Assalamu’alaikum kepada semua pengunjung.
Walaupun Hari raya Korban (Eidul Adha) sudah berlalu namun belum terlewat rasanya buat saya berkongsi sedikit pengalaman pertama menyambutnya di Melbourne ini. Foto-foto di bawah sudah lama di ‘upload’ di dalam Facebook. Mungkin ada yang sudah melihatnya di sana.
Alhamdulillah, sambutan di sini tetap dirasakan kemeriahannya walaupun tiada cuti khas diberi oleh kerajaan Australia. Masing-masing bercuti sendiri. Anak-anak di sekolah juga sekadar memaklumkan kepada guru bahawa kami akan menyambut perayaan. Mana-mana yang ada kelas penting atau perlu berjumpa ‘supervisor’ tidak dapat tidak terpaksa hadir juga ke universiti.
Saya dimaklumkan, solat hari raya di kalangan warga Melayu Malaysia sentiasa berubah-ubah tempatnya. Benar, jika Eidul Fitri tempohari, kami memohon menggunakan dewan sekolah rendah. Maka Eidul Adha ini pula kami menggunakan Preston City Hall di bandar Preston, Melbourne.
Sekurang-kurangnya saya melihat ada sebab untuk syiar Islam semakin berkembang di sini, insya Allah. Mana tidaknya, saya teruja melihat dewan-dewan kepunyaan masyarakat non-muslim ini bergema takbir di dalamnya, solat didirikan secara berjemaah dan khutbah dibacakan sehingga ia menyelimuti ke seluruh ruang. Terdapat juga beberapa staf ‘mat saleh’ yang melihat aktiviti kami di situ. Saya berharap ada tarikan terhadap Islam daripada amalan kami ini.
Sikap masyarakat di sini amat terbuka terhadap amalan penganut agama lain dan budaya masing-masing. Ia memudahkan kami mengamalkan tuntutan Islam secara terbuka dan bebas. Meskipun begitu, masih terdapat sekatan pada bahagian tertentu seperti azan tidak boleh dilaungkan secara terbuka di masjid-masjid dan lain-lain.
Selain sambutan yang diusahakan oleh warga Melayu Malaysia, umat Islam dari kalangan Arab Lubnan, Turky, India dan lain-lain menunaikan solat raya di masjid-masjid berhampiran penempatan masing-masing.
Sebagai seorang yang pernah belajar dan tinggal di Jordan, saya rasa bertuah dikurniakan Allah dengan pelbagai pengalaman yang berbeza. Jika di Jordan saya dapat merayakan dengan masyarakat Islam tempatan dari kalangan bangsa Arab, di Bumi Kangaroo ini saya beraya bersama-sama masyarakat Islam Melayu sahaja. Untuk tahun pertama di sini, biarlah saya mengenali sesama sendiri dahulu. Jika diizinkan Allah, pada tahun-tahun akan datang, saya ingin ke masjid-masjid untuk bersama umat Islam yang lain pula. Saya suka mengenali umat Islam yang terdiri dari pelbagai bangsa kerana dengan Islam, kita semua adalah sama. Inilah antara falsafah yang terkandung dalam ibadah haji.
Terdapat juga sebahagian pelajar Malaysia yang menunaikan solat Eidul Adha di masjid atau surau universiti. Khutbah di masjid ada yang disampaikan dalam Bahasa Arab dan ada yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris. Jadi bergantung kita mahir dalam bahasa apa, maka pergilah ke masjid tersebut agar intipati khutbah dapat dimanfaatkan.
Seusai solat dan mendengar khutbah, para jemaah mengadap hidangan yang dibawa secara ‘pot luck’. Juadah ‘pot luck’ ini disediakan oleh setiap yang hadir dalam kuantiti mencukupi untuk keluarga masing-masing. Kemudian juadah tersebut diatur untuk dirasai oleh setiap yang hadir. Keistimewaan juadah ‘pot luck’ ini ialah terdapat pelbagai menu hidangan dari nasi impit, laksa, nasi dagang, mee goreng, mihun goreng atau mihun sup, kuih muih, puding dan lain-lain. Namun kelemahannya ialah jika terdapat satu-satu juadah yang digemari ramai, ia cepat habis 🙂 dan tidak dapat dikecapi oleh ramai orang. Apa pun, setiap orang saling memahami dan meredai antara satu sama lain.
Eidul Adha di sini juga menyaksikan ramai juga hadirin yang tergesa-gesa meninggalkan dewan solat kerana mengejar kelas atau mahu ke ‘lab’. Kebanyakan yang hadir ialah dari kalangan pelajar ‘post grad’ yang menyambung pelajaran di peringkat PhD.
Rasanya setakat ini dahulu catatan saya buat kali ini. Sehingga ketemu lagi dilain waktu.
Selamat menyambut Eidul Adha Mubarak. Semoga falsafah agung yang terkandung di dalamnya terus dapat dihayati sehingga bertemu lagi di tahun akan datang, insya Allah.
Wassalam.
Ummu Abbas
20 Zul Hijjah 1431H
26 November 2010
7.13pm.
PS: Maghrib di Melbourne hari ini ialah 8.22pm.
salam ummi =)
Kat UK pun lebih kurang sama macam kat melbourne sambutan eid adha nya..
seronok bila pak cik2 arab yg dijumpai di kedai suka sedekah kat kami para students ni dengan tulang2 lembu dan sebagainya..
Ana doakan ummi sentiasa sihat dan bahagia di Melbourne =)
Program Majlis2 Ilmu Hujung Minggu Ini :
Majlis Ilmu Malam ini di Surau AlHidayah : http://wp.me/piAx4-3mf
PENGAJIAN KITAB SIYARUS SAALIKIN : http://wp.me/piAx4-3y1 (ESOK)
Pengajian bersama Dato Hassan Din @ Masjid Sri Damansara : http://wp.me/piAx4-3BA (AHAD)
Majlis KUALA LUMPUR BERSELAWAT : http://wp.me/piAx4-3wY (MINGGU DEPAN)