Jom Tengok Filem Bersama Tok Guru!

Artis dan Kerajaan Islam

 

 

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ الْقَصَصِ بِمَا أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ هَـذَا الْقُرْآنَ وَإِن كُنتَ مِن قَبْلِهِ لَمِنَ الْغَافِلِينَ

 
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, sedangkan situasi engkau sebelum datangnya wahyu itu, terdiri  dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.

 Surah Yusuf; 3

 

*********************************************

Suatu hari, sekumpulan kanak-kanak dalam panggung wayang di Kota Bharu bersorak riuh melihat adegan kejar mengejar antara kereta.  Cerita itu cerita Hindustan.  Sambil menonton, kanak-kanak yang ramai itu diberikan sebungkus makanan setiap orang.  Bungkusan mengandungi kuih muih dan minuman. 

Mereka merupakan anak-anak yang belajar di TADIKA KEMAS tahun 1979.  Acara itu merupakan salah satu pengisian aktiviti luar untuk anak-anak TADIKA KEMAS.  Saya berada di tengah-tengah antara mereka… hi..hi…hi..   Itulah kali pertama dan kali terakhir saya berada dalam panggung wayang.

Apalah tadika ‘gomen’… didik budak kecil macam saya tengok filem Hindustan… ???

Apa mesej penting cerita Hindustan buat kami, anak-anak kecil waktu itu? 

Menerapkan nilai aqidah yang kukuh?

Menyuntik akhlak yang mulia?

Nasib saya waktu itu belum wujud tadika Islam di tempat saya dan filem-filem Islami.   

Apa pun, saya tetap bertuah bila teringat kata-kata Umar al-Khattab,

“Tidak mengenal Islam bagi sesiapa yang tidak mengenal jahiliyyah”.

Benar juga ya… bila kenal ‘jahiliyyah’, kita lebih menghargai “Islam”.

Bila pernah berada dalam kegelapan, kita lebih menghargai hadirnya cahaya… Allahuakbar.

Akhirnya cahaya itu ingin dicapai dan disimpan kejap di hati… tidak mahu dilepaskan lagi. Sayang sungguh…

Minat menonton cerita tetap berterusan hingga ke hari ini.  Ia adalah fitrah manusia.

Mendengar cerita adalah satu aktiviti yang menyeronokkan.  Itulah yang sering dilakukan pada anak-anak sewaktu kecil mereka sebagai salah satu metodologi mendidik yang berkesan.

Konsep bercerita telah mengalami perkembangan sesuai dengan tamadun dunia yakni berlakunya lakonan dari manusia-manusia yang digelar pelakon.

Manusia terus seronok mendengar cerita dan menonton cerita baik kanak-kanak mau pun dewasa.   Sebanyak-banyak karya hebat bikinan manusia, tentu tidak mampu menandingi ‘kisah paling hebat’ nukilan dari Allah sendiri melalui Surah Yusuf.  Dalam hal ini, saya tabik pada Puan Ainon yang mempelopori kajian bercerita menggunakan Teknik Surah Yusuf.  Jika Puan Ainon memulakan kajian teknik dalam bentuk penulisan… itulah yang tepat sebab Al-Quran itu sendiri adalah berbentuk tulisan dan untuk dibaca… maka diharapkan usaha berkisah dengan Teknik Surah Yusuf akan berpijak di alam drama dan filem pula.   Ia tidak mustahil memandangkan drama dan filem adalah hasil terjemahan dari skrip yang ditulis.

‘Caya lah..’ kata budak-budak muda zaman sekarang….. jika konsep drama dan filem ditampilkan menggunakan Teknik Surah Yusuf, mungkin filem boleh pecah panggung.  Lebih hebat lagi, mungkin boleh memasuki pasaran dunia. 

Belum cuba, belum tahu.

Seringkali alam drama dan filem dikaitkan dengan gejala negatif pergaulan bebas, buta al-Quran, meninggalkan solat, tidak berpuasa, kelab malam, mendedah aurat, aksi ghairah dan sebagainya.  Ia tentunya berbunyi tidak secocok dengan perkataan Islam.  Apatah lagi sebuah kerajaan yang mahu ditegakkan Islam di dalamnya.

Para artis dan selebriti tertanya-tanya nasib periuk nasi mereka jika sebuah kerajaan Islam tertegak.  Begitukah pandangan Islam terhadap mereka?  Apakah benar sebuah Kerajaan Islam bakal menguburkan dunia hiburan yang menjadi pujaan ramai dewasa ini?  Lebih-lebih lagi di kalangan orang muda@remaja?

Apakah jawapannya?  Nah.. lihatlah  pengisytiharan Hari Hiburan Islam pada 14 Februari 2010 oleh Kerajaan Islam Kelantan, sudah tersuluh terang-benderang akan prinsip dan pendirian sebuah kerajaan yang mahu Membangun Bersama Islam.

Meraikan golongan selebriti yang tetap mendapat tempat dalam sebuah Kerajaan Islam, novelis Habiburrahman, Wardina dan Farah Adeeba dijemput berwacana di dalam forum yang telah diadakan di KB Mall.   Filem “Ketika Cinta Bertasbih 1” melabuhkan tirainya pada malam tersebut. 

Jika sebuah Kerajaan Islam begitu jumud dan memandang rendah kepada golongan selebriti.. lebih  baik dijemput Ustaz Nasaruddin Daud  atau Ustaz Ismail Nuh atau Ustaz Ahmad Awang untuk bercakap tentang hiburan Islam.   Namun, sebuah Kerajaan Islam yang terbuka meraikan bidang kepakaran para artis dan selebriti.  Satu ketika dulu, aktress Maya Karin pernah dijemput untuk mengutarakan pandangan. 

Hiburan adalah keperluan semua manusia.  Manusia perlu berhibur untuk menenangkan dirinya dan mendekatkan diri kepada Allah.  Bila hiburan dikaitkan dengan pelbagai jenis maksiat, maka hiburan itu tidak lagi menjadi hakikat hiburan jiwa… bahkan hiburan nafsu semata-mata.  Bila hanya nafsu yang terhibur sedangkan jiwa manusia kontang dari hiburan yang mengenalkan mereka kepada Pencipta, maka saat itu, hiburan tidak lagi berupaya membangunkan jiwa manusia.  Bahkan meruntuhkan ruh yang berpotensi tinggi.  Seterusnya meruntuhkan akhlak dan tamaddun manusia.

Hiburan jenis inilah yang dilambakkan oleh para musuh Islam untuk menjauhkan ummat Islam dari ajaran al-Quran dan Sunnah.

Menyedari tanggungjawab memulih dan mengembalikan ruh rakyatnya kepada Islam,  Kerajaan Islam Kelantan berbesar hati mempromosi Hari Hiburan Islam untuk dijayakan di negara ini. 

Lanjutan KCB1 yang mendapat sambutan, “Ketika Cinta Bertasbih 2” bakal menyusul.  Jangan lupa… jom bersama Tok Guru menonton wayang percuma pada 28 Februari 2010 di panggung … oppss… Balai Islam daa…  maaf, di Kota Bharu, panggung wayang sudah menjadi arwah.  Bukan dikuburkan oleh Kerajaan Islam tapi dikuburkan oleh penggemar filem di Kelantan itu sendiri.

Maklumat lanjut mengenai tayangan sila rujuk poster yang diulang tayang di bawah ini.

 

Buat para penggemar filem yang biasa menonton dengan ‘gewe’ (pakwe atau makwe) masing-masing, jom alami pengalaman menonton filem bersama Menteri Besar@ Tuan Guru@ Mursyidul Am pada lusa.. iye lusa.. dua hari lagi.  Mungkin ia pengalaman sekali seumur hidup anda yang akan menjadi sejarah untuk diceritakan kepada anak cucu…

Ingat!  Dewan terhad untuk 2000 orang sahaja…(Tolong simpan untuk tukang promosi ini dalam 2, 3 kerusi deh.. saya dan anak-anak 🙂 )

Sebaik-baik hiburan adalah SOLAT dan al-QURAN… bagi mereka yang mengerti.

Ummu Abbas

5.50pm

12 Rabi’ul Awwal 1431H

2 thoughts on “Jom Tengok Filem Bersama Tok Guru!

Add yours

  1. Assalamualaikum semua,
    Wah! bestnya dapat tengok cerita bersama tok guru, yang pastinya ada banyak tauladan di dalamnya. Akak pun seumur hidup dapat sekali masuk panggong wayang, masa darjah 6. Itupun ada makcik yang belanja sebab temankan dia dan anaknya. Tengok kat padang sekolah tu banyak kali jugalah.

    Tapi anak akak komplen kat akak, “nak tengok wayang pun tak boleh ke?”. Padahal mereka dah pergi 2/3 kali. Tak cukup-cukup lagi. Bukannya ape, dekat-dekat situ banyak pusat-pusat hiburan(pusat snooker). Takut menyimpang ke situ pulak. Maklumlah kat Terminal 1 Seremban ni macam-macam ada.

    Saja nak beritahu/mengadu, betapa susahnya nak kawal anak remaja sekarang. Kadang-kadang tension dan geram dibuatnya.

    Wassalam

    Nisha.

    Wa’alaikum salam Kak Nisha,

    Perkongsian yang menarik.

    Mungkin boleh beritahu mereka, “Boleh tu boleh… tapi kena pilih tempat nak melihatnya… kalau panggung tu asingkan tempat duduk lelaki dan perempuan, bolehlah.

    Cerita pun kena pilih-pilih juga.”

    Entahlah Kak Nisha… anak saya belum ada yang remaja… so kurang umpph nak berikan saranan.

    Nanti boleh belajar dengan Kak Nisha pula. 🙂


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: