(Entry ini di dedikasikan buat Kak Aizah Mustakim yang berada di Jordan. Juga buat sahabat-sahabat yang ingin mengetahui. Kak Aizah meminta saya bercerita detik-detik ketibaan jenazah Ustaz Arman di Kota Bharu dan perjalanan akhirnya. )
13 Disember 2009
Petang Ahad, saya dan suami ke pejabat al-Quds Travel. Kami bersetuju mengambil pakej ke Beijing yang ditawarkan al-Quds sempena ulangtahun syarikat ke 10. Selepas berbual seketika dengan staf al-Quds, Ustaz Wan Zamri tiba.
Kami bertukar maklumat mengenai jadual penerbangan jenazah Ustaz Arman. Ustaz Wan Zamri pantas meneliti di skrin komputer mengenai penerbangan Amman- Kuala Lumpur pada keesokan hari. Dia turut menghubungi Kedutaan Malaysia di Jordan. Kami sangat menghargai kerjasama yang diberikan walaupun tanpa dipinta. Sekurang-kurangnya kami mendapat maklumat yang lebih tepat.
Antara ciri yang baik dalam bersahabat ialah yang memberi atau menawarkan pertolongan sebelum diminta oleh sahabatnya yang lain.
Isnin, 14 Disember 2009
Sejak pagi, saya dan suami bersedia untuk menunaikan hak sahabat buat kali terakhir yakni mengiringi jenazah Ustaz Arman. Kak Nik telah memaklumkan sejak kelmarin, jenazah dijangka tiba di kampung pada jam 6 pm.
Al-Barra’ r.a berkata,
Nabi s.a.w memerintahkan kami menunaikan 7 perkara dan melarang dari melakukan 7 perkara yang lain; mengiring jenazah ke perkuburan, melawatnya ketika sakit , memenuhi jemputan , menolong orang yang dianiaya, menepati sumpah, menjawab ucapan salamnya dan mendoakan rahmat (Tasymit) apabila beliau bersin.
Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari .
Sepanjang hari tersebut, perasaan sedih berselang seli mengunjungi diri sambil meneruskan rutin harian. Simpati pada Suriani dan anak-anak yang telah menjadi yatim. Semoga Allah memberi kesabaran yang ampuh buat Su dan anak-anak.
Selepas Zohor, suami pulang mengambil kereta untuk menjemput sahabat di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang mahu turut serta mengiringi jenazah. Kami tidak tahu siapa yang menghubungi namun saya agak mungkin Abu Saif kerana saya tinggalkan nombor telefon suami di ruang komen saifulislam.com. Kami tidak memiliki nombor telefon Abu Saif. Suami mengenali Abu Saif semasa membuat attachment di Mustasyfa Islamiy Jordan (Hospital Islami Jordan) pada tahun 1996. Kami berusaha membantu setakat termampu memandangkan arwah Ustaz Arman sekampung dengan suami. Keluarga mertua saya memang mengenali keluarga Ustaz Arman. Di kampung, dia dikenali sebagai Ustaz Arman Mansur.
Suami beritahu akan bawa tetamu ke USM, tempat beliau bekerja. Selepas Asar, kira-kira jam 5.30pm, suami pulang sambil membawa tetamu dari jauh. Baru saya tahu memang Abu Saif yang datang. Alhamdulillah, Abu Saif diberi kelapangan oleh Allah untuk menunaikan hak terakhir buat seorang sahabat. Saya hanya tahu melalui web Abu Saif yang dia ditempatkan di pejabat suami. Meskipun sempat bertamu seketika, namun saya mengharapkan rahmat dan barakah Allah melimpahi kediaman dan kehidupan kami sekeluarga melalui tetamu yang soleh. Insya Allah.
Seseorang yang tidak saya kenali bertamu ke rumah semata-mata mahu bertemu Abu Saif. Dia mengaku sebagai sahabat Abu Saif. Saya dimaklumkan dia ialah Ustaz Haziq. Saya memang tidak kenal. Bekas pelajar Mu’tah juga ke? Saya tertanya-tanya. Bila ditanya, Ustaz Haziq sempat bergurau, di luar tidak kenal. Kenal dalam Facebook. La…iye ke… saya agak terperanjat juga sebenarnya. Biasanya, saya confirm sahaja sesiapa yang add saya dalam Facebook tanpa melihat lanjut profile masing-masing. Rupa-rupanya Ustaz Haziq juga pernah belajar di University of Jordan. Junior setahun dari arwah Ustaz Arman. Bermakna junior 2 tahun dari saya. Jazakumullah atas kunjungan tanpa dirancang sahabat-sahabat ke teratak yang tidak seberapa. Mohon maaf atas segala kekurangan dalam menunaikan hak tetamu.
Maklumat terbaru, suami memberitahu jenazah bertolak jam 6 lebih dari KLIA. Jadi ia dijangka tiba jam 7.20pm. Kira-kira 6.45 petang, kami bertolak ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa untuk menyambut jenazah dan juga keluarga Allahyarham. Pada mulanya, saya sangka kami akan menunggu di rumah arwah, namun suami mengatakan kemungkinan Abu Saif tidak sempat mengiringi ke rumah memandangkan beliau akan pulang ke Kuala Lumpur pada malam itu juga. Ustaz Haziq mengajak Abu Saif bersama beliau ke airport. Jazakumullah Ustaz Haziq kerana menemani Abu Saif.
Saya bersama suami dan anak-anak singgah solat Maghrib di masjid di pertengahan jalan menuju airport. Setibanya kami di sana, kami ternampak Van Jenazah sedia menunggu di sisi Balai Berlepas. Rupa-rupanya ramai juga sahabat-sahabat x-Jordan yang sedia menunggu. Saya hanya mengagak kerana melihat Abu Saif dan Ustaz Wan Mohd Zamri bertegur sapa sesama mereka. Sementelah pula suami saya yang pernah ke Jordan dahulu mengesahkan. Ustaz Wan Zamri juga sempat beritahu saya, ada sahabat-sahabat berkereta datang ke Kota Bharu untuk menemui arwah Ustaz Arman. Masya Allah, moga Allah melimpahkan rahmat ke atas mereka semua. Alhamdulillah, di sebalik sebuah kematian, ukhuwwah fillah bertaut kembali.
Yakinilah, jika hari ini kita bersungguh-sungguh menunaikan hak-hak sahabat, suatu hari nanti, Allah gerakkan pula hati sahabat-sahabat yang lain untuk turut menunaikan hak-hak kita. Selagi IKHLAS dijadikan rencah persahabatan, nescaya ia melahirkan satu ikatan ukhuwwah yang kukuh dan indah. Apalah sangat dengan sedikit pengorbanan wang ringgit dibandingkan nilai kasih sayang Allah taala yang bakal dituai.
Saya bergegas bersama Aesya ke Balai Ketibaan sementara suami pergi ke tempat syabab berkumpul berhampiran Van Jenazah USM. Saya melihat Suriani dan beberapa wanita sudah merah matanya. Seorang sahabat, Syamsiah kelihatan turut berada di situ. Syamsiah sama-sama belajar di Mu’tah University dengan Suriani. Saya menyalami Su dan berpelukan agak lama. Saya mahu Su merasai bahawa hati saya bersama hatinya menyelami erti kesedihan.
Suriani keluar bersama ahli keluarga yang sudah menunggu. Suami menjemput saya semula dan kami menunggu untuk berkonvoi mengiringi Van Jenazah. Saya menahan sebak di dada dan air mata hanya bergenang tanpa melimpah keluar.
Van Jenazah mula bergerak. Kami menurut di akhir barisan kenderaan. Tidak kami sangka, lebih 10 buah kereta ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang mengiringi Van Jenazah. Kereta Toyota Unser peninggalan arwah Ustaz mendahului memimpin konvoi. Diikuti pacuan 4 roda Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Kami diberitahu Hj Sulaiman dan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut menghantar jenazah. Kerjaya arwah Ustaz terletak di bawah seliaan KPT. Di belakang Van Jenazah ialah van penghulu kampung. Suami saya kerap kali cuba memintas anggota konvoi yang lain dan beberapa kali kami dapat berada di sebelah kanan Van Jenazah. Saya melontar pandangan kosong ke arah van. Semasa melalui Hospital USM Kubang Kerian, kereta kami terpisah dari konvoi kerana kenderaan di hadapan yang mahu masuk ke kanan berhenti. Tidak mudah kami ke kiri semula memandangkan kenderaan berkonvoi agak panjang. Jalan di situ memang sentiasa sibuk.

Kami berlapang dada kerana ketinggalan memandangkan kami kenal rumah arwah Ustaz. Biarlah anggota yang lain dapat mengiringi hingga ke kampung. Setiba kami di kampung, kelihatan kenderaan berderet sepanjang kiri dan kanan jalan berhampiran rumah arwah Ustaz. Ramai juga orang kampung menunggu. Anggota konvoi dan Van Jenazah belum tiba. Sempatlah kami menghantar anak-anak ke rumah Mak terlebih dahulu. Saya hanya membawa Aqil yang paling kecil kembali ke rumah arwah.
Dalam perjalanan, saya bercerita pada suami, “Paling Nur ingat tentang Ustaz Arman ialah dia dan isteri pernah menemani Nur pulang dari Mu’tah ke Amman. Selain dari itu kami tidak pernah ada apa-apa urusan”.
“Ustaz dan isteri seorang yang matang sebab itulah mereka berkahwin awal”.
Mereka berdua berasal dari sekolah yang sama, Sekolah Menengah Ugama (Arab) Syamsul Ma’arif, Pulai Chondong. Kedua-dua mereka merupakan ‘best student’ SPM sekolah kerana mendapat 6 Aggregate.
Anggota rombongan baru tiba. Kemudian kelihatan Van Jenazah memasuki halaman Masjid Nasuha, Kg Gondang, Ketereh, Kelantan. Saya menunggu di dalam kereta yang diparking di hadapan masjid. Orang ramai memenuhi masjid untuk solat jenazah. Abang ipar suami juga berada di situ. Kemudian kelihatan ibu saudara dan sepupu suami keluar dari arah rumah arwah.

Telinga tertangkap suara seorang makcik yang sedang berbual, “Orang baik-baik, Allah sayang sebab tu cepat dipanggilNya”. Sejuk hati saya mendengarnya.
Semasa jenazah di bawa ke tanah perkuburan, barulah saya menuju ke rumah arwah. Su dan 3 orang anaknya tiada kerana ke kubur. Ma (ibu kandung) arwah memanggil anak bongsu keluar. Aisyah namanya. Berusia 7 tahun. Saya memaut tangan Aisyah dan terus meriba sambil memeluk dan menciumnya dengan penuh kasih sayang. Melihat Aisyah begitu mudah didekati, saya merasa kasih tertumpah pada anak yatim ini.
“Ayah mana?” saya bertanya kerana mahu mengetahui adakah Aisyah sudah memahami apa yang berlaku. Aisyah menggelengkan kepala menandakan tidak tahu.
Ma arwah memberitahu, semasa kain kapan dibuka seketika untuk keluarga melihat kali terakhir, Aisyah bertanya, “Kenapa ayah nampak muka sahaja? Kenapa ayah tiada tangan dan tiada kaki?” Dia bertanya kerana jenazah sudah dikapankan sehingga tidak kelihatan lagi anggota badan yang lain. Sayu saya mendengarnya. Aisyah belum mengerti erti mati.
Saya terus meriba Aisyah yang kelihatan tidak mahu berganjak dari ribaan. Sampai kebas-kebas kaki saya. Saya bersabar sehingga dia merasa puas duduk di ribaan. Nasib baik Aqil tidak meragam melihat Umminya meriba orang lain. Biasanya dia cemburu juga.
Ma dan adik arwah tidak sempat ke Jordan kerana dimaklumkan Ustaz mengalami ‘mati otak’ pada pagi Jumaat. Pada masa itu, Ma arwah sudah berada di KL untuk berangkat ke Jordan.
Sehari sebelum dimasukkan ke wad, Ustaz menghubungi ibunya pada jam 5 pagi. Dia memberitahu ibu bahawa dia sakit kepala yang amat sangat sehingga tidak dapat tidur malam tersebut. Ustaz meminta ibunya menunaikan solat hajat untuknya. Keesokkan hari, Ustaz mendapatkan rawatan di Jordan Hospital dan terus ditahan di wad. Oleh kerana Ustaz mengalami kekejangan otot, Ustaz diberikan ubat sedatif yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Itulah permulaan Ustaz tidak sedarkan diri dalam wad.
Saya menunggu sehingga Su dan anak-anak yang lain pulang dari tanah perkuburan. Hj Sulaiman dan beberapa orang yang lain kembali semula ke rumah arwah. Mereka bercakap sesuatu kepada Su. Saya hargai sikap tanggungjawab yang tinggi dari para pegawai yang mengiringi.
Sempat bertanya pada Su saat akhir pemergian Ustaz. Su memberitahu arwah menghembuskan nafas terakhir pada hari Sabtu. Su kelihatan kesal dan marah namun katanya, dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menahan sebaran khabar kematian yang lebih awal sebelumnya. Tercatat di web kedutaan Malaysia di Jordan, Ustaz Arman meninggal pada 12 Disemberi 2009 yakni hari Sabtu, sama seperti yang dinyatakan.
Timbul kembali isu ‘mati otak’ yang diperkatakan sebelum ini. Daripada luahan dan pengalaman Su menemani Ustaz hingga ke akhir hayatnya, saya mendapat input berguna untuk menulis mengenai hukum ‘mati otak’ selepas ini. Moga Allah melapangkan saya untuk menulisnya.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memberi kesempatan kepada saya mengiringi dan menemani perjalanan akhir seorang sahabat. Jika di Jordan, arwah Ustaz dan isteri menemani saya dalam perjalanan sepanjang 200km, hari ini saya berharap, usaha saya dan suami mengiringi jenazahnya dihitung sebagai membalas kebaikannya yang lalu.
Ustaz Arman telah mendahului kita dengan aman menuju kehidupan fasa ketiga- alam barzakh. Bermula seorang hamba dari halaman sawah terbentang mengakhiri musafirnya di Bumi Anbiya’. Sudahkah kita bersiap-sedia menyusulinya?
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Setiap yang hidup pasti merasai mati. Kemudian kepada kamilah kamu semua dikembalikan.
Surah al-‘Ankabut; 57
Moga Allah tempatkan rohnya bersama para anbiya dan solihin.
Amin…ya rabbal ‘alamin.
Ummu Abbas
1.00am
30 Zulhijjah 1430H
Assalamualaikum,
Sama-sama kita doakan agar roh Ustaz Arman ditempatkan di kalangan para solihin.Ameen.
Walaupun saya tidak mengenali beliau secara dekat, namun saya pernah mendengar ucapan khusus beliau ketika mengikuti ‘kursus pemantapan guru j-QAF’ di Kuching. Ucapannya dekat di hati.
Pemergian beliau di sisi-Nya amat menyentuh hati.’Patah tumbuh hilang tak mungkin sama dengan yang diganti’. Itulah ketetapan Ilahi, yang pergi takkan kembali. Yang hidup ini mesti menghisabi agar pergi kita nanti dengan redha Ilahi. al-Fatihah.
assalamualaikum
saya masih terkejut n x percaya pemergian sahabat seperjuangan dari sekolah lagi. suryani n arwah sekelas dengan saya di syamsul maarif. member2 lain juga mcm tak percaya n terkejut.baru2 ni saya dapat tau suryani susah nak masuk kelantan tapi anaknya belaja di sk pulai chondong.saya harap member2 semua doakan moga suryani dapat ngaja di kelantan.aminnn.kasihanilah dirinya n anak2nya.