
وَاللّٰهُ اَخْرَجَكُمْ مِّنْۢ بُطُوْنِ اُمَّهٰتِكُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ شَيْــًٔاۙ وَّ جَعَلَ لَـكُمُ السَّمْعَ وَالْاَبْصٰرَ وَالْاَفْـِٕدَةَ ۙ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْنَ
[78] Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan kamu tidak mengetahui suatu apa pun. Serta Dia mengurniakan kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.
اَلَمْ يَرَوْا اِلَى الطَّيْرِ مُسَخَّرٰتٍ فِىْ جَوِّ السَّمَآءِؕ مَا يُمْسِكُهُنَّ اِلَّا اللّٰهُؕ اِنَّ فِىْ ذٰلِكَ لَاَيٰتٍ لِّقَوْمٍ يُّؤْمِنُوْنَ
[79] Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.
Surah al-Nahl, ayat 78 dan 79
Petang itu, kira-kira jam 4, perut mula terasa sakit. Sebagaimana biasa sebelumnya, saya periksa dilation di rumah sebelum ke hospital. Almaklumlah suami saya doktor. Alhamdulillah.
Bila keadaan sakit yang melayakkan saya terus masuk ke labour room, baru saya ke hospital. Untuk kandungan ketiga ini saya berhadapan sedikit masalah, hypertension (darah tinggi). Terperanjat juga saya sebab saya sering mengalami tekanan darah rendah sejak remaja. Minggu-minggu terakhir kehamilan, setelah didapati darah meningkat, saya dinasihatkan doktor agar banyak berehat.
Saya tidak mampu menurut nasihat doktor kerana saya mengejar waktu menyiapkan disertasi sarjana waktu itu. Saya mahu hantar disertasi untuk diperiksa sebelum melahirkan. Jadi selepas bersalin dan dalam tempoh berpantang, saya boleh rehat serehat-rehatnya. Itulah impian saya yang sering mengalami stress sepanjang tempoh penyelidikan untuk sarjana.
Menghampiri due bersalin, saya semakin tidak dapat duduk diam kerana saya juga harus membuat persiapan menyambut kelahiran. Saya perlu mengemas rumah bagi memastikan urusan saya dan mereka yang akan menjaga saya serta bayi menjadi mudah. Suami yang juga doktor tidak pula berkata apa-apa melihat saya tidak sempat berehat secukupnya. Mungkin dia tidak tahu sebab pada waktu itu jadual dia pun padat kerana sedang belajar peringkat sarjana juga.
Saya mula terasa sakit pada waktu petang. Saya beritahu suami. Dia segera pulang untuk membuat pemeriksaan. Kemudian dia pergi semula ke tempat kerja sambil berpesan, “Kalau sakit makin kuat, beritahu abang”.
Tanda-tanda bersalin yang dialami tidak menghalang saya untuk terus menghadap komputer. Persalinan saya dan bayi sudah disiapkan sejak awal. Selepas maghrib, sakit terasa semakin kerap tetapi belum kuat.
Saya berkata kepada suami, “Bang, takutlah mahu bersalin”.
Memang saya takut bersalin sejak melahirkan anak pertama. Sudah ada pengalaman macam mana sakit bersalin, saya jadi takut setiap kali tiba saatnya melahirkan.
“Apalah Nur ni. Mahu hamil dan suka dapat anak tetapi takut bersalin”, suami saya bergurau.
Saya berdoa agar sempat solat Isyak dahulu. Selepas Isyak, saya bersiap ke HUSM. Ma saya datang untuk menemani Abbas 4 tahun dan Azzam 3 tahun.
Saat Mencemaskan
Setelah mendaftar dan melakukan pemeriksaan di wad bersalin, saya terus dimasukkan ke bilik bersalin. Sakit yang tidak terlalu kerap dan tahap sakit yang tidak maksimum menyebabkan pintu serviks lambat terbuka.
Subhanallah, hikmah sakit bersalin dan terasa seluruh urat bagai ditarik-tarik itu adalah untuk membuka jalan bagi satu nyawa baru.
Biasanya di saat begini, saya tidak mahu berenggang dengan suami. Memaut lengannya dan berdamping dengan suami bagai menambah energy bagi saya yang sedang sakit dan ketakutan. Sesetengah isteri tidak mahu suami menemani. Mereka punya alasan tersendiri.
Setiap kali contraction datang, saya akan memaut kejap lengannya atau pinggangnya yang berdiri di sisi saya. Sekuat mana sakit yang saya alami, sekuat itu pulalah saya memaut suami. Dia hanya dapat rasakan kuatnya sakit yang saya alami pada luaran sahaja. Hakikat sakit itu, hanya Allah yang mengetahui dan memahami.
Justeru itu Allah menyebut ‘wahnan ala wahnin’ (rujuk artikel bertajuk ‘Alahan Yang Menginsafkan, Januari 2008). Andaikata para suami dapat merasakan kesukaran isteri hamil 9 bulan dan kesakitan isteri setiap kali melahirkan anaknya, nescaya suami-suami tidak sampai hati membiarkan isteri membuat kerja rumah seorang diri. Apatah lagi mahu membesarkan kelemahan isterinya sama ada dalam hatinya lebih-lebih lagi di hadapan orang lain. Itu belum lagi merasakan betapa lemah fizikal isterinya dan betapa halusnya perasaan wanita. Cukuplah jika para suami mahu percaya kepada firman-firman Allah tentang wanita dan bagaimana pesan Nabi s.a.w tentang isteri-isteri.
Seperti kelahiran sebelumnya, kali ini suami saya pecahkan mentuban lebih awal untuk mempercepatkan proses bersalin. Namun datang pula masalah lain selain hypertension yang sedang saya alami. Satu ketika, suami saya memeriksa untuk mengetahui perkembangan dilation. Tiba-tiba dia berkata, “Ya Allah… baby dah berak dalam perut”. Suami saya sedikit cemas. Seorang registra perempuan yang sedang bertugas waktu itu segera menghampiri saya dan memeriksa untuk kepastian.
Dengan kes begini, kelahiran tidak dapat ditangguhkan. Bayi harus disegerakan keluar kerana dibimbangi lemas. Saya pula belum lagi kontraksi yang kerap. Orang tua-tua kata, “Sakit main-main”.
Melihat saya yang masih relaks dan sakit sekejap-sekejap, registra memberitahu, “Kena bedah ni. Kalau tak nanti bayi lemas”.
Mendengar perkataan bedah, saya rasa-rasa ok juga. Sementelah saya sudah tahu sakit bersalin biasa macam mana. Pada perkiraan saya, kena bedah mungkin sakitnya kurang berbanding bersalin biasa. Tambahan registra itu kata dia pun pernah bersalin melalui pembedahan juga.
Walaupun begitu, saya teringat Ma dan Mak (mertua) saya yang pantang dengar perkataan bedah. Selagi boleh elakkan, elakkan. Jangan mudah-mudah mahu bedah sana-sini. Ramai orang tua-tua berfikir begitu. Anggota badan kita, bila sudah kena bedah, pulihnya tidak sama lagi seperti asal. Betul juga.
Saya jadi keberatan. Suami saya setuju sahaja jika saya dibedah. Lagi pun dia lelaki. Mana dia tahu dan rasa sakit bersalin dan sakit selepas bersalin. Alhamdulillah, suami saya kelihatan berhati-hati juga. Dia minta sedikit tempoh untuk berfikir dan meminta registra itu keluar dahulu.
Sebelum keluar, registra itu berkata, “Ok. Saya beri tempoh 5 minit. Kalau keadaan masih sama, kita bedah”.
Makbulnya Doa Orang Tua Kita
Selepas keluar, suami saya beri handphone dan meminta saya menghubungi Ma saya meminta pendapat. Saya segera telefon Ma. Sebagaimana yang diduga, Ma saya tentu kalut mendengar keadaan saya yang mungkin dibedah.
“Nanti dulu. Jangan bedah lagi. Ma minta Abah tolong solat hajat dulu. Agak-agak la Abah sempat solat hajat.”
Saya mengiyakan dan beritahu suami hasrat Ma. Kemudian suami beritahu Mak dia pula. Sama seperti Ma saya, Mak juga solat hajat.
Tempoh lima minit sudah berlalu. Registra itu belum datang. Mungkin sebab suami saya doktor, dia pun tidak gaduh sangat. Apa-apa hal yang berlaku, suami saya ada di sisi.
Kira-kira 10 minit berlalu, registra itu menjenguk wajahnya ke bilik bersalin. Dia memeriksa lagi tahap dilation. Belum sesuai untuk meneran walaupun saya mahu cuba meneran. Dilation yang tidak cukup 10cm dan keadaan sakit yang tidak bersungguh menyebabkan registra itu membuat keputusan untuk membawa saya ke dewan pembedahan. Saya pasrah pada ketentuanNya. Saya disuruh baring mengiring untuk mengelakkan saya meneran sesuka hati.
Belum sempat katil ditolak keluar, pada saat itulah, tiba-tiba sakit yang ditunggu-tunggu itu datang juga. Ia terus kuat dan bertambah kuat serta berterusan.
Ya Allah, saya sungguh terharu dengan usaha dan doa kedua ibubapa saya dan mertua saya. Betapa kasih tulus mereka pada anak kandung dan menantu mereka ini menyebabkan doa mereka mudah dimakbulkan Allah.
Ya Allah…Engkau mendengar permohonan hambaMu yang lemah.
Saat itu bagai keajaiban berlaku. Saya sendiri dapat rasakan perubahan rasa sakit yang mendadak itu. Sebelum ini, dua kali pengalaman bersalin, saya dapati rasa sakit itu meningkat bertahap-tahap sebelum tiba saat sakit yang akan mengeluarkan bayi.
Melihat saya sakit begitu, registra segera memeriksa. Iya, jalan sudah mula terbuka untuk dilalui bayi. Sekejap sahaja saya meneran, akhirnya bayi keluar dengan selamat pada jam 12.20 pagi. Hakikatnya Allahlah yang mengeluarkan dirimu nak. Maka berterima kasihlah kepada Allah yang menghidupkan kamu melalui rahim ibumu.
Alhamdulillah, saya menarik nafas lega. Ma, Abah dan Mak… jasamu tidak terbalas olehku. Jazakumullah.
Empati Suamiku
Selain doa dari orang tua, hati saya tersentuh dengan sikap suami yang menghormati dan meraikan pandangan orang tua. Kalau diikutkan, sebagai suami dan doktor pula, dia berhak sepenuhnya untuk membuat keputusan apa yang baik untuk saya. Namun dalam hal ehwal bersalin ini, kelihatan dia sedar bahawa ibu kandung saya dan Mak dia lebih memahami keadaan diri saya waktu itu. Lebih-lebih lagi ibu kandung saya, walaupun saya sudah menjadi isteri orang, namun naluri ibu pada anaknya yang sedang bertarung nyawa tiada siapa dapat mengikisnya.
Suami hanya memikul tanggungjawab yang berat dengan mengambil alih tugas wali kepada perempuan yang dikahwininya. Namun hal itu sekali-kali tidak mengurangkan kasih ibubapa kandung kepada anaknya.
Eid Miylaad Sa’eed Anakku, Aziz
Bayi yang dilahirkan pada 18 Julai 2003 itu diberi nama Abdul Aziz Zainy sempena nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Hari ini, Ummi nukilkan catatan ini sempena ulangtahun kelahiranmu yang ke 6.
Moga Aziz menjadi anak yang soleh dan warak seperti Tuan Guru kesayangan Ummi dan Abi, insya Allah.
Hari ini Aziz kurang sihat akibat lelah. Moga Allah menyembuhkan dirimu, nak.
Berehat 5 hari dalam wad
Selepas melahirkan Aziz, saya benar-benar dapat berehat di wad selama 5 hari, alhamdulillah. Jauh dari kekecohan anak-anak yang lain dan jauh dari rutin harian sebagai surirumah yang tidak pernah habis. Disertasi sarjana juga sudah siap. Saya akan menghantarnya selepas habis tempoh berpantang. Selepas tekanan darah stabil, baru saya dibenarkan pulang ke rumah.
Semasa di rumah, Ma saya sempat marah-marah sayang, “Nak sangat la bedah-bedah ni. Masa bedah tu memang tak sakit (sebab kena bius). Selepas bedah, baru rasa sakit dan lambat pula nak sembuh (berbanding bersalin cara normal)”.
Wassalam.
Dari Ummi dan Abi.
3.37am
25 Rejab 1430H
salam. dijemput datang menonton GADOH di USM pada 8.8.09 nanti. ajak kawan-kawan skali ok. 🙂
tengok flyers kat sini: http://2.bp.blogspot.com/_VNg9zxVOC4E/Sl8h_B3gqYI/AAAAAAAAAx4/jiw9JqBVZwU/s1600-h/gadoh_at_kb.jpg
Alhamdulillah… tahun depan darjah satu lah ye….
Asslamualaikum kak nur,
Selamat hari lahir untuk Abdul Aziz, semoga menjadi anak yang soleh & warak.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ini satu perkongsian terbuka yang tidak terhitung manfaatnya. Teruskan berkarya. Wassalam.
Wa’alaykum salam warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah. Ada serampang 4 mata dalam tulisan ini.