
8 Disember 2009
Saya mendapat khabar kematian Ustaz Arman Md Rusoff pada 8 Disember 2009 melalui satu web. Dengan rasa terperanjat, saya memberitahu suami yang juga mengenali Ustaz. Mereka berasal dari kampung yang sama. Suami lantas meminta saya hubungi nombor handphone Ustaz yang tersimpan dalam handphone saya.
Nombor tersebut tidak dapat dihubungi untuk berbicara tetapi boleh sms. Seketika selepas menghantar sms meminta kepastian, sms berbalas jam 13.56 waktu Jordan. Sms berbunyi, “Masih dalam icu, x sdr“. Sms itu dibalas sahabat saya yang juga isteri kepada Ustaz Arman, Ustazah Suriani.
Seusai mendapat jawapan, saya kembali ke web yang memaparkan berita tersebut, berita itu telah dipadamkan. Saya percaya empunya web juga telah dimaklumkan situasi sebenar. Ini menunjukkan sikap tanggungjawabnya membetulkan keadaan sebenar.
Walaupun tersilap khabar, saya masih berterima kasih kepada empunya web berkenaan kerana sekurang-kurangnya saya tahu perkembangan terbaru salah seorang sahabat yang pernah dikenali di Jordan dulu. Saya berkawan baik dengan isterinya.
Suami memaklumkan setahu dia Ustaz Arman pernah mengidap tekanan darah tinggi. Penyakit darah tinggi berisiko mendapat stroke atau angin ahmar. Itulah penyakit yang menyebabkan Ustaz Arman dirawat di wad ICU.
Saya simpati dengan Ustazah Suriani yang saya panggil Su. Tentu agak sukar berdepan keadaan suami yang sakit tenat di rantau orang tanpa keluarga terdekat di sisi. Saya sms lagi bertanya lanjut. Su membalas, “lpn hr, jumaat nanti ma ngan adik ust dtg cni“.
Ustaz Arman bertugas sebagai Pegawai Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia Jordan, Amman, Jordan.
Ustaz Arman dan isteri merupakan pelajar junior setahun dari saya semasa di Jordan.
10 Disember 2009
Dua hari kemudiannya, saya mendapat sms pertanyaan dari seorang sahabat, Chah yang bertanya khabar mengenai Ustaz Arman. Chah dimaklumkan bahawa Ustaz Arman sudah meninggal. Sekali lagi saya menghantar sms kepada Su bertanya perkembangan lanjut. Su membalas pada 10 Disember 2009 jam 17.10 waktu Jordan, “Masih kat icu, x sdr tp td tgk ibu jari mcm gerak ckit“.
Ya Allah, hati disalut rasa gembira dengan khabar tersebut. Sudah tentu Su dan anak-anak lebih besar harapan mereka melihat insan tersayang dilanjutkan usia. Sudah dua hari khabar kematian yang disampaikan.
Saya membalas sms Chah sambil meminta agar sama-sama didoakan kesejahteraan Ustaz Arman.
Sikap Chah harus dicontohi kerana dia merisik terlebih dahulu kesahihan khabar yang diterima. Antara sms Chah berbunyi, “…Sms psl mati ni bahaya. Kut tersilap berita.”
11 Disember 2009
Pagi saya berusrah dengan sahabat-sahabat senior. Balik jam 2.30pm menumpang kereta Kak Ni. Rumah sepi kerana anak-anak semuanya dibawa Abi pulang ke kampung. Terus Solat Zohor dan mengemas sedikit pakaian untuk suami bermusafir. Kira-kira jam 3 petang, sempat bergambar bersama suami dan Kek Anniversary 26 November serta ulangtahun suami 1 Disember. Aesya seorang tiada kerana mahu bermain di rumah Tok Ma.
Seusai makan kek bersama, kami bergegas menuju airport Pengkalan Chepa. Penerbangan suami jam 4 petang.
Hampir jam 4 petang, saya tiba di rumah dan memulakan usrah dengan group lain pula. Usrah dibuat di rumah saya sendiri. Kepala saya sudah berdenyut-denyut sakit. Seorang anak usrah menasihati agar makan Panadol dahulu. Saya akur dan dapatlah gagahkan diri meneruskan usrah.
Selesai berusrah, bergegas untuk solat Asar. Kira-kira jam 6 pm, saya memeriksa satu lagi sms yang masuk semasa berusrah tadi, sms dari Jordan jam 11.19 waktu Jordan, “Slm, k nur, mdhh ni, erm..k nur dah tau ke y us arman dah meninggal dunia 10pg jordn td, inna lillah, dia kna strok 2 dis y lps..”.
Oh…rupa-rupanya adik Nik Nur Madihah yang hantar mesej. Alhamdulillah dan jazakumullah kerana masih ingat Kak Nur dan menyampaikan khabar penting itu. Berita itu saya yakini kebenarannya kerana ia datang dari orang yang boleh dipercayai dan berada di Jordan sendiri.
Saya menyebarkan berita kepada beberapa orang sahabat melalui sms.
Maghrib; Abang ipar dan isteri singgah solat Maghrib di rumah saya. Saya maklumkan kepada mereka. Abang Mi beritahu solat hajat untuk Ustaz Arman telah dibuat di masjid malam kelmarin.
Jam 9.04pm, saya hantar ucapan takziah pada Su. Tiada balasan.
Saya rasa Su sedang bersedih dan tiada kekuatan untuk menghubungi sendiri sahabat-sahabat.
12 Disember 2009
7.38am, satu lagi sms diterima. Kali ini dari kakak ipar yang memang tinggal sekampung dengan ibubapa Ustaz Arman, ” Ustaz Arman jordan mati, ari isnin ni djangka spai cni“.
Khabar terbaru menguatkan lagi khabar semalam.
Saya sebarkan lagi kepada beberapa sahabat untuk memaklumkan hal tersebut. Sementelah Chah bertanya sejak semalam adakah jenazah akan dibawa pulang dan bila.
Saya juga maklumkan dalam facebook. Saya rasa bertanggungjawab memberitahu kepada mereka yang mengenali Ustaz Arman kerana mungkin mereka mahu menunaikan hak sahabat buat kali terakhir. Hak itu ialah solat jenazah dan mengiringi jenazah ke liang lahad sekiranya mampu. Jika tidak mampu, ada sahabat yang boleh menunaikan solat ghaib.
Jam 1.15 pm, saya menerima panggilan dari kerabat yang juga pernah belajar di Jordan serta mengenali Ustaz Arman. Ustaz Wan Zamri, Pengarah Urusan al-Quds Travel memberitahu bahawa beliau telah menghubungi MSD (Kedutaan Malaysia di Jordan) dan dimaklumkan bahawa jantung Ustaz Arman masih berdenyut.
Astaghfirullah. Apa sudah jadi? Kenapa disebarkan bahawa Ustaz telah meninggal?
Daripada info yang diperolehi dari pihak MSD, Ustaz Arman sebenarnya telah disahkan mati otak namun jantungnya dikatakan masih berdenyut kerana bantuan alat pernafasan. Ooo… patutlah… Saya merespon, saya pernah berbincang dengan suami untuk kes mati otak. Biasanya kes mati otak membawa kepada mati jasadnya jika dibuang alat bantu pernafasan. Pengesahan mati otak mesti datang dari beberapa orang doktor pakar dan bukannya seorang pakar sahaja.
Pihak MSD juga memberitahu bahawa keizinan telah diperolehi untuk membuang alat bantu pernafasan.
Saya menghubungi suami yang berada di Kuala Lumpur bertanyakan pendapatnya. Suami memperakui kes demikian dianggap mati. Saya mahu kepastian, bolehkah diisytihar kes mati otak tapi jantung masih berdenyut sebagai MATI? Saya tidak memperolehi jawapan memuaskan.
Kemudian saya hubungi kakak ipar yang mengatakan jenazah akan dibawa pulang pada hari Isnin. Orang kampung memang dimaklumkan oleh keluarga Ustaz Arman bahawa beliau telah meninggal namun peralatan perubatan belum lagi dibuang. Ooh… begitu pula. Mungkin pihak hospital menunggu ketibaan ibu Ustaz yang bertolak ke Jordan semalam bagi mendapatkan keizinan.
Benar, khabar kematian tidak boleh dibuat main-main.
Oleh kerana saya terjumpa rungutan terhadap pihak MSD dalam perkhabaran berita ini dalam facebook tadi, saya mencari web MSD dan menemui http://www.msdjordan.jo/ . Ustaz Arman dikhabarkan masih dalam ICU.
Memang wajar pihak MSD bersikap berhati-hati begitu agar hanya yang pasti sahaja diberitakan.
Saya cuba menghubungi semula Su dengan sms kerana mahu mendengar sendiri mengenai pandangannya.
Saya cuba empati dan bagi saya, jika saya berada ditempatnya sekarang, saya berharap keajaiban berlaku kerana kuasa ALlah mengatasi segala asbab. Saya sendiri tidak tergamak mengatakan beliau sudah meninggal kerana ia bukan khabar yang pasti.
Saya mencari punca khabar kematian Ustaz Arman menjadi agak keliru begini. Ia berpunca dari wujudnya khilaf fuqaha’ itu sendiri mengenai status pesakit yang mati otak. Adakah mereka dianggap mati atau dianggap masih hidup?
Dalam perbincangan dengan suami suatu ketika dahulu, saya sendiri pernah mempertikaikan definisi mati pihak perubatan terhadap pesakit yang mati otak. Saya kemukakan persoalan kerana ia ditanya oleh pelajar saya di Surau USMKK. Jadi saya mahu tahu apakah yang dikatakan ‘mati otak’?
Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan sesiapa pun yang telah menyampaikan berita ini… ia adalah satu bentuk didikan dari Allah agar kita belajar sesuatu dan menambah ilmu lagi.
Kes ‘mati otak’ merupakan salah satu masalah kontemporari yang dibahaskan oleh para ulama.
Insya Allah, saya akan susuli perkhabaran ini dengan sedikit huraian mengenai kes ‘mati otak’ (Brain death).
Sehingga kalam akhir saya di sini, saya belum menerima sebarang balasan sms sama ada dari Nik Nur Madihah dan Suriani sendiri. Semoga Allah menyabarkan dan menenangkan Su sekeluarga. Amin.
Ummu Abbas
6.59pm
25 Zulhijjah 1430H
Assalamualaikom… wah menarik blog ni… keep up the good work tu.. i support you and your entry
salam 1 islam
salam ziarah…
salam,
kak nur, sy merupakan salah seorang pelajar ustaz arman di maahad hamidiah kajang. sy jg menerima khabar yg sama ttg arwah drp rakan sejawat di jordan. sy hampir menyiarkannya di facebook ttg pemergiannya. sy makin keliru bl ada sms yg mengatakn ustaz sudah tiada dan ada pula yg mngtakan ustaz disahkan ‘brain death’. alhamdulillah, kini semuanya telah selamat selesai. dan baru2 ini di adakan majlis tahlil arwah di nilai. semoga roh beliau ditempatkan di klngan org yg beriman. Amin.
Tahniah…more info please.