Pengunjung Muslim lebih Ramai
Alhamdulillah, antara perkara yang menarik perhatian saya dan suami ialah ramainya pengunjung muslim yang mengunjungi PBAKL. Dilihat secara rambang, jumlah mereka mendominasi setiap ruang pesta buku. Lebih-lebih lagi di ruang buku-buku agama dan buku-buku Melayu.
“Pengunjung Cina tidak ramailah,” kata suami saya.
“Ha….a lah. ….kebanyakan air muka pengunjung nampak seperti penyokong Pakatan Rakyat je,” sahut saya setelah suami mengulas tidak kelihatan wajah-wajah UMNO di situ.
Saya sempat juga menjeling baner besar yang menghimpunkan wajah-wajah tokoh di negara kita. Saya tersenyum dan berpuas hati melihat foto Tok Guru berada di atas di celah-celah tokoh-tokoh lain.
Saya juga dapati fenomena biasa di pesta-pesta buku yang mana golongan perempuan lebih ramai berbanding lelaki. Ia mungkin dipengaruhi realiti hari ini yang mana memang perempuan lebih ramai dari lelaki.
Menjadi kebiasaan saya bila mengunjungi pesta buku, saya dan suami memerhati kelompok pengunjung. Kami mahu dan berharap mereka yang menggabungkan diri dalam gerakan Islam mendominasi kelompok ulat buku.
Hisham alTalib dalam bukunya, ‘Panduan Latihan bagi Petugas Islam’ halaman 22 menyebut,
• Jika du’at (pendakwah/aktivis) banyak membaca, mereka akan memimpin ummah Islam.
• Jika ummah Islam lebih banyak membaca, ia akan menerajui tamadun manusia.
• Hari ini: Orang-orang Barat yang lebih banyak membaca, orang-orang Islam kurang membaca! Seterusnya kita belajar membaca, tetapi mereka membaca untuk belajar.
• Arahan: Golongan Islam mesti mempelopori kempen galakan membaca di kalangan orang-orang Islam.
Saranan Hisham alTalib diasaskan kepada wahyu pertama yang mengatakan, “Bacalah dengan nama Tuhanmu”.
Ulasan saya mengenai pengunjung ini berdasarkan dua hari saya mengunjungi PBAKL. Itu pun hanya sebentar sahaja saya berada di sana. Ia sebenarnya lebih adil di nilai oleh mereka yang berada di sana setiap hari.
Pasaran Buku Melayu Lebih Baik
Saya gembira bila Puan Ainon melaporkan jualannya tersasar jauh dari anggaran asal. Baca di web PTS.
Ia signifikan dengan pemerhatian saya yang mendapati pengunjung muslim (Melayu) lebih ramai. Mereka juga membuktikan bahawa mereka lebih suka bahan-bahan bacaan berbahasa ibunda (Bahasa Melayu) dibandingkan Bahasa Inggeris.
Rombongan sekolah juga banyak yang mana terdiri dari anak-anak kecil dan remaja Melayu. Kebanyakan mereka membeli buku-buku berbahasa Melayu.
Situasi ini menunjukkan ada peningkatan jumlah penggemar buku di kalangan warga muslim berbangsa Melayu. Ia juga memberi harapan kepada industri buku-buku Melayu untuk berkembang lebih baik di tanah air.

Syabas buat semua: Penganjur, peserta dan para pengunjung PBAKL09!
Ummu Abbas
11.54am
3 Jamadil Awwal 1430H
Tinggalkan Jawapan