
Bulan bersembunyi di balik awan.
Sembunyi bagai dara pemalu,
Betapa kami kasihkan Wan,
Allah lebih menyayangi dirimu.
Tanggal 7 Rejab 1430H bersamaan 30 Jun 2009, awan tebal putih menapis cahaya mentari di pagi hari. Hari yang mendung seolah-olah mengetahui satu ruh sedang berdepan dengan sakaratul maut untuk kembali kepada Tuhannya.
Kira-kira jam 9 pagi, saya menerima panggilan dari Ma (ibu kandung saya),”Wan sudah nampak lain ni”.
“Lain macam mana? Macam yang dia tenat Sabtu lepas ke?”
“Tak. Tak sama. Sekarang sudah lain. Tidak macam biasa”.
Ma saya menerangkan secara ringkas. Itulah bahasa orang-orang tua. Bahasa beralas. Ma tidak sampai hati menyebutnya secara terang-terangan.
Saya meletakkan telefon dan dapat merasakan Wan berhadapan saat nazaknya. Saya tahu benar dengan pengalaman Ma berhadapan dengan orang yang nazak. Ma memang kenal dan tahu mana yang tenat-tenat biasa dan mana yang sedang ditunggu Izrail.
2 orang anak baru ke sekolah Pasti. Saya berkira-kira sendiri agak-agaknya sempat atau tidak menunggu mereka habis sekolah jam 12 tengahari.
Pukul 10 pagi, hati semakin tidak sedap. Ma berjanji akan beritahu perkembangan keadaan Wan.
Saya telefon adik, Siti yang berada bersama Ma di rumah datuk. Telefon tidak berjawab.
Saya tidak dapat bertangguh lagi. Saya maklumkan pada suami bahawa saya mahu pulang ke kampung melihat Wan. Saya mandikan Aqil dan tukar pakaiannya, kemas pakaian anak-anak untuk mereka bersalin selepas sekolah dan memberesi sedikit kerja rumah. Hampir jam 11 pagi, saya bergegas turun dari rumah dan mengambil 2 anak di Pasti. Sejak dua hari lepas, saya teringat untuk menjenguk Wan lagi namun keadaan tidak mengizinkan. Oleh kerana tidak sempat ke rumah Wan, saya hanya menelefon Abah dan Ma untuk bertanyakan keadaan Wan.
Dalam perjalanan, saya terima panggilan Siti menggesa saya agar pulang segera. Saya maklumkan sedang memandu pulang.
Saya berfikir-fikir sama ada mahu singgah di SRI Aman, Telipot untuk mengambil dua orang anak di situ. Hati saya ditarik kuat untuk segera sampai ke rumah Wan. Saya singgah membeli sedikit kuih-muih dan sebungkus nasi untuk anak. Boleh juga saya jamu kanak-kanak yang biasanya ramai di rumah Wan.
Saya teruskan perjalanan ke rumah Wan. 2 orang anak di SRI Aman boleh ambil kemudian. Lagi pun waktu sekolah mereka habis jam 2.15pm. Gerak hati saya belum tentu benar. Mungkin usia Wan masih panjang hingga ke petang.
Jarak rumah saya dengan kampung Wan yang juga kampung asal saya kira-kira 20 minit. Kalau semua lampu isyarat hijau setiap kali melaluinya, dalam 10 hingga 15 minit sahaja.
Sebaik saya turun dari kereta, tetamu yang berada di laman menunjukkan isyarat Wan sudah tiada.
Tangga rumah Wan bertiang tinggi itu saya panjat. Saya membawa Aziz, Aesya dan Aqil bertemu Wan yang sudah terpejam rapat matanya. Mulutnya terkatup kemas. Wajahnya kekuningan dan kelihatan bersih.
“Pukul berapa Wan habis umur?” saya mengajukan pada Ma yang sibuk menguruskan mayat.
“Baru sakni”. (Baru sekejap tadi)
Hati saya tenang melihat Wan. Saya lihat ramai ahli keluarga yang lain juga tenang. Inilah hikmahnya Allah berikan petanda Wan tenat pada petang Sabtu yakni 3 hari lepas. Ahli keluarga lebih bersedia berhadapan kemungkinan Wan akan kembali ke rahmatullah.
Saya kucup dahi Wan yang baru berpisah dengan ruhnya. Hangat masih terasa dan bau badan Wan masih ada. Saya keluar dari ruang jenazah untuk bertemu tetamu yang datang. Seketika kemudian, saya lihat 2 orang adik saya pulang. Rupa-rupanya Siti ambil Afifah di sekolah. Afifah mengajar di sekolah YIK.
Saya menjenguk Wan lagi. Kali ini saya berseorangan kerana Ma mendokong Aqil. Dua lagi anak ke rumah sepupunya yang berhampiran. Adik saya, Siti duduk di sisi saya. Kami duduk di samping Wan. Saya menyingkap kain bawal berwarna krim yang menutupi wajah Wan. Hanya kami bertiga. Saya dan Siti tidak dapat lagi menahan rasa sedih. Kami terisak-isak juga tanpa mengeluarkan suara. Saya menyandarkan wajah di bahu Siti. Kami berkongsi rasa kasih dan pilu. Kemudian adik bongsu saya, Afifah datang dan duduk bertentangan dengan kami. Dia juga sudah merah matanya dan asyik mengelap dengan tuala kecil.
Lama juga kami tiga beradik perempuan bertafakkur sambil menatap wajah Wan tanpa diganggu sesiapa.
Rasulullah s.a.w pernah menangis semasa cucunya meninggal dunia. Air mata beliau mengalir deras. Sa’ad lalu bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Apa yang berlaku ini?”
Rasulullah s.a.w menjawab, “Ini adalah tanda kasih sayang yang dikurniakan Allah dalam hati para hambaNya. Sesungguhnya Allah mengasihi para hambaNya yang pengasih dan penyayang”.
Hadis direkod oleh Imam Bukhari
Saya bacakan Fatihah. Saya berdoa agar Wan ditempatkan bersama orang-orang soleh.
“Ya Allah, terimalah ruhnya dengan kasih sayangMu”.
Saya sayangkan Wan. Wan satu-satunya datuk kandung kami yang tinggal. Usianya sebaya Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri.
“Ya Allah, kumpulkanlah kami bersama-sama di akhirat kelak bersama hamba yang diredaiMu”.
Saya merenung burung tekukur Wan di dalam sangkar yang tergantung di tingkap berhampiran jenazah. Burung itu kelihatan asyik memandang Wan juga sambil bersenandung sayu. Saya teringat Wan memberikan burung itu kepada anak saya, Aziz kira-kira seminggu yang lalu tatkala kami menziarahinya. Namun saya tidak mengambilnya kerana tidak dapat berikan komitmen untuk memeliharanya. Kalau saya ambil pun, saya akan lepaskan burung itu. Saya lebih suka burung itu bebas menggunakan kepaknya untuk terbang.
Saya teringat lagi bahawa setiap haiwan mendengar seruan-seruan malaikat kepada si mati. Hanya manusia dan jin yang tidak dapat mendengarnya. Mungkinkah si tekukur itu sedang mendengar seruan-seruan itu?
Saya pernah membaca tentang wujud seruan-seruan itu namun saya tidak pasti adakah ia bersumber dari dalil yang sahih. Apa yang saya temui dalam rekod Imam Bukhari ialah hadis yang dilaporkan oleh Abu Sa’id al-Khudri berkenaan kata-kata mayat semasa berada di keranda. Juga temuduga malaikat kepada mayat setelah ditinggalkan di liang lahad. Saya akan ceritakan dalam sambungan tulisan ini nanti, insya Allah.
Saya kembali merenung wajah Wan. Tidak puas rasanya menatap wajah Wan.
Cahaya mentari jam 12 tengahari itu begitu mendamaikan. Biasanya ruang tamu rumah Wan yang beratap edek (asbestos) itu akan membahang walaupun kipas dipasang. Namun siang tadi, kami tidak merasa panas dan tidak pula merasa sejuk. Nyaman sekali. Panas tidak hujan pun tidak.
Titih Baris
Saya bertanya pada diri, apakah Wan sudah bahagia di alam sana. Saya teringat pula Wan mempunyai 8 anak yang menyambutnya di alam sana. 7 orang anak Wan meninggal semasa kecil. Seorang darinya mati ketika remaja.
Nabi s.a.w memberitahu kita bahawa sesiapa yang kematian anak semasa kecil, maka anak itu akan menjadi pendinding dari api neraka. Wan dianugerahkan Allah sebanyak 7 orang pendinding, alhamdulillah.
Abu Hurayrah berkata, “ Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w dengan membawa seorang anaknya yang masih kecil.
Wanita itu berkata,’Wahai Nabi Allah, doakanlah anakku ini. Sesungguhnya telah tiga orang anakku meninggal dunia’.
Nabi s.a.w bertanya, ‘Tiga orang telah meninggal?’
Wanita itu menjawab, ‘Iya’.
Nabi berkata, ‘Maksudnya saudari telah membina sebuah dinding yang sangat kuat dari azab neraka’.
Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.
Satu lagi hadis menarik berkenaan hal ini ialah seperti berikut;
Abu Hassan bercerita pengalamannya kematian anak. Abu Hassan bertemu dengan Abu Hurayrah lalu berkata, “Sesungguhnya kedua orang puteraku telah meninggal dunia. Pernahkah awak mendengar sesuatu dari Rasulullah s.a.w yang dapat menghibur diriku disebabkan kematian anak-anakku itu?
Abu Hurayrah menjawab, “Iya, yakni Rasulullah s.a.w berkata,’Anak-anak kecil mereka merupakan simpanan-simpanan syurga. Salah seorang dari mereka akan menemui ayahnya. Dia akan berkata kepada kedua orang tuanya sambil memegang pakaian mereka dengan tangannya, seperti aku memegang hujung pakaianmu sekarang ini. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkan ayahnya ke dalam syurga’.
Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.
8 orang anak menyambut di sana dan 8 orang anak ditinggalkan di dunia fana. Anak Wan 16 orang dari 5 orang isteri.
Kali pertama Wan berkahwin ialah dengan ibu kepada Abah saya. Abah saya anak sulung Wan. Adik kepada Abah, Wan Ibrahim meninggal semasa kecil. Semasa adik ketiga Abah, Wan Abdul Rahman masih menyusu, ibu Abah meninggal dunia. Pada masa itu Abah berusia 7 tahun.
Saya teringat Wan bercerita, semasa isterinya meninggal, adik Abah yang masih menyusu waktu itu menghampiri jenazah ibunya dan meraba-raba kerana mahu menyusu. Sedihkan.
Oleh kerana punya anak yang masih bayi, Wan berkahwin kali kedua. Wan tidak susah menjaga Abah kerana Abah sudah berusia 7 tahun. Wan akan bawa Abah ke bendang dan boleh di bawa ke mana sahaja. Dengan isteri kedua, Wan mendapat seorang anak namun anak itu juga meninggal. Wan bercerai dengan isteri kedua.
Wan berkahwin buat kali ketiga dan mendapat 2 anak. Kedua-dua anak Wan meninggal semasa kecil dan isteri Wan juga meninggal.
Kemudian Wan berkahwin dengan adik iparnya iaitu adik kepada isteri ketiga. Istilah orang tua di Kelantan untuk kes begini ialah ‘bersalin tikar’ maksudnya berkahwin dengan dua orang adik beradik. Sudah tentu bukan serentak. Isteri keempat Wan melahirkan 7 orang anak. 2 meninggal semasa kecil dan seorang mati kemalangan semasa bersekolah menengah. Isteri keempat inilah yang setia menemani Wan sehingga akhir hayatnya. Kami panggil nenek tiri kami sebagai Mek.
Dengan isteri keempat, Wan berpoligami. Anak pertama dengan isteri kelima Wan meninggal semasa kecil. Kemudian lahir lagi dua orang anak. Mereka bercerai semasa saya masih kecil.
….bersambung…….
Ummu Abbas
8 Rejab 1430H/ 1 Julai 2009
(Seminggu lagi ulangtahun saya- semakin dekat ke alam barzakh)
Edit: 10 Rejab 1430H/ 3 Julai 2009
Al-Fatihah, semoga ruhnya dicucuri rahmat.
Terima kasih Masayu.
Salam K Nor..
Takziah atas kematian datuk k nor.
Mudahan rohnya ditempatkan bersama para solihin.
satu penulisan yang begitu touching…boleh jd novelist 🙂
Wa’alaykum salam Wan, Terima kasih atas keprihatinan Wan. Memang sedih lagi hari ni. Sayang sangat kat atuk dan rindu padanya. Adik-adik Kak Nur pun camtu juga.
Terasa nak ikut atuk namun bila ingatkan ada lagi insan yang rapat dengan kita bersama kita seperti anak-anak, suami, Ma dan Abah, juga tanggungjawab yang belum selesai, hati hanya mampu berharap agar Allah pertemukan semula kami di akhirat kelak bersama-sama orang soleh.
Amin.
Salam K Nur,
Takziah ye K Nur. Semoga rohnye di cucuri rahmat. Al Fatihah.
Wa’alaykum salam,
Syukran milla.