أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ كَانُوا أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَأَثَارُوا الْأَرْضَ وَعَمَرُوهَا أَكْثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا وَجَاءتْهُمْ رُسُلُهُم بِالْبَيِّنَاتِ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
Surah al-Ruum 30: 9
Kira-kira jam 8.30am, kami sudah berada di restoran untuk bersarapan. Sarapan apa agaknya yang akan dihidangkan. Oh… Nasi goreng China dipadankan dengan sayuran goreng, telur rebus, roti, sejenis kuih yang digoreng dan minuman seperti nescafe + susu. Teh China setia menemani hidangan. Alhamdulillah, sedap juga makan nasi goreng dengan sayur goreng bercampur kulat hitam.
Seusai sarapan, kami dibawa ke Medan Tian An Men. Sepanjang perjalanan, kami berpeluang melihat suasana Kota Beijing yang sibuk kerana waktu itu adalah waktu penduduk keluar bekerja. Kami dapat melihat suasana masyarakat setempat yang berbasikal dan juga terdapat ‘tut tut’ seperti di Bangkok. ‘Tut tut’ ialah teksi menggunakan motosikal. Biasanya hanya mampu memuatkan dua orang penumpang sahaja. Teringat pula beca roda tiga di Kota Bharu. Bagus juga jika mereka mengubah suai beca menggunakan motosikal pula. Kasihan pada pakcik-pakcik yang mengayuh!
Diakui, menggunakan basikal lebih memelihara alam sekitar kerana tidak mengeluarkan asap. Namun boleh diganti dengan motosikal elektrik seperti yang digunakan kebanyakan warga Beijing.
Pada pandangan saya, Beijing merupakan sebuah kota besar yang lapang. Memang banyak bangunan besar, tinggi dan unik di sini termasuk bangunan lama yang menyimpan 1001 sejarah China yang ‘hebat’. Ia dikatakan lapang kerana susunan bangunannya yang agak jauh antara satu sama lain. Jalan rayanya lebar-lebar.

Sedang asyik melihat panorama Beijing, tiba-tiba pandangan mata kami tertumpu kepada sesuatu yang menarik dan comel. Rupa-rupanya, anjing-anjing di sini turut berpakaian seperti manusia. Ada yang berbaju sahaja. Ada yang berbaju dan berseluar. Agaknya dek kerana semakin ramai manusia mahu menjadi haiwan dengan berbogel tanpa segan silu, maka haiwan pula mengambil tempat manusia dengan berpakaian. Jika berbogel mendapat tempat meluas di web-web dan blog-blog yang kuno, fesyen pakaian anjing juga turut memiliki webnya sendiri. Inilah nilai kebanyakan manusia di zaman sekarang. Mereka menukar harga diri mereka dengan haiwan yang tidak berakal.
Saya tidak sempat ambil foto walau satu pun kerana bas sentiasa bergerak.
Kami tiba di sebuah stadium yang berbentuk separuh telur. Jadi ia digelar Stadium Telur (Egg Stadium). Sekadar bergambar di bahagian luarnya. Saya melihat seorang pemuda China turut mengambil gambar kami semasa kami berposing. Agaknya pelancong seperti kami juga. Kemudian kami mula berjalan kaki ke Medan Tian An Men. Pemuda China tadi mengekori kami dengan kamera video di tangannya.


Tiba di Medan Tian An Men, kami perlu melintasi bahagian keselamatan. Kami diperiksa sebelum masuk ke kawasan medan.
“Di sini perlu diperiksa sebab sekarang ada kongres”, Maggie menjelaskan.
Ramai pelancong memenuhi kawasan medan. Medan yang dikatakan terbesar di dunia ini menghimpun pelbagai bahan sejarah China; Tiananmen Tower, Monument to the People’s Heroes (seperti Tugu Negara), Great Hall of the People, Memorial Hall of Chairman Mao dan China National Museum.
Baru ambil beberapa keping foto, bateri kamera hampir habis. Eh… pemuda China tadi ada lagi dan sedang mengambil gambar kami yang berjalan-jalan di medan itu.
“Maggie, siapa tu… dari tadi dia ikut kami…”
“Ooh.. itu… dia dari kedai fotografi yang bekerjasama dengan syarikat kami. Dia ambil video. Jika mahu video itu, boleh beli semasa mahu pulang nanti”.
Ohh… begitu rupanya. Video itu akan dijual dalam bentuk VCD. Melihat kepada harganya yang berpatutan, kami setuju sahaja untuk membelinya nanti. Apa lagi… mulalah ada yang melambai ke arah kamera dan meminta mengambil foto. Alang-alang ada ‘cameraman’ pro… mahu juga foto-foto yang cantik. Ada lagi ahli rombongan yang lain turut menghadapi masalah kamera tiada bateri. Itu hari pertama kami berjalan. Malam pertama di Beijing, kami sudah kelewatan dan terus tidur tanpa sempat mengecas bateri masing-masing. Lagi pula, kami belum beli plug yang sesuai dengan soket di China.
Dari Medan Tian An Men, kami berjalan ke Forbidden City (Kota Larangan). Kota ini luas dan cantik. Ia mempunyai 7 pintu gerbang sebelum memasuki kawasan istana penginapan raja. Usianya lebih 500 tahun. Dibina sejak zaman Dinasti Ming hingga Dinasti Qing. Info lanjut di sini.
“Dulu, kota ini hanya boleh dimasuki oleh golongan raja-raja sahaja. Rakyat biasa tidak boleh masuk. Sekarang kita boleh masuk,” Maggie memberitahu sebaik sahaja kami menjejaki kawasan dalam kota.
“Oh… sekarang ini, kita jadi kerabat raja lah ye…,” saya bergurau.
Kagum saya melihat istana binaan kayu yang teguh dan kukuh itu. Manusianya sudah bertukar dari generasi ke generasi yang lain, namun binaan istana ini masih gah dan cantik di tempatnya.
Setiap 4 musim bersilih ganti menjanjikan pemandangan yang berbeza di kawasan sekitar kota dan istana ini. Rezeki kami menjamu mata di musim dingin berselimut putih. Indah sekali. Subhanallah.
1000 Isteri, gundik, pelayan dan sida-sida.
“Kota Larangan ini hanya boleh didiami oleh Raja dan kaum wanita sahaja. Raja miliki seribu isteri. Anak lelaki raja tinggal di istana lain. Pegawai istana lelaki dikasi dahulu sebelum bertugas dalam istana ini,” Maggie meneruskan ceritanya.
“1000 isteri?” terperanjat juga kami mendengarnya. Besarnya nafsu raja China dahulu. Kuat cemburu pula. Mana tidaknya, sampai anak lelaki tidak boleh tinggal bersama dan sida-sida dikembiri dahulu. Zalim betul.
Saya teringat watak sida-sida dalam drama China mengenai dinasti raja dahulu kala. Selain isteri yang ramai itu, turut tinggal dalam kawasan Kota Larangan ialah pelayan-pelayan wanita.

“Wah… 1000 isteri maksudnya setiap 1000 hari baru setiap isteri dapat gilirannya? Bermakna lebih kurang 3 tahun sekalilah, baru isteri dapat bersama suaminya? Kasihannya,” saya mengomel di hadapan Kak Mah, satu-satunya peserta wanita yang menyertai rombongan kami. Kak Mah merupakan isteri Hj Zin.
“Atau raja gilirkan beberapa orang untuk satu hari?… entahlah..”.
Benarlah, bila kita melihat amalan orang jahil dan orang kafir… semakin terserlah keindahan ajaran Islam yang sesuai dengan fitrah manusia. 4 isteri yang dibenarkan Islam dengan syarat adil itu adalah bagi menghadkan bilangan isteri yang melampau orang-orang dahulu kala. Syarat adil juga merupakan jaminan setiap isteri mendapat hak nafkah zahir batin dan hak pendidikan. Bukannya suami asyik bermalam dengan isteri yang dia lebih sayang sahaja.
Jadi pemikiran yang mengatakan Islam menindas kaum wanita kerana membenarkan lelaki menikahi lebih seorang wanita adalah salah sama sekali. Inilah pembelaan dari Allah terhadap kaum wanita yang mana keempat wanita yang ingin dimiliki mendapat status isteri. Bukannya seorang sahaja isteri dan selebihnya hanya gundik atau perempuan simpanan.
Apabila Allah meluluskan 4 wanita harus [Baca ‘harus’ ye… bukan wajib ] dikahwini oleh seorang lelaki, di sana Allah sudah tahu secara fitrahnya kecenderungan lelaki dan tahap optimum kemampuan sebahagian dari mereka. Jika lelaki merupakan ciptaanNya yang Allah memahami fitrah mereka, maka Allah juga Maha Mengetahui fitrah kejadian wanita yang realitinya boleh berkongsi. Apa yang penting… setiap lelaki dan wanita harus meneliti dan mengenal potensi masing-masing dan memahami antara satu sama lain berdasarkan sifat-sifat Rabbani. Isy… melalut panjang pula saya. Ada lagi yang mahu diceritakan tapi lain kali pula ye… Belum habis lagi… jadi harapnya usah mudah buat kesimpulan dahulu. Saya menyinggung sedikit di sini agar kita sama-sama dapat merenung hikmah di sebalik sejarah yang sedang kami lawati.
Bila melihat kepincangan amalan dan ajaran selain Islam, wajarlah kita memanjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah yang menganugerahkan Islam kepada kita.

“Mereka ummat nabi mana ye?” saya tertanya.
“Mereka baru berusia 500 tahun. Tahun Hijrah sudah 1431. Jadi ummat Nabi Muhammad lah”, Hj Zin mengingatkan.
Ha ah… benar juga ye… tidak perasan pula saya tadi.
Melihat usia lebih 500 tahun Kota Larangan, Dinasti Ming yang mula membinanya tergolong dari kalangan ummat Nabi Muhammad s.a.w. Di mana Islam ketika Dinasti Ming mula memerintah? Adakah Islam telah sampai ke China?
Apakah pula pandangan Kerajaan China waktu itu mengenai Islam dan Muhammad?
Semasa pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan, beliau telah mengutuskan Sa’ad bin Abi Waqas untuk menyampaikan ajaran Islam di China kira-kira tahun 651M, yakni kira-kira selepas 20 tahun kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Sa’ad merupakan bapa saudara Nabi s.a.w di sebelah ibunya.
Pada masa itu, China diperintah oleh Dinasti Tang. Maharaja Yung Wei, maharaja Tang pada masa itu menerima kedatangan rombongan dan memerintahkan agar sebuah masjid peringatan dibina di Canton. Inilah masjid pertama dibina di negara China.
Zaman Dinasti Tang adalah zaman keemasan China dengan budaya kosmopolitan yang membantu memperkenalkan agama Islam. Pemastautinan orang Islam pertama di China terdiri daripada saudagar Arab dan Parsi. Di kawasan tersebut, kabilah Hui Chi menerima Islam, dan nama tersebut menjadi permulaan rujukan terhadap huihui atau Hui sebagaimana mereka dikenali hari ini. Rujuk di sini.
Justeru itu, penduduk China sebenarnya amat bertuah dibandingkan bangsa Melayu sendiri kerana Islam sampai kepada mereka sejak zaman sahabat Rasulullah s.a.w. Ia pula dibawa oleh salah seorang keluarga Rasulullah s.a.w sendiri. Sedangkan ummat Melayu di Tanah Melayu baru menerima Islam di zaman kesultanan Melaka.
Alangkah bagusnya jika setiap warga Cina di Malaysia mengetahui hal ini; Bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu hanyalah mitos. Tidak dinafikan suatu ketika, semua bangsa Melayu beragama Islam, namun untuk mengatakan Islam itu Melayu adalah salah sama sekali. Yang betulnya ialah Islam adalah untuk semua; Arab, Cina, Melayu, Mongol, Parsi, Inggeris, India, Yahudi dan seluruh bangsa manusia yang wujud di dunia ini.
Lebih-lebih lagi di zaman mutakhir ini yang mana Melayu sudah ramai yang murtad. Dalam skop penduduk Malaysia, Islam bukan lagi ekslusif untuk bangsa Melayu sahaja. Sebaliknya kebanyakan Melayu semakin layu akidah dan amalan Islamnya. Cina yang memeluk Islam ada yang lebih baik Islamnya dari Melayu. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain yang komited dengan ajaran Islam.
وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, serta perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mengetahui.
Surah al-Ruum 30: 22
Ummu Abbas
20 Rabiul Thani 1431H
11.30pm
Salam ziarah…banyak berjalan luas pemandangan…ternyata kata 2 itu benar.
Seronoknya dapat ‘menjelajah’ bersama keluarga tersayang.
Do visit me at http://www.ibunoor.com
Teruskan menulis ya ukhti…
Minta izin utk saya letakkan link blog ini ke dlm blog saya ya…