Semalam ulangtahun kelahiran ke 7, anak perempuan sulung. Aesya merupakan anak ke 4 dari 6 adik beradik. Usia 7 tahun merupakan umur mumaiyyiz menurut Islam. Ada beberapa perkara asas yang perlu diterapkan dalam usia begini;
1) Menyuruh anak solat.
2) Mengasingkan tempat tidur dari kedua ibubapa.
3) Mengasingkan tempat tidur dari adik-beradik lelaki yang berusia 7 tahun dan ke atas.
Sejak beberapa bulan lepas, saya mula mengajaknya solat sekali-sekala. Juga melatih Aesya tidur di biliknya sendiri. Alhamdulillah, Aesya sudah mampu berwuduk dengan sempurna dan juga tahu pergerakan dan bacaan asas dalam solat.

Beli Telekung Comel Untuk Galak Anak Solat
Saya belikan telekung solat untuk Aesya sejak dia berusia 4 tahun. Bukan sebab usianya 4 tahun saya belikan telekung tetapi kerana saya terpandang telekung solat yang comel untuk kanak-kanak. Saiz telekung itu pula sesuai dengan Aesya waktu itu dan paling penting, saya nampak ia boleh dipakai sehingga Aesya berusia 7 atau 8 tahun. Lagi pun saya perlu bersedia sebelum bertolak ke Melbourne yang mana pada masa itu suami dalam proses menyambung pelajaran. Bimbang juga bila sampai di Melbourne, susah pula mencari telekung solat untuk kanak-kanak.
Sejak dibelikan telekung, Aesya rajinlah solat pada masa itu. Mengaji Quran pun pakai telekung solat.
Kehangatannya untuk solat sekadar sementara. Namun saya membiarkan sahaja. Begitulah yang saya lakukan pada abang-abangnya dahulu. Saya mengingati pesan Nabi s.a.w,
Perintahlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).
(Hadis direkodkan Abu Dawud).

Pendidikan Menurut Sunnah Adalah Yang Terbaik
Saya meyakini setiap ajaran Islam adalah yang terbaik dari segi kualitinya kerana Islam datang dari Allah, pencipta alam dan pencipta manusia. Selain al-Quran, Allah mengajar kita mengabdikan diri kepadaNya melalui Nabi Muhammad s.a.w.
Allah yang bersifat al-Latif sangat memahami psikologi manusia. Jadi saya meyakini setiap langkah atau kaedah mendidik yang diberikan adalah bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. Dalam konteks melatih anak-anak solat, saya mula menyuruh anak-anak solat setelah mereka berusia 7 tahun. Sebelum berusia 7 tahun, memadai kita sentiasa solat di hadapan mereka. Biasanya dapat dilihat tingkah laku manis mereka meniru perbuatan kita solat selepas anak-anak mula pandai berdiri meskipun kita tidak menyuruhnya.
Kadang-kadang, saya ajak mereka solat bersama namun jika mereka enggan dan mahu bermain-main, saya biarkan sahaja. Saya pernah perhatikan seorang makcik yang bertegas pada kanak-kanak yang belum berusia 7 tahun agar menunaikan solat. Saya agak tersinggung apabila dia bukan sahaja bertegas agar solat tetapi membanding-bandingkan pula dengan kanak-kanak lain yang mudah menunaikan solat sebelum berusia 7 tahun.
Saya bimbang jika bertegas sebelum masanya, anak-anak akan merasa jemu dan ‘tersiksa’ kerana kemampuan akal mereka untuk memahami dan emosi mereka untuk menjiwai belum mencukupi. Akibatnya, tatkala mereka dewasa, mereka akan merasa bahawa agama adalah sesuatu yang menekan dan mengongkong kehidupan serta kebebasan mereka. Jika mereka lakukan secara sukarela, alhamdulillah. Pujilah mereka dan bersyukurlah kepada Allah. Namun jika ada masa-masa mereka tidak mahu lakukan, biarkan sahaja kerana Allah lebih memahami fitrah mereka dibandingkan saya walaupun saya adalah ibu kandung.
Kadang-kadang saya mendengar cerita kawan-kawan mengenai anak mereka yang sejak kecil rajin mengikut orang tua bersolat. Alhamdulillah jika ianya kehendak anak itu sendiri. Namun saya sekali-kali tidak akan menyuruh anak-anak kecil solat sebelum tiba masanya semata-mata kerana mahu menyaingi anak-anak kawan. Jika saya lakukannya, bererti saya melatih anak-anak solat kerana manusia (menandingi anak-anak orang lain), bukannya kerana melaksanakan perintah Allah. Na’uzubillah. Saya mahu anak-anak menikmati zaman kebebasan mereka sebagai kanak-kanak kerana apabila baligh, Islam telah menyediakan tanggungjawab yang berat untuk digalas sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Tidak perlu risau jika anak-anak yang belum berusia 7 tahun belum mahu bersolat dan juga tidak perlu berbangga jika anak-anak suka bersolat sedangkan mereka masih kecil. Rasa bangga atau ujub ibubapa dibimbangi akan merosakkan anak-anak itu tatkala mereka dewasa nanti. Contohnya sudah banyak kes zina yang saya temui datangnya dari mereka yang mendapat pendidikan agama yang baik sejak kecilnya. Mereka sudah melazimi solat dan pandai membaca al-Quran sejak kecil namun tetap terjerumus ke lembah dosa. Ertinya, didikan yang baik dari kedua ibubapa di rumah belum menjamin keselamatan anak-anak dari ancaman maksiat yang besar di luar rumah. Keikhlasan ibubapa mendidik anak-anak adalah paling utama bagi mendapat penjagaan dari Allah.
Pengalaman-pengalaman orang lain itu saya jadikan iktibar dan lebih bimbangkan masa depan zuriat sendiri. Hanya Allah sebaik-baik penolong.
Sebelum Berusia 7 Tahun…
Saya berusaha agar mereka mengenal al-Quran, mengajar berwuduk, membaca al-Fatihah, mengenalkan mereka kepada Allah, konsep dosa pahala, percaya kepada perkara ghaib, akhlak yang baik seperti berdoa setiap kali mahu lakukan sesuatu, meninggalkan akhlak yang tidak baik dan sebagainya.
Mana yang sesuai diberi penerangan secara praktikal, saya praktikkan. Contoh mengajak anak melihat saya berwuduk. Mana yang perlu diberi penjelasan secara teori, maka bercerita sehingga mereka mampu memahami menurut kadar akal mereka. Contoh bercerita tentang keesaan Allah, adanya nabi-nabi, wujudnya malaikat dan iblis dan lain-lain.
Video di bawah ini adalah salah satu kaedah yang baik menerangkan tentang ilmu Islam pada anak-anak. Biasanya saya ajak anak-anak menonton bersama. Saya perhatikan kefahaman mereka dan akan menokok nambah mana-mana yang perlu ditambah penjelasannya.
Ummu Abbas
12.45pm
3 Rabi’ 2 1433H
Melbourne
Reblogged this on KUkial_Jr@com.
asallamu’alaikum.wr.wb…kunjungan silaturahmi
Salam.
Satu perkongsian yang berharga.
Syukran.
as-salam…
best sgt2… syukran kak…
Assalamualaikum kak nur , masyaAllah.. comelnya mujahidah kak nur…. .. alhamdulillah.. syukran kak nur.. atas perkongsiannya..