Suatu hari saya menziarahi seorang kawan baik di Kota Bharu dengan ditemani Aini. Saya rapat dengan Aini waktu itu kerana dia bukan sahaja kerabat tetapi juga tinggal berjiran. Apatah lagi usianya hanya tua setahun dari saya.
Hari itu saya memakai jubah berwarna hitam berbunga batik di bahagian kaki dan bertudung hijau. Tudung itu labuh melepasi dada tetapi tidaklah labuh seperti tudung sekolah. Di bahagian lengan, paras tudung di atas dari siku. Pakaian sebegitu pada waktu itu digelar ‘Hantu Kum Kum’. Jarang remaja seperti saya (berusia 13 tahun) yang mahu mengenakan pakaian seperti itu imma pada masa itu atau di zaman sekarang. Nampak seperti orang tua kata sesetengah orang. Bagi saya, saya pakai apa yang saya rasa selesa dan Allah reda. Cukup.
Sedang kami duduk-duduk di dalam bas untuk pulang ke rumah, tiba-tiba dinding bas di sebelah tempat saya duduk diketuk seseorang. Lazimnya bas-bas SKMK di stesen Kota Bharu itu lambat bergerak kerana menunggu penumpang ramai dahulu atau menunggu masa yang ditetapkan. Saya yang duduk di tepi tingkap bas menjenguk ke bawah.
Seorang pemuda berseluar ketat dan berambut panjang ada di bawah bersama beberapa rakannya. Dia mendongak ke arah saya sambil berkata, “Saya nak jumpa awak, boleh?”
Saya agak terperanjat mendengar pelawaan terbuka seperti itu. Di belakang pemuda itu, ramai orang awam di stesen bas itu.
“Tak boleh. Tak baik… nanti Allah marah,” saya berterus-terang sahaja.
“Saya nak juga jumpa awak, tolonglah… beritahu bila dan di mana, ikut suka awak,” pemuda itu merayu lagi.
Hai, jawapan seperti itu pun dia tidak boleh terima.
“Tak boleh. Saya tak biasa jumpa (dating) dengan mana-mana lelaki”
“Bolehlah awak….”
Oleh kerana pemuda itu terus berkeras mahu jumpa saya sambil mengetuk dinding bas semakin kuat bertalu-talu, saya menjawab, “Macam ni lah… kalau saya datang dengan Abah saya macam mana? Boleh tak”
Saya menyatakan demikian dengan sangkaan dia akan merasa takut dan pergi dari situ namun pemuda itu terus sahaja setuju.
“Boleh. Datanglah dengan Abah awak pun.. tak mengapa asalkan boleh jumpa awak”
Alamak! Saya bukan mahu jumpa dia pun dan belum tentu Abah akan setuju saya jumpa dia. Saya menggelabah lalu berkata,
“Tak boleh. Macam ni lah.. awak jumpa je kawan saya kat sebelah ni. Lagi pun dia lebih cantik dari saya” saya memberi cadangan ‘desperate’ sambil menuding jari ke arah Aini yang duduk di sebelah. Aini memang gadis cantik pada mata saya. Saya sendiri biasa-biasa sahaja. Itu jawapan mahu melepas diri dan tiada niat di hati agar Aini berdating dengan pemuda itu.
Aini mencuit bahu saya, “Isy.. apa ni Nur. Dia nak jumpa Nur lah, bukan saya…”
“Tak nak. Saya nak jumpa awak juga…” pemuda itu tetap dengan pendiriannya. Saya bertambah kaget. Lelaki apa ini, dipelawa perempuan secantik Aini pun ditolaknya.
Aduh… biar betul mata pemuda ini. Saya tiada idea lagi untuk menghentikan lamaran pemuda itu. Saya berasa malu melihat dia bercakap sambil mengetuk-ngetuk dinding bas dengan kuat kerana saya menolak pelawaannya. Banyak mata memandang kami.
Ada ke patut… zaman itu zaman Rock dan al-Arqam. Zaman Amy Search dan Awie Wings. Antara rockers dengan imejnya berseluar ketat berambut panjang dan pemuda-pemuda Arqam dengan imej berjubah dan berserban, hati tertarik dengan jubah dan serban. Alih-alih Mat Rock pula datang mengorat. Namun bukanlah saya berminat dengan Arqam dan pemuda-pemudanya. Saya minat pakaian sunnah itu sahaja.
Namun kalau pemuda berjubah dan berserban datang mengorat, pasti saya menolak juga sebab bukanlah gaya serban dan jubah mengorat gadis di jalanan. Pakaian merupakan salah satu syiar Islam. Akhlak di sebalik pakaian itulah yang lebih bernilai dari segala-galanya.
Pernah seorang lelaki berkopiah memberi salam, ‘terkejut kucing’ juga saya dibuatnya. Bau salamnya salam mengorat, bukan salam ikhlas. Untuk lebih selamat di akhirat kelak, saya jawab sahaja di dalam hati.
Saya tidak rasa saya perempuan menarik. Jadi saya rasa pelik bila ada pemuda yang terang-terangan ajak dating secara terbuka begitu. Dah tu… dipelawa saudara saya pun dia tidak mahu. Entahlah…agaknya pemuda itu pekena ‘benda’ itu… tidak tahulah saya. Hanya lelaki yang lebih tahu sikap lelaki. Macam dalam drama dan filem pula, yang mana heronya melaung dengan kuat, I Love You kepada kekasihnya di hadapan public. Kononnya untuk membuktikan tulus dan benarnya cinta dia.
Seorang makcik ‘tok peraih’ yang duduk di hadapan kami waktu itu akhirnya menoleh kepada saya,
“Dahlah tu dik. Tak payah layan lagi. Budak tu gila agaknya.”
Saya terus mendiamkan diri dan tidak lagi menoleh ke arah pemuda itu. Saya agak pemuda itu turut mendengar apa yang dikatakan makcik peraih beras itu. Pemuda itu berang nampaknya dan sebelum pergi dia sempat menumbuk dinding bas itu lagi (atau bas yang bergerak meninggalkan pemuda itu. Saya lupa yang ini). Kecut perut saya dibuatnya.
Saya ketakutan juga sebab saya akan berulang lagi ke sekolah setiap hari menaiki bas di stesen bas itu. Bimbang jumpa lagi dengan pemuda itu.
Memang ya… saya perasan pemuda itu pernah melintas di hadapan saya semasa saya melintasi pinggiran Pasar Buluh Kubu. Pasar Buluh Kubu (sekarang Pasar Siti Khadijah) itu menjadi laluan wajib pelajar MMP yang berulang menaiki bas SKMK. Agaknya dia bekerja di pasar itu. Namun alhamdulillah, dia tidak berani mendekati saya lagi. Dia hanya memandang dari jauh dan kelihatan seperti melarikan diri bila terserempak dengan saya. Agaknya dia malu dengan peristiwa yang berlaku.
Banyak ikitbar dari pengalaman tersebut:-
- Elakkan diri dari mudah perasan agar tidak mudah ditimpa perasaan. Bila sudah ditimpa perasaanlah, ramai perempuan lupa diri dan lupa Allah. Akhirnya menyerah diri. Na’uzubillah. Perasan itu sifat mazmumah. Jadi memang patut siapa-siapa yang perasan terhijab hatinya dari melihat realiti. Ramai lelaki ‘usha’ perempuan untuk menguji mereka sahaja. Adakah perempuan itu tahu menjaga diri atau tidak.
- Ikut sahaja ajaran agama agar diri selamat dunia akhirat.
-
- Jangan berdating dengan mana-mana lelaki ajnabi. Barulah kita akan dapat suami yang tidak pernah berdating dengan mana-mana perempuan. Sabar adalah perlu untuk meninggalkan larangan Allah. Jangan terburu nafsu, nanti diri yang lesu.
- Kalau hari ini, lelaki mudah berdating dengan kita yang belum sah sebagai pasangannya, peratus untuk dia berdating pula dengan perempuan lain yang tidak halal selepas berkahwin dengan kita adalah tinggi.
- Perasaan terhadap pasangan sebelum kahwin dan perasaan terhadap suami sangat berbeza macam langit dan bumi. Jangan ambil mudah. Cemburu kepada suami tidak sama cemburu kepada pasangan yang belum halal.
- Jika bercita-cita mendapat suami soleh, usahakan diri sendiri menjadi solehah dahulu.
-
- Jika kita tinggalkan sesuatu kerana takutkan Allah, Allah gantikan dengan yang lebih baik. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya suami yang baik.
- Cara mendiamkan lelaki yang mengorat atau mengusik kita ialah diam. Pada masa peristiwa di atas berlaku, saya masih sangat muda dan baru masuk ke usia baligh. Saya tidak tahu dan tidak kenal sikap lelaki. Saya banyak belajar dari abang-abang kandung bagaimana seharusnya kita bersikap bila bermuamalah dengan lelaki ajnabi.
Iya…
Diamlah bila ada lelaki yang menelefon sedangkan tiada perkara penting yang hendak dicakapkan.
Diamlah bila ada lelaki sms pada perkara yang tidak perlu.
Diamlah bila ada lelaki jalanan memberi salam mengorat di tepi-tepi jalan.
Diam sahaja.
Tidak perlu marah atau mencela mereka… silap haribulan kita sama berdosa dengan mereka.
Jika saudari marah-marah, ia hanya memberi modal tambahan untuk mereka mengusik kita.
Jadi diam sahaja. Mereka akan kehilangan modal dan idea serta merasa boring kerana bercakap seorang diri.
Buat kerja kita dan pedulikan mereka.
Jika kita memelihara diri, insya Allah pasangan yang Allah telah tentukan untuk kita juga akan memelihara dirinya dengan ‘inayah Allah. Pokoknya, yakin dengan jodoh ketentuan Allah. Cari yang halal dengan cara yang halal. Insya Allah diberkatiNya.
- Buat lelaki yang baik, ajarlah anak-anak perempuan atau adik-beradik perempuan mengenai lelaki. Abang saya bercerita kepada saya mengenai pandangan lelaki terhadap perempuan, jadi saya lebih tahu menjaga diri agar menjadi gadis bermaruah. Alhamdulillah. Kalaulah abang-abang saya tidak memberi tunjuk ajar, sudah tentu saya mudah terpedaya seperti ramai gadis-gadis lain. Na’uzubillahi min zalik.
Carilah reda Allah, nescaya bahagia!
Ummu Abbas
12.26am
25 Syawal 1430H/ 13 Oktober 2009
Edited: 6 pm, Dec 19 2020
Satu coretan kenangan yang mempunyai pengajaran tersendiri.
chik setuju benar dengan tulisan k.nur ni.
alhamdulillah, bila kita menguatkan hati dari ditimpa ‘perasaan’ atau termakan pujian/pujukan lelaki seperti itu, Allah kurniakan kita lelaki yang lebih baik.
Alhamdulillah…meneliti ayat2 di atas membuatkan saya bungkam rasa.laluan hidup saya bukan lelaki di atas.namun cita rasa tetap sama..cuma malu mendinding niat.saya amat teruja melihat anak-anak gadis berpakaian lengkap menutup aurat (zaman remaja dulu la terutama yg bertudung labuh)hati mudah sejuk.jiwa tenteram.sesetengah mereka benar2 menjaga diri.ada juga yg tak sedar diri.moga2 pemuda Mat Rock…mendapat hidayah tolakan halus..menilai diri untuk berubah.
sehingga ada berkenan di hati.tapi hati pula memujuk “aku tidak layak untuk gadis sebaik itu”.saya tahu dlm dunia ini bukan hanya dipenuhi gadis/pemuda yang baik dan gadis/pemuda yang jahat.sungguh2 “dia” seorang yg baik (agamanya)…fikrah islamiah,bertudung labuh,tidak mudah tersua di khalayak,atau ronda2.lepak2.cuma dgr dan tahu hadirnya di majlis ilmu dan usrah.pernah sekali meminta bantuan tapi jarak sejauh 8 meter di depan.dgn tunduk tanpa bahasa.akhlak yg sentiasa terjaga…bak bunga yg indah…semua pasti tertarik hatta untuk seekor kumbang yg jelik sekalipun tercair jiwanya parah.
kali ke dua usrah di balik tabir….dan yg terakhir! niatnya berpurdah dikotakan.sungguh “dia” seorang a’limah…dan saya semakin jauh ,benarlah tulisan di atas lelaki yang baik untuk perempuan yg baik pula.moga2 dia dianugerah lelaki soleh.untuk anak2 gadis dan pemuda2 zaman ini jika mencari nikmatnya syurga akhirat…milikilah syurga dunia.milikilah akhlak sebaik Nabi pilihan sedapat mungkin.ayat Allah memang benar dan selamanya benar.
Allahu a’lam
Menarik kisah kak Nur ni, mahal pengalaman ini dan wajar sungguh dikongsi dengan anak-anak gadis remaja yg masih bersekolah/juga yg telah dewasa. Pengajaran yg saya ambil dari kisah ini, Kita mesti jadi hamba-Nya yang taat dan takut walau di mana jua kita berada untuk mendapatkan hamba-Nya yang juga taat dan takut pada-Nya.
salam alaik kak nur.lama tak dgr citer dari Msia,alhamdulillah,sy dah mulakan pengajian di bumi kinanah ni,sy pun dah bukak blog sdri,harap dapat tunjuk ajar dari kak nur…hehe,rajin2 la jenguk ek..www.madihah-mardhatillahseeker.blogspot.com
oops!hehe madihah-mardhatillahseeker.blogspot
Kak nur,saya pun selalu jugak disapa,lagi2 kebelakangan ini.macam nak sama pengalaman kita ,muka saya bukanlah menarik sangat.Walaupun kita dah jalan tunduk pun(baca:tengok tanah),kena “tegur” juga.
Apapun,artikel ni sangat tepat pada masanya.,untuk saya la.Penawarnya:diam,sebab pernah jugak saya menjawab.
jzkk.
itu ujian mungkin… macam cik iman… 😛
Assalamualaikum kak nur,
Sejak menutup aurat ini gangguan dah berkurangan.. alhamdulillah 🙂
menarik sngat cite k.nur…. sye pun masih blajar cara2 nk pakai purdah….. ats dorongan mak dan ayah dan dgn kereleaan hati….. alhamdulillah….