Beijing: Restoran Muslim Jual Arak.

Semuanya sedap-sedap...alhamdulillah. Nyam..nyam..

Jam 5.41 petang, masuk waktu Maghrib.  Kami tiba di Hotel Huafu kira-kira jam 6 petang.  Setelah mendaftar, beg-beg yang banyak ditinggalkan di lobi hotel terlebih dahulu kerana Maggie akan membawa kami ke restoran untuk makan malam.

Salah satu perkara yang digemari apabila melawat mana-mana tempat ialah mengenali masakan orang tempatan.  Tidak kira dalam negara atau luar negara.  Sangat teruja bila memasuki restoran muslim di China.

Kami naik ke tingkat 2 restoran.  Hiasan dalamannya cantik kombinasi budaya Cina dan reka bentuk Islam.   Di dinding restoran ditulis khat Arab, “Mat’am Islami” (Restoran Islami).  Kami diraikan dengan minuman Teh Cina.  Teh Cina itu tidak bergula.  Makan malam kami ialah nasi dimakan bersama pelbagai jenis sayuran goreng, ayam dan ikan.   Lepas satu, satu dikeluarkan dan dihidangkan kepada kami. 

Nasinya agak melekit.  Saya teringat nasi di Jordan.  Ia sama.   Agaknya semua negara musim dingin menggunakan jenis beras yang sama.

Saya melihat botol-botol seperti botol arak tersusun di bahagian belakang kaunter bayaran.  Namun saya tidak pasti adakah ianya benar-benar arak.   Botol bertulisan Cina itu tidak bisa saya memahaminya.   “Mungkin air apa-apa selain arak,” saya berfikir.  Lagi pun kami baru sampai dan baru mahu mengenali kehidupan dan budaya mereka.

Selesai makan malam, kami pulang ke hotel untuk berehat.   Dr Jamsani mengesahkan apa yang dilihat di dalam restoran muslim tadi, “Mereka jual arak!”.

Antara syiar Islam di Beijing, Khat Arab.

Rupa-rupanya muslim China biasa minum arak tapi tidak memakan babi.   Saya tidak pelik kerana memahami situasi mereka yang menjadi golongan minoriti di sana.   Semasa ke Istanbul tahun 1996, saya terperanjat jugalah bila dapati di sekitar Masjid Biru dan Aya Sofia dipenuhi kedai menjual arak.  Itu negara yang majoriti muslim.  Iya… arak menjadi perkara yang mudah ditemui di sekitar masjid.  Bukan di sekitar kelab malam atau kompleks membeli belah.  Betapa besarnya pengaruh Mustafa Kemal Ataturk menjauhkan muslim dari kehidupan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.   Harapnya suasana itu sudah berubah setelah  dikuasai  Parti Pembangunan dan Keadilan yang dipimpin oleh Recep Tayyip Erdoğan.

Tanggungjawab saya belum beres.  Selepas solat jamak ta’khir dan menguruskan anak-anak, saya keluar bersama suami dan dua orang lagi yang turut mahu bersiar-siar.  Saya perlu cari pakaian musim dingin yang belum mencukupi.  Sebenarnya kami memang merancang membeli pakaian tambahan di Beijing.  Ia lebih murah dan banyak pilihan.  Alhamdulillah, anak-anak selesa berada dalam kehangatan suhu bilik hotel.

Saya mengeluarkan kasut dalam beg untuk dipakai tapi ‘alamak!’… kasut itu tercabut pula tapaknya semasa mahu memakainya.  Kasut itu di beli di Sydney tahun 2007.  Selepas pulang dari Sydney, saya tidak memakainya kerana kurang selesa.

“Buang sahaja kasut tu… beli yang lain,” suami berkata.

Masya Allah, suhu pada malam itu bertambah dingin.   Kami berjalan laju menyelusuri sepanjang jalan berhampiran hotel.  Hotel kami terletak di kawasan membeli-belah terkenal di Beijing iaitu di Jalan Wangfujing.    

Maggie memberi panduan namun puas kami merayau, belum ketemu kedai yang menjual pakaian untuk kanak-kanak.  Itu pun basib baik Dr Jamsani boleh berbahasa Mandarin.  Jadi bolehlah juga tolong tanyakan untuk kami apa yang kami cari.   Rakyat China jarang yang boleh berbahasa Inggeris.  Jadi memang susah berkomunikasi jika tidak dipandu oleh pemandu pelancong tempatan.

Dari satu kedai ke satu kedai kami bertanya, namun hampa.    Di satu kedai, saya ditegur oleh perempuan muda yang menjadi ‘sales girl’.  Sambil menunjukkan tudung dan purdah yang dipakai, dia berkata, “Very beautiful”.    Dia dan beberapa orang rakannya yang gadis seusianya melayan saya dengan mesra.  Saya membuka purdah semasa berkomunikasi dengan mereka.

Menu apa yang dia tulis ni? Sesiapa yang mahu terjemahkan?

Saya tidak sangka pakaian saya boleh menarik perhatian gadis non muslim  di tengah-tengah jutaan manusia yang percaya tiada tuhan.   Apa yang saya amalkan merupakan tuntutan syariat Islam.  Islam pula merupakan  agama sesuai dengan fitrah manusia.  Jadi tidak pelik jika seseorang melihat amalan Islam secara jujur, hatinya akan berbisik, “Indahnya….” dan seterusnya boleh bersetuju bahawa amalan Islam memberi rasa bahagia kepada jiwa manusia .  Jika kita melihat dengan mata hati yang kotor  dan dipengaruhi bisikan iblis, maka Islam akan dinilai dengan persepsi negatif.  Syaitan tidak akan pernah bersetuju dengan syariat Islam sehingga ke hari kiamat.

Akhirnya kami beli juga  pakaian ‘long john’ di sebuah kedai yang menjual pakaian dewasa dan kanak-kanak.   Di situ tidak banyak pilihan dan kriteria pakaian yang diingini juga tidak ada.  Daripada tiada langsung, lebih baik kami sediakan juga agar anak-anak tidak kesejukan esok hari.    Kasut tidak dibeli kerana tiada yang berkenan di hati.   Pakai sahaja apa yang ada. 

Kami kesuntukan waktu untuk mencari lebih jauh kerana semua kedai akan ditutup jam 9 malam.  Lagi pun, sebagai ibu,  saya tidak betah meninggalkan anak lama-lama sesama mereka sendiri.   Meskipun suami  sudah meminta tolong  kepada salah seorang staf  yang tinggal di bilik bersebelahan agar tengokkan anak-anak.

“Jom la Bang, kita balik.  Maggie pun sudah pesan tadi, balik ke hotel sebelum jam 10 malam.  Selepas pukul 10, keadaan tidak selamat untuk berjalan-jalan”.

Malam yang semakin dingin kami redah untuk pulang ke hotel.

Keesokan paginya, kelihatan salji bertambah banyak.  Ooh… patutlah malam semalam sejuk yang amat.  Rupa-rupanya salji mahu turun lagi.

  Ummu Abbas

11.33am

21 Rabi’ul Awwal 1431H

6 thoughts on “Beijing: Restoran Muslim Jual Arak.

Add yours

  1. Salam akak,,,

    Alhamdulillah kak,perkongsian ni sungguh bermakna sekali..perjalanan dan permusafiran akak penuh dengan rentetan kehidupan muslim sejati..saya sangat suka membaca bicara2 akak…krn ia btl2 melambangkan keikhlasan akak dalam beramal dgn Islam dan akak berusaha menyampaikan bahawa Islam adalah agama yang sebenar2nya..Islam adalah jalan dan cara hidup yg sebenar…

    akak,teruskan dakwahmu!!! doakan jua utk saya…

    Wsalam Husin Husaini,

    Insya Allah… Allah bersama kita selagi kita mengharapkanNya. Terima kasih atas doanya.


  2. Saya sangat rindu kepada “羊肉串” Yang Rou Chuar = sate kambing, dan juga “拉面” Lamian = mee tarik. Saya nak ceritakan pengalaman saya di 牛街 “Niu Jie” dimana Masjid tertua terletak. Di sana saya kenal beberapa orang etnik Han yang beragama Islam. Mereka sangat berminat belajar agama Islam dan juga Bahasa Arab. Saya pernah duduk di Maghribi selama 3 tahun dan belajar Bahasa Arab, dan apabila mereka tanya jika saya boleh bertutur Bahasa Arab atau tidak, dan saya cakap ya. Mereka sangat kagum. Minat mereka yang sangat tinggi terhadap Islam membuat saya terpegun sekejap dan bersyukur kerana kebanyakkanya mereka menerangkan sebab yang haram sangat jelas. Contohnya, mereka tidak minum Arak, jelas sekali memudaratkan. Hisap rokok, tidak, kerana memudaratkan diri. Apa-apa yang memudaratkan diri sendiri adalah Haram. Salah seorang etnik Man baru saja memeluk agama Islam menegaskan agama Islam adalah agama yang paling unggul. Sesuai dengan kehidupan harian. Semua terjawab apabila belajar tentang Islam. Saya ingat nama dia “Abdullah” nama cina dia pula ialah “天牛 ” yang bermaksud langit.

  3. Salam Ukhwah..Ini pengalaman saya,saya juga pernah ke China dan menetap di sana beberapa tahun atas urusan perniagaan..Saya berpendapat restoran yg menjual arak seperti yg tertulis tadi tidak mewakili semua restoren China di sana..kerana China yg Islam ni mereka tahu yg memudaratkan adalah haram..mereka tak minum..mungkin yg menjual arak di restoran tadi yg minum sahaja.Penganjur rombongan sepatutnya alert,di mana nak bagi rombongan dari Malaysia makan..apalagi kalau dia bukan Muslim..(minta maaflah saya assume saja,kerana namanya Maggie)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: