Meneliti Program
Selepas mendaftar dengan Al-Quds Travel, kami berbincang semula mengenai tentatif program kami di sana. Ia agak mengambil masa kerana Al-Quds perlu menunggu maklumbalas dari agensi pelancongan di Beijing (Halal Tour- http://www.halaltours-cn.com/).
Saya meninjau program biasa dalam pakej muslim ke Beijing. Dalam banyak-banyak acara yang biasa diisi, satu acara yang saya kurang senangi ialah Pertunjukan Akrobatik.
“Bang, biasanya peserta akrobatik ada yang wanita dan pakaian mereka juga seksi. Kalau setakat Nur dan anak-anak sahaja yang tengok, tidak mengapalah. Abang tu macam mana?”
Maksud anak-anak adalah yang belum baligh.
“Pesertanya kanak-kanak sahaja. Cuba tanya Ummi yang pernah ke Beijing.”
“Nur sudah tengok dalam web mengenai Acrobatic Show. Memang ada peserta wanita dewasa.”
“Cubalah tanya Ummi dulu. Ustaz juga ada bersama, bukan?”
Ustaz ialah suami Ummi tidak mungkin melihat perkara yang diharamkan. Itulah yang kami percaya. Turut bersama Ummi dulu ialah Dr. Harun Din.
Saya bertanya kepada Ummi dan jawapan Ummi ialah pesertanya adalah kanak-kanak dan kalau ada wanita ialah di awal usia remaja yang belum baligh.
Saya tidaklah merasa lega dengan jawapan itu namun berharap itulah juga yang akan kami tonton.
Saya meminta suami membuang sahaja program menonton Acrobatic Show.
“Jika ada peserta wanita dewasa, maka perjalanan kita sudah menjadi perjalanan maksiat. Musafir yang ada tujuan maksiat di dalamnya tidak diharuskan solat jamak dan qasar,” saya memberikan pandangan.
Sudah tentu suami saya sendiri tidak bermaksud mahu menonton maksiat namun saya berharap dia bertegas dalam hal ini.

Semasa berurusan dengan staf Al-Quds, sekali lagi saya bertanya tentang Acrobatic Show. Kebetulan staf tersebut pernah ke Beijing dan menontonnya, dengan ghairah dia bercerita keseronokan menonton acara berkenaan.
Saya pun tahu apa itu Acrobatic Show kerana pernah menontonnya di televisyen.
Saya bertanya, “ Ada peserta wanita dewasa?”
“Adalah”
“Ada yang kata peserta kanak-kanak sahaja”
“Oh…yang kanak-kanak pun ada. Mereka bertukar-tukar peserta dan bentuk pertunjukan. Tiada apa-apalah.”
“Kalau begitu, kita memang boleh tengok sebab kita sesama perempuan tetapi lelaki tidak bolehlah…macam mana dengan suami saya…?”
Staf itu terdiam akhirnya.
Antara pemeliharaan Allah kepada kekasihNya, Nabi Muhammad s.a.w ialah membuatkan Muhammad tertidur semasa mahu menonton hiburan dan nyanyian dari wanita sebelum beliau diutus menjadi Rasul. Saya menitik beratkan hal ini pada suami dan anak-anak lelaki kerana mereka adalah pemimpin ummah dan menggalas tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Jiwa lelaki yang disemakkan oleh fitnah wanita tidak mungkin mampu memimpin ummah. Usahkan ummah, isteri dan anak-anak sendiri pun mungkin terabai bila si suami atau bapa tenggelam dalam fitnah wanita. Na’uzubillah.
Sesetengah isteri mungkin memikirkan tentang rasa cemburunya pada suami namun bagi saya, fikiran saya adalah untuk kebaikan ummah keseluruhannya. Hati saya untuk Allah. Justeru itu saya menyintai apa-apa yang disukaiNya dan saya benci kepada apa jua yang dibenci Allah. Jika saya sendiri terkhilaf melakukan perkara yang dibenci Allah, maka saya membenci perbuatan saya sendiri yang salah itu. Akhirnya kepada Allah jua saya memohon ampun dan maaf.
Allah berkata dalam surah al-Ahzab, ayat 36,
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
Saya juga suka menonton pertunjukan Akrobatik yang memaparkan kehebatan manusia meliuk lintuk badannya dengan pelbagai aksi. Namun jika kesukaan kita itu bertentangan dengan kehendak Allah, maka wajiblah kita dahulukan kehendak Allah dari kehendak sendiri. Itulah maksudnya kita benar-benar mengabdikan diri kepada Allah. Dalam konteks ini, lelaki haram melihat aksi wanita bermain,menari dan lain-lain pergerakan yang menghairahkan sama ada wanita itu menutup aurat, lebih-lebih lagi yang mendedahkan aurat.
Jika kita mengutamakan kehendak nafsu yang bertentangan dengan kehendak Allah, itu ertinya kita menyembah nafsu sendiri! Na’uzubillah.
Pengisian program diputuskan kemudian. Program lain yang dinasihatkan agar kami tidak mengambilnya ialah hidangan Halal Peking Duck. Menurut Ustaz Wan Zamri, beliau pernah membawa Tuan Guru Haji Hadi ke Beijing.
Semasa mereka mengadap hidangan Peking Duck, mereka terlihat tanda-tanda sembelihan yang tidak memenuhi syarak. Jadi mereka membatalkan untuk memakannya kerana itik itu sudah tidak halal dimakan meskipun hidangan tersebut bernama Halal Peking Duck dan disediakan oleh orang Islam.
Kami akur pada saranan tersebut. Bab-bab makanan halal ini bukan boleh dibuat main-main. Kalau babi disembelih dengan bacaan Bismillah pun, tetap tidak halal dimakan.
Hampir waktu berangkat, pihak Al-Quds menyerahkan tentatif program, tag nama untuk dilekatkan pada beg dan sebuah beg troli setiap seorang dewasa. Hmm… bagus juga. Pemberian beg tidak pernah disebutkan. Jadi ia diluar jangkaan kami. Apa pun kami memang gembira menerimanya.
Seperkara lagi yang menyenangkan kami ialah di dalam tentatif program, dimasukkan beberapa info yang bermanfaat sebagai panduan seperti nilai tukaran wang, jadual waktu solat di Beijing dan jadual penerbangan. Mungkin perkara ini biasa bagi mereka yang pernah melawat melalui agensi perlancongan. Namun bagi kami, ia satu usaha yang banyak memberikan kemudahan kepada kami sebagai pelanggan. Terima kasih kepada al-Quds yang berusaha memberikan servis terbaik buat pelanggannya.
Itu pun satu usaha al-Quds untuk mengiringi kami ke ‘airport’ tidak tercapai kerana ramai staf yang bercuti. Maklumlah hari kami bertolak merupakan hari minggu. Sebenarnya kami tidak mengharapkannya namun tetap merasa gembira dengan usaha yang dilakukan. Pihak al-Quds juga telah memohon maaf dan memaklumkan segera di atas keuzuran tersebut.
Ummu Abbas
10 Rabi’ul Awwal 1431H
1.40pm
Assalamualaikum semua.
Subhanalla…h.Tahniah ummu Abbas. memberitahu untuk pedoman, bukan bercerita sebarangan. Susah juga rasanya nak cari ayat yang sesuai tanpa ada tanda-tanda riak. kalau akaklah, dah fail.
Wassalam.
Assalamualaikum kak…
Begitu indahnya tarbiyah yang akan terima dan hasilnya lahirlah muslimah seperti akak…terima kasih perkongsian yang bermanfaat ni,entri akak penuh dengan peringatan untuk insan seperti saya agar kembali kepadaNya…
Indahnya hidup bersama Islam dan indahnya hidup bila Islam menjadi tunjang kehidupan…
“Salam Maulidur Rasul”
Moga kita tergolong di kalangan orang yang mencintai Rasulullah SAW dan dicintai Baginda…
Assalamualaikum Ummu,
Saya tertarik dengan perkata ummu” perkara yang dibenci Allah”. Jadi saya tanya sikit.
1. Bagaimanakan perkara-perkara itu boleh berlaku atau terjadi dlm alam ini sedangkan Allah benci kepada perkara tersebut. Adakah Allah tidak mampu menghalang perkara yg dibenciNya daripada berlaku.
Harap Ummu dapat memberi penjelasan kerana saya dalam kekeliruan.
Wassalam.
salam kak ummu..bole x klau nak mintak pndangan akak tentang tempat2 menarik yg bole dilawati di china?sy mahasiswi ipta awam,pelajar thun 1 pgajian quran dan sunnah dalam rangka mengadakan lawatan ilmiah ke negara china..mungkin berbekalkan pengalaman akak,ade tempat2 menarik yg bole kami lawati…da cube surf intrnet,tp agak susah jugak la nk dpat mklumat sperti yg sy mhukan…mgkin dlam konteks lg detail tempat2 mnarik yg boleh direlatekan dgn course pgajian sy di ipta..:))..syukran wajazakallah khairan kasira jika dpt mbntu…:))