Anggota Alleycats Peluk Islam 2

Kucing Alleycast

Buku yang Shah Alleycats cari tiada pada waktu itu. Saya berjanji akan tolong dapatkan buku tersebut. Sementelah dia sedang berulang alik dari KL-Kota Bharu semata-mata mahu mendalami ilmu Islam. Kelas yang dianjurkan oleh JHEAIK memang dikhususkan buat saudara baru Islam.

Shah menyebut dia adalah pemain gitar bagi kumpulan Alleycats. Dia berkerja dengan Alleycats yang banyak menyanyi di kelab-kelab.

Saya tidak banyak bertanya tentang hal itu. Saya faham sebagai insan yang baru kembali ke agama fitrahnya, asas yang perlu dia faham mendalam terlebih dahulu ialah tentang aqidah, akhlak dan ibadat fardu ain seperti solat dan puasa. Mengenai kerjayanya yang tidak berapa ‘ngam’ dengan tuntutan syarak itu akan dia fahami sedikit demi sedikit.

Namun Shah berterus terang bahawa dia sudah ‘resign’ dengan Alleycats selepas membuat keputusan memeluk Islam. Buat masa sekarang adalah penting bagi dia mendalami ilmu Islam.

Tentang pihak media yang memburunya, Shah menceritakan terdapat wartawan hiburan yang tahu hasratnya memeluk Islam menunggu dia di pejabat agama di Kuala Lumpur. Dia cuba mengelak dari bertemu mereka kerana tidak mahu berita keislamannya dihebohkan. Namun pihak wartawan dapat juga menjejakinya lalu khabar mengenainya disiarkan dalam majalah hiburan.

**************

quran%20light

Nur yang terpancar di wajah Shah itu cukup menggambarkan jiwanya berada dalam keadaan tenang.

Janji Allah itu pasti benar untuk membersihkan kekotoran maksiat hambaNya yang beriman kepadaNya setelah kufur. Mereka bersih dari dosa-dosa lampau yang dilakukan sebelum memeluk Islam. Sebutlah apa jenis dosa; membunuh, berzina berpuluh-puluh kali, arak bagai air sejuk yang diminum setiap hari, riba, rasuah dan pelbagai spesis dosa lagi. Ia pasti dibersihkan dengan dua kalimah syahadah, “La ilaha illallah Muhammad Rasulullah”. Kalimah syahadah itu membersihkan selaut dosa bagai air sungai membersihkan batu-batan yang setia di laluannya. Tiada tanah atau kotoran atau sampah yang akan tersisa di atas batuan yang licin itu.

Allah berkata dalam surah al-Anfal ayat 38,

Jika mereka berhenti (dari kekafirannya), nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa mereka yang telah lalu.”

Isi catatan yang akan kekal relevan sepanjang masa ialah penekanan Shah mengenai pentingnya dia sentiasa berdamping dengan ilmu. Meskipun Shah menyebut orang Islam asal itu lain (dengan tidak menambah ilmu) namun realitinya ia tetap sama. Cubalah saudara pembaca teliti isu murtad di kalangan bangsa Melayu. Apakah asas mereka menjadi murtad? Iya, kerana mereka tidak dikenalkan kepada Allah dengan sebenar-benar kenal sejak dari kecil (makrifatullah).

Apa erti kita mengenali seseorang di jalanan, kemudian kita ambil nombor telefonnya serta alamatnya namun kita tidak pernah menghubunginya apatah lagi menziarahinya. Ke mana akhirnya hubungan tersebut? Saudara tentu dapat menjawabnya.

Begitu juga kita dengan Allah. Apa guna kita mengetahui wujudnya Allah dan segala sifat-sifatNya yang agung, namun kita tidak pernah hubungi Dia atau hubungi sekali-sekala bila kita ada kepentingan sahaja. Ke mana akhirnya hubungan tersebut? Komunikasi kita dengan Allah bukan dengan email atau handphone tetapi dengan solat dan doa.

Cuba tanya pada mereka yang murtad, apakah mereka menunaikan solat 5 waktu sebelum ini? Tanya lagi mereka, apa yang mereka faham tentang solat?

Apakah saudara mengira menghafaz beberapa surah al-Quran tanpa faham kandungannya itu akan memugar diri seseorang daripada murtad?

Justeru itu, Islam melalui wahyu pertamanya menyebut “Iqra’”. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mencipta dirimu. Bacalah serta fahamilah apa yang dibaca.

Nabi s.a.w menyebut tanda-tanda Allah limpahkan kebaikan pada seseorang ialah dengan memahami (faqih) dalam agama.

Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan pada dirinya, nescaya Allah berikan kefahaman (faqih) mengenai agama.”

-Al-Hadis-

Faqih dan faham memerlukan ilmu sebagai makanan akal. Tanpa ilmu, akal kelaparan.

Prof Yusuf al-Qaradawi mengatakan, “Pokok ilmu ialah makrifatullah (mengenal Allah) dan mengESAkanNya.”

Mu’az bin Jabal menutur kata hikmahnya, “Belajarlah engkau ilmu pengetahuan! Sebab, mempelajarinya kerana ‘khosy-yah’ (takut kerana Allah) merupakan ibadah, menuntutnya adalah tasbih, membahaskannya adalah jihad, mengajarkannya adalah sedekah serta mencurahkannya pada ahlinya merupakan korban (mendekatkan diri di jalan Allah).
*********************

Ia teman tatkala bersendirian, dalil agama serta penolong dalam suka dan duka.

Ia rakan karib di kala sepi, teman terbaik dan paling dekat serta cahaya menuju syurga.

Dengannya Allah mengangkat martabat umat, lalu dijadikannya pemimpin dalam hal kebaikan.

Saya berikan nombor handphone Brother Shah Kirit kepada Shah. Brother Shah Kirit bertugas sebagai Pengurus SABA Islamic Media di salah satu cawangan di Kuala Lumpur. Sekiranya Shah mempunyai masalah, insya Allah dia boleh cari seseorang yang boleh dipercayai untuk membantunya.

Sebaik Shah melangkah keluar dari kedai, saya segera menelefon suami memaklumkan ada saudara baru. Handphone tidak diangkat. Saya meninggalkan sms. Saya tahu suami saya sedang sibuk bila tidak mengangkat handphonenya.

Tidak berapa lama, suami menelefon saya. Dengan nada suara yang sedikit terperanjat, dia bertanya, “Anggota kumpulan Alleycats masuk Islam?”

“Iya, Nur ingat nak minta Abang ajak dia lunch bersama Abang tengahari ni. Boleh berbual lebih lanjut.”

“Dia ada kat sini lagi tak?”

“Tadi dia cakap nak bertolak balik KL tengahari ni. Mungkin sehari dua lagi dia datang balik. Trylah telefon dia,” saya berikan nombor yang telah diambil dari Shah tadi.

Pada masa itu, suami saya menanggung tugas sebagai Pengerusi SAHABAT PENYAYANG MALAYSIA. Sebuah NGO yang mengambil berat tentang dakwah kepada non-muslim dan kebajikan saudara baru yang memerlukan bantuan. Kami berkongsi minat dalam hal ini. Justeru sama ada Shah itu dari kumpulan artis atau tidak, ia bukan soal penting. Sesiapa sahaja yang baru ‘revert’, menjadi tanggungjawab kita membantu mereka.

Oleh kerana Shah lelaki, maka saya hubungkan dia dengan lelaki juga. Perbualan saya di dalam kedai sekadar taaruf ringkas dan mendapatkan maklumat yang boleh membantu. Ia sebahagian kaedah Islam dalam menjaga pergaulan lelaki dan wanita agar fitnah dapat dielakkan.

Kalau tidak silap saya, selang dua hari Shah datang semula ke Kota Bharu. Suami saya mengambil kesempatan makan tengahari bersama Shah dan beberapa sahabat lagi. Sudah tentu saya tidak mengikutinya. Tugasan saya untuk ‘take care’ cukup dahulu buat masa itu.

Banyak pulalah pengalaman Shah memeluk Islam dikutip mereka.

****************
Alhamdulillah, saya menepati janji saya dengan Shah untuk mendapatkan buku 4 sahabat besar Rasulullah s.a.w. Dia datang ambil di kedai. Dia beriya-iya mahu membayarnya. Saya pula beriya-iya menolaknya. Akhirnya saya yang menang. Walaupun saya tahu dia berduit namun saya tetap ingin meraikan saudara baru Islam saya ini. Saya sudah berpakat dengan suami akan hal tersebut walaupun perniagaan saya tidak ke mana waktu itu.

Saya dapat baca sedikit perwatakan dia yang kuat berdikari. Dia juga tidak mengharapkan belas kasihan orang lain.

Tidak berapa lama selepas itu, suatu hari saya menjenguk kedai. Saya terlihat satu bungkusan hadiah yang besar dan tinggi tersandar di dinding dalam kedai.

“Apa ni?” saya tanya pembantu kedai.

“Shah yang hantar tadi. Dia hadiahkan untuk akak,” pembantu itu memberitahu.

Ya Allah, saya dapat mengagak sudah tentu Shah berasa tidak sedap hati kerana saya menolak bayaran buku tempohari. Walhal memang dia berniat untuk membelinya sejak awal.

Bungkusan hadiah dibuka. Satu frame khat timbul bertulisan emas berlatar belakang warna merah terserlah cantik. Bingkainya juga berwarna emas. Harganya saya kira tidak kurang dari RM100.

La haula wala quwwata illa billahil’aliyyul azhim.

Suami saya tidak izinkan menggantungnya di dalam rumah. Saya pun hadiahkan kepada kakak saya yang sedang membina rumah. Namun akhirnya frame itu sekarang tergantung di ruang tamu rumah adik saya di Pasir Gudang.

Hmm…begitulah Allah mengatur rezeki hamba-hambaNya. Rezeki yang berada di tangan kita hari ini, belum tentu milik kita. Ia hanya stesen rezeki sebelum sampai kepada empunya yang sebenar.

****************
Khabar terakhir Shah yang saya tahu ialah dia sudah berkahwin dengan seorang gadis Kelantan dan mendapat anak. Lebih dua tahun kami tidak dapat menghubunginya. Mungkin nombor handphonenya sudah bertukar.

Ya Allah, tetapkanlah hati-hati kami di atas agamaMu dan mentaatiMu. Amin ya Rabbal ‘alamin.

Ummu Abbas
6.25pm
23 Jamadil Awwal 1430H

2 thoughts on “Anggota Alleycats Peluk Islam 2

Add yours

  1. assalamualaikum,
    Kak Nur, apakah kaedah terbaik atau buku yang boleh saya gunakan sebagai rujukan untuk diberikan kepada seseorang yang baru mahu mengenali islam?

  2. Wa’alaykum salam wbh,

    Salwana yang dimuliakan,

    Pada pandangan Kak Nur, kaedah terbaik dengan non muslim yang mahu mengenali Islam ialah berusaha menjadi mukmin berakhlak mulia. Mukmin adalah DUTA ISLAM. Pamerkan akhlak yang baik seperti mengambil berat kebajikannya, sentiasa bertanya khabar, peramah, sabar, bercakap perkara yang benar dan lain-lain. Sejarah sejak zaman Rasulullah s.a.w membuktikan bahawa akhlak Islam berjaya menawan hati ramai orang untuk mendekati Islam.

    Kaedah interaksi dan komunikasi berlandaskan Islam adalah penting agar mereka dapat melihat ISLAM yang HIDUP pada diri MUSLIM.

    Antara buku-buku yang sesuai dihadiahkan kepada mereka ialah;

    1. Quran terjemahan dalam bahasa individu yang akan menerimanya. Contoh: Terjemahan Bahasa Cina untuk bangsa Cina. Atau bahasa yang mereka lebih faham dan fasih.

    2. Buku 20 Soalan Paling Lazim Mengenai Islam. Diterbitkan dalam 3 bahasa: Melayu, Inggeris dan Cina.

    3. Buku terbaru terbitan SABA Islamic Media berjudul ‘Ask Brother Shah’.

    4. Buku-buku berkenaan mati, kiamat, syurga dan neraka. Ini berdasarkan pengalaman mereka yang pernah berdakwah kepada non muslim.

    5. Buku ‘Islam Yang Mudah’ terbitan PTS Publications.

    Utamakan memilih tajuk yang asas mengenai Islam seperti aqidah dan akhlak.
    Cuba elakkan memilih tajuk yang mempunyai khilaf pendapat kerana ia akan memeningkan kepala mereka yang belum kenal Islam.

    Kak Nur harap jawapan di atas dapat membantu Salwana memilih buku-buku terbaik untuk dihadiahkan kepada rakan-rakan non muslim.

    Di samping itu, sentiasa doakan mereka agar diberi hidayah oleh Allah.

    Sekian.

    Wassalam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: