Sempena ‘Birthday’mu Ya Rasulullah!

Anak nabi kita
Ada tujuh orang
Tiga laki-laki
Empat perempuan
Kasim Abdullah Ibrahim Fatimah
Zainab Ummi Kalthum
Siti Rokiah

Itulah lirik lagu yang diajar semasa saya kecil-kecil dahulu. Bait-bait yang mengajak saya untuk kenal nabi seterusnya menyintai dan menghormati Baginda s.a.w.

Saya lupa dengan siapa saya belajar lagu itu. Sekolah pertama saya Tabika KEMAS. Tahun 1979, waktu itu belum ada sekolah-sekolah pra yang Islami. Mungkin juga saya dapat lagu itu di sekolah tabika.

Sekarang saya mengajar lagu yang sama kepada anak-anak. Cuma perkataan nama-nama anak Nabi itu saya lafazkan dengan sebutan Arab seperti Kasim kepada Qaasim, Ummi Kalthum kepada Ummu Kalthum dan Siti Rokiah kepada Siti Ruqayyah.

Lagu itu sebagai ‘input’ secara santai buat anak-anak yang masih kecil. Sesuatu yang selalu disebut-sebut akan mudah dan sentiasa diingati. Tahap pertama mengenalkan anak-anak kepada Nabi mereka ialah beritahu nama Nabi dan keluarga Nabi.

Program bagaimana yang sesuai sempena Maulidur Rasul untuk anak-anak? Satu persoalan yang saya fikirkan dan ditanya.

Bagi saya, Nabi perlu di ingat sepanjang masa setiap kali mahu melakukan apa jua. Nabi bukan dilahirkan untuk disambut ‘birthday’nya semata-mata. Bahkan di zaman Rasulullah dan sahabat tidak pernah dilakukan upacara menyambut ‘birthday’ kekasih Allah ini. Hidup mereka penuh pengabdian kepada Allah. Sekali mereka terlupa, yang lain akan mengingatkan.

Sejarah Maulidur Rasul

Setakat yang saya tahu, selepas zaman sahabat, umat Islam semakin lalai dalam mentaati perintah Allah dan RasulNya. Justeru ulama pada waktu itu mengusahakan pelbagai pendekatan agar ummah kembali mengamalkan sunnah. Antara pendekatan yang dibuat ialah membuat majlis memperingati kelahiran Nabi Muhammad. Apabila orang ramai berkumpul menyambut perayaan Maulidur Rasul, ulama mengambil kesempatan ini memberi pengisian dan tazkirah agar mereka kembali menjadikan Nabi sebagai contoh teladan. Orang ramai diseru beramal seperti sunnah yang Nabi tinggalkan dan meninggalkan amalan khurafat serta melalaikan.

Sejak saya kecil, di kampung saya sering diadakan sambutan Maulidur Rasul. Kaum ibu berkumpul sesama mereka membaca qasidah, berzanji dan berselawat. Semasa berselawat, mereka akan berdiri beramai-ramai. Suatu ketika, terdengar suara-suara yang mengatakan sambutan seperti ini merupakan bid’ah. Reformasi yang dibuat di Kelantan dalam amalan ini ialah memberi ceramah atau tazkirah tentang Nabi dan perjuangannya di samping mengekalkan selawat. Ini disebabkan selawat itu memang digalakkan pada umat Islam mengucapkannya.

Semasa di sekolah, seorang kawan mengajak saya dan beberapa orang lagi hadir majlis Maulidur Rasul di rumah kerabat diraja Kelantan. Tokoh yang dijemput sebagai pengemudi majlis ialah Puan Hajjah Faridah, mantan johan Qariah peringkat kebangsaan. Kami pergi selepas waktu sekolah jadi kami hadir dalam pakaian seragam. Waktu itu amalan pemakaian tudung di kalangan kerabat diraja masih agak asing. Kami perhatikan, sepupu sepapan diraja dan lain-lain lagi hadir dengan berselendang nipis di atas kepala. Hanya kami yang bertudung labuh lengkap menutup aurat. Qasidah dibaca tanpa difahami maknanya, berzanji kemudian selawat. Tiada tazkirah dilakukan waktu itu.

Jika Nabi masih ada, saya percaya, Nabi pun tidak akan hadir sambutan ‘birthday’ baginda seperti itu. Bagaimana Nabi Muhammad yang menjaga pandangan matanya akan hadir di majlis yang kaum wanitanya tidak menutup aurat? Tidak kedengaran di dalam sejarah, bahawa muslimah di zaman Nabi dan para sahabat tidak menutup aurat. Bahkan sahabat segera mengangkat pedangnya bila seorang muslimah dikacau oleh Yahudi yang menyelak kainnya. Semangat seperti itu masih ada lagikah pada hari ini?

Nasib baik, majlis Maulidur Rasul yang diadakan secara persendirian di Kelantan pada waktu itu biasanya sesama wanita atau sesama lelaki sahaja.

Apa Yang Nabi Mahukan?

Nabi diturunkan sebagai wakil Tuhan menyampaikan tujuan manusia dan jin dihidupkan. Satu tugas yang maha berat. Nabi dilantik di kalangan manusia supaya Nabi mampu menjadi Uswah Hasanah sebagai ikutan. Nabi bermula dengan peribadinya mendidik diri mencari Tuhan seterusnya mengenal Allah. Itulah tugas utama ibubapa mendidik anak-anak agar mereka mengenal Allah.

Makan minum Nabi, percakapan Nabi, solat Nabi, perkahwinan Nabi, pergaulan dengan anak isteri, mesyuarat Nabi dan serba serbi cara hidupnya adalah sebagai contoh buat kita.

Di celah kedaifan saya, saya tetap berusaha menurut jejak Nabi setakat yang saya mampu. Kemudian baru saya cuba terapkan pada anak-anak. Begitulah cara saya mendekatkan anak-anak kepada Nabi mereka. Program itu berjalan di setiap sudut kehidupan dan sepanjang hayat. Justeru Nabi merupakan akidah kedua kita selepas percaya kepada Allah.

Ia juga bagi membuktikan bahawa kita benar-benar menyintai Allah.

Allah berkata dalam surah Ali Imran, ayat 31 dan 32,

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

Salam dan selawat buat junjungan Nabi Muhammad, ahli bait dan para sahabat seluruhnya.

اللهم صلي على محمد و على أله وصحبه وسلم

Wallahua’lam.

Ummu Abbas
13 Rabiul Awwal 1430H/10 Mac 2009
11.50am.

3 thoughts on “Sempena ‘Birthday’mu Ya Rasulullah!

Add yours

  1. Insyaallah,saya rasa saya faham apa yang cuba disampaikan oleh ummuabbas..terima kasih tentang info buku dan blog keluargaku sayang. Kami di bandar kecil Pekan,Pahang.

  2. Anak nabi kita
    Ada tujuh orang
    Tiga lelaki
    Empat perempuan
    Kasim, Abdullah,Ibrahim ,Fatimah
    Zainab,Rokiah Ummi Kalthum

    VERSI SEKARANG DI SEKOLAH LETERASI….

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: