Catatan Hati Madihah Sangat Laris di Pasaran

Madihah

Alhamdulillah, buku kedua yang saya habiskan membacanya sebaik melancong ke PBAKL09 ialah Catatan Hati Nik Nur Madihah. Sebenarnya buku ini yang saya belek dahulu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Saya baca melangkau tajuk-tajuk kerana mahu tahu bentuk persembahan dan isi yang di’highlight’kan.

Sambil suami memandu, saya memetik beberapa cerita dan saya kisahkan pada suami. Saya membaca sambil menahan sebak. Saya benar-benar tersentuh dengan riwayat hidup Nik Nur Madihah. Hmm…sampai satu saat saya tidak mampu lagi membendung titisan air. Banjir juga dibibir mata. Lantas melimpah di wajah saya yang semakin dimamah usia.

Saya melayan perasaan sendiri. Seusai emosi dapat dikawal, saya menyambung kisah yang terputus dek esakan hati tadi.

Pengalaman saya belajar di Maahad Muhammadi Lilbanat sedikit sebanyak membantu saya ‘membaca’ perwatakan junior saya, Nik Nur Madihah ini. Saya menyentuh secara ringkas dari awal entry saya mengenai pelajar cemerlang MMP (Lihat entry bertajuk, “Catatan: Pelajar Terbaik SPM Kelantan). Pada masa itu saya hanya tahu namanya yang terpampang di media dan wajahnya melalui foto yang disertakan.

Jenis saya ini hanya suka pada individu yang warak dan mementingkan iman dan taqwa dalam hidupnya. Saya tidak hairan dengan kejayaan bersifat duniawi semata-mata. Justeru Allah akan memberikan nikmat duniawi kepada siapa sahaja yang Dia mahu seperti kuasa pemerintahan, kekayaan, pengaruh, keilmuan, kepakaran dan apa sahaja.

Jika kita menelusuri sirah nabi-nabi, di zaman mereka tamadun dunia sudah berkembang hebat. Kaum Aad, Thamud, umat Firaun dan lain-lain disebut al-Quran tentang teknologi dan ilmu duniawi yang mereka kuasai. Namun apalah gunanya jika kecemerlangan ilmu duniawi itu membuatkan mereka kufur kepada Allah?

Usah berbangga dengan rupa paras, harta dan pangkat di hadapan saya, pasti saya akan memandang rendah individu berkenaan kecuali mereka menjadikan semua itu alat mencapai mardatillah.

Saya berusaha memandang dan menilai sesuatu menurut kacamata Allah. Apa yang Allah muliakan, saya pandang mulia. Begitulah sebaliknya.

Sedar Rumah Buruk Selepas Disiar dalam Akhbar

Halaman 71 buku ini menceritakan bagaimana ibubapa Madihah dan Madihah diminta ber’posing’ di hadapan rumah. Hal ini juga diceritakan bapa Madihah kepada kami semasa liqa’ di rumah YB Mumtaz. Menurutnya, mereka sanggup bergambar untuk menunjukkan bahawa kesederhanaan hidup bukanlah penghalang meraih kejayaan. Jauh sekali daripada mahu mendamba simpati dari orang ramai. Namun, sebaik keluar di akhbar, lain pula yang ditonjolkan.

Bapa Madihah berkata sambil ketawa, “Bagi saya, rumah ini sudah cukup selesa buat kami sekeluarga. Saya baru sedar rumah saya buruk selepas melihatnya dalam akhbar tapi iyalah, rumah tu rumah sewa je”. (Ha…ha…ha…)

Sudah berbelas tahun dia menyewa rumah itu. Rosak sedikit terus dibaikinya. Tidak dibiarkan air hujan menitis masuk mendinginkan ahli keluarga yang dikasihinya.

Catatan Penting Yang Kurang Ditonjolkan Oleh “Catatan Hati Nik Nur Madihah”

Teknik bercerita yang digunakan membuatkan buku ini mudah dibaca dan difahami. Di celah kesibukan, saya mampu habiskan dalam masa sehari sahaja buku setebal 114 halaman itu, alhamdulillah.

Buku ini sesuai dibaca oleh ibubapa, guru dan remaja. Banyak aspek penting dalam kehidupan manusia berlandaskan Islam disebut dalam buku ini. Dari soal mencari nafkah yang halal oleh pihak bapa, ibu yang prihatin dengan perkembangan dan kebolehan anaknya, guru-guru yang ikhlas hingga kepada mekanisme tarbiyah di sekolah MMP.

Tarbiyah melalui usrah dan tamrin itulah yang berjaya membentuk jatidiri Madihah. Dia yakin pada diri sendiri dan mengenepikan rasa hina diri di samping anak-anak orang berada.

Dalam banyak catatan penting yang dihidangkan , saya dapati 2 perkara penting tidak diberi penekanan dalam buku ini. 2 perkara itu ialah apa yang pernah disebutkan dalam entry sebelum ini yakni faktor sekolah agama dan pengasingan jantina di sekolah. Boleh rujuk entry bertajuk, “ Faktor Cemerlang Nik Nur Madihah”.

Ia disebut secara tidak langsung di halaman 26 dan 27 namun kurang menonjol. Secara peribadi, ia wajar di’highlight’kan dengan lebih berkesan agar kerajaan dan masyarakat am tidak lagi memandang rendah sekolah-sekolah agama rakyat (SAR). Bukankah satu ketika dahulu SAR pernah ditekan dengan ditarik bantuan perkapitanya? SAR juga dituduh melahirkan pengganas Islam. (Cuba tanya mereka yang terlibat dengan pembunuhan Altantuya, berapa orang lepasan SAR?)

Sebenarnya SAR dianak-tirikan sejak dahulu. Saya sendiri pernah melaluinya. Namun berkat sekolah agama itulah, Allah banyak membantu para pentadbir, guru dan pelajarnya untuk mencapai kecemerlangan demi kecemerlangan. Meskipun ia tidak diiktiraf pemerintah ‘Malaysia Boleh’.

Saya berharap dua perkara penting itu ditonjolkan dengan lebih berkesan dalam Edisi Kedua nanti.

Cetakan Pertama Laris Lebih 10,000 Unit

Saya mendapat maklumat dari pihak penerbit, Hijjaz Records Publishing bahawa cetakan pertama lebih dari 10,000 unit habis dijual. Ia laris kira-kira dalam tempoh sebulan. Cetakan kedua baru sahaja tiba di stor menjadikan ia mencecah angka 20,000 unit. Bagi industri penerbitan buku, jumlah tersebut merupakan satu angka yang sungguh memberangsangkan. Tahniah buat HR Publishing selaku penerbit buku dan juga buat Ummu Hani Abu Hassan selaku penulisnya.
Buku ini berharga RM25.90.

Sebuah buku lagi berkenaan Nik Nur Madihah yang ditulis oleh Ummu Sakinah belum berkesempatan lagi saya memilikinya. Tajuknya dari ‘Nik Nur Madihah: Permata Parang Puting’ (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) telah bertukar kepada ‘Nik Nur Madihah: Permata Generasi Rabbani’.

Moga usaha kalian semua menjadi amal jariah untuk mengembangkan dakwah di jalan Allah.

Amin. Ya Rabbal alamin!

Ummu Abbas
Catatan pertama:
12.33AM
8 Mei 2009
Catatan kedua:
25 Mei 2009/ 30 Jamadil Awwal 1430H
12.11pm

9 thoughts on “Catatan Hati Madihah Sangat Laris di Pasaran

Add yours

  1. Salam,

    Saya belum berkesempatan memiliki buku ini. Tetapi dalam hati meronta-ronta untuk mendapatkannya segera. Terima kasih atas perkongsian ilmu.

  2. Bagusnya kalau mampu mendidik anak hingga menjadi seperti Nik Nur Madihah.Terasa banyak lagi yang perlu dibaiki sebagai ibu…

  3. Pengajian Kitab bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin(Ahli Majlis Fatwa N.Sembilan),

    Hari ini di Surau Kemensah Heights
    Muslimin & Muslimat semua dijemput hadir,

    Tarikh : 26 MEI 2009 (SELASA – HARI INI)
    Masa : Lepas Solat Maghrib & Bacaan Ratib Al-Haddad
    Tempat : Surau Kemensah Height, belakang Zoo Negara.

    Sebarang pertanyaan sila hubungi En. Maznor di talian 019 662 3826.

    http://pondokhabib.wordpress .com

  4. Assalamualaikum,

    kak, boleh tak syorkan buku tafsir al Quran yang bagus? Dan bagaimana nak dapatkan..

    Orang kata tafsir ibnu kathir yang terbaik, betul ke?

    Saya teringin sangat nak dapatkan. Dulu tiada duit untuk beli. Sekarang insyaAllah mampu.

    syukran

  5. Wa’alaykum salam warahmatullahiwabarakaatuh,

    Sakinah,

    Berkenaan tafsir, boleh rujuk entry bertajuk ‘Memahami al-Quran di Rumah’. Kak Nur tak berani nak sebut Tafsir Ibnu Kathir yang terbaik. Setiap tafsir ada kelebihannya sendiri.

    Kat rumah Kak Nur ada Tafsir al-Munir sebanyak 2 jilid. Jemputlah datang ke rumah. Tapi eh… Sakinah ni tinggal kat mana?

    Sakinah,

    Mengucapkan insyaAllah dalam konteks ayat yang Sakinah gunakan di atas sudah betul. Menyebut alhamdulillah pun boleh juga. Dua-dua betul. 🙂

  6. Salam Ukhuwwah..

    Saya juga telah membeli dan membaca buku Madihah itu. Ingatkan nak beli untuk anak, tapi tengok2 ayahnya yang baca dulu. Dia bukan minat membaca pun, tapi dia kata isinya bagus. Jadi saya pun bacalah. Habis sehari. Pun meleleh air mata…

    Hebatnya Madihah, memang patut dicontohi. Suami saya kata, “Macam mana nak dapat anak macam Madihah… kita pun tak dapat nak jadi macam dia..?” So, saya cakap dgn anak lelaki saya yg umur 11 tahun, kalau nak cari isteri, carilah macam Madihah… dapat anak ‘Madihah’ instant!

  7. Salam…
    Sukar untuk menemui orang sepertinya.beruntung ibunya mendapat anak yang sebaiknya.remaja yang patut dicontohi dan dijadikan role model

  8. Salam… lega rasanya ada juga rakan-rakan lain yang berjiwa seperti saya… baca bukupun boleh meleleh air mata… 🙂 sentiasa ingat pesan seseorang pada saya… kitalah yang perlu buat perubahan ke arah kebaikan supaya anak2 juga akan menyusul meneladani. InsyaAllah…

    Wsalam… benar… saya suka kata-kata itu. Saya juga sedang berusaha memperbaiki kekurangan diri agar anak-anak boleh mengikutinya… moga Allah membantu… amin.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: