
Dalam entry sebelum ini, saya paparkan khabar Sara Bokker, warga Amerika memeluk Islam serta memakai purdah dan Puan Rozita Jutawan Sendayu Tinggi juga memilih purdah, kali ini heboh lagi mengenai purdah apabila selebriti Waheeda pula mengenakan purdah. Sesiapa yang belum membacanya, search perkataan purdah di ruang carian,insya Allah, artikel berkenaan purdah akan dipaparkan.
Alhamdulillah, jika foto-foto di atas menggambarkan realiti si pemakai di luar sana. Saya sempat memerhati beberapa respon dalam beberapa blog mengenai hal ini. Seperti biasa dalam apa-apa isu, komen ada yang positif dan ada yang negatif. Komen-komen itu menggambarkan ilmu dan akhlak si penulisnya.
Ada juga komen-komen yang boleh menggoncangkan iman seperti mengatakan ia tiada kena mengena dengan agama. Pembaca perlu berhati-hati apabila mahu merespon sesuatu isu. Jika tidak tahu secara mendalam hal agama, lebih baik diam. Akidah boleh rosak bukan sahaja melalui perbuatan seperti menyembah patung, bahkan boleh gugur dengan kata-kata yang mempersendakan hukum agama.
Adalah lebih baik, jika pembaca tidak tahu hujjah sesuatu perkara, google sahaja perkataan ‘purdah’ contohnya dan lihatlah perbahasan mengenainya. Kemudahan internet di depan mata sewajarnya digunakan untuk menambah ilmu pengetahuan, dan bukan sekadar mengata itu dan ini tanpa ilmu di dada. Up grade cara berfikir dengan menambah pengetahuan di hujung jari. Bersyukur kepada Allah dengan nikmat mengakses maklumat yang tiada had melalui medan internet. Jika masih ada kekeliruan, bertanyalah kepada yang lebih tahu. Itulah petunjuk yang Allah berikan dalam al-Quran.
Apabila pembaca mendapati khilaf dalam sesuatu isu, pembaca harus tahu pula adab berbeza pendapat dalam Islam. Imam Syafii tidak pernah menghina Imam Malik apabila ada perkara yang beliau tidak sependapat dengan Imam Malik dan sebaliknya. Begitulah para ulama berakhlak apabila berbeza pendapat.
Begitu jugalah kita, apabila kita setuju dengan sesuatu perkara dan tidak setuju dengan perkara lain, maka raikan perbezaan tersebut selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip asas Islam. Saya bagi panduan ringkas sahaja dahulu.
Kembali kepada Waheeda yang memakai purdah, saya berharap ia dilakukan kerana mahu menambah taqwa di dada dan semata-mata mahu meraih cinta Allah swt. Saya optimis dengan Waheeda yang mengatakan dia merasa gembira dan lega kerana hasratnya untuk memakai purdah selama ini telah dapat ditunaikan. Setiap perkara yang dihalalkan oleh Islam merupakan perkara yang sesuai dengan naluri manusia. Dan segala perkara yang diharamkan oleh Allah merupakan perkara yang memudaratkan buat manusia seperti menuduh, menfitnah, mencaci maki orang lain dan lain-lain.
Semoga Allah memberi ketenangan dan kebahagian buat Ustaz Akil Hayy, Waheeda dan anak-anak. Semoga Allah menggantikan yang lebih baik buat Maizawati.
Moga Allah perteguhkan agama kalian dan moga kalian istiqamah di jalanNya.
Ummu Abbas
3 Muharram 1431H
11.43am
**********************************
Ini antara berita positif mengenai Waheeda pakai purdah. Orang yang suka bersangka baik dengan orang lain dicintai Allah.
Sumber: http://demokrasi93.blogspot.com/
LAMA tidak mendengar kisah tentang penyanyi ini sejak dia mengumumkan persaraannya dari dunia seni sebaik mendirikan rumahtangga dengan penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Akhil Hayy Ogos lalu.
Khabarnya, Waheeda kini lebih tenang menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak tirinya, Maisara dan Sharif yang tinggal bersamanya dan Akhil.
Malah, ketika ditemui pada majlis persandingan mereka di Dewan Guthrie Bukit Jelutong, Shah Alam, akhir Oktober lalu, Waheeda akui kehidupannya kini cukup bahagia di samping menumpukan kepada amalan ibadah.
Terbaru, wanita berusia 30 tahun ini dilihat sudah tampil dengan imej terbarunya – berpurdah. Waheeda dilihat berpenampilan sedemikian sewaktu menghadiri sebuah majlis bersama suaminya, baru-baru ini.
Cuba dirisik kepada empunya badan, Waheeda akui dia kini senang dengan imej sedemikian. Malah, sejak dulu lagi memang penyanyi yang pernah popular dengan lagu Wassini ini sudah menyimpan hasrat untuk berpurdah, cuma ketika itu dia belum berpeluang untuk berbuat demikian.
Malah, ketika seorang kenalan menghubunginya baru-baru ini, Waheeda kedengaran cukup ceria dan melahirkan rasa lega kerana hasratnya itu kesampaian jua.
Tiada siapa memaksa, tetapi apa yang dilakukannya itu datang daripada dirinya sendiri.
Dan berpegang kepada prinsipnya, jika boleh, dia tidak mahu lagi terlibat di dalam sesi fotografi mahupun temubual tentang kehidupannya kini. Kata Waheeda, lebih baik diajukan kepada suaminya saja kerana dia bukan lagi seorang selebriti.
Difahamkan, Waheeda juga bakal melatih anak tirinya, Sharif untuk menyanyi dan mengeluarkan album berjudul Zikirallah.
Ditanya lagi sama ada dirinya kini sudah ‘berisi’, kata Waheeda, rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri masih belum dikurniakan Allah. Apapun, dia tetap bersyukur kerana dapat mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak tirinya yang juga menghormati dan menyayanginya sebagai ibu sendiri.
– Doakanlah yang baik-baik sesama saudara kita, insya ALlah, malaikat di langit mendoakan kebaikan kepada kita sebagaimana doa yang baik kita pohonkan untuk saudara kita. Ummu Abbas. –






Tinggalkan komen