Lidah yang sentiasa basah dengan zikrullah. Teguh imannya sehingga melihat amanah dan tanggungjawab sebagai beban yang harus dielakkan. Bukannya yang perlu diusahakan supaya datang. Bila datang amanah tanpa dipinta, janji Allah untuk membantu melunasi tanggungjawab pasti terlaksana.

Justeru, suami-suami yang mahu berpoligami tetapi mendapat reaksi kurang menyenangkan dari isterinya, muhasabahlah diri sendiri dahulu sebelum menuding jari kepada pihak isteri.

Ummu Abbas.
11.55pm
4 Rabiul Awwal 1430H/ 1 Mac 2009

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s