Posted in Famili, Islamika, Koleksi Tip, MyDiary

Kelahiran Aleeya

Royal Women's Hospital tempat Aleeya dilahirkan.

Kira-kira jam 3.05 am, kami tiba di kaunter emergency, Royal Women’s Hospital (RW), Melbourne.  Selepas mendaftar, saya terus dibawa ke ‘birthing suite’ nombor 20 di tingkat 3.  Midwife yang bertugas melayan saya dengan sopan.  Hanya seorang midwife dan hubby yang menemani.  Sama seperti beberapa pengalaman bersalin sebelum ini di Malaysia. 

Melihat suasana bilik yang luas, sebuah katil yang selesa, dua buah sofa, skrin TV yang digantung di atas siling, sebuah bilik air yang luas lengkap dengan ‘bathtub’, tandas dan sinki, saya bertanya suami, “Kat sini ke bilik bersalin”.

“Ya… kat bilik ni,”  jawab suami ringkas.

Saya memang sedia maklum gambaran bilik bersalin di RW ini namun kerana belum pernah melihatnya sendiri, saya rasa ‘confuse’ juga.

Beberapa orang kawan pernah bercerita tentang pengalaman bersalin di RW. Bila saya sebut ‘labour room’ sebagai merujuk istilah bilik bersalin yang biasa digunakan di Malaysia, kawan saya beritahu, “Di sini mereka tidak panggil ’ labour room’  tetapi  ‘birthing suite’ kerana biliknya yang luas”.

Bilik bersalin di sini memang luas dan selesa serta dilengkapi pelbagai peralatan untuk menyambut kelahiran bayi.   Patutlah ia disebut dengan ‘birthing suite’.  Ini taraf hospital kerajaan, bukan hospital swasta.

Polisi mengutamakan keselesaan serta ‘privacy’ pesakit amat dititik beratkan di sini.  Kita diberi pilihan untuk bersalin cara mana yang dirasakan selesa; duduk, dalam air, baring dan lain-lain.

Kalau hospital kerajaan di Malaysia, kita boleh dengar orang sebelah yang mengerang atau meraung kesakitan hendak bersalin.  Kita juga boleh mendengar suara-suara doktor , misi atau bidan yang sedang memujuk atau memberi galakan kepada pesakit yang hendak bersalin.  

Di sini pesakit boleh ‘request’ untuk dirawat doktor perempuan.  Namun oleh kerana saya tidak mempunyai masalah kehamilan dan boleh bersalin cara normal, maka memadai midwife sahaja yang kendalikan.

Seketika kemudian, midwife bertanya jika kami mahu minuman panas. Suami meminta minuman coklat.  Saya ikut sahaja.

Antara jam 4 pagi hingga 6 pagi itu, saya mengalami kontraksi yang putus-putus.  Kontraksi juga tidak begitu kuat.  Midwife pun sekali-sekala keluar dari bilik bila melihat keadaan saya yang belum serius.  Seorang midwife yang lain datang mengambil darah.  Nampaknya dia kurang mahir memasukkan ‘drip set’ menyebabkan dia terpaksa memasukkan dua kali.  Kali pertama di tangan dan kali kedua di lengan.  Cara dia mengambil darah juga kurang teliti menyebabkan lengan saya berlumuran darah.  Suami kelihatan kurang puas hati dengan cara kerjanya.  Midwife hanya mengelap sedikit dengan tisu dan berlalu pergi.

“Bang,tolong bersihkan lagi… sudah hampir Subuh.  Nanti Nur mahu solat jika sempat.”  Suami membantu membersihkan darah di lengan dengan tisu basah.

Seperkara lagi yang saya dapat perhatikan ialah mereka mengutamakan perkara ‘nature’ dalam mengendalikan pesakit.  Maksudnya, mereka cuba mengelak dari menggunakan apa-apa kaedah untuk mempercepatkan kelahiran.    Begitu juga tatkala suami bertanyakan spirit untuk membersihkan darah, juga tidak ada dan lain-lain.

Jam 6 am, saya bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri, menukar pakaian yang kotor dan berwuduk.  Bila kontraksi datang, saya berpaut pada gagang pintu atau di mana yang sempat untuk menahan sakit.  Saya berdoa dalam hati, “ Ya Allah, bantulah aku menunaikan ibadah fardu kepadaMu… aku ingin solat Ya Allah… permudahkanlah Ya Allah…”.

Menunaikan ibadah fardu yang wajib dalam keadaan sakit bukan perkara mudah.  Ia memerlukan kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi terhadap konsep ubudiyyah dan matlamat kita dijadikan.  Bila kita kenal diri sendiri dan hakikat kita dicipta, tiada alasan-alasan yang akan bersimpang siur dalam kepala dan hati kita untuk meringankan tuntutan Allah swt.  Bahkan perlaksanaannya  akan diusahakan  sebaik mungkin.

Saya mengenakan jubah, tudung serta menutup kaki dengan kain sarung.  Kemudian duduk di atas kerusi.  Isyarat GPS tidak dapat diakses dari dalam ‘birthing suite’ itu, jadi saya solat sahaja mengadap arah yang paling diyakini ianya adalah arah kiblat.  Suami mengambil sebuah meja kecil dan meletakkan di hadapan saya sebagai tempat sujud.  Dalam keadaan begitu pun, saya tidak mampu sujud rapat ke meja.   Apatah lagi sujud ke lantai.  

Allah swt berfirman,

فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ

”Bertaqwalah kamu menurut kemampuanmu”.

 At-Taghabun 64: 16

 

 Nabi Muhammad s.a.w  bersabda, “Jika saya memerintahkan kamu dengan suatu perkara, maka lakukan perkara itu sesuai dengan kemampuanmu.”

 Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim

 

 Mengenai hal mengadap kiblat,  Allah berfirman,

وَللَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّواْ فَثَمَّ وَجْهُ ٱللَّهِ إِنَّ ٱللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“ Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah, sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatnya) lagi Maha Mengetahui.”

 al-Baqarah 2: 115

 

 At-Tobari menyatakan bahawa ayat ini turun disebabkan suatu kaum yang tidak  dapat memastikan arah kiblat yang tepat, sehingga mereka solat ke arah yang berbeza-beza.

 

Midwife masuk ke bilik semasa saya sedang solat.  Suami memaklumkan apa yang sedang saya lakukan.

Selesai solat Subuh, saya bersyukur kepada Allah swt yang membantu saya menunaikan ibadah fardu kepadaNya.  Saya turut berdoa agar Allah memudahkan  untuk melahirkan anak.  Kemudian terus duduk semula di atas katil. 

Kontraksi saya masih seperti sebelumnya… putus-putus dan tidak cukup kuat untuk menyegerakan kelahiran.  Alhamdulillah, saya ingat sejak bersalin anak ke 3, 4 dan 5, begitulah keadaan kontraksi yang saya alami.  Suami tidak begitu yakin saya akan melahirkan dalam waktu terdekat.  Saya mengingatkan, “Bukankah semasa melahirkan Aqil, macam ini jugalah kontraksi Nur.  Tiba-tiba sahaja datang rasa mahu meneran.”

Kontraksi bertambah kuat.  Saya berbisik pada diri, “Aku reda ya Allah dengan kesakitan ini.  Dalam kesakitan ini ada rahmatMu agar seorang lagi hambaMu dapat dilahirkan.  Dalam kesakitan ini ada rahmatMu untuk menghapuskan dosa-dosaku yang lalu.”

Sehari dua sebelumnya, saya baru sahaja menyemak semula manuskrip 31 Kisah Nabi yang akan diterbitkan oleh PTS Islamika.  Saya teringatkan Nabi Ayyub.  Besar sungguh ujian yang dihadapinya.  Saya kira sakit yang dialaminya jauh berganda dari sakit yang saya alami sekarang.  Nabi Ayyub diuji dengan sakit yang tiada ubatnya pada masa itu dan lama pula.  Air mata berlinangan.  Sakit saya hanya akan memakan masa sekejap cuma.  Saya cuba bertahan. 

لا ا له الا أنت , سبحا نك اني كنت من الظالمين

Maksudnya: “Tiada tuhan melainkan engkau.  Maha suci engkau!  Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.”

 

Tasbih Nabi Yunus sentiasa diamalkan sejak usia kandungan 7 atau 8 bulan.  Tasbih itu jugalah yang dijadikan peneman semasa bersalin.  Orang cakap tasbih itu adalah untuk memudahkan kelahiran.  Sumbernya saya tidak tahu dan belum cari lagi.

Saya agak, ia mungkin disandarkan kepada faktor terlepasnya Nabi Yunus dari penjara perut ikan nun berkat tasbih ini, maka dikaitkan dengan amalan untuk memudahkan kelahiran.  

Melihat tanda bersalin semakin dekat, midwife bertanya jika suami mahu menyambut bayi.  Mula-mula suami nampak keberatan.  Saya lalu berkata, “ Bang, tolonglah sambut bayi kita dan terus laungkan azan”. 

Seboleh-bolehnya, saya mahu elakkan tangan non-muslim menyambut bayi saya kerana mereka tiada imunisasi dari musuh Allah yang halus.  Apatah lagi mampu memberi imunisasi kepada orang lain dengan lafaz ayat-ayat suci al-Quran.

Midwife itu seolah-olah faham permintaan saya kepada suami lalu mempelawa sekali lagi agar suami menyambut sendiri.  Suami lalu bersetuju.  Midwife segera mengambil sepasang lagi ‘glove’untuk suami saya.

“Adakah awak pernah sambut anak awak sebelum ini?”

“Iya,  pernah.  Saya rasa ini kali kedua saya akan lakukannya.”

Hampir jam 7 am, midwife yang bertugas berkata , “Ayuh Nur… syif saya akan habis jam 7 am.”

Saya merasa kasihan juga kepada midwife tersebut yang sudah agak lama menunggu. Alhamdulillah, selepas midwife menyebut demikian… datang rasa sakit hendak meneran.  Saya berzikir sebanyak mungkin dan sentiasa mengucap kalimah syahadah… saya paling takut semasa bayi sedang keluar.   Saya takut pada rasa sakit melahirkan.  Hakikatnya, rasa sakit hendak meneran tidaklah sekuat kontraksi sebelumnya.  Yang penting ialah kita perlu bertenaga untuk meneran. 

Aleeya semasa berusia 6 hari.

 

Alhamdulillah,tanggal 1 Mac 2011 bersamaan 26 Rabi’ul Awwal 1432H, jam 6 am, minit ke 58, seorang bayi perempuan selamat dilahirkan.  Hubby menyambutnya sambil melaungkan azan.

Bayi itu berpindah tangan dan midwife segera meletakkannya di atas dada saya. 

“Congratulation”, kata midwife sambil tersenyum.

Masya Allah… subhanallah…  berakhirnya sebuah lagi perjuangan melahirkan khalifah Allah di muka bumi ini… buat memakmurkan dunia ini dengan kalimahNya, insya Allah.   

“Thank you very much”, ucap saya kepada midwife.

“Bukan saya tapi suami awak”, kata midwife itu lagi. 

Lalu saya memandang suami sambil terseyum.

**************

Alhamdulillah, hari ini Aleeya berusia 24 hari.  Kakaknya, Aesya (6 tahun) gembira kerana baru mendapat kawan perempuan. 

Ummu Abbas

1.26pm

19 Rabi’ul Thani 1432H/24 Mac 2011

Melbourne.

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

12 thoughts on “Kelahiran Aleeya

  1. Alhamdulillah, seronoknya baca cerita Ummu Abbas ni…. cemburu akak membacanya… Akak, 4 kali bersalin, empat- empat ada pengalaman pahit walau di tanah air sendiri… Tapi bila fikir-fikir apa yang ALLAH beri tu lah yang terbaik untuk kita, terpujuk jugalah hati ni… cuma takut nak menempuhnya lagi….

    Kak… kalau pengalaman pahit tu melibatkan hak kita sebagai pesakit, kena ada usaha untuk refomasikan sistem la nampaknya… agar orang lain tidak terkena sama…


  2. Assalamualaikum semua.

    Terima kasih ummu Abbas atas penceritaan yang menarik dan berisi. Akak mendapat sesuatu di sini untuk diri akak sendiri. nak kongsi kat fb lah…

    wassalam

    Wa’alaikum salam wbh… ok kak Nisha… FB akak apa ye…?


  3. Assalamualaikum…

    Tahniah atas kelahiran seorang lagi khalifah,insyaAllah bakal memakmurkan bumi Allah.

    P/S:Selalu ke sini, kalau tak silap kali ke2 tinggalkan jejak 🙂

  4. Assalamualaikum..

    Tahniah buat Ummu Abbas sekeluarga… InsyaAllah saya juga bakal bersalin dalam waktu terdekat ni.. terima kasih kerana banyak yang saya pelajari dari cerita Ummu kali ni… Semoga Allah merahmati Ummu sekeluarga..

    Wa’alaikum salam wbh…

    Ramlah,

    Terima kasih.

    sama-sama :).

    Semoga Allah permudahkan.


  5. salam kak nur,
    tahniah atas kelahiran baby aleeya.. saya pun baru saja melahirkan baby girl 23 januari lepas.. alhamdulillah dh dpt sepasang.. bila baca aje kisah kak nur, air mata saya bergenang. teringat pengalaman sendiri di labour room.. beruntung kak nur sbb hubby sendiri yg sambut baby lahir..

    Wsalam Nsa…

    Tahniah juga untuk Nsa…moga jadi anak solehah… apa namanya?

    Alhamdulillah atas segala nikmatNya 🙂


  6. nur raihan qalesya.. betul ke qalesya mksdnya yg murni?

    Saya tidak menemui asal perkataan tersebut dalam Bahasa Arab. Disyorkan merujuk kepada pakar B Arab.


  7. Alhamdulillah Ummu… Didiklah dia, umat islam kekurangan iman.. Saya doakan yang terbaik buat keluarga ummu, moga dalam rahmat dan sakinah selalu…

    Syukran Iffah.. doa Ummu juga buat Iffah dan keluarga. Moga menjadi anak gadis yang baik buat keluarga dan buat ummah.

  8. Alhamdulillah. Sudah dapat sedikit sebyk info yang berkaitan. Memang nak tanya pengalaman bersalin di sana sbb sedang berkira-kira samada nak bersalin di malaysia ataupun di sana nanti 🙂

  9. salam.alhamdulillah.tahniah k.nur.mudah2 an aleeya menjadi anak yg soleha bila sudah besar kelak 🙂

  10. Assalamualaikum. Ini kali pertama saya di sini. Baca pengalaman bersalin puan sangat menarik dan membuatkan saya menitiskan air mata kerana walaupun puan dalam keadaan tersebut masih mampu mendirikan solat. Alhamdulillah. Kini saya berada di Perancis. Harap2 satu hari nanti saya juga berpeluang bersalin di sini. Insyallah. Oh dan tahniah untuk puan sekeluarga 🙂

    Wa’alaikum salam Zati.

    Alhamdulillah. Yang baik kita kongsi 🙂 Yang buruk kita pakat sembunyikan :).

    Semoga urusan Puan Zati dimudahkan Allah.


  11. Saya belum berkahwin. Hati belum terbuka sepenuhnya untuk berkahwin. Saya baru berusia 24 tahun dan seorang lelaki yang rapat dengan saya ada mengajak saya berkahwin tapi saya belum betul2 bersedia kerana perkahwinan alaf moden ini penuh dengan cabaran. Tapi saya berharap agar Allah s.w.t akan membantu saya dan membuka hati saya untuk menerima lamaran lelaki tersebut. Saya juga mempunyai impian untuk memakai tudung dan ingin menjadi seorang isteri dan ibu yang solehah seperti Puan. Doakan saya 🙂

    Pada pandangan akak, lebih baik risik dulu melalui orang lain berkenaan peribadi pemuda tersebut dan solat istikharah. Buat keputusan selepas merisik dan istikharah. Jika petunjuknya berat ke arah menerima, maka terimalah pernikahan tersebut seadanya. Insya Allah ada kebaikan di sebaliknya. Jika petunjuk sebaliknya, sebaiknya jauhi pemuda tersebut dan beri kata putus agar dia tidak lagi tertunggu serta boleh mencari yang lain.

    Berkenaan tudung, hakikatnya sebaik usia mana-mana gadis muslim sudah baligh, wajib mengenakan hijab sepenuhnya tanpa bertangguh. Ia tanda kita percaya kepada kebaikan ALlah pada hambanya yang perempuan. Ia juga tanda kita menyedari hakikat diri dicipta hanya untuk menjadi hambaNya. Bila disebut hamba, apa saja disuruh tuan, akan dibuat dan apa saja dilarang, akan ditinggalkan. Tidak wajar seorang hamba menyatakan,”Tuan, tunggu saya dah rasa nak buat, baru saya buat”.

    Insya Allah, bila syariat lahir dibuat kerana patuh pada Allah, kemanisan iman itu akan dicampakkan ke dalam hati. Selagi tak buat, takkan dapat kelazatan iman itu. Selepas merasai kemanisan iman itu, akan mendorong hati utk menambah kebaikan-kebaikan lain yang mana kebaikan2 itu akan mengangkat darjat kita menjadi solehah.

    Isy Zati ni… kalau ye pun nak jadi solehah, ambillah isteri-isteri RAsulullah s.a.w sebagai contoh. Akak ni banyak sangat kekurangannya. Cuma takkanlah benda yg kurang tu, nak cerita lebih2 kat blog ni.. ye tak? Benda tak baik bukan boleh diikut pun.. 🙂 ..

    Ok ye ZAti, buat permulaannya, usahakan perbaiki solat 5 waktu dengan memahami makna bacaan dlm solat. Dan berdoa selepas solat agar Allah beri kekuatan utk mendekatkan diri kepadaNya. Insya Allah, Zati akan diberi kemampuan mentaatiNya dan menjauhi laranganNya.

    Salam sayang dari akak.

    Wassalam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s