Aku Mahu Pakai Jeans

Seluar denim feminin begini boleh pakai di luar - dipadankan dengan baju labuh longgar paras lutut + tudung besar labuh menutupi bentuk dada.

Bismillah.

Sekali dengar, tajuk di atas berbau ala-ala tajuk siri novel remaja terkenal hari ini, siri “Aku Mahu…” karya novelis yang sedang ngetop sekarang, Puan Ain Maisarah.   Saya sendiri tidak pernah membaca novel-novelnya.  Iye lah… saya bukan lagi remaja… tapi ibu kepada anak sulung di ambang remaja… namun teringin juga ambil tahu apakah pendekatan menulis yang Puan Ain gunakan.  Insya Allah, mahu juga saya dapatkan novelnya suatu hari nanti.

Agak lama saya berfikir untuk menulis entry seumpama di bawah. Bukan sekali dua. Malah berpuluh-puluh kali. Saya bimbang akan menggamit fitnah kepada diri sendiri. Jika blog ini tertutup hanya kepada para muslimah, tiada masalah. Namun ia terbuka kepada semua golongan.

Fikir punya fikir, tiba-tiba datang persoalan dari muslimah yang mahu menutup aurat dengan lebih baik namun masih tetap bergaya. Panjang lebar luahannya. Melihat kepada persoalannya, saya merasa terpanggil juga untuk bercerita pengalaman sendiri mengenai hal berfesyen. Kelebihan bercerita pengalaman sendiri ialah agar semua wanita tahu bahawa fitrah kita adalah sama- meskipun anda melihat sebahagian muslimah ada yang berpurdah serba hitam dengan abayanya. Sebahagian yang lain berjubah suram dan bertudung labuh dengan warna yang tidak menarik.

Saya dapat melihat maslahah yang lebih besar untuk meneruskan penulisan ini sesuai dengan arus semasa yang memberi gelombang fitnah bertahap tsunami kepada para muslimah hari ini. 

Harapnya, tiadalah khayalan palsu yang muncul dalam minda yang tidak tersuluh wahyu. Lebih-lebih lagi, saya berhijab sejak belum baligh dan berhijab sempurna sejak baligh sehingga ke hari ini. Alhamdulillah. Harapnya tiadalah gambaran fizikal yang dapat digarapkan ke dalam minda ajnabi hendaknya. Amin.

Tulisan ini hanya menjawab sebahagian persoalan yang dikemukakan oleh muslimah tersebut. Saya berharap dia dapat bersabar menunggu respon selanjutnya.

*****
Awal remaja- pengaruh dari USA.

Bila sebut USA, seringkali tergambar gaya hidup bebas dan pakaiannya yang ‘daring’ pada pandangan umum.  Adakah saya bermaksud saya juga pernah berpenampilan ‘daring’   sebagaimana yang sering ditampilkan mengenai wanita barat di media-media?

Kakak ipar yang sulung (Kak Long) pulang dari Amerika semasa saya berusia 12 tahun yakni pertengahan 80-an.  Dia pulang dulu bersama anak saudara sulung saya.  Abang sulung sedang menghabiskan sisa pengajian tahun akhirnya di Oklahoma State University.

Walaupun pulang dari Amerika tetapi Kak Long memakai jubah dan tudung. Tidak seperti hari ini, ada pelajar yang pulang dari Timur Tengah @ negara Arab/muslim @ Bumi Anbiya’ tetapi tidak memakai tudung atau ramai pelajar agama bertudung tetapi tidak berhijab.

Di dalam jubah, Kak Long memakai pakaian harian yang dipakai di dalam rumah. Rasa ingin tahu menyebabkan saya bertanya Kak Long mengapa ada muslimah yang memakai jubah dan ada yang memakai baju kurung sahaja. Saya memahami konsep memakai jubah dari Kak Long. Yang mana akhirnya saya mengambil keputusan untuk memakai jubah ketika berusia 14 tahun.

Berdasarkan apa yang saya faham waktu itu, saya nekad memakainya kerana mahu mendekatkan diri kepada Allah swt. Itu sahaja.

Meskipun mengenakan jubah, fitrah saya sebagai gadis awal remaja tidak dapat dikikis- mahu berhias dan menurut trend semasa. Sama seperti gadis-gadis lain juga.

Suatu hari, Kak Long mengemas pakaian lamanya. Dia tunjukkan dua helai jeans kepada saya- satu berwarna biru dan sehelai lagi berwarna hitam. Sudah tentu kedua-duanya ‘made in USA’ – bukan ‘made in Thailand’ atau ‘made in China’. Saya gembira menerima dua helai jeans tersebut. Bolehlah saya bergaya dengannya. Selain itu, saya mendapat sehelai kemeja feminin berlengan pendek dan beberapa helai pakaian lagi yang cantik-cantik.

Jeans yang asalnya berpotongan lurus itu, saya kecilkan pula di bahagian kakinya. Lebih ‘umph’ lagi pada pandangan saya.

Oleh kerana saya sudah memahami tuntutan hijab, saya hanya mengenakan jeans dan kemeja itu di dalam rumah sahaja. Jika mahu keluar rumah, saya sarungkan jubah di luarnya.

Jubah pada waktu itu kainnya jenis tebal ditambah pula dengan warna-warna gelap @ suram. Jadi kalau kita berseluar panjang dan ber’t-shirt’ atau ber’blouse’ labuh di dalamnya sudah memenuhi syarat hijab.

Bukan seperti kebanyakan jubah yang ada pada hari ini yang lembut fabriknya sehingga mudah melurut menurut bentuk badan atau nipis sehingga jika kita memakai seluar panjang yang ketat sedikit di dalamnya, bentuk punggung, paha dan kaki masih kelihatan.

Praktikkan Mahu dan Malu

 
Justeru itu, antara mahu dan malu, saya boleh praktikkan kedua-duanya sekali gus. Saya dahulukan mahu semasa di rumah bersama mahram dan melindungi mahu dengan malu bila di luar rumah.

Jika ada tetamu ajnabi, lazimnya saya tidak keluar menonjolkan diri jika tiada sebarang urusan. Lebih tenang begitu. Ia juga salah satu konsep hijab yang harus dimengerti.

Allah Maha Memahami

Allah itu Maha Adil kepada hamba-hambaNya. Apabila dicipta wanita dengan segala sifat gemar kepada perhiasan dan suka berhias, maka Allah jadikan pula perhiasan-perhiasan untuk digunakan- dari emas, perak, intan, berlian, pakaian yang indah, kenderaan yang bagus, rumah-rumah yang baik dan bermacam lagi.

Allah juga sangat memahami diri kita sebenarnya. Setelah dia ciptakan kita dan diberinya fitrah suka berhias, Dia jadikan pula perhiasan yang halal serta perlu berhias pada masa dan tempat yang sesuai sahaja.  Dalam masa yang sama, Allah jadikan perhiasan yang haram dipakai pada masa dan tempat tertentu kerana bimbangkan mudarat berlaku ke atas diri kita.

Sekali-kali Allah tidak mengharamkan kita dari menurut fitrah suka berhias itu. Sebaliknya Dia beri panduan bagaimana fitrah itu harus disalurkan sehingga kita benar-benar dapat mengecapi kemanisan pada minda, jasmani dan rohani.

Saya mahu berhias dan menurut trend, maka saya boleh lakukannya tetapi dalam masa yang sama, saya dapat memelihara fitrah malu dengan melindungi perhiasan tersebut dari pandangan mereka yang tidak berhak menikmatinya.

Jika kita berhias kemudian mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain terutama lelaki ajnabi, ia sebenarnya bukan menurut fitrah tetapi realitinya menyongsang fitrah  serta mengundang fitnah.  Fitnah pada diri sendiri ialah kita mencetak noda-noda mazmumah dalam hati dan fitnah pada orang lain ialah kita mencipta dosa percuma kepada ajnabi yang tertarik kepada perhiasan kita.

Jika seorang yang memandang, maka dosanya kita turut sama menanggungnya. Bayangkan jika kita keluar ke tempat awam, berapa ramai lagi dosa mereka yang fasik harus kita tanggung? Itu dari mereka yang fasik…bagaimana pula dengan para mukmin yang sebenarnya sudah berusaha menundukkan pandangan mereka, tetapi dek ‘gedik’ kita yang tidak bertempat, mereka tersalah pandang dan sebagainya… Kasihan mereka, bukan? Jika kita sendiri memelihara maruah kita, tidak akan timbul lagi masalah tersalah pandang begini. Hati kita selamat dan kita juga menyelamatkan hati (iman) orang lain.

Itulah yang sering saya fikirkan bila datang syahwat mahu melawa sebelum keluar rumah. Kerana apa dan untuk siapa? Apa yang saya akan dapat? Saya mahu berhias dan dalam masa yang sama mendapat pahala.  Bukannya berhias yang mendapat dosa.  Kita ada pilihan sebenarnya untuk memanfaatkan fitrah itu menuju syurga atau neraka.

Ingat ye… tiada golongan atas pagar di akhirat sana… Tidak di syurga dan tidak di neraka…

Saya merasa kasih pada kaum lelaki sama seperti saya kasihkan diri sendiri.  Justeru itu, lebih baik saya menahan diri dari menampilkan diri dengan cara membuatkan perasaan mereka tidak keruan. Tambahan pula, perkara yang paling melemahkan lelaki adalah wanita… dengan segala kecantikan yang ada pada mereka, senyuman mereka , lenggang- lenggok bicara dan nada suara yang dilunakkan.

Nabi s.a.w pernah bersabda:

“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita”

Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

 

Benar… kita sebagai perempuan akan merasa seronok melihat lelaki tertarik kepada kita dan lemah segala sendi bila berdepan dengan kita … namun apa gunanya membina keseronokkan di atas kebinasaan orang lain? Itu pun tanpa disedari, kita membinasakan diri sendiri juga dengan himpunan dosa-dosa.  Berbaloikah semua itu sedangkan hidup ini hanyalah sementara dan tempat ujian memilih manakah hamba yang terbaik di sisi Tuhannya?

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

 
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Ahzaab 33:59

 

Ummu Abbas
4.16pm

15 Rabi’ul Awwal 1432H

11 thoughts on “Aku Mahu Pakai Jeans

Add yours

  1. salam sis,

    tumpang lalu dan saya mohon di copy utk di share pd shbt2 yg lain artikel yg baik ni iA =)

    jazakillahu khairan jazak..

    Wsalam.

    Dipersilakan…


  2. Assalamu’alaikum kak 🙂

    Alhamdulillah… Akak menulis sesuatu yang sangat bermakna untuk Insyirah 🙂 Insya Allah akan dikongsikan kepada yang lain.

    “Kelebihan bercerita pengalaman sendiri ialah agar semua wanita tahu bahawa fitrah kita adalah sama”

    Suka..! Iya, pengalaman sendiri lebih ‘umph’ untuk bercakap sebagai orang dewasa kepada adik-adik supaya semua memahami fitrah wanita adalah sama 🙂

    Jazakillah khairan

    Wa’alaikum salam wbh…

    Syukran atas komen yang memberangsangkan…

    Lega saya…:)


  3. Alhamdulilah,,tulisan puan amat bermakna bg sy dan dpt sy jdkn panduan utk menjadi muslimah yg menutup aurat dgn lebih baik..

    Insya Allah… semoga diberi kekuatan oleh Allah swt.


  4. alhamdulillah..atty seronok bila dpat baca blog blog seperti mana blog kepunyaan puan..terimakasih
    dalam pada masa yg sama atty sedang berusaha menjadi muslimah yg lebih baik dari semalam..insyaAllah..
    (atty mula pakai pakaian yg menutup aurat sekarang..)
    doakan atty ya puan..
    terimakasih sekali lagi 🙂

    Alhamdulillah, saya juga seronok dapat mengetahui perasaan dan pandangan positif pembaca terhadap usaha saya menyampaikan ajaran Islam yang maha indah.

    Semoga kita semua sentiasa mendapat taufiq dan hidayah dari Ilahi… yang maha menyintai diri kita … dan menetapkan hati kita di atas jalanNya sehingga hembusan nafas terakhir.

    Amin.

    Semoga Allah beri kekuatan kepada Atty untuk mendekatkan diri kepadaNya.


  5. Assalamualaikum kak nur ^^
    nor sendiri punya pengalaman di sebalik pakaian hitam tu ^^.
    Sudah menjadi lumrah masyarakat wanita arab terutama di Saudi.. Mereka berlitup tetapi di sebalik litupan itu di dalamnya mereka mengenakan fesyen terbaru., moden dan mereka sangat meminati fesyen ^^ kami..berjumpa teman, saudara mara .. hanya antara mereka,.. tanpa ada lelaki ajnabi yang bisa melihat kecantikan mereka.. ^_^..Sungguh selesa ^^

    Wa’alaikum salam warahmatullah Nor, Ye .. begitulah yang Akak amalkan sejak remaja dulu. Indah, selesa dan berpahala 🙂 Sama-sama kita sebarkan perkara ini kepada ramai lagi wanita di luar sana. Kita mahu mereka sama-sama kecapi kemanisan mentaati fitrah ini..ye Nor, kan?

  6. ASSALAMMUALAIKUM WRT .. SY NK TAW SERBA SEDIKIT . SY PRNAH MLIHAT SEORG GDIS INI . DYE MAMAKAI PURDAH TAPI MSIH MEMAKAI SLUAR JEANS YG BRWARNE KRIM . ADAKAH IA BOLEH ? WLAUPOWN TIDAK MEMAKAI JUBAH @ BAJU KURUNG.

    Wa’alaikum salam warahmatullah. Boleh sahaja kalau pakai dalam rumah 🙂 di hadapan mahram.

    Kalau pakai di luar macam itu, pelik bin ajaib rasanya. Perlu faham konsep hijab yang betul sebelum ambil keputusan memakai niqab supaya amalan berlandaskan ilmu dapat menyelamatkan pelakunya dari memberi fitnah kepada agama sendiri.

  7. Assalamualaikum sis, alhamdulillah perkongsian yg menarik… maaf boleh saya tahu jeans peten dalam gambar tu dari mana ya boleh dapat..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: