Mendorong Anak Dengan Memuji

 

Entry kali ini sebenarnya merupakan sambungan kepada entry “Tip Mendorong Anak Menyahut Segera Panggilan Ibubapa”.  Namun teknik yang diaplikasikan merupakan perkara asas yang boleh diserapkan untuk mendidik perilaku baik yang lain juga.

 

Prinsip dan Teknik Islam diaplikasikan di Barat

Beberapa tahun yang lalu, seorang sahabat, Nikmah pernah membentangkan nota kuliah cara mendidik anak-anak di dalam usrah kami.  Kertas kerja itu didapatinya dari kursus yang dihadiri di UK dahulu.  Banyak prinsip dan teknik mendidik anak-anak yang diaplikasikan di sana rupa-rupanya berasal dari prinsip dan teknik Nabi Muhammad s.a.w dalam berkomunikasi sesama manusia.  Semasa Nikmah membentangkan, saya sudah nampak sedikit sebanyak prinsip dan teknik yang selari dengan ajaran Islam.

 

Selepas saya mengikuti kajian aplikasi Cikgu Khairulaniza dan juga Kajian Hadis Psikologi, lebih jelas diminda saya bahawa lebih banyak teknik yang mereka gunakan sebenarnya datang dari sunnah Nabi Muhammad s.a.w.  Subhanallah!  Inilah antara perkara yang pernah dipesan oleh Nabi Muhammad s.a.w,

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها  فهو  أحق  بها

Maksudnya: Kebijaksanaan (hikmah) adalah perkara yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Direkodkan oleh Imam Tirmizi).

 

Salah satu teknik mendorong yang diberikan ialah teknik memuji kebaikan yang ada pada anak-anak.

 

Mendorong Anak Iltizam Dengan Kebaikan

[Iltizam:  Membiasakan diri atau melazimi]

Dalam entry lepas, saya menyatakan saya berusaha mengubah sikap menangguhkan permintaan anak kepada segera menyahut dan melayani keperluan mereka.  Penat memanglah penat.  Ini adalah kerana rutin seharian pun sudah cukup banyak yang hendak dibuat.  Ditambah pula permintaan mereka tidak berkala dan tidak mengira waktu.  Namun tatkala melihat hasilnya, memang berbaloi.  Alhamdulillah.  Inilah antara perjuangan para ibu di rumah.  Bukan mudah ya…

 

Selain berusaha menunjukkan contoh yang baik, saya juga memuji anak-anak sebaik sahaja mereka menunjukkan sikap yang baik.

 

Sebagai contoh:  “Bagusnya Aqil menyahut segera panggilan Ummi.  Ummi suka dan sayang Aqil.”

 

“Bagusnya Aqil” :  Perkataan memuji.

“Menyahut segera panggilan Ummi” :  Menyebut perbuatan yang dipuji agar dia tahu yang mana satu kebaikan yang telah dilakukan.  Seterusnya dapat mengulang-ulang perbuatan baik itu.

“Ummi suka dan sayang Aqil” :  Menyatakan impak dari perbuatan.  Kadang-kadang saya gosok kepalanya atau memeluknya.  Menggosok kepala atau pelukan merupakan ganjaran sosial.

 

Cabaran Utama

 

Cabaran utama buat ibu punya anak 6 seperti saya ialah untuk istiqamah memuji setiap kebaikan anak-anak.  Sementelah saya mengetahui teknik memuji ini selepas mempunyai  lima orang anak.   Tidak terkejar rasanya untuk mencari kebaikan dari setiap anak lantas memujinya.  Sering juga perbuatan baik mereka berlalu begitu sahaja tanpa apa-apa respon dari saya.

 

Bertuahlah mereka yang masih  baru menjadi ibu mendapat ilmu ini.  Bolehlah mereka terus mulakan dengan seorang anak.

 

Kesilapan Yang Harus Dielakkan.

 

Apabila kita berbicara tentang mendorong dengan memuji, maka perkara yang harus dielakkan ialah sifat berlawanan dengan memuji itu tadi.

 

Saya sedang memasak di dapur.  Tiba-tiba terdengar anak-anak berkelahi sesama mereka.  Pada masa itulah baru saya tinggalkan kerja memasak, lantas menuju ke tempat anak-anak bermain dan menegur perbuatan mereka berkelahi.  Selain menegur, saya juga marahkan mereka jika mereka masih terus berkelahi.

 

Kesilapan saya di sini ialah tatkala anak-anak bermain dengan baik, saya tidak segera memuji mereka.  Sebaliknya tatkala mereka berkelahi, saya boleh pula tinggalkan pekerjaan, datang kepada mereka, menegur dan memarahi mereka.  Secara tidak langsung, anak-anak memahami jika mahu dapatkan perhatian segera dari saya, mereka perlu berkelahi!

 

Fitrah anak-anak kecil mahukan perhatian lebih dari kedua orang tuanya.  Jadi untuk meraikan fitrah tersebut ke arah kebaikan, beri perhatian dan pujian tatkala mereka sedang lakukan kebaikan.

 

Apa yang pernah saya perolehi dalam usrah dahulu rupa-rupanya merupakan sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang tidak menegur kesalahan, sebaliknya terus memberi penjelasan apa yang perlu dilakukan.

 

Penambah baikan Dalam Mendidik

 

Selepas memperolehi tip dari usrah, saya cuba aplikasikan teknik memuji anak semasa mereka lakukan kebaikan.

 

Anak-anak bermain dengan baik dan gembira.  Saya mendekati mereka lalu memuji, “Bagusnya anak-anak Ummi bermain dengan baik dan tidak berkelahi.  Macam inilah yang Ummi suka.”

 

Ringan Mulut dan Rajin Memuji

 

Teknik dan aplikasi yang dilaksanakan oleh Cikgu Khairulaniza dan Kajian Hadith Psikologi banyak membantu memotivasikan saya untuk meneruskan usaha mendidik yang baik ini.

 

Penerangan secara visual Cikgu Khairulaniza dan feedback yang diberikan Puan Ainon (Sifu penulisan saya) pada setiap entry beliau menambahkan lagi pencerahan ilmu psikologi yang digali dari sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

 

Saya bertambah jatuh cinta dengan Nabi Muhammad s.a.w dan makin mendalam rasa sayang kepada Islam.

 

Indahnya Islam.

***********************************************

Ya Allah, ampunilah segala kejahilanku, maafkanlah segala kesilapanku dalam mendidik anak-anak serta tambahlah ilmu dan hikmah di dadaku.

Semoga Allah berikan sebaik-baik ganjaran kepada Cikgu Khairulaniza (yang saya panggil Kakza), Puan Ainon dan tim Kajian Psikologi Hadith di atas usaha mereka memandaikan bangsa.

 

Ummu Abbas

11.21pm

17 Rabiul Awwal 1433H

Melbourne

 

4 thoughts on “Mendorong Anak Dengan Memuji

Add yours

  1. Assalamualaikum…

    seronok sgt dengan perkongsian ni..blog akak memang best… antara blog pertama yg saya jenguk sebelum buat kerja…heheheheee…banyak ilmu yg dapat diperolehi..terima kasih kak…

    Wa’alaikum salam warahmatullah. Alhamdulillah.

  2. Subhanallah! Kalau pun Puan Ummu ( Dik Nur) tidak menyentuh atau menyebut nama saya (yang dipanggil Kakza), hati ini cukup tersentuh dengan perkongsian ilmu yang diberi. Subhanallah! Sebenarnya saya juga pun belajar daripada perkongsian Puan Ummu ini. Benar. Ada kalanya kita sebagai ibu tersilap. Tindakan anak-anak yang kurang menyenangkan kita, baru diberi perhatian sedangkan tindakan yang baik jarang kita lihat dan nampak apatah lagi memujinya.
    Tahniah Puan Ummu. Penjelasan yang terperinci dan mudah difahami serta diikuti oleh pembaca.
    Semoga Allah permudahkan usaha kita dalam mengikut sunnah Nabi Muhammad terutama dalam mendidik anak-anak

  3. Puan,
    Laporan puan yang memberi perbandingan antara (i) teknik yang betul (memuji anak yang melakukan perbuatan baik, bermain tanpa berkelahi), dan (ii) teknik yang salah (memarahi anak yang berkelahi) ini memudahkan pembaca blog puan memahami 2 teknik itu.

    Contoh yang puan gunakan juga dapat dikongsi oleh pembaca yang pernah melakukan 2 perkara itu. Perkongsian pengalaman adalah prinsip penting dalam proses belajar.

  4. Terima kasih Kakza dan Puan Ainon.

    Ulasan Puan berdua menambah jelas apa yang saya perlu laporkan dalam penulisan agar ia mudah difahami pembaca.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: