Kami bertolak seawal jam 4 pagi dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tujuan utama kami hanya satu: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.
Rancangan ‘on the spot’ itu lahir pada tengahari Khamis. Beberapa hari sebelumnya, saya tidak senang duduk setiap kali melihat iklan-iklan PBAKL09. Saya asyik mengira-ngira tarikh 17-26 April 2009. Bertambah tidak senang duduk bila mengetahui dua orang Tok Guru kesayangan saya (TGHH dan TGNA) telah mampir ke PBAKL09 untuk merasmikan buku dan booth.
Kali pertama saya ke PBAKL ialah pada tahun 2006. Saya mahu meninjau atas dasar saya mengurus kedai buku pada tahun itu. Oleh kerana lokasi tidak menarik, kedai buku saya hanya bertahan setahun. Sekarang, buku-buku yang berbaki dipamerkan di ruang tamu rumah saya.
Di sebalik takdir Allah itu, banyak perkara yang saya belajar. Biarlah saya simpan dahulu hikmah yang tersurat sepanjang pengalaman membuka kedai buku.
Sifat orang mukmin menerima semua takdir adalah baik untuknya. Sangka baik dengan Allah membawa bahagia dan tenang hati walaupun kita miskin harta. Alhamdulillah.
Cetusan Hati Ke PBAKL09
Jam 12.37 tengahari Khamis itu saya baru sahaja meninggalkan komen di blog Puan Ainon PTS;
Sedihnya…
Jasadku di Serambi Mekah
Hatiku di PWTC
Selagi PBAKL09 belum dihabisi
Cemburunya saya lihat manusia bersesak-sesak dalam dewan itu.
Sekali sahaja sempat ke PBAKL dengan Kak Chik maribaca.com. Kalau tidak silap tahun 2006.
Selepas azan Zohor berkumandang, fatwa hati (meminjam istilah Abu Saif saifulislam.com) mendorong saya menelefon suami,
“Bang, hari Jumaat Sabtu ini abang ada kerja tak?”
“Pagi Jumaat ada kerja sikit. Ada apa?,” tanya suami.
“Nur ingat nak ajak abang pergi pesta buku di KL,” beritahu saya.
Desahan suara suami di hujung sana seperti memberi jawapan ianya tidak mungkin.
Entah mengapa, saya tidak terkilan mendengar jawapan suami.
Hati saya kuat mengatakan, jika Allah sememangnya sudah takdirkan saya akan berada di PBAKL09, saya tetap akan berada di sana.
Allahlah yang menguruskan hati-hati manusia.
Prinsip saya, saya akan lakukan apa jua perkara selagi ianya mendapat reda Allah dan reda mereka yang berhak ke atas saya yakni suami. Saya tidak akan cuba mendesak atau memaksa suami menurut kehendak saya.
Jika Allah izinkan saya lakukan sesuatu, maka Dia akan memberi izinNya melalui suami saya. Begitulah jua sebaliknya. Jadi saya tidak perlu risau dengan apa jua ketentuanNya.
Sama ada kehendak Allah itu sesuai dengan kehendak saya atau tidak, saya menerima segalanya dengan senang hati.
Allah tahu apa yang terbaik untuk saya.
Saya segera menaip ‘sms’ (saya sudah padamkan isi ‘sms’nya, jadi tidak dapat disalin ke sini) dan menekan butang ‘send’. Antara yang saya ingat, saya tulis begini kepada suami, “Jomla bang, kita ke pesta buku. Sehari je nak round. Hari Sabtu kita balik. Bagus juga untuk anak-anak.”
Saya perlu mengadakan sebab-musabbab agar saya dapat ke PBAKL09.
Saya bukan Tuk Kenali yang berjalan melipat bumi. Maksud saya, saya bukan wali yang akan sekejap sahaja berada di tempat mana yang dia mahu.
‘Sms’ tidak berbalas.
Waktu itu merupakan masa rehat tengahari.
Tawakkal Mengundang Tenang
Saya bertawakkal kepada Allah. Saya tidak mahu lagi menganggu suami yang sedang berkerja. Oleh kerana tiada jawapan dari suami, saya tidak membuat apa-apa persediaan untuk bermusafir.
“Penting sangatkah aku mahu ke pesta buku? Perjalanan yang jauh itu berbaloikah,” fikir saya mencari justifikasi yang kuat untuk ke KL.
“Tapi kenapa naluri itu muncul tiba-tiba. Hatiku bagai digerakkan sesuatu tanpa aku merancangnya.”
“Apa yang Allah mahu berikan padaku sebenarnya. Aah… buku itukan ilmu. Iya… bermusafir untuk mendapatkan ilmu memang berbaloi,” saya bermonolog lagi.
Saya cuma dapat rasakan perasaan halus itu datang sepertimana saya mahu ke Jordan dan ke Mekah suatu ketika dahulu. Ia persis sekali. Sudah lama lambaian hati yang digerakkan oleh kebenaran itu tidak hadir dalam diri saya dek tenggelamnya saya dalam nikmat duniawi.
Oleh sebab itulah saya tenang sahaja bila mendapat respon yang tidak menggalakkan dari suami. Gerak hati itu dari Allah. Bukan saya memandai-mandai sendiri mahu berjalan tanpa tujuan. Lagikan ‘shopping’ biasa pun saya tidak gemar. Jarang-jarang saya ikut suami ‘shopping’ di pasar raya. Memadai saya wakilkan sahaja dengan mencatat senarai barang yang saya mahu.
Dalam tempoh suami membeli-belah dengan anak-anak yang dibawa bersama, saya mengisi waktu dengan perkara lain yang lebih berfaedah.
“Sesungguhnya kewajiban lebih banyak dari waktu yang ada,” itulah pesanan Hassan al-Banna yang menjadi pegangan saya.
Petang Membawa Khabar Gembira
Kira-kira jam 6.30 petang, kelihatan wajah suami lesu menaiki tangga. Dia berbaring di sisi saya yang sedang berehat ketika itu.
Waktu suami pulang tidak menentu setiap hari. Hari itu saya tidak mendengar bunyi kenderaan suami pulang. Jadi saya tidak menyambutnya di pintu. Saya berehat seketika sambil memerhati anak-anak yang sedang main air dan mandi.
Saya lihat mood suami dalam keadaan baik walaupun letih. Sambil membelai suami saya bertanya, “Bang, mahu tak pergi pesta buku?”
“Nak bertolak pukul berapa?” suami bertanya kembali.
Alhamdulillah, gembira saya mendengarnya.
“Kalau malam ni macam mana?”
“Pagi esoklah. Pukul 3,” suami memberi kata putus.
Saya akur dengan keputusannya. Lagi pun, perjalanan biasa dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur selama 7 hingga 8 jam. Kira-kira jam 11 pagi, insya Allah, kami sudah berada di PWTC. Sempatlah ‘round’ sehari di pesta buku. Hari Sabtu kami akan bertolak pulang.
“Abbas, Azzam, jom tolong Ummi berkemas. Abi nak pergi pesta buku,” saya memanggil anak-anak.
Anak-anak seronok. Tergesa-gesa saya menyiapkan apa yang patut. Ia tidak membebankan memandangkan kami hanya akan berada semalaman di KL.
Saya menunda satu usrah yang akan diadakan petang Sabtu ke Sabtu hadapan.
Ummu Abbas
2.22pm
2 Jamadil Awwal 1430H
shopping dengan suami dan anak-anak…. seronok tu…!