Bila anak tidak mendengar kata…

Azie 

Submitted on 2009/06/12 at 10:12am

Assalamualaikum.

Semoga Ummu Abbas cepat sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Azie ada soalan yang berkaitan dgn pendidikan anak menurut Islam.   Azie ada 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan yang berusia antara 5-12 tahun. Yang menjadi masalahnya mereka sukar mengikut cakap Azie.  Mereka lebih mendengar kata-kata orang lain walaupun apa yang diutarakan itu adalah sama. Macamana caranya supaya mereka lebih mendengar kata ?

Satu lagi masalah ialah cara mendidik anak agar bertudung dan menutupi aurat.  Anak perempuan bongsu Azie yang berusia 5 tahun tidak mahu bertudung. Walaupun usianya masih kecil,  tetapi kita mesti mendidik mereka daripada kecil.  Dah puas Azie memujuk dan menerangkan agar dia bertudung, tetapi tidak diendahkan.  Kadang-kadang sampai tahap mengugut.  Nak tunggu pihak sekolah menetapkan peraturan memang mustahil, kerana anak bersekolah di International School.  Dia asyik mengulangi kawan2nya tidak memakai tudung sedangkan mereka berbilang bangsa.  Azie sudah buntu untuk menerangkan kepadanya bagaimana caranya agar dia bertudung.

Dari mata Azie, masyarakat Arab di sini juga tidak menitik beratkan perihal aurat. Pemakaian abaya dan niqab hanyalah sebagai tradisi sahaja bukan kerana peraturan agama.  Entah, ingatkan berada di bumi Arab ni semakin bertambah iman….Semuanya itu terpulang kepada diri seseorang itu sendiri “tepuk dada tanya IMAN”.

Wassalam.

***********

Wa’alaikum salam warahmatullah Azie.

 

Semoga Azie sekeluarga berada dalam keadaan sihat dan tenang selalu.

Pertamanya, mohon maaf di atas kelewatan memberi jawapan kepada permasalahan ini.

Di bawah ini, saya ceritakan serba sedikit pengalaman saya bersama anak-anak untuk dijadikan renungan bersama. 

 *************************

Cantik

 

Suatu hari saya sedang melihat-lihat imej dalam google.  Aesya, satu-satunya anak perempuan saya berusia 4 tahun tumpang melihat sama.  Anak-anak begitulah, asalkan ternampak foto-foto, mereka akan asyik.  

Tiba-tiba Aesya terpandang wajah perempuan berkulit hitam, “Ummi, perempuan ini hodoh sebab kulit dia hitam”.

Saya tersenyum sambil memandang Aesya, “Dia cantik.  Hitam atau putih semua Allah yang ciptakan”.

 

Cantik itu subjektif!
Cantik itu subjektif!

“Aesya suka hitam atau putih?”

“Aesya suka putih.  Putih cantik”

“Alhamdulillah, Aesya sudah putih. Tapi Aesya perlu jaga kat sini supaya cantik juga,” saya berkata kepada Aesya sambil meletakkan tangan di atas dadanya.  Sebelah tangan memeluk bahu Aesya.  Pada masa itu, kami hanya berdua.  Jadi saya dapat berbual-bual dengannya penuh privasi.

“Kalau hati cantik, Aesya akan bertambah cantik.  Tapi kalau hati kotor, Aesya akan nampak hodoh walaupun kulit Aesya putih”. 

Semasa saya menyebut “bertambah cantik”, saya mendepakan tangan dan menunjukkan ke arah wajah untuk menggayakan hal tersebut.  Anak-anak seusia Aesya biasanya suka bila kita bercerita atau bercakap sambil membuat gaya-gaya tertentu.

Aesya menganggukkan kepalanya. 

 

Bila saya bercakap sambil menyentuh anak, suara saya sekadar didengar oleh Aesya sahaja.  Bila bercakap dengan nada lembut, perlahan dan terdapat sentuhan, saya dapati Aesya khusyuk mendengar apa yang saya perkatakan.  Meskipun dia tidak memahami sepenuhnya tentang hati, namun ia adalah satu usaha saya memberi ilmu sejak awal.  Anak-anak kecil masih bersih hatinya.  Saat ini, adalah saat yang sangat efektif memberi input-input positif berlandaskan agama.

Saya bukanlah ibu yang baik.  Banyak masa juga saya dipengaruhi emosi apabila menegur anak-anak.   Namun saya tetap berusaha memperbaiki diri dan mencuba pelbagai kaedah.  Suami saya banyak memberi teladan yang baik untuk bercakap dengan anak-anak. Waktu terluang bersama saya dan anak-anak akan dimanfaatkan untuk memberi teladan kepada saya dan sama-sama mendidik anak-anak. Kekurangan saya, suami yang tampung.  Kekurangan suami, saya pula yang tampung.

 Saya juga sering berhadapan dengan kerenah anak-anak yang tidak mendengar kata.  Biasanya saya akan muhasabah diri, mungkin saya sendiri pernah tidak mendengar nasihat suami atau ibubapa saya.  Jika saya pernah melakukannya, saya segera istighfar dan bertaubat.  Kalau saya bukan begitu, maka saya kembalikan kepada Allah bahawa Allah mahu menguji saya dengan sikap anak-anak.

 *****************

Maaf

 

Saya tetap memberitahu anak-anak tentang kewajipan mentaati ibubapa setiap kali mereka ingkar.  Biasanya anak-anak akan memohon maaf setelah melakukan kesilapan.  Memohon maaf juga perlu dilatih pada diri anak-anak.  Saya mulakan dengan diri saya meminta maaf kepada anak-anak bila saya ter’over’ marah atau melakukan kesilapan lain.

Bila kita sendiri merendah diri kepada Allah dengan mengakui kesilapan kita, maka Allah akan lembutkan hati anak-anak kepada kita, insya Allah. Jadikan kerenah anak-anak sebagai kaffarah kepada dosa-dosa kita.

 

Dalam usia anak-anak yang masih kecil dan bersih hatinya, segala perkara kita perlu beritahu dan didik mereka menunaikannya.  Inilah ujian sebenar menjadi ibu.  Mengajar/memberitahu dan mendidik adalah perkara yang sangat berbeza.  Mendidik atau melatih mereka mempraktikkan sesuatu perkara itulah yang memerlukan komitmen dari kita sebagai ibunya. 

 

Apabila disebut melatih, kita tentu terbayang bahawa ia bukan sekali dua sahaja.  Bahkan berulang-ulang kali sampai sesuatu perkara itu menjadi habit anak-anak. Tugas melatih adalah tugas yang memenatkan dan ibu perlu rajin.

 

************

Shin Chan atau Solat Jemaah?

 

“Abbas… Azzam… nanti pergi solat di masjid ye…”

Boleh dikatakan hampir setiap hari perkataan ini keluar dari mulut saya.  Ada masa anak-anak mengikut sahaja suruhan kita.  Kadang-kadang mereka enggan juga.  Bila mereka liat-liat ke masjid, saya guna pendekatan lain.

“Abbas, antara duit RM1 dan RM27, mana yang Abbas mahu?”

“Mestilah nak yang RM27…” Pantas sahaja Abbas menjawab.

“Haa.. kalau begitu, solat di masjid ye… solat sendirian di rumah dapat satu pahala, solat jemaah di masjid dapat 27 pahala.  Mana yang Abbas mahu?”

Akhirnya mereka akur juga.  Mereka akur bukan semata-mata menurut suruhan saya, bahkan mereka sendiri mahukan pahala berganda dari Solat Jemaah di masjid.

 

Kadang-kadang mereka asyik menonton televisyen, pada masa itulah azan berkumandang.  Biasanya mereka akan ‘sayanglah’ mahu tinggalkan cerita di TV.

Saya pernah berkata,”Shin Chan tu dapat tolong Abbas tak masa Abbas nak mati… atau Allah yang boleh tolong Abbas?”

 

Shin Chan yang suka mengorat.  Banyak juga pengaruh negatif dia...
Shin Chan yang suka mengorat. Banyak juga pengaruh negatif dia...

Pada masa lain pula saya jelaskan begini,”Allahuakbar yang kita baca dalam solat itu maksudnya Allah Maha Besar.  Jadi bila bertembung antara kehendak Allah dan kehendak kita, maka dahulukan kehendak Allah, barulah betul kita kata Allahuakbar.  Bila kita buat apa yang kita suka dahulu, itu bererti kita yang lebih besar dari Allah”.  Maksud saya kita membesarkan diri kita tanpa disedari. 

Sebenarnya kita boleh melakukan kerja-kerja lain jika syarak membenarkan.  Bila dikatakan syarak membenarkan maka ia adalah keizinan dari Allah untuk kita dahulukan perkara lain.

Sebagai contoh:  Meraikan tetamu yang baru tiba, melakukan operasi pembedahan bagi kes kecemasan dan lain-lain.

Dialog-dialog begitu biasanya saya gunakan semasa bercakap dengan anak berusia 9 dan 10 tahun.

Perkara penting yang perlu difahamkan pada anak-anak ialah apa yang kita sampaikan merupakan perintah Allah swt.  Kita sendiri perlu betulkan niat bahawa kita hanya menyampaikan ajaran Islam dan mahu anak-anak patuh kepada Allah swt.  Justeru itu, banyakkanlah menyebut nama Allah dan hari Akhirat

 *************

Berebut

 

Bila lihat Aziz (6 tahun) dan Aesya berebut makanan, saya pernah katakan, “Siapa bagi pada orang lain dulu, Allah sayang dia dulu”.  Lazimnya mereka mudah mengalah terutama Aesya.  Saya dapati anak perempuan lebih sensitif bila disebut perkataan sayang.

 Sebaik sahaja mereka melakukan apa yang saya galakkan, saya hadiahkan ciuman di pipi.

“Mari sini Ummi sayang”.

Aesya sangat suka bila dicium pipinya.

“Allah sayang Aesya.  Ummi pun sayang Aesya”.

Senyumannya akan bertambah lebar.

 

************

Tudung

 

Anak seusia Aesya, saya tidak beratkan dia untuk bertudung setiap kali keluar rumah.  Jika dia mahu, saya pakaikan.  Jika dia tidak mahu, saya sisir, ikat rambutnya dan pakaikan reben agar penampilannya kemas.  Saya masih membelikan skirt yang labuhnya melepasi lutut. 

 Sebenarnya,sejak dia bayi, skirt paling singkat yang dipakaikan ialah melepasi lutut.  Bila dia membesar dan skirt itu singkat hingga ke paras atas lutut, saya akan simpan skirt itu dan tidak lagi membenarkan dia pakai.  Saya menjelaskan, “Skirt ini dah singkatlah Aesya.  Tak comel dah kalau Aesya pakai”. 

Aesya setuju dengan pendapat saya.

Antara tutng yang Aesya suka
Antara tudung yang Aesya suka

 

Bagi anak-anak sebaya dengannya (4, 5 dan 6 tahun), memadailah kita melatih mereka bertudung namun tidak perlu memaksa mereka, apatah lagi mengugut. Bila Aesya tidak mahu bertudung, saya akan katakan, “Sekarang Aesya masih kecil, jadi Aesya boleh lagi tidak bertudung bila mahu keluar”.

 Biasanya Aesya akan menyambung, “Bila Aesya besar macam Ummi, Aesya kena pakai tudung selalu, kan… Ummi”. 

“Haa… betul.  Bila Aesya besar macam Ummi, Aesya kena pakai tudung selalu”.

 Dalam konteks ibadah solat yang fardu, Nabi s.a.w menyuruh kita melatih anak-anak solat semasa usia mereka 7 tahun.  Jadi pada pendapat saya, pada usia 7 tahun jugalah kita harus melatih anak-anak perempuan menutup aurat secara lebih bersungguh-sungguh.  Itu pun tidaklah sampai mewajibkan mereka memakainya setiap kali mahu keluar rumah.  Memadai jika mereka berpakaian sopan dan mengenakan skaf kecil di kepala untuk sekali-sekala.

 

************

Azie yang dirahmati Allah,

Saya syorkan Azie banyak memberi penerangan kepada anak perempuan tentang aurat wanita dan kenapa perlu memakai tudung.  Berdialog dengan anak sambil memeluk bahunya dan beritahu bahawa Allah sayang pada anak perempuan yang bertudung/menutup aurat.  Beli tudung yang cantik-comel sesuai dengan usia mereka. 

 Mengenai kawan-kawannya yang tidak bertudung, saya syorkan Azie merujuk kepada artikel Abu Saif di web beliau (Tajuk, “Selamat Ulangtahun Kelahiran Kelima, Sayang!”di http://saifulislam.com ).  Bolehlah Azie bertanya Abu Saif bagaimana dia mendorong anaknya bertudung di sekolah yang semua pelajarnya tidak bertudung?  Aesya bersekolah di PASTI, jadi masalah pengaruh kawan tidak timbul.

 Kita sama-sama menjadi ibu di alam realiti dan bukan sekadar berteori di dalam kitab dan blog.  Kitab dan blog tidak punya emosi, nafsu dan akal. Ia hanya alat semata-mata. Bila ditulis dengan indah, hanya yang indah akan kelihatan.  Begitu juga sebaliknya. Sedangkan kita sentiasa perlu bermujahadah dengan nafsu dan hasutan iblis untuk menjadi ibu yang baik. 

Suami yang baik akan banyak membantu isteri menjadi ibu yang baik. Suami yang baik dan doanya yang tulus buat ahli keluarga juga akan meringankan lagi tugas mujahadah sang isteri. 

Dalam usaha kita mendidik anak-anak, perkara asas kepada usaha tersebut adalah doa kepada Allah agar membantu kita mendidik anak-anak.  Mohon hikmah dan kesabaran dari Allah.  Minta Allah bantu kita jadi ibu mithali.  Mohon Allah lembutkan hati anak-anak untuk menerima Islam dan iman di hati mereka.  Tanpa bantuan Allah, siapalah kita…

 

Apa yang baik datangnya dari Allah.

 

Setakat termampu…

Ummu Abbas

2.19am

23 Syawal 1430H

6 thoughts on “Bila anak tidak mendengar kata…

Add yours

  1. Assalamualaikum.
    Terima kasih K.Nur atas tunjuk ajar dan perkongsian ilmu ini. InsyaALLAH azie akan cuba mempraktikkan apa yg baik ini. Semoga kita semua sentiasa di dalam keberkatan dan lembayung rahmat-NYA insyaALLAH.

  2. assalamualaikum ummu abas dan salam ukhuwwah..
    selama ini hanya menjadi silent reader.. cukup ‘teruja’ melayari blog ummu abbas..
    terima kasih kerana masukkan entry mengenai didikan anak ini.. cukup berguna untuk dijadikan panduan.. insyallah, diri masih baru di alam ibu ini, moga2 saya jua diberikan kekuatan iman dalam mentarbiahkan anak2..
    terima kasih ye kak..
    kalau boleh, akak buat la entry menangani anak yang meragam ye.. kebetulan saya baru je selitkan pengalaman tu dlm blog saya..

    Wa’alaikum salam wbh AMAY,

    Insya Allah, sama-sama kita memohon kepada Allah agar menjadikan kita ibu mithali.


  3. Assalamualaikum Ummu Abbas.

    Tahniah dan terima kasih. Begitu detail sekali contoh yang di beri.

    Kebanyakkan apa yang ummu Abbas contohkan semuanya dah akak buat tapi hasilnya tak memuaskan. Mungkin akak mengharapkan hasil yang baik lebih segera walaupun rasanya dah terlalu lama. Namun demikian masih tidak berputus asa. Cuma kadang-kadang berkeluh kesah juga. Ialah akak ni manusia biasa dan banyak melakukan dosa.

    Sekarang ni pun nak suruh/ajar anak-anak remaja(lelaki) tu puasa sunat pun kena bayar duit. Tapi dengan niat ingin mendidik. Mungkin sekarang mereka puasa kerana duit(tak banyak pun RM20 utk 6 hari). Tapi suatu hari nanti harap mereka ikhlas kerana Allah Taala. Akak ni pun tak tentu ikhlasnya.

    Wallahua’lam.

    Wa’alaikum salam wbh Kak Nisha,

    Anggaplah usaha kita kecil sahaja dibandingkan pertolongan dari Allah itu sendiri. Saya kenangkan diri sendiri yang ibubapa orang biasa-biasa sahaja, bukan ustazah dan bukan pula alim ulama namun Allah tetap memberikan hidayah kepada siapa yang mahu. Kesimpulannya, dsiamping usaha kita secara teknikal, banyakkan doa agar anak-anak terbuka pintu hatinya untuk mengenal Allah dan mendekatkan diri padaNya.

    Wallahua’lam.

  4. Assalamualaikum Kak Nur,

    Milla tiap hari2 melawat kat sini, tapi malas sikit bab komen2 ni he he he…tapi milla paling suka entry ni, anak2 milla sedang membesar dan selalu menghadapi masalah tak dgr kata kita, culas solat & malas belajar & mcm2 lagi. Saya menjadi ibu yg sering tak sabar dgn kerenah mereka dan akhirnya marah2 mereka takpun menangis. Milla ni kena byk muhasabah diri sendirilah Kak Nur….terima kasih perkongsian ilmu ni.

    p/s: milla dah boleh tgk picture dlm blog kak nur ni kalau guna mozilla tapi kalau guna IE masih tak nampak gambarnya. lagi satu, buku kak nur tu dah ulang cetak ke belum?

    Stok yang lama buku tu ada berbaki 4 unit. Kak Nur dah simpan satu untuk Milla. Boleh hubungi Kak Nur melalui email untuk berikan alamat. Insya Allah Kak Nur poskan secepat mungkin.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: