Bismillah.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaaatuh.
Alhamdulillah, hari ini merupakan hari ke 5 saya dan keluarga berada di North Island, New Zealand.
3 malam pertama, kami menyewa di sebuah farmstay di Taohua, utara Auckland untuk merasai kehidupan di ladang. Hari ini saya mahu berkongsi satu perkara menarik yang terdapat di farmstay tersebut.
Nampakkan kambing putih di bawah? Menurut tuan rumah, Simon, kambing ini menyangka dirinya anjing. Ooo patutlah dia menyambut kedatangan kami sebagaimana dua ekor anjing tuan rumah menyalak-nyalak menyambut kami.
Simon memiliki dua ekor anjing, Trixie dan Kaizer. Salah seekornya bertugas memburu binatang. Selepas Simon bercerita demikian, barulah kami perasan kambing itu banyak mengikut tabiat Trixie dan Kaizer.
Semasa suami dan anak-anak mahu dibawa Simon bersiar-siar di kawasan sekitar kediaman, saya melihat sendiri kambing itu terlebih dahulu berlari-lari mengikut tuannya menaiki motor diikuti oleh Trixie dan Kaizer. Namun oleh kerana ia memang seekor kambing, maka ia kelihatan cepat mengah dibanding dua ekor anjing itu tatkala tiba di bukit lain.
Tatkala Trixie dan Kaizer menyalak-nyalak, Si Putih ini tidak pula mengembek untuk meraikan kami… agaknya ia sedar jika ia mengembek, bunyinya lain…hehe… Lalu diam adalah lebih baik. Sepanjang dua malam saya di sana, tidak pernah pula kedengaran ia mengembek.
Melihat gelagat kambing itu membuatkan saya teringat watak Ellie bersama Crash dan Eddie dalam cerita Ice Age 2. Ellie, si mammoth betina itu menyangka dirinya seekor opposum seperti Crash dan Eddie kerana dibesarkan oleh ibu opposum.
Manakala kisah Tarzan pula menunjukkan manusia bersikap seperti haiwan sekelilingnya kerana Tarzan membesar dan belajar dari haiwan.
Sebagai seorang ibu, saya melihat kisah-kisah ini mengandungi hikmah yang mendalam dari aspek pendidikan. Bila ia disebut pendidikan, konsepnya merangkumi semua bentuk pendidikan yang ada sama ada dari ibubapa kepada anak-anak, dari guru kepada murid, pemimpin dengan anak buahnya dan lain-lain.

Ia juga bersignifikan dengan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi, “Setiap anak dilahirkan dalam fitrah. Maka kedua ibubapanya lah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”
Hadis direkod oleh Bukhari dan Muslim.
Kisah kambing itu pula berkait rapat dengan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi,
المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل
Seseorang itu menurut agama rakannya. Maka perhatikan dengan siapa dia akan berkawan.
Hadis direkod oleh Abu Dawud, al-Tirmizhi dan Imam Ahmad.
Semasa saya mahu bertolak meninggalkan farmstay tersebut, kambing putih itu turut menghantar sehingga ke pintu pagar depan. Lalu saya katakan padanya, “Saya akan rindukan awak”. Symon tersenyum dan ketawa mendengar kata-kata saya.
6.34am
16 Jumada 1 1433H/ 8 April 2012
Hamilton
Di pinggir Sungai Waikato.
North Island, New Zealand.
haha..melucukan! 😀
kenapa kambing macam anjing? tengoklah siapa yang jadi kawan kambing tu hehehe