Hujan Emas di Negara Orang
“Harga besen plastik ini AUD2. Lebih kurang RM6. Kalau di Malaysia, sudah boleh beli 3 buah.”
“Harga ikan AUD5 satu kilogram. Maknanya RM15 sekilogram.”
“1 set Corelle 16 unit ini AUD39.90. Eh… murahlah bang. Baru RM120. Di Malaysia Corelle yang sama nilainya lebih kurang RM390 ++.”
Kalau semuanya mahu didarab 3 untuk dinilai dalam Ringgit Malaysia (RM), banyaklah keperluan yang tidak terbeli. Tidak dapat tidak, kena biasakan diri dengan nilai Dolar Australia (AUD). Anggap AUD2 sama dengan RM2. Baru kita tidak terasa serba mahal dan serba sayang wang untuk berbelanja walaupun pada bahan keperluan asas. Fenomena dialog di atas biasa kedengaran di kalangan warga Malaysia semasa baru datang ke sini. Ini disebabkan tukaran matawang ringgit ke AUD pada masa sekarang agak tinggi iaitu RM100 bersamaan AUD31-AUD32. Pelajar ‘post-grad’ mendapat biasiswa dalam bentuk Dolar Australia. Bila dicampur dengan gaji, legalah sedikit. Itu pun ramai yang berkerja sampingan. Al Maklum, tangga gaji ikut kadar Malaysia tapi kos sara hidup menurut standard Australia yang tinggi dalam banyak hal terutama kos sewa rumah. Bil elektrik, api, gas dan air juga tinggi.
Meskipun dikhabarkan mengenai kos sara hidup yang tinggi, namun tatkala menziarahi sambil berkenalan dengan warga Melayu yang sudah tinggal 2-3 tahun di sini, saya lihat kelengkapan rumah serba ada dari kategori ‘al-daruriyyat’, ‘al-hajiyyat’ sehinggalah ‘al-tahsiiniyyat’. Malah banyak rumah yang memiliki permainan taman untuk anak-anak yang jarang kita miliki secara personal di Malaysia seperti trampolin, buaian dan gelongsor. Rasa hairan bertamu juga. Rupa-rupanya banyak barangan rumah yang diperolehi secara percuma. Ada yang diberikan oleh pelajar yang sudah habis belajar atau diambil di tepi-tepi jalan.
Terdapat satu musim disebut ‘Hard waste collection’. “Hard waste collection’ diadakan antara bulan April hingga Mei dalam tempoh 5 minggu. Pada musim ini, ramai penduduk meletakkan barang yang tidak mahu digunakan di hadapan rumah sama ada ia masih elok atau sudah rosak. Pelbagai barangan boleh didapati dari peti televisyen, tilam, meja belajar, alat permainan, kerusi, sofa, rak, almari dan lain-lain. Jadi, kalau kita masih perlukan apa-apa barangan, bolehlah pusing-pusing kawasan perumahan mencari sesuatu yang masih elok. Jika terlambat, sama ada ia sudah diambil orang atau Majlis Perbandaran Moreland sudah mengutipnya dengan lori. Hal ini amat menarik jika dapat diamalkan di Malaysia juga.
Selain mendapat secara percuma, boleh juga dibeli barangan terpakai yang murah harganya di garage sale atau pasar minggu yang diadakan setiap hujung minggu. Kebanyakan barangan ini adalah berkualiti dan baik kondisinya. Jadi berbaloi membelinya daripada membeli barang baru yang murah tetapi tidak berkualiti. Konsep berjimat cermat ini selari dengan firman Allah di dalam Surah al-A’raaf ayat 31, “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang membazir”.
Makanan Halal dan Budaya Membawa Bekal
Bila disebut negara non-muslim, antara perkara utama yang difikirkan ialah sumber makanan halal. Alhamdulillah, dek ramainya komuniti muslim dari pelbagai bangsa dan negara bermastautin di Melbourne, keperluan bertaraf fardu ain tersebut mudah diperolehi. Jenis makanan mentah seperti ayam dan daging mudah didapati di kedai menjual daging halal kepunyaan muslim. Bahkan biasanya ia dijual dalam keadaan siap dipotong dan dibersihkan. Tanpa kawalan harga yang tegas oleh pihak kerajaan Malaysia, harga ayam di sini menjadi lebih murah dari Malaysia. Sebenarnya, jika kita lihat harga dalam AUD tanpa menukar nilainya ke dalam RM, banyak barangan di sini jauh lebih murah harganya dibandingkan dengan kadar gaji dan upah yang mahal di Australia. Rakyat Australia memang beruntung dalam hal begini.
Jenis makanan lain seperti makanan dalam tin, biskut, coklat, ais krim dan sebagainya, kita perlu meneliti ramuan yang tercatat pada bungkusan. Banyak juga yang halal. Restoran makanan halal mudah didapati namun kami jarang membelinya kerana mahu berjimat-cermat. Lagi pun, jarang restoran yang memenuhi selera orang Asia ada di sini.
Sudah menjadi budaya masyarakat tempatan membawa bekal ke tempat kerja dan sekolah. Perbelanjaan bertambah jimat. Dek situasi setempat yang memaksa, ramai warga Melayu terikut-ikut budaya membawa bekal ke pejabat, universiti dan sekolah. Alhamdulillah, dari aspek pendidikan dan rumahtangga, ia memberi kesan positif bila suami atau isteri makan dari hasil tangan pasangan masing-masing.
Di sini, sebahagian besar pelajar di peringkat PhD terdiri dari para isteri. Manakala suami mengambil alih tugas sebagai ‘surarumah’- memasak, menguruskan anak-anak dan lain-lain. Pun begitu, boleh dikatakan hampir semua suami turut berkerja separuh masa. Alang-alang gaji buruh di sini mahal, tidak betah golongan yang fitrah semulajadinya berada di luar rumah terperap di dalam rumah sahaja.
Anak-anak mendapat ‘hujan emas’ di sini tatkala perut mereka sentiasa di isi dengan masakan berair tangan ibu atau bapa. Kasih sayang bertambah erat, insya Allah. Anak-anak juga mudah dibentuk dan lebih mudah mendengar kata orang tuanya.

Berbeza di Malaysia yang mana kebanyakan anak-anak di era ibubapa berkerjaya asyik makan dan minum air tangan tukang masak di kedai-kedai. Tukang masak yang tidak dikenali hati budinya. Tukang masak yang tidak dapat dipastikan tahap kebersihan dalam menyediakan makanan. Tukang masak yang entah baca atau tidak Bismillah serta zikrullah semasa berurusan dengan rezeki yang akan masuk ke dalam perut kita. Juga tukang masak yang lebih suka menggunakan perisa makanan atau bahan-bahan yang memudaratkan jasmani dan rohani.
Kebanyakan mereka lebih mementingkan keuntungan kocek daripada keuntungan dalam mendapat kasih sayang Allah. Akhirnya ia memberi kesan sampingan yang bukan sedikit kepada kualiti kasih sayang dalam rumahtangga baik antara suami isteri, lebih-lebih lagi antara ibubapa dan anak-anak.
Kebanyakan ibubapa tidak lagi dapat beralasan sibuk dari menitiskan air tangan mereka ke dalam perut cahaya mata sendiri. Kami seolah-olah kembali ke zaman generasi sebelum tahun 90-an. Lebih-lebih lagi, untuk mengupah pembantu rumah pun adalah sukar, sama ada disebabkan masalah visa atau kos upah yang lebih tinggi diperlukan.
Para isteri yang berkerjaya di Malaysia tetapi bercuti kerana menemani suami dapat menikmati hidup sebagai surirumah sepenuh masa serta melihat anak-anak membesar di depan mata. Pada mulanya, di samping mempunyai tugasan di luar rumah dan tiada pembantu pula, terasa payah menghadapi rutin perlu memasak setiap hari dibandingkan di Malaysia, beli sahaja lauk pauk yang sudah dimasak. Namun bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.
Hujan Emas ke Dalam Institusi Keluarga
Hujan emas di negara orang rupa-rupanya bukan sahaja berbentuk material, bahkan menjadi ‘emas’ secara tidak langsung dalam mengukuhkan institusi keluarga. Mungkin segelintir famili terkena tempias negatif namun semua itu tidak menganggu kaedah hukum fiqh yang dibina di atas perkara yang umum berlaku, bukannya pada perkara yang jarang berlaku. “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu yang hendak kamu dustakan?” Al-Rahman, ayat 13.
Reblogged this on thebestbiz and commented:
great blog