Setiap dari kita tidak dapat tidak pernah melalui satu saat di mana hati dilanda perasaan insaf dan mahu mencari Tuhan seterusnya kembali kepadaNya.
Ketukan hidayah di pintu hati itu kadang-kadang disambut empunya diri. Namun ramai yang lari. Justeru itulah al-Quran menceritakan kebanyakan manusia menjadi penghuni neraka. Na’uzubillah.
Bila Puan Rozita Ibrahim (Jutawan Sendayu Tinggi) menyebut tentang satu ayat dari surah al-Baqarah. Saya berusaha mencarinya dan bertanya teman-teman. Surah al-Baqarah merupakan surah terpanjang dalam al-Quran. Lebih dari 2 juzuk. Saya merasa lemah untuk menelitinya satu persatu dek kekurangan saya dalam bidang hafazan.
Alhamdulillah, seorang sahabat berjaya membantu saya bertemu dengan ayat yang mengandungi maksud yang sama seperti Puan Rozita ceritakan. Adakah ianya ayat yang tepat atau ada lagi ayat yang lain… hanya Puan Rozita sendiri yang tahu jawapannya. Saya berbesar hati jika beliau dapat beritahu secara tepat ayat yang dimaksudkan.
Allah berkata dalam surah al-Baqarah, ayat 120,
بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ
قُلْ إِنَّ هُدَى اللّهِ هُوَ الْهُدَى وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللّهِ مِن وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ
Maksudnya;
Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
Banyak lagi ayat-ayat lain yang berkait dengan maksud ayat ini. Mafhumnya, Allah memberi peringatan kepada manusia yang mahu berpaling dari mengikuti petunjukNya, bahawa mereka tidak lagi berpeluang mendapat hidayah dan pertolongan dari Allah. Justeru itu hargailah saat hati menjadi jinak dan insaf untuk terus mendidik nafsu agar mentaatiNya.
Fasa hati tersentuh dengan hidayah Allah ini merupakan benih berharga yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.
Mencari Suasana Tenang di Awal Perjalanan
Saya terbaca mengenai tajuk ini dari buku ‘Menuju Personaliti Rabbani’ karya Dr.Majdi al-Hillali di halaman 176, 177 an 178. Penterjemahnya merupakan sahabat saya, Ustazah Nurul Akma Mohamed.
Saya coretkan di sini sebahagian isinya buat mereka yang mahu menyahut seruan hidayah Allah. Saya sendiri mengalami jatuh bangun dalam membina jiwa. Ia satu usaha yang sukar kecuali mendapat rahmat dari Allah.
Ibnu Atho’illah as-Sakandari berkata di dalam kitab Hikamnya;
“Tanamlah kewujudanmu di dalam tanah kerendahan, sebab tiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak di tanam, maka tidak sempurna hasil buahnya”.
Maksudnya seorang hamba yang berada di awal perjalanannya menuju Allah seperti benih yang pada awalnya mesti di tanam di dalam tanah, jauh dari sinaran cahaya mentari. Ia akan mengambil masa untuk membesar secara perlahan-lahan. Setelah Allah mengizinkannya untuk tumbuh, barulah ia akan timbul dipermukaan bumi; yakni setelah cukup tempoh perlindungan dan penjagaan rapi yang menjadikannya mampu menghadapai sinaran terik mentari.
Seandainya kita membiarkan sahaja benih itu di atas tanah tanpa menanamnya terlebih dahulu, maka hasilnya mungkin tiada ataupun mungkin sahaja menghasilkan buah tidak seperti yang diharapkan, lantaran terpaksa berdepan dengan satu keadaan yang belum mampu untuk dihadapinya.
Sebagai contoh: Jika diteliti, ramai public figure seperti artis wanita yang pada permulaan mendapat hidayah, mereka menutup aurat dengan lengkap. Namun semakin lama, konsep hijab yang asal semakin dijauhi. Mereka bertambah berani menayangkan semula aurat (aib@rahsia) mereka kepada umum. Ada yang membuka terus tudung mereka. Ada yang masih mengekalkan tudung namun semakin menelanjangkan diri dengan berbaju sendat dan sebagainya.
Kaitannya dengan perumpamaan Ibnu Atho’illah ialah seseorang tidak mungkin dapat memberi manfaat pada orang lain meskipun dia sudah bertemu hidayah. Ini terjadi akibat mereka tidak menanamkan diri mereka di dalam tanah yang rendah sehingga orang lain tidak merasai kewujudan mereka itu. Dalam tempoh di dalam tanah itulah, kita seharusnya membentuk akal fikiran dengan ilmu makrifatullah (aqidah, fiqh dan akhlak), membentuk hati dengan wirid dan zikrullah serta bermujadah melawan hawa nafsu.
Uzlah
Rasulullah s.a.w sendiri beruzlah di Gua Hira’ sebelum dilantik menjadi nabi dan rasul. Selepas kenabian, baginda beriktikaf pada setiap tahun selama 10 hari di akhir bulan Ramadan. Manakala pada tahun baginda wafat, baginda s.a.w telah beriktikaf selama 20 hari.
Tujuan amalan tersebut adalah memberi ketenangan sebanyak mungkin bagi membentuk jiwa. Bukannya kerana beruzlah (mengasingkan diri) daripada orang ramai. Malah dalam tempoh tersebut, seseorang hamba dituntut agar lebih banyak ‘mengambil’ dari ‘memberi’. Mengambil di sini bererti mendapatkan pengisian jiwa dalam bentuk ilmu dan ibadah sebanyak mungkin. Dalam masa yang sama menahan diri dari berdakwah atau memberi nasihat kepada orang ramai. Lantaran itu, seandainya peringkat ini berlalu pergi tanpa dia sempat mengambil apa jua yang dapat membentuk peribadiannya, nescaya hasil yang akan diperolehinya nanti terdapat banyak cacat celanya.
Awasi Kemasyhuran
Di antara perkara yang sangat berbahaya ke atas seseorang hamba ialah mendedahkan diri kepada panas terik kemasyhuran (glamour) sebelum tiba masanya. Malah sesetengah orang itu apabila disilau sinar kemasyhuran tanpa persediaan jiwa untuk menghadapinya, keadaannya tidak ubah seperti menghampiri cahaya lampu. Semakin dia hampir kepadanya, dia nampak dirinya semakin besar, sedangkan saiznya yang sebenar tidak sedikit pun berubah. Yang membesar hanyalah bayang-bayangnya sahaja.
Fenomena ini sering berlaku kepada contoh artis yang disebutkan tadi atau orang politik.
“Saya mendapat tawaran yang semakin mencurah selepas berubah”.
“Alhamdulillah rezeki saya bertambah murah”.
Inilah kata-kata yang sering diluahkan oleh mereka yang melakukan perubahan ke arah yang lebih baik terutama artis wanita yang mengambil keputusan bertudung. Mereka terus menerjunkan diri ke lembah kemasyhuran serta dikelilingi oleh dunia yang melalaikan. Oleh kerana mereka tidak melalui prosedur yang tepat dalam membaiki diri yakni tidak menanam diri di dalam tanah terlebih dahulu, masa yang berlalu menyaksikan mereka semakin lalai dan kembali menjauhi konsep hijab yang sebenar. Bagi mereka yang melalui proses yang betul, alhamdulillah, kita dapati mereka dapat istiqamah hingga ke usia tua. Contoh artis yang istiqamah dan benar-benar bertaubat ialah Noor Kumalasari. Bahkan ramai lagi artis wanita yang lain setelah berubah, mengambil keputusan menjauhi dunia glamour serta memilih rumahnya sebagai tempat keamanan dan keselamatan bagi iman dan taqwanya.
Begitu juga bagi ahli politik yang berfahaman Islam, tatkala mereka diterjah kemasyhuran, mereka tertipu dengan bayang-bayang tersebut. Mereka mula memandang leceh pada orang lain terutama para ulama yang ikhlas.
Tertipu Dengan Bayang-bayang

Ramai orang telah tertipu dengan bayang-bayang ini. Mereka melihat diri mereka jauh lebih besar dari keadaan sebenarnya, lalu mereka memandang orang lain lebih kecil dari mereka. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak diberi kedudukan dan tidak pula masyhur di kalangan masyarakat.
Perasaan ini turut memberi kesan kepada tindak tanduk mereka, sehingga mereka sibuk untuk melakukan sesuatu yang dapat membuktikan kelebihan mereka, serta menjauhkan diri daripada apa jua perkara yang dapat memperlihatkan kejahilan mahu pun keperluan mereka kepada ilmu pengetahuan.
Justeru itu anda akan melihatnya merasakan dia adalah dari kalangan orang yang berilmu, malah membariskan dirinya setaraf dengan ulama, sedangkan dia langsung tidak pernah berpenat lelah untuk membaca, menghafal atau mengkaji sesuatu ilmu. Juga tidak pernah pun juga walau sehari mengambil jalan orang yang menuntut ilmu. Malah dia telah ditolak masuk ke alam kemasyhuran untuk menempuh panas teriknya tanpa apa-apa persediaan.
Apabila dia ditanya sesuatu perkara, anda melihatnya menjawab tanpa sesuatu kefahaman, tetapi semata-mata untuk menafikan kejahilannya. Seandainya seseorang membalas balik perkataannya, dia akan terus naik berang. Seandainya dia berhujjah ataupun berdebat, dia sangat tidak suka ditentang. Seandainya diperingatkan, dia menolak nasihat tersebut. Dia tidak melihat dirinya melainkan melalui sebuah kanta pembesar, sambil membayangkan bahawa orang lain jauh lebih kecil darinya.
Individu seperti ini sangat cepat terbongkar identitinya. Dia sebenarnya telah membinasakan dirinya sendiri. Belum sempat mengambil peluang untuk membentuk peribadinya, tiba-tiba sahaja dia mendapati dirinya sudahpun berada dipuncak, terus disilau oleh sinar terik kemasyhuran umpama teriknya sinaran mentari. Dia dikelilingi orang ramai dan disebut-sebut orang, sehingga segala perhiasan duniawi datang melingkari hidupnya. Lalu iapun tidak lagi menemui waktu untuk mendidik hatinya sendiri, ataupun untuk membersihkan nafsunya atau memberi cahaya ilmu kepada akalnya.
Imam Syafie memberi penekanan terhadap pengertian ini dengan kata-kata, “Sesiapa yang menuntut kepimpinan nescaya ia (kepimpinan itu) akan lari daripadanya, dan sekiranya seorang yang baru bermula sudah memimpin, nescaya dia terlepas dari ilmu yang banyak“.
Ummu Abbas
8.08am
20 Syawal 1430H
Terima kasih Ummu Abbas.
Walaupun tulisan ini memberi contoh pada golongan artis dan ahli politik, tapi baik juga untuk kita di alam maya ini. Akak cuba merenung diri akak sendiri. Adakah akak seperti itu. Memang ada kemungkinana dan kebenarannya. Terima kasih atas peringatan.
Wassalam.
assalamualaikum kak nur,
errr… dia masih lagi jual produk yang galakkan perempuan bertabbaruj ke??
harusnya dia tulis kat kotak… untuk dipakai depan suami sahaja tu… 😛
Kak Nisha,
Benar apa yang Kak Nisha sebutkan. Saya menyebut contoh artis dan ahli politik kerana ia mudah nampak.
Sebenarnya dalam skop yang lebih kecil, ia juga sering berlaku pada sesiapa pun jua. Juga kemasyhuran dalam internet, perlu berhati-hati.
Kemasyhuran itu sendiri sebahagian dari contoh fitnah dunia yang melingkari diri seseorang. Banyak lagi contoh lain seperti diminati ramai orang, diberi harta kekayaan, mendapat pujian ramai dan lain-lain.
Syaitan itu licik dan pelbagai helah untuk menjauhkan kita dari Allah KECUALI hamba yang IKHLAS akan dipelihara oleh ALLAH.
Wallahua’lam.
Assalamu’alaikum wrt wbt
Alhamdullilah dapat bertemu kak Nur semalam…. rindu sangat pd kak Nur. ditengah dalam dilema dan kekucaran fikiran nih, apa yang kak Nur post diatas, buat shafa rasa tenang dan mendapat peringatan InsyaAllah. Cakap soal ber’uzlah, mmg ada rasa nak ber’uzlah dengan harapan dapat mengisi jiwa ni, sebab kadang2 rasa kosong sangat jiwa, sebab kita yang selalu memberi dan setiap butir kata itu akan diuji semula… shafa harap dapat sangat ber’uzlah mcm kak Nur huraikan dan semoga kawan2 semua memahami…
Assalamualaikum kak nur, moga kak nur dan family dalam sejahtera
Saya baru baca tentang hidayah dalam majalah solusi isu no 12. Terjawab persoalan saya sebelum ini. Hidayah itu bukan disebut hanya untuk orang kafir yang masuk Islam. Ada orang kata sebelum ini tentang orang Islam yang lalai (contohnya lalai) bukan kerana tiada hidayah tapi kerana iman berkurang. Katanya hidayah merujuk kepada yang diberi kepada orang kafir untuk masuk Islam sahaja.
Dalam majalah tu kata, ada beberapa jenis hidayah iaitu, hidayah tabii, hidayah hawasi, hidayah akal, hidayah Islam dan hidayah taufik. Hidayah taufik lah yang paling penting dan hidayah inilah yang kita minta dalam solat ketika bacaan al-fatihah..
Kak nur baca majalah solusi? Apa pendapat kak nur pasal majalah tu?
Bolehkah diketahui siapakah lagi teman-teman siber ukhtie Nor yang berada di Doha Qatar?
terima kasih kerana memberi kredit kepada kami.
mohdruhaizie | Riyadzi
saya@mohdruhaizie.com
salam, mohon kebenaran untuk copyright gambar pucuk yang baru tumbuh di atas.
fitri_blonc@yahoo.com terima kasih.