Aku tak mau dah hisap rokok…
Aku nak solat fardu 5 waktu tak de ponteng-ponteng dah…
Sempena Ma’al Hijrah yang baru, saya nak lebih bertanggungjawab terhadap keluarga…
Saya mahu jadi ibu yang lebih sabar dan lemah lembut dengan anak-anak.
Setiap kali menyambut tahun baru, kedengaran ungkapan azam tahun baru, mahu ubah sikap yang tidak baik ke arah yang lebih baik. Jika menyambut awal Muharram, perkataan HIJRAH begitu sinonim. Doa khusus juga dibaca di akhir dan awal tahun.
Apabila ada hasrat mahu berubah, ia satu sifat terpuji berbanding mereka yang reda berada ditakuk lama. Sifat tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik adalah bertentangan dengan fitrah insan yang dinamik dan progresif.
Namun, banyak azam baru berlalu begitu sahaja kerana usaha ke arahnya tidak seberapa. Atau, saya percaya mereka yang dicampakkan rasa ‘mahu’ berubah cuba berusaha semaksimum mungkin, namun belum menampakkan hasil.
Kereta yang hampir kehabisan petrol, kita bawa ke stesen minyak untuk mengisinya. Kemudian baru kita mampu menyambung perjalanan lebih jauh.
Bila diri kita yang hampir ‘kehabisan minyak’, stesen manakah yang mampu kita singgah untuk dapat terus berdaya maju?
Terasa berat…
Malas…
Susah…
Cinta kepada bantal dan selimut…
Semua simptom di atas adalah manifestasi ‘nafsu’ manusia yang cenderung kepada kejahatan.
Jika ia ‘nafsu’ semulajadi kita, bagaimana cara mengatasinya?
Tanpa disedari oleh ramai manusia, ayat-ayat motivasi untuk mengatasi sifat negatif (mazmumah) seperti lemah, malas, tidak berdaya maju, pesimis dan lain-lain sentiasa berkumandang 5 kali sehari semalam.
Alunan motivasi tersebut berbunyi…
‘Allah Maha Besar… Allah Maha Besar…
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah…
Aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah…
Marilah menunaikan solat…
Marilah menuju kejayaan…
Allah Maha Besar… Allah Maha Besar…
Tiada Tuhan Melainkan Allah..
Seruan yang ringkas tetapi padat maksud dan pengertiannya.
Kenapa seruan ini dimulakan dengan Allah Maha Besar? Dua kali pula.
Sekadar lafaz ia tidak akan ke mana.
Cuba hayati bahawa Allah lebih besar dari diri kita sendiri.
Hasilnya?
Bila kita dapat rasakan Allah lebih besar dari diri kita sendiri, kita akan berhenti melakukan sebarang pekerjaan untuk bersiap sedia menunaikan solat. Kecuali beberapa situasi yang diharuskan syarak seperti melayan tetamu, merawat pesakit kes kecemasan dan lain-lain. Perkara yang diharuskan syarak merupakan keizinan dari Allah itu sendiri untuk menangguhkan solat.
Lafaz syahadah menyusuli kalimah Allah Maha Besar.
Ia menguatkan azam untuk membesar dan mengesakan Allah dalam setiap perkara.
Apabila Allah diesakan dan dibesarkan, maka selain Allah menjadi kecil; Kita tidak akan takut dan segan lagi kepada manusia dalam hal kebenaran.
Apabila Allah lebih besar dan hanya Dia sebagai Tuhan;
Nafsu yang tidak mahu menutup aurat akan menutup aurat kerana Allah lebih besar dari nafsunya sendiri.
Nafsu malas dikekang menjadi rajin kerana Allah tidak suka hamba yang pemalas.
Nafsu suka bercakap bohong akan berhenti berbohong kerana berbohong itu haram (kecuali dalam dua perkara) dan tanda munafik pada seseorang.
Nafsu suka merokok akan mencampakkan putung rokoknya kerana Allah tidak suka manusia mengambil perkara yang memudaratkan.
Nafsu suka mengambil harta orang lain akan bertukar mencari yang halal kerana reda Allah lebih utama dan lebih besar dari dirinya.
Nafsu suka menzalimi rakyat akan dapat dikendurkan bila Allah diresapkan dalam hati bahawa Allah lebih besar dari dirinya sendiri sedangkan Allah mengharamkan sifat zalim.
Tatkala Allah Maha Besar dapat disebatikan dalam diri, secara teknikal, perubahan lahir mesti menurut sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Justeru maksud ia terkandung dalam lafaz kedua kalimah syahadah.
Tiada ‘solat niat’ sahaja kerana Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan cara mengabdikan diri kepada Allah melalui perbuatan solat qiyam, rukuk dan sujud.
Tiada ‘Haji Niat’ sahaja kerana Nabi Muhammad s.a.w telah tawaf di Baitullah, sa’i antara Safa dan Marwah, wukuf dan melontar jamrah.
Tiada istilah, tidak mengapa tidak memakai tudung asalkan hati baik kerana Ummahatul Mukminin membuktikan ‘hati yang baik’ dengan berhijab penuh.
Tiada istilah berbini ramai, nafkah isteri yang bekerja tanggung sendiri.
Baikkah hati yang jasadnya tidak mematuhi perintah Allah? Ia hanyalah angan-angan kosong ciptaan iblis.
Di sinilah kekuatan rangkaian Kalimah Syahadah; Tiada Tuhan Melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Akidah mesti benar dan perbuatan mesti menuruti sunnah Nabi s.a.w . Justeru itu Nabi Muhammad s.a.w diutuskan kepada ummat akhir zaman bagi memandu cara hidup yang diredai Allah dan bertepatan dengan fitrah insan.
Di mana ‘stesen minyak’ manusia?
Jawapannya ialah solat.
Jika petrol yang berkualiti dapat menjaga enjin dari mudah rosak dan menjana perjalanan lebih lancar dan jauh, maka SOLAT yang khusyuk dapat mencegah pelakunya dari melakukan maksiat dan menjana kejayaan di dunia dan akhirat.
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Al-Ankabut: 45
Menunaikan solat bererti memberi baja kejayaan hidup.
Ada orang solat tapi pemalas dan miskin juga. ..?
Petrol dan diesel tidak sama kualitinya. Sama seperti solat. Solat itu mengandungi niat, bercakap-cakap dengan Allah, perbuatan tertentu dan hati yang hadir.
Semakin baik kualiti solat, maka semakin berkualiti pula pelakunya.
Ada juga kategori solat tetapi celaka. Allah berkata;
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ. الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Celakalah bagi orang-orang yang solat. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
Al-Ma’un: 4,5
Zikrullah merupakan baja yang sangat subur untuk memberikan ketenangan dan menghalau kesedihan. Sebaik-baik zikrullah ialah dengan mendirikan solat.
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.
Taha:14
Orang kafir pun ramai yang berjaya dan kaya raya. Mereka tidak bersyahadah dan mereka tidak menunaikan solat.
Itu menunjukkan keadilan Allah di dunia. Orang kafir yang berjaya ialah yang berusaha menepati sunnatullah seperti Allah menumbuhkan pokok sayuran bila ditabur benih, dibaja dan disirami air. Allah juga memberi banyak kejayaan kepada musuh utama umat Islam yakni Yahudi dalam teknologi moden namun semua itu tidak akan membawa kepada kejayaan di akhirat.
Semua kebaikan dan kejayaan yang dilakukan oleh orang kafir hanya seperti debu berterbangan selagi aqidah mereka tidak mengesakan Allah. Sebaliknya bagi orang Islam, Allah mahu berikan kejayaan dunia dan akhirat dengan menunaikan solat dan berusaha untuk maju dalam kehidupan duniawi.
Solat adalah tunjang kejayaan dan kecemerlangan.
Organisasi yang mahu berjaya, hendaklah mendisiplinkan pekerjanya menunaikan solat dengan baik dalam waktunya. Yang biasa kita dengar ialah sesetengah syarikat tidak membenarkan pekerjanya solat. Muslim harus memahami erti solat dan cara menunaikan yang tepat agar tidak memberi fitnah kepada Islam.
Kerajaan yang mahu cemerlang, mestilah mengambil berat tentang solat rakyatnya.
Sektor korporat, organisasi dan kerajaan yang mahu berjaya perlu memasukkan elemen penerapan perlaksanaan solat di kalangan anggota yang muslim. Perlaksanaan solat pula harus digalakkan dengan memberi kursus-kursus mendapatkan solat yang khusyuk. Bukan sekadar kursus pengurusan organisasi , kursus bina diri dan lain-lain.
Kursus-kursus bersifat teknikal ibarat memberi kereta Mercedes yang bermutu dan dilengkapi pelbagai kemudahan namun mampukah Mercedes bergerak kalau tiada setitik petrol?
Seruan motivasi 5 kali sehari semalam di akhiri dengan Allah Maha Besar… Allah Maha Besar… Tiada Tuhan Melainkan Allah.
Penegasan diberikan kepada iktikad bahawa hanya Allah yang mesti dibesarkan dalam segala perkara dan tiada yang berhak disembah, ditaati, dituruti kecuali perintah Allah.
Bila ibubapa menyuruh mendedahkan aurat bila keluar rumah, maka perintah ibubapa harus diabaikan kerana bertentangan dengan kehendak Allah.
Bila suami menyuruh isteri bekerja sedangkan dia sendiri tidak mahu membantu urusan rumahtangga bersama isteri, maka perintah suami harus diabaikan kerana ia bertentangan dengan ketetapan Allah dalam pembahagian asasi tugas suami isteri.
Bila orang Islam yang memegang tampuk pemerintahan menolak mengamalkan undang-undang Islam, maka kepimpinan tersebut harus diabaikan dan memilih pemimpin Islam yang mahu laksanakan Islam.
Inilah antara maksud Allah maha besar dan lebih besar dari diri kita dan segala makhluk yang ada di muka bumi ini.
Inilah antara cara memanifestasikan aqidah Tiada Tuhan Melainkan Allah.
Benar, setiap insan normal mahu berhijrah kepada yang lebih baik.
Berdasarkan sedikit huraian di atas, boleh difahami bahawa pemangkin kejayaan individu muslim adalah aqidah yang benar, niat yang ikhlas dan amalan menepati sunnah.
Dan tidak dapat tidak, sumber tenaga kepada Islam sebagai cara hidup adalah SOLAT.
Apabila menyebut solat, konsep berhijrah itu perlu ada setiap hari 5 kali sehari semalam.
Kita perlu berusaha mahu menunaikan Solat Zohor lebih baik dari Solat Subuh dan seterusnya.
Kerana mati akan menjemput bila-bila masa.
Selamat Berhijrah.
Ummu Abbas
11.06am
1 Muharram 1431H
KUNJUNGAN HABIB UMAR BEN HAFIZ KE MALAYSIA JANUARY 2010 : http://wp.me/piAx4-ZY
Program Bersama Dr Wahbah Mustafa Al Zuhaily http://wp.me/piAx4-103
Salam warahmatullah…. Kak Nur,
🙂
Saya ada persoalan di sini, saya bekerja cafe dan waktu solat zohor di sini 11.57am. masalah yg saya hadapi ialah 12-2pm ialah peak hours cafe di mana ramai pelanggan, dan cafe hanya ada 3 pekerja termasuk saya, jadi semasa waktu puncak itu kami bekerja dan bekerja dan bekerja kerana ramai pelanggan. Saya selalunya menunaikan zuhor setelah keadaan reda pada pukul 1.30 atau 2pm.
Begitu juga asar di sini pukul 3.10pm. Pada waktu ini sekali lagi waktu puncak di mana ramainya pelajar “break” dan datang ke cafe. Dan saya akan solat pada pukul 3.45 atau 4… Kiranya saya telah menetapkan waktu solat saya pada waktu yang ditulis diatas kerana kesulitan meninggalkan cafe pada awal waktu solat.
Solution (harap kak Nur bagi nasihat)
1) Saya mengambil masa untuk naik dan turun dari rumah untuk bersolat (Rumah di tingkat 5, cafe di 1st floor). Jadi saya terfikir solution saya ialah membawa telekung ke cafe dan boleh bersembahyang di awal waktu, kadangkala 11.57am tidaklah sesibuk mana, sempatlah saya solat hanya mengambil masa 10-15min dari mengambil wuduk, solat dan bersiap semula.
Tetapi masalahnye tiada tempat yg sempurna di dalam cafe… ada satu tempat sebesar 1 meter persegi (sedang elok untuk solat) dibelakang pintu, jarang dipijak orang dan kering. Saya pernah bersolat di situ sekali (kerana keadaan memaksa saya harus “standby” for VIP) dan dialas plastik hitam yg bersih masih baru, dan letak sejadah diatasnya. Untuk pengetahuan kak Nur setiap hari lantai dicuci bersih sebelum habis kerja. (atau bagaimana saya harus menyucikan lantai itu, kerana saya tidak pasti jika lantai itu telah dipijak dengan kasut yg bernajis pada pagi hari pada masa pekerja datang kerja) Saya tidak mahu perasaan was-was tentang kebersihan timbul bila saya mula bersolat.
Jadi apa pandangan kak Nur tentang tempat solat di dalam cafe yg kering (keseluruhan cafe termasuk kitchen juga kering, tapi menjadi tempat laluan utama), jarang dipijak org. Kerana saya ada terbaca jika bersolat dihutan pilihlah tempat yg bukan laluan utama. Adakah ia boleh diapply dalam kes saya? Dan tempat ini sedikit terbuka, staff yang lain boleh nampak saya solat (semua pekerja perempuan)..
Saya bersungguh2 ingin solat di awal waktu tetapi 2 waktu solat ini membantutkan azam saya ini, dan saya risau jika solat di pertengahan waktu dan akhir waktu, jika Allah takdirkan ajal saya pada awal waktu, saya missed solat itu… Saya selalu berdoa semoga saya dilindungi Allah selalu Kak Nur, sentiasa dalam keadaan yg diredhai Allah.
Terima kasih pertamanya kepada Kak Nur
Faizah
🙂