Tiba masanya Perdana Menteri Malaysia mengambil teman seaqidah sebagai contoh dalam membangunkan negara. Jika Brunei yang jauh lebih kecil tahu untuk takut kepada Allah, kenapa tidak Malaysia yang mana kebanyakan pemimpinnya beragama Islam? Menteri yang jaga agama Islam di Malaysia lebih takut kepada siapa?
Alang-alang penganut Kristian pun sudah mahu mengiktiraf Allah sebagai tuhan mereka, maka sama-sama kita pandu negara ke mercu meninggikan kalimah Allah di bumi Malaysia tercinta.
Perkembangan terbaru penggunaan arak di Malaysia amat mendukacitakan. Harakahdaily melaporkan bahawa arak di Malaysia boleh diperolehi dengan mudah seumpama membeli air minuman yang lain sama ada di pasar raya, restoran, hotel, kedai runcit mahupun di kedai serbaneka seperti 7 Eleven yang dijual tanpa kawalan ketat. Lihat berita di sini.
Itu belum lagi dicampur dengan penggunaan ‘adik-beradik’ arak iaitu dadah dan seangkatan dengannya.
Jika UMNO kuat berkokok dalam isu penggunaan kalimah Allah, maka di mana Allah tatkala mereka mahu meluluskan lesen kilang arak dan penjualan arak di Malaysia? Jika benar mereka percaya dan sayangkan Allah, mereka tentu tidak lupa pada salah satu ayat-ayat cinta Allah kepada hambaNya,
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, memuja berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, semuanya adalah perbuatan kotor (keji) dari amalan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Al-Maidah 5: 90
Penghujung ayat ini menyebut kejayaan bagi mereka yang menjauhi amalan-amalan syaitan tersebut. Inilah jalan yang sepatutnya diambil oleh Perdana Menteri jika benar dia mahu meraih kejayaan dalam memimpin Malaysia. Ia bukan setakat kejayaan di dunia, bahkan di akhirat, ganjaran syurga dan bidadari jelita sedia menanti. [Takkan PM tak percaya kepada kehidupan di akhirat pula?]
Musuh sebenar UMNO [yang mana semua ahli-ahlinya terdiri dari kalangan orang-orang Islam] ialah syaitan, bukannya Pakatan Rakyat yang berusaha mengembalikan hak-hak rakyat yang dirampas sesuka hati. Lihat pula sambungan ayat tadi,
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
Al-Maidah 5: 91
Iblis hanya mahu menimbulkan permusuhan sesama manusia hasil penggunaan arak dan judi. Seterusnya melalaikan manusia dari mengingati Allah dan tidak menunaikan solat. Bukankah iblis sudah bersumpah untuk menarik seramai manusia menghuni neraka bersama-samanya di akhirat kelak? Adakah kita mahu bertuhankan Allah yang kita hebohkan namaNya suatu ketika dahulu atau bertuhankan iblis (na’uzubillah)?
Ini baru satu isu jenayah yang disentuh. Jika mahu dihitung, segala jenis jenayah dan maksiat memenuhi bumi Malaysia tercinta- dari kota-kota besar sehingga ke ceruk kampung. Keadaan jenayah dan maksiat yang wujud di Malaysia sekarang hampir sama seperti di Bosnia sebelum Bosnia ditimpa bala serangan penghapusan etnik oleh puak Serb. Apakah kita mahu Malaysia ditimpa bala seperti itu juga? Na’uzubillah. Adakah memadai berdoa ‘minta dijauhkan Allah’ sedangkan usaha membanteras jenayah menurut acuan Allah dipandang enteng sahaja? Ancaman seperti itu sebenarnya wujud sama ada kita sedar atau tidak. Lebih-lebih lagi dengan isu terbaru yang mana Kerajaan Malaysia menjalankan kerjasama dengan APCO- agen zionis Yahudi. Zionis Yahudi terkenal sebagai ‘samseng dunia’ atau ‘pengganas antarabangsa’. Lihatlah apa yang telah mereka lakukan di Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain.
Ingatlah, Allah itu tidak menzalimi hamba-hambaNya kecuali mereka menzalimi diri mereka sendiri. Ramai individu menganggap dosa yang mereka lakukan hanya mereka sendiri yang menanggung kesannya, sebab itu terkeluar kata-kata, “Kubur engkau, kubur engkau… kubur aku, kubur aku”… sedangkan realitinya maksiat yang dilakukan apabila bertambah banyak, ia semakin mendekatkan bala Allah ke atas individu dan masyarakat itu sendiri.
Sudah banyak peringatan diberikan Allah melalui bencana alam dan keruntuhan akhlak manusia, namun berapa ramai yang mahu berfikir dan mengambil iktibar?
Kepada mereka yang kasihkan diri sendiri, masyarakat dan negara, sama-sama tunaikan amar maaruf nahi munkar bermula dari diri sendiri, keluarga, sahabat rakan taulan dan masyarakat amnya. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.
Jika kita harapkan rezeki melimpah ruah serta keamanan dan dalam masa yang sama kita tidak mahu ditimpa azab oleh Allah swt, sama-sama kita berusaha meningkatkan ketaqwaan diri kerana janji Allah itu pasti benar. Allah berkata di dalam surah al-A’raaf, ayat 96,
Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Al-A’raaf 7:96
Ummu Abbas
16 Rabiul Thani 1431H
1.16am
Assalam mu alaikum wr wbt
Syabas atas artikel di atas. Semoga ramai lagi yang dapat membuat tulisan yang memberi impak yang hebat seperti ini. Terpukul juga pemimpin yang mengaku Islam….
Masih ada pemimpin yana takut allah rupanya,..
TAKBIR 3X