K.nur ana ade satu persoalan yang agak menimbulkan sedikit confuse dan ana nak mintak pendapat dari k.nur.
Soklan yg pertama yg berkaitan dengan aurat antara muslimah dengan perempuan non muslim, seperti mana yg kita maklum aurat muslimah dengan perempuan non malay sama dengan aurat antara muslimah dengan lelaki ajnabi/ bukan mahram. Tapi ana nak mintak penjelasan dan pendapat dari k.nur dalam konteks situasi semasa di asrama di tempat ana menuntut sekarang ini yg mane bil student non malay sama byk dengan malay sekarang ini. Di asrama ana tinggal satu aras dengan non malay dan Alhamdulillah tidak sebilik dengan mereka. Dan ana mmg la selalu terserempak dengan mereka apabila keluar bilik dan especially time ke toilet dan kat bilik mandi.
Ana mohon penjelasan dari k.nur.syukran
Mawar Larangan
18 Mac 2010
###############################################

Wa’alaikum salam warahmatullah,
Alhamdulillah. Moga Allah perkenankan doa tersebut untuk kita semua.
Persoalan yang dikemukakan sudah jelas pada pengetahuan Mawar mengenai khilaf pendapat yang wujud mengenai batas aurat muslimah di hadapan wanita non muslim.
Khilaf itu berdasarkan tafsiran berbeza ayat 31 Surah Al-Nur. Perbahasan secara ilmiah mengenainya sudah banyak dibicarakan di laman-laman web lain.
Majoriti fuqaha’ mengatakan aurat muslimah di hadapan wanita non muslim sama seperti aurat di hadapan lelaki ajnabi.
Pendapat kedua ialah yang mengatakan muslimah boleh berpakaian seperti pakaian biasa yang dipakai di dalam rumah. Pakaian yang biasa dipakai di dalam rumah ialah baju berlengan pendek, skirt labuh melepasi lutut, seluar panjang (bukan ketat), gaun labuh berlengan pendek dan seumpamanya.
Pandangan ketiga ialah yang mengatakan sama seperti aurat sesama wanita muslimah yakni selain antara pusat hingga lutut.
Bagaimana cara kita memilih antara 3 pendapat di atas? Untuk membuat keputusan terbaik buat diri kita ialah dengan melihat objektif menutup aurat itu sendiri yakni menjaga maruah dan kesopanan wanita Islam.
Oleh itu perlu dilihat kepada akhlak wanita non muslim itu sendiri. Jika dia seorang yang menjaga kesopanan dan menghormati kita, maka pendapat kedua adalah baik diamalkan agar terangkat perkara yang menyusahkan dari diri kita.
Jika wanita non muslim itu seorang yang tidak baik dan sentiasa mencari kelemahan muslimah untuk disebarkan kepada orang lain, maka wajiblah menutup aurat seperti biasa.
Apabila menyebut tentang akhlak, isu ini turut terbuka kepada sesama muslimah dan kanak-kanak sekali pun. Jika wanita Islam atau kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan yang tidak baik, maka tetap wajib menutup aurat seperti biasa di hadapan mereka. Dibimbangi mereka bercerita tentang aurat kita di hadapan lelaki ajnabi.
Lebih-lebih lagi di zaman ‘handphone’ berkamera ini, foto mudah dicuri dan disebarkan kepada orang lain. Justeru berhati-hati adalah lebih baik. Namun usah terlalu risau kerana negara kita mempunyai undang-undang yang menjaga kepentingan (maruah) individu. Ikhlaskan niat berhijab semata-mata kerana Allah, insya Allah, Allah akan sentiasa menjaga kita.
Khusus untuk menjawab persoalan ini, saya bertanya pandangan seorang muslimah yang revert dari agama Kristian mengenai persepsinya terhadap aurat wanita muslimah sebelum memeluk Islam. Ini petikan jawapan yang diberikan dalam Facebook,
Saya tinggal di asrama dari sekolah menengah dan matrik, roommate dengan Muslim. kemudian di U, hanya sekejap roommate dengan Muslim. Bukanlah yang menutup aurat betul2 tapi kira oklah. Tidak terfikir apa2 pun bila melihat aurat mereka. Rasa biasa saja. setahu saya rakan2 dan keluarga pun tak fikir apa2. cuma kawan2 saya dan kakak saya pernah cakap dengan saya tentang kawan Muslim mereka yang bila buka tudung, rambut bau semacam..”
Muslimah tersebut boleh dikunjungi di blognya .
Melihat kepada pandangan yang dikemukakan di atas, rasional untuk memperhatikan moral yang baik di kalangan wanita non muslim adalah relevan sebelum memilih mengamalkan pendapat kedua.
Mengenai komen non muslim yang merungut tentang kebersihan muslimah selepas membuka tudung, kita sama-sama mengambil iktibar untuk menjaga kebersihan diri sesuai tuntutan Islam agar muslimah cantik bukan semata-mata kerana berhijab. Semoga ia menjadi dakwah secara amalan kepada non muslim.
Amalkan memakai tudung selepas rambut dikeringkan. Jika rambut basah dan perlu keluar segera, pakai minyak rambut terutama yang diperbuat dari minyak zaitun. Insya Allah, rambut tidak berbau hapak dan juga mengelakkan dari berbuah. Menggunakan pengering rambut adalah tidak digalakkan kerana akan merosakkan rambut. Boleh guna jarang-jarang sekali.
Kesimpulannya ialah dalam situasi yang dihadapi kebanyakan pelajar sekarang di Malaysia, harus (yakni dibolehkan) bagi pelajar muslimah berpakaian biasa (sebagaimana yang sudah dihuraikan pada point kedua berkenaan apa yang dimaksudkan ‘pakaian biasa’) di dalam kawasan asrama di hadapan pelajar non muslim KECUALI didapati secara jelas bahawa mereka tidak amanah dalam menjaga maruah pelajar muslimah.
Wallahua’lam.
Ummu Abbas
12.15pm
8 Rabiul Thani 1431H






Tinggalkan komen