Ini adalah catatan saya pada tahun 2006 yang mana pada tahun tersebut saya membuka kedai buku. Saya edit semula bahasa dan menambah sedikit maklumat. Terdapat isi catatan yang masih relevan dan akan kekal relevan sepanjang masa. Saya akan memberi ulasan dalam entry selepas ini, insyaAllah.
Anggota Kumpulan Alleycats Memeluk Islam
Pagi tadi kira-kira jam 11.00 am, seorang pemuda India bertamu ke kedai buku saya. Semasa dia melangkah masuk ke kedai, saya tidak memakai purdah. Biasanya saya akan mengenakan purdah bila ada lelaki ajnabi masuk ke kedai. Saya membuat pertimbangan sendiri waktu itu, saya merasa tiada gangguan pada hati saya dan saya juga tahu bagi muslimah berpurdah, terdapat keadaan yang mengharuskan dia membuka purdah seperti dalam prosiding kehakiman, muamalat dan lain-lain. Jadi saya mengambil keputusan untuk tidak mengenakannya waktu itu.
Mula-mula, saya biarkan saja dia melihat sendiri buku-buku yang ada namun merasakan seperti dia baru memeluk agama Islam lantas saya bertanya buku apa yang dia mahu. Dia beritahu dia mencari buku berkenaan 4 sahabat besar Rasulullah s.a.w iaitu 4 khalifah termasyhur.
Kemudian saya tanya lagi, adakah dia convert. Dia mengiyakan sambil memberitahu baru 2 minggu dia memeluk Islam. Dia tinggal di Kuala Lumpur. Datang Kelantan untuk belajar agama di JHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan). Pada masa itu saya menyewa kedai berhampiran dengan JHEAIK. Sambil itu, saya hantar SMS pada suami minta nombor handphone Shah Kirit. “Patut tolong ni, saudara baru,” detik hati saya. Mungkin dia perlukan apa-apa bantuan.
Shah Kirit merupakan pendakwah kepada non-muslim yang juga berbangsa India. Jadi Brother Shah adalah individu terbaik untuk membantu saudara muslim sebangsa dengannya. Memandangkan mereka lebih akrab dengan budaya dan tabiat bangsa sendiri.
Pertanyaan bersambung adakah keluarga telah mengetahui? Dia beritahu belum tapi dia bimbang kerana berita mengenai keislamannya telah disebarkan oleh media cetak.
Terpinga-pinga juga saya. Apa hal yang sampai masuk akhbar pasal keislaman dia. Orang lain ramai lagi yang sudah masuk Islam, tidak bising pula puak-puak akhbar. Seperti memahami apa yang terdetik di hati saya, belum sempat saya bertanya, dia beritahu dia seorang pemuzik.
Ooh! Patutlah tapi tidak biasa pula tengok wajah dia. Saya interview lagi, “Main muzik untuk siapa?”.
“Saya anggota Alleycats”.
“Ada ke anggota Alleycats yang muda-muda, saya ingat semua ahli lama”.
“Ada”.
Saya kenal Alleycats. Saya peminat Alleycats masa kecil-kecil dahulu. Banyak lagu-lagu Alleycats yang saya hafal. Quran saya tidak hafal pula. Pada zaman saya bersekolah rendah, sekolah-sekolah tahfiz belum muncul lagi. Saya hanya hafal surah-surah lazim yang akan dibaca dalam solat. Apabila menjengah usia remaja, syariatlah yang membataskan minat kepada kumpulan Alleycats. Saya hanya kenal ‘tukang nyanyi’ Alleycats sahaja. Pemain muzik, saya tidak perasan pula. Lagipun saya sudah tidak mengikuti perkembangannya sekarang.
Pemuda yang saya tidak tahu namanya itu kelihatan tiada masalah kewangan. Tinggal di hotel Renaissance. Datang sendiri dengan kereta ditemani kawan. Dia beritahu lagi, di KL sokongan kewangan banyak tapi dari segi kelas-kelas agama kurang. Dia datang atas inisiatif sendiri mahu mendalami ajaran Islam kerana mahu mempertahankan iman.
Dengan merendah diri dia beritahu lagi, “Kalau saya tidak belajar dan baca buku, saya bimbang juga sebab saya masih baru dengan Islam. Sekarang pun huru-hara kiamat sudah banyak berlaku”.
Wah… sudah jauh wawasan dia. Mahu ‘standby’ awal-awal dengan ilmu. Alhamdulillah (Bolehlah selidik diri kita yang sudah lama Islam. Berapa saat, minit dan jam sehari kita tekun menambah ilmu semata-mata kerana mahu pertahankan aqidah. Atau kita asyik mengira harga petrol yang naik berganda, gaji tidak naik-naik. Atau apa sahajalah yang tiada kena-mengena dengan taqwa. Bukan salah memikirkan soal manfaat dunia tapi jangan sampai lupa nak ‘upgrade’ iman).
Saya beritahu dia, orang Islam asal sendiri pun kalau tidak mendalami ajaran Islam boleh hanyut juga. Dia menafikan. Dia kata muslim asal ada kekuatannya sendiri. Bukan macam dia. Saya diam sahaja. Dia sambung lagi, kalau keluarga dapat tahu, sudah tentu keluarga anggap dia kafir. (ketawa)
Selepas menghadiahkan buku “20 Soalan Paling Lazim Mengenai Islam”, sambil mengucapkan terima kasih dia berlalu pergi. InsyaAllah, 2 minggu lagi dia akan datang semula.
Saya sempat bertanyakan nama dan mengambil nombor telefonnya. Nama Islamnya ‘Shah’. Saya sudah lupa nama penuhnya. Nama sebelum Islam saya tidak dapat paparkan di sini.
Ya Allah, betapa saya kongsi rasa gembira dengan Asima yang ada bersama saya ketika itu. Setiap kali mengetahui ada saudara baru memeluk Islam, terasa ‘dunia ana yang punye!’. Itulah agaknya antara yang Rasulullah SAW maksudkan kalau seorang sahaja mendapat hidayah, lebih baik dari seluruh nikmat yang ada di dunia ini.
Yang Banyak Dosa
(Allah Maha Pengampun)
Dicatat semula,
Ummu Abbas
6.32pm
22 Jamadil Awwal 1430H
Assalamualaikum..
oh dapat ilmu tentang purdah di sini.. ada niat juga lah kak tapi baru sikit2. boleh tak akak berkongsi pengalaman akak berpurdah dari “awal” sampai “akhir”? tapi kalau dah ada dalam blog ni boleh beri link..
hehe saya minat lagu alleycats juga kak tapi macam akak cakap syariat yang membataskan..
tak pernah tahu pula cerita tentang ahli alleycats masuk Islam.. alhamdulillah..
kak doakan saya ya..syukran
Wa’alaykum salam wbh,
Alhamdulillah, moga Allah limpahkan rahmatNya atas niat baik Sakinah itu. Juga moga Allah berikan kekuatan ilmu, faham dan taqwa untuk Sakinah melaksanakannya.
Mengenai pengalaman purdah itu, Sakinah boleh taip ‘purdah’ dalam kotak ‘CARI’. Artikel berkenaan pengalaman pakai purdah itu akan keluar.
Akak akan cerita sikit-sikit berkenaan pengalaman itu. Dari sudut keutamaan, ilmu yang mesti dititik beratkan ialah aqidah dan akhlak.
Insya Allah Sakinah, moga Allah tetapkan IMAN kita di zaman yang penuh belitan fitnah ini.
subhanaAllah,…ahli Alleyscats mmg ada yang muda,klu tak silap ada seorang yg main gitar tu..tapi tak mengikuti sangat perkembangannnya.
teringat kata-kata ustaz Jaafar Muhammad…golongan ini sebenarnya reverts bermaksud kembali kepada fitrahnya..yg perkataan itu lazim digunakan kepada mereka yang kembali kepada Islam..