Posted in Gadisku, Islamika

Mahu berpurdah dan berniaga

Assalamualaikum,

Alhamdulilah saya telah mula memakai niqab semula setelah sekian lama 20 thn lalu kerana dihalang oleh ibu dan pada ketika itu masih cetek ilmu dan keyakinan.

Awal Ramadhan ini mula kembali di atas rasa ingin kembali kehidupan yang amat bahagia menegakkan Islam dalam diri akan  perintah Allah. Perubahan diperlukan supaya keimanan akan terus meningkat untuk mencapai keredaan Allah.  Alhamdulillah suami, anak2 dan juga ibu bersetuju dengan keputusan berniqab. Mohon mendapat doa untuk menguatkan diri menghadapi masyarakat kerana saya adalah ahli perniagaan.

Sejauh mana kenyataan ini sesuai untuk seorang peniaga?

“Harus buka niqab bagi wanita berpurdah bila berjual beli, terlibat dalam urusan kehakiman seperti menjadi saksi, ketika dilamar, dalam ihram umrah atau haji dan lain-lain.”

Elani

—————–

Wa’alaikum salam warahmatullah Puan,

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah di atas perubahan yang Puan lakukan.

 

Benar Puan, bila kita pernah merasai kemanisan kerana mengamalkan sesuatu yang baik di sisi agama, kita akan merinduinya selepas meninggalkannya.  Sukar untuk menghuraikan perasaan itu dan sukar pula memahamkan kepada orang lain kecuali dapat difahami oleh mereka yang ikhlas mengamalkannya.  Paling tidak pun, kita perlu ‘ignore’ sahaja terhadap pelbagai persepsi manusia di sekeliling kita.  Yang penting, sesuatu bernilai yang Allah campakkan dalam diri kita tetap terpelihara.

 

Pandangan Allah adalah paling utama untuk diraih dan pandangan manusia yang tidak mendekatkan diri kepada Allah, perlulah diabaikan.  Saya sering mengingatkan diri sendiri tentang perkara itu.  Alhamdulillah, sehingga kini mendapat kekuatan dari Allah untuk istiqamah.  Tiada satu makhluk yang mampu memberi ketenangan ke dalam hati  kecuali Allah.  Jadi apa pentingnya mendengar dan menurut pandangan yang akhirnya akan membuat jiwa kita gelisah. Meskipun mereka bergelar ibubapa, suami, ustaz, pemimpin itu dan pemimpin ini.  Ketaatan kita kepada makhluk dan usaha-usaha kita mencari reda manusia terbatas dalam perkara yang diredai Allah jua.

 

Kadang-kadang, bahkan banyak keadaan, masyarakat sekeliling kita bersikap bias terhadap wanita berpurdah.  Perkara yang terangan haram seperti wanita yang tidak menutup aurat atau bertudung tetapi berbaju dan berseluar ketat, mereka boleh berdiam diri serta bertoleransi, namun bila melihat anak isteri atau mana-mana wanita berpurdah, mula mereka riuh rendah, “Ini pakaian sesuai di padang pasir”, “Tiada hukum menyuruh wanita berpurdah”, “majoriti ulama tidak mewajibkan purdah” dan pelbagai alasan lagi.    Lebih baik mereka menegur ramai wanita yang tidak berhijab sekarang dengan menyebut ayat-ayat Quran dan hadis yang secara mutlak memerintahkan wanita mukmin melabuhkan pakaian mereka sehingga tidak nampak segala bentuk badan, tidak berhias untuk menarik perhatian ajnabi dan tidak berpakaian seperti lelaki.

 

Walau apapun, kita tetap harus bersedia berdepan dengan perubahan yang mungkin memaksa kita bertoleransi pada sesetengah tempat dan bertegas pada tempat yang lain.  Sama seperti kita bersedia untuk solat dalam keadaan duduk ketika sakit walaupun asalnya solat wajib dilakukan dalam keadaan berdiri.  Apabila mampu berdiri, maka solat perlu ditunaikan dalam keadaan berdiri semula.

 

Bahkan saya percaya, jika mereka yang mempunyai kaitan rapat dengan diri kita tahu kita merasa bahagia serta tenang dengan apa yang kita amalkan, mereka pasti menyokongnya.  Ibubapa mana yang tidak mahu melihat anaknya bahagia?  Suami mana yang mahu lihat isterinya gelisah dan tertekan?   Hanya ibubapa dan suami yang tidak normal sahaja yang suka melihat anak dan isterinya hidup dalam kegelisahan, tidak bahagia dan tidak tenang.  Tinggal lagi, mereka juga seperti kita yang kadang-kadang merasa goyah dengan pelbagai persepsi dan tohmahan yang dilemparkan di luar sana.  Ditambah pula, sebahagian mereka yang bergelar ustaz juga tidak menyokongnya.  Memang itu hak mereka untuk memilih pendapat yang terdapat khilaf fahaman padanya, namun untuk mencegah para muslimah yang mencari ketenangan melalui purdah, saya kira ia sesuatu yang amat tidak wajar sama sekali.

Seorang muslimah berpurdah sedang menyiapkan gerainya. Kreatif betul cara dia menyimpan guntingnya!

Baiklah Puan,  berbalik kepada kenyataan berbunyi, “Harus buka niqab bagi wanita berpurdah bila berjual beli, terlibat dalam urusan kehakiman seperti menjadi saksi, ketika dilamar, dalam ihram umrah atau haji dan lain-lain.”

Saya kira Puan sudah mendapat kefahaman yang jelas mengenai  hukum fikah berkenaan memakai purdah dan juga perbahasan fuqaha’ mengenai isu tersebut.  Kenyataan tersebut dibina di atas khilaf fuqaha’ mengenai hukum memakai purdah sama ada sunat atau wajib.

Ia juga dibina di atas pendapat majoriti ulama yang menyatakan wajah dan tangan bukan aurat.  Wajah dan tangan ditutup untuk lebih menjaga kehormatan diri wanita serta melindungi  diri dari memberi fitnah dan difitnah apabila mereka keluar ke tempat awam.  Oleh sebab itu, menjadi keharusan membukanya apabila terdapat keperluan berbuat demikian.

Saya pernah berniaga dan memiliki premis menjual buku, Puan.  Saya juga mempunyai kawan-kawan yang memakai purdah dan berniaga.  Ada di antara mereka yang membuka purdah ketika berurusan dengan pelanggan dan ada yang tidak.  Ia bergantung kepada keperluan semasa muamalat itu berlangsung.  Saya rasa Puan membaca ayat berikutnya dalam kenyataan tersebut, Asasnya ialah dalam urusan yang perlu dibuat pengecaman untuk mengelak terjadinya penipuan. Walaubagaimana pun bergantung kepada reda antara dua pihak dalam kes yang ringan seperti berjual beli.

Jadi saya kira, kenyataan tersebut memang sangat relevan bagi seorang peniaga seperti Puan.  Puan juga boleh mengunjungi blog sahabat saya, Kak Chik  yang berpurdah dan juga berniaga.  Mungkin Puan boleh berkongsi pengalaman dengannya.  Saya turut mengagumi beliau yang lebih istiqamah berbanding diri sendiri meskipun Kak Chik bukanlah dari latar belakang sekolah agama.  Puan boleh bertanya kepada Kak Chik bagaimana dia menghadiri mesyuarat bersama kaum lelaki, bagaimana dia berkomunikasi dengan pelanggan dan pembekal lelaki pelbagai bangsa dan peringkat usia dan lain-lain lagi.    Yang penting Puan, selain purdah yang dipakai, sikap amanah, bertanggungjawab, kemahiran berkomunikasi dan usaha bersungguh-sungguh dilakukan untuk memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.

Saya berharap respon di atas membantu Puan.

Segala yang baik datangnya dari Allah, yang kurang itu dari kelemahan diri sendiri.

Wassalam.

Ummu Abbas

2.33pm

15 Ramadan 1432H

Melbourne

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

8 thoughts on “Mahu berpurdah dan berniaga

  1. Assalamualikum semua,
    Selamat berpuasa ummu Abbas… :). Alhamdulillah, akak dah mula berpurdah beberapa hari sebelum bulan ramadhan ini, dah tua baru nak pakai…:). Walaupun keinginan itu bermula masa sekolah dulu lagi. Ia berhenti seketika sehingga beberapa bulan sebelum arwah suami pergi, ia datang kembali. Pada mulanya, akak cuba menafikan keinginan memakainya, tetapi perasaan tersebut terlalu kuat mengganggu selepas ketiadaan suami dan ada masa akak menanggis melawan perasaan tersebut dan akhirnya akak kuatkan hati untuk memakainya. Akak telah bertanyakan pada beberapa orang ustazah yang akak kenal dan bersolat istikharah(lebih kuat pakai).

    Ya, memang benar, ada perasaan lain yang tidak dapat di gambarkan, hanya orang yang memakainya sahaja tahu perasaan tersebut.

    Wallahua’lam.

    Wa’alaikum salam Kak Nisha,

    Semoga Kak Nisha sentiasa diberi perlindungan olehNya.

    Alhamdulillah kak… segala puji dan syukur hanya untukNya atas limpahan nikmat yang diberikan kepada hambaNya yang terpilih.

    Semoga akak dapat terus istiqamah selagi mana akak meyakini ia adalah terbaik untuk akak.

    Teringat seorang makcik yang anaknya hampir sebaya dengan saya. Makcik tu berjiran dengan ibubapa saya di kampung. Selepas melahirkan beberapa orang anak, saya berfikir, “Adakah sekarang masa yang sesuai untuk saya membuka niqab bila keluar rumah?”. Pada masa itu, saya lihat makcik jiran tu pula pakai niqab. Dia lagi hebat dari saya sebab bila masuk dalam kampung pun, pakai niqab, sedangkan saya tidak. Saya merasa seolah-olah Allah mahu mengingatkan diri saya tujuan utama saya kenakan purdah dulu bukan kerana manusia (lelaki khususnya). Itu jika saya rasa selepas bernikah dan melahirkan beberapa orang anak, saya tidak lagi menjadi fitnah jika tidak berpurdah. Hehe.. sebenarnya, masa anak dara pun, saya bukanlah dalam kategori boleh memalingkan mata-mata lelaki yang tidak baik di jalanan. Serius… 🙂 Kalau ada lelaki yang anggap saya perasan, terserahlah. Persepsi mereka itu tidak mengurangkan pahala saya mengenakan niqab, sebaliknya menambah lagi ganjaran akhirat saya jika saya bersabar dengan tohmahan mereka. Alhamdulillah.

    Jadi saya muhasabah diri semula tujuan saya berpurdah dahulu.

    Ringkasnya, saya temui ketenangan dengan memakai purdah bila keluar rumah melebihi dari tidak memakainya. Full stop!

    Insya Allah, lain kali, kita kongsi lagi ye akak!

    Wassalam.

  2. SALAM UMMU,APA KELEBIHAN SAMBUNG PHD DI MELBOURNE?MENGAPA
    TIDAK DI SYDNEY ATAU UNITED KINGDOM?APA KEISTIMEWAAN SAMBUNG
    DI SANA?NAK MINTA PANDANGAN KALAU DAHULU AMBIL MASTER
    PENGAJIAN ILMU WAHYU DI UIA,APA YANG SESUAI UNTUK SAYA
    SAMBUNG PHD?ADA CADANGAN?HARAP DAPAT MEMBANTU?APA PRASYARAT
    UNTUK SAMBUNG DI LUAR

    Wsalam Dik… Aduh… seperti Akak ni Pegawai di Kementerian Pengajian Tinggi pula. Insya Allah, Akak tanya pendapat suami dulu sebab dia yang sambung PhD di sini. Sabar-sabar deh…

  3. wslam ummu.trima ksih kerana ingin membantu.oh suami kak ummu yang sambung.ingat
    kan kak ummu.baiklah tak sabar nak tunggu jwapan dari kak ummu sbb saya tgh cari
    tempat nak sambung nie.semoga dmurahkan rezeki sekeluarga dan tak lupa ucapan
    selamat hari ray maaf zahir batin

  4. Assalamualaikum…

    Sy mempunyai dilema tentang pemakaian niqab ini..

    Alhamdulillah, sudah hampir 4 bulan sy berniqab…sekembali mengerjakan umrah, hati mmg kuat utk memakai niqab ini..maka sy teruskan memakai seperti ketika di makkah..
    namun setelah 2 minggu sy pakai, sy dipanggil oleh HR dan diberitahu sy dilarang utk berniqab ketika bekerja..sy adalah seorang jurutera elektrik, dan kadangkala mmg perlu bertemu dengan customer dan site. Atas tuntutan kerja, sy membuka niqab ketika di pejabat dan kembali memakainya apabila keluar dari ofis.
    Minggu depan sy harus melawat site, yg mmg melarang pemakaian niqab atas sebab2 keselamatan. Even memakai baju kurung juga dilarang. Maka sy perlu memakai seluar & tshirt.
    Persoalannya, sy membuka dan memakai niqab atas tuntutan kerja. Sy pernah mendengar bahawa apabila memakai niqab, hukumnya haram utk membukanya. Kene istiqamah dalam pemakaian niqab ini.
    Kedua org tua sy juga tidak menggalakkan sgt pemakaian niqab ini, since sy dilarang utk memakai di pejabat. Mereka berpendapat tidak mengapa hanya dengan berjubah sahaja. Sy masih menutup aurat. Mmg benar, cuma ketika memakai niqab, sy rasa selamat. Cuma sy sedih sekejap sy kene buka, sekejap sy perlu pakai semula.
    Sy juga perlukan kerja sy, dan sy tidak mahu org berfikir (terutama non muslim di ofis) berfikir islam adalah extreme sbb kerana niqab sy perlu berhenti kerja. Tambahan pula, pemakaian niqab bukan lah wajib. Menutup aurat sepenuhnya yang dituntut.

    Apakah sy masih belum bersedia utk berniqab? seems like there’s a lot of thing that i have to learn before wearing them.
    Sy rasa lemah, dan tidak kuat apabila mendapat sedikit tentangan. Sy betul2 berada di dalam dilema.
    Sy even sudah berbincang dengan bakal suami, apakah boleh sy tidak berniqab selepas kahwin, kerana sy sudah rasa selamat. Sy memberitahunya sy masih mengekalkan identiti berjubah dan bertudung labuh.

    Mintak pandangan dari pembaca dan Ummu Abbas.

    Terima kasih.

  5. Wa’alaikum salam warahmatullah Cahaya:)

    Pertamanya mohon maaf kerana lewat membalas.

    Pada pandangan akak, teruskan dengan amalan sekarang yakni membuka niqab sewaktu di ofis dan mengenakan semula selepas habis ofis. Itu pun sebenarnya, menjadi tanggungjawab majikan mengasingkan tempat staf lelaki dan perempuan untuk mengelakkan ikhtilat.

    Berkenaan melawat site, akak perlukan maklumat yang lebih jelas mengenai situasi di tempat kerja.

    Pada fahaman akak, jika diminta mengenakan seluar dan t-shirt, seluar yang macam mana dan t-shirt yang bagaimana. Jika seluar yang ‘lady like’ dan t-shirt tebal dan labuh- memenuhi ciri menutup aurat, Cahaya masih lagi boleh memakainya. Dipadankan dengan tudung labuh- tidak kiralah fesyen macam mana sekalipun.

    Suka kiranya jika Cahaya dapat emailkan akak gambar pakaian kerja di site tersebut. Mungkin akak boleh ubah suai sedikit agar menepati syarak. Jika ia belum menepati syarak.

    Inilah masanya memperjuangkan hak muslimah dalam berpakaian di tempat kerja.

    Insya Allah, akak berikan lagi rasional lain selepas melihat foto pakaian tersebut.

    Wassalam.

  6. assalamualaikum…nak tanya pandangan kak ummu boleh?
    adakah ianya menjadi fitnah jika hanya kita sahaja yang memakai niqob di satu2 tempat pengajian?
    lagi plak,dalam course saya (programming),xramai yang betul2 menutup aurat (aib)… 🙂

    Wa’alaikum salam warahmatullah.

    Menurut kefahaman Ummu, jika kita meyakini hujjah untuk memakai niqab, pakai sahaja. Insya Allah, pakaian kita juga menjadi agen dakwah secara praktikal. Jika tidak meyakininya, tidak perlu pakai.

    Apa yang dimaksudkan ‘fitnah’ jika memakai purdah di tempat yang tiada orang memakainya? Jika mahu dinisbahkan menarik perhatian, bagi Ummu, jika kita lakukan dengan faham dan ikhlas, tiada masalah untuk memakainya. Ignore sahaja pandangan manusia. Yang penting pandangan Allah. Kecuali Ana berpegang kepada pendapat tidak perlu pakai kerana mahu berdakwah. Up to you.

    Setakat ini sahaja dahulu buat kali ini.

    Wassalam.

  7. assalamualaikum ukhti…sy ingin berniqab, perasaan utk berniqab sangat kuat sejak tahun lepas, dilema saya ialah ibu saya melarang sy memakai niqab, dan sy sangat kecewa dgn respon ibu saya..dengan alasan sukar utk didekati terutamanya ibu saya sendiri..hanya Allah je tahu perasaan saya ketika mengajukan soalan utk berniqab pada ibu saya…:( ..sy katakan yg saya malu dan tidak suka org lain melihat wajah saya, dan jawapan ibu saya… hak memandang hak org lain, ttp hak saya utk mengalihkan pandangan…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s