Kalau minggu lepas saya diuji agar buka tudung untuk x-ray. 2 hari lepas (tanggal 26 Mei 09), saya diuji pula dengan baju lengan pendek dan tudung bagai ‘melepas batuk di tangga’ sebelum melangkah masuk ke bilik pembedahan. Macam teruk sangat bunyinya- bilik pembedahan…walhal saya menjalani minor oral surgery (MOS) sahaja untuk buang geraham yang tumbuh menyerong. MOS, MOS lah… saya yang tidak pernah hadapi apa-apa rawatan yang teruk-teruk, rasa seperti bersemuka dengan malaikat maut.
Kalau ikut ranking sakit paling teruk, sakaratulmaut menduduki tangga pertama. Tangga kedua jatuh kepada sakit bersalin (kata ramai orang). Tangga ketiga ialah sakit gigi. Dengan persediaan mental begitu, tambahan pula saya berpengalaman 5 kali bersalin, saya cuba relaks tapi rasa gemuruh tidak dapat dielakkan. Berkenaan sakit-sakit itu, tidaklah penting sangat. Alhamdulillah, hari ini hari ketiga saya selesai menjalani MOS. Hari ini juga baru boleh makan nasi biasa (makanan pepejal). 2 hari pertama dinasihati doktor agar makan makanan lembut yang tidak perlu dikunyah. Gusi dan pipi masih bengkak. Lepas seminggu, jahitan akan dibuka.
Yang saya belum dapat lupakan ialah saya diminta bersalin pakaian sebelum masuk ke bilik pembedahan. Baju yang disediakan berlengan pendek dan tudung pula sangatlah jarang. Apa pula tindakan saya kali ini? Apakah saya berjaya mempertahankan aurat saya? Kalau semua staf bertugas perempuan tidak mengapalah. Ini ada seorang pembantu lelaki yang masih muda.
Gigi yang mahu dirawat, baju lengan pendek pula yang kena pakai. Apa kena-mengena dengan rawatan tersebut? Insya Allah, saya cerita lain kali ye! Esok saya akan bermusafir sekeluarga ke luar negeri (bukan luar negara) selama tiga hari. Tolong doakan kami.
Wassalam.
Ummu Abbas
3.06am
4 Jamadil Akhir 1430H
Tinggalkan Jawapan