Pelancongan Buku 2

Mohd Isa Abdul Razak

Assalamualaikum wbt.

Saya berminat untuk membaca pandangan peribadi puan tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, penyertaan penerbit dan jenis buku yang dipamerkan. Mungkin puan ada pandangan tersendiri tentang ruang pameran DBP, PTS dan beberapa penerbit lain.
Benarkah pengunjung wanita (remaja) melebihi lelaki?
Benarkah mereka mengerumuni ruang pameran PTS untuk membeli novel?
Sesakkah ruang pameran yang mempromosikan bahan bacaan Islam?

Wassalam.

Saudara Mohd Isa Abdul Razak,

Wa’alaykum salam.

Respon kepada pertanyaan saudara saya muatkan dalam entri ini dan selepasnya. Terima kasih kerana bertanya.

Ummu Abbas.

*********************
Sejak kali pertama ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun 2006, saya terfikir, alangkah bagusnya kerajaan mengadakan promosi agar rakyat melancong ke PBAKL. PBAKL sedikit berbeza dibandingkan dengan pesta-pesta buku di peringkat negeri. PBAKL disertai oleh penerbit dari pelbagai negara luar seperti dari Indonesia dan Timur Tengah.

Tahun 2006, saya terserempak dengan 1 keluarga yang sama-sama menaiki ‘flight’ di PBAKL.

“Rupa-rupanya mereka pun datang KL untuk ke pesta buku,” fikir saya.

Saya berjalan dengan Chik sambil menyorong anak saya yang belum berusia 2 tahun waktu itu. Tahun 2006, Aesya saya bawa kerana masih menyusu. Tahun 2009, kereta sorong bayi yang sama diisi pula dengan adiknya, Aqil yang belum berusia 2 tahun.

Sejak tahun itu, saya bercita-cita membawa anak-anak yang lain ke PBAKL. Saya bercerita pada suami suasana PBAKL yang sungguh meriah. Saya ceritakan juga ada famili yang membawa anak-anak bermusafir dari Kota Bharu ke PWTC semata-mata untuk ke pesta buku.

Bagi mereka yang berada di luar KL dan tidak pernah mengunjungi PBAKL di PWTC, saya ingin maklumkan kemudahan makan minum dan tempat solat disediakan. Terdapat kiosk yang menjual makanan dan minuman di setiap aras dengan harga berpatutan.

Pagi Sabtu, semasa berada di booth Anbakri Publika Sdn Bhd, saya bertemu dengan seorang anak buah yang bertugas sebagai Pegawai Pergigian di salah sebuah hospital di Kelantan. Dia datang bersama rakannya menaiki bas dari Kota Bharu pada hari Jumaat semata-mata untuk ke PBAKL09. Dia akan pulang malam Ahad menaiki bas sedangkan esok dia sudah bekerja semula.

Hmm…hebat juga penangan PBAKL kepada ulat-ulat buku ini ye…


Booth-booth di PBAKL09

PBAKL09

Nampaknya, antara tarikan PBAKL09 tahun ini ialah tiada lagi booth di seberang sungai. Sungguh letih dan jauh untuk berjalan ke sana. Saya sudah mendapat maklumat ini daripada web universitipts.com.

Oleh kerana saya parking kereta di tingkat 4, kami memasuki dewan yang dipenuhi booth yang menjual banyak buku-buku berbahasa Inggeris. Ruang tingkat 4 ini lengang sahaja pada petang Jumaat itu. Pengunjung tidak ramai. Saya menarik nafas lega. Mudah untuk kami meninjau buku-buku dan berpindah dari satu booth ke satu booth yang lain. Saya ingat juga pesanan Puan Ainon supaya elakkan datang pada hari Sabtu dan Ahad.

Suami saya merupakan pakar mikrobiologi kelihatan agak kecewa dengan buku-buku dari bidangnya. Tiada yang menarik perhatiannya.

Kemudian kami turun ke tingkat 3. Pengunjung lebih ramai di sini. Rupa-rupanya di sini terkumpul lebih banyak syarikat penerbitan Melayu dan India Muslim. Lagu-lagu Islami yang berkumandang menenangkan telinga mendengarnya. Hmm patutlah.. banyak penerbit bahan-bahan agama di tingkat 3.

Semasa melintas Syarikat Telaga Biru buat kali kedua, kelihatan Ustaz Zahazan sedang melayani peminatnya. Ustaz Zahazan hanya saya kenali namanya semasa sama-sama belajar di Jordan dahulu. Saya mengenali orangnya setelah melihat di kaca TV. Lagi pula saya belajar di Amman dan Ustaz Zahazan belajar di Irbid. Berdasarkan usianya, dia merupakan junior saya.

pbakl09-saba

Saya tidak melepaskan peluang bergambar di hadapan pembekal buku pertama saya yakni SABA Islamic Media Sdn Bhd. Pertama kali menjadi pengedar buku, saya ‘berkahwin’ dengan SABA yakni pada tahun 2002. Selepas itulah baru saya berkenalan dengan penerbit-penerbit buku lain.

Syarikat DAWAMA yang saya kunjungi masih gah berlokasi di tengah ruang dewan. Ruang booth yang selesa menonjolkan lagi fungsi DBP sebagai penerbit. Namun seperti mana-mana pesta buku yang saya kunjungi, buku-buku bacaan awam DAWAMA kurang menarik perhatian saya. Saya memasukinya kerana mencari Kamus Besar Dewan. Nasib saya baik kerana hanya tinggal 1 naskhah. Kamus itu berharga RM130. Selepas diskaun, saya membayar sebanyak RM92. Saya pernah mencarinya di kedai SMO berhampiran rumah namun stoknya sudah habis.

Berdasarkan pengamatan saya, DAWAMA hanya gah kerana ia bertumpang di dahan DBP. Namun dari sudut penerbitannya, banyak syarikat-syarikat lain mendahuluinya. Saya kira pendekatan PTS dalam menawan hati pelanggan dapat menyaingi DAWAMA. Begitu juga syarikat-syarikat bumiputra yang lain. Pandangan saya ini mungkin betul dan mungkin juga salah. Pihak penerbit sendiri yang lebih tahu berdasarkan perkembangan syarikat masing-masing.

pbakl09-dawama1

Saya tidak mampu bercerita banyak mengenai DAWAMA kerana ia kurang memikat hati saya. Justeru saya tidak begitu mengikuti perkembangannya. Anak-anak membeli satu set buku kanak-kanak dan juga VCD cerita animasi di sini. Suami saya gembira dapat menemui Azizi, penulis yang diminatinya. Sejak saya berkahwin, saya dapati banyak novel Azizi menjadi koleksinya.

Mencari Buku Sendiri

Sahabat saya, Kak Cik pernah memaklumkan, buku yang kami tulis bersama akan dijual di Syabab Media. Saya mencari-cari namun tidak berjumpa. Cetakan pertama sudah habis dijual namun saya belum lihat lagi buku itu.

Saya menghubungi Kak Cik. Kak Cik jelaskan, suaminya tidak sempat uruskan cetakan kedua. Jadi ia tidak sempat dijual sempena PBAKL09. Saya pasrah.

Anak-anak berusia bawah 6 tahun mudah jemu meronda di satu-satu kawasan. Nasib baik mereka diasyikkan seketika dengan satu persembahan di pentas. Persembahan itu khusus untuk anak-anak kecil.

Kami tidak mampu menghabiskan rondaan pada petang Jumaat itu. Naluri anak-anak yang mahu pulang terpaksa kami turuti. Kami keluar seawal jam 5.30 petang sedangkan kami baru berada di sana kira-kira jam 2 petang.

Kami bermalam di rumah Kak Cik. Baru saya dapat lihat wajah ‘anak sulung’ saya (buku pertama yang dicetak) dan juga penulisan bersama dengan Kak Cik.

Kami pergi semula ke pesta buku pada pagi Sabtu. Kami terus turun ke tingkat dua yakni aras pertama pesta buku. Hari ini memang padat dengan pengunjung. Aras satu ini disertai banyak penerbit-penerbit kecil yang sedang mengukuhkan tapak. Ia satu perkembangan menarik.

Antara syarikat yang saya kenali ialah Blue-T Publication, Anbakri Publika, Jundi Resources, Galeri Ilmu, HRP dan lain-lain.

Tok Guru Jadi Mangsa

Satu peristiwa menarik saat saya mampir di gerai Anbakri Publika. Terdapat foto Tok Guru Nik Abdul Aziz yang dicetak bersaiz besar. Tingginya foto itu kira-kira paras dada. Seorang remaja perempuan bersama rakan-rakannya menghampiri foto itu. Remaja itu lantas meletakkan tangannya di atas bahu Tok Guru sambil berkata, “Ini sahabat lama”. Saya tersenyum melihat gelagat mereka. Teringin juga mahu snap foto mereka beraksi demikian namun bimbang mereka menolaknya.

Naluri saya dapat merasakan kasih mereka pada Tok Guru. Walhal penampilan mereka biasa-biasa sahaja.

Kami tidak sempat meronda habis dek anak-anak yang mahu pulang cepat. Saya berpusing mencari gerai PTS namun tidak berjumpa. Setelah keluar dari ruang penerbit-penerbit kecil itu, seorang duta PBAKL mendengar perbualan saya dengan suami lantas menunjuk arah gerai PTS.

Pintu masuknya sahaja sudah dihias hebat. Asyik sekali saya melihat foto-foto yang dipamerkan.

Ahhh…anak-anak merungut lagi. Saya membawa mereka ke ruang legar di bahagian tengah. Semasa saya masuk mendapatkan kerusi, saya melihat susuk wajah seperti Puan Ainon namun saya tidak dapat menyapanya kerana ‘confuse’. Bimbang tersalah orang. Dia berpakaian sepasang berwarna hitam dan bertudung bercorak warna hitam putih. Wajahnya ceria. “Agaknya berpuas hati dengan kunjungan pelanggan,” fikir saya.

Suami saya menyuruh saya masuk seorang diri ke gerai PTS. 3 anak lagi bersama suami mengadap pentas. Waktu itu ialah sesi bersama Abu Saif saifulislam.com dan seorang lagi penulis. Encik Amran dari kumpulan Raihan menjadi moderatornya. Encik Amran merupakan sepupu kepada ibu saudara sebelah abah saya namun berlainan ibu. Dengan perkataan lain, dia anak saudara kepada allahyarham nenek tiri saya.

Saya ke gerai PTS bersama dua orang anak. Gerai PTS dipenuhi pengunjung. Novel-novel Islami untuk remaja diletak di bahagian hadapan. Jadi mudah pelanggan menyerbu dan memilihnya.

Saya hanya singgah sebentar di gerai PTS. Saya keluar untuk pulang tanpa membeli sebuah buku untuk diri saya.

Ruang Pameran Yang Lebih Adil

Saya tidak tahu kuota ruang untuk setiap penerbit diberi berdasarkan apa. Bila diteliti, saya dapati syarikat yang sudah lama seperti Al-Hidayah memiliki booth yang luas dan selesa. Begitu juga dengan DAWAMA dan beberapa syarikat lain terutama yang diisi dengan meja dan kerusi. Walhal kerusi meja itu banyak yang kosong semasa saya melintasinya. Manakala syarikat yang sudah memiliki banyak judul buku seperti PTS terpaksa menyempitkan ruang booth mereka dengan lambakan buku-buku. Pelanggan terpaksa berhimpit untuk melihat buku-buku di atas rak dek lorong yang sempit.

pbakl09-ana-muslim

Saya suka dengan lokasi booth seperti E-Media, Telaga Biru dan Blue-T Publication kerana pelanggan boleh masuk dari arah kiri dan kanan. Ia lebih lapang dan selesa untuk melihat buku-buku. Hiasan kreatif Blue-T Publication sesuai dengan konsep penerbitan mereka yang fokus pada komik kanak-kanak Islami. Ia sudah jauh lebih baik dari tahun 2006 dahulu.

Ummu Abbas
11.29am
3 Jamadil Awwal 1430H

One thought on “Pelancongan Buku 2

Add yours

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: